16 February 2010

Dua anak kecil di tepi rumah

Hari itu hari Ahad. Cuaca sangat panas dan kering, kebetulan pula matahari sedang tegak meninggi. Saya sedang membersihkan kereta kesayangan kerana sudah lama kereta itu tidak dicuci. Dalam keadaan panas-panas begini, tiada siapa pun manusia yang waras mahu berjalan-jalan di luar. Semuanya memerap di rumah sambil bermesra dengan keluarga.

Saya kemudiannya terpandang dua kelibat anak kecil di tepi rumah saya. Di tepi rumah saya itulah jalan utama untuk keluar dan masuk dari kawasan perumahan kami, dan saya pasti kedua-dua anak kecil itu baru pulang dari kedai. Seorang perempuan, besar sedikit yang saya pasti adalah kakaknya dan seorang lagi anak lelaki yang mungkin adiknya. Mereka berjalan terkedek-kedek, saya perasan si kakak sedang membawa tepung dan adiknya pula menjinjit bungkusan gula. Beberapa langkah melewati saya, adiknya bagaikan merungut yang jinjingannya sangat berat dan dengan lapang hati kakaknya mengambil bungkusan gula dari tangannya, lalu mereka terus berjalan pulang ke rumah. Saya tidak pasti di mana rumah mereka kerana kawasan perumahan ini banyak rumah yang lain.

Hati saya kemudiannya berdetik simpati. Saya menyalahkan ibu bapa mereka yang tanpa rasa bersalah menyuruh anak-anak itu berjalan ke kedai membeli barangan dapur. Lebih-lebih lagi dalam cuaca yang bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa pun boleh pengsan kerana kepanasan. Lalu saya menyimpulkan bahawa ibu bapa mereka ialah orang yang tidak bertanggungjawab. Entah apa yang dibuat oleh ibu bapa mereka ketika itu. Mungkin si bapa sedang bermalas-malasan membaca akhbar hari Ahad sambil menghisap rokok di bawah kipas, mungkin juga si ibu sedang asyik menonton rancangan Melodi, manakala si anak sedang mengharung panas dan debu demi perintah ibu dan bapa. Ahhh, betapa mereka tidak tahu mendidik anak-anak dan tidak menunjukkan contoh yang baik!!

Lama selepas itu, saya membaca sebuah buku bulanan untuk ibu bapa yang dibeli oleh isteri. Tertarik dengan satu babak tentang ajaran Nabi terhadap anak-anak, saya membacanya sehingga habis.

Anak berumur 0-7 tahun, berikan mereka sepenuh kasih sayang dan kemanjaan.
Anak berumur 7-15 tahun, berikan mereka tanggungjawab dengan bimbingan, berikan mereka peluang untuk melakukan kesalahan.
Anak berumur 15-21 tahun, hampiri mereka, bimbingan dan teguran, berikan ruang untuk pendapat mereka didengari dan memahami mereka.
Anak berumur 21 tahun ke atas, anggap mereka seperti rakan, berikan mereka sepenuh kebebasan dan memberikan pendapat kita kepada mereka.

Lantas saya teringat peristiwa dua anak kecil itu. Itulah rupanya dinamakan tanggungjawab. Si kakak dan si adik itu rupanya diajar tentang erti tanggungjawab untuk membeli bahan dapur. Rupanya saya tidak mengerti. Ibu dan bapa mereka lebih memahami.

Saya kesal juga dengan tindakan mengutuk ibu bapa mereka. Ibu dan bapa mereka sedang berada di landasan yang betul dalam mendidik anak-anak. Saya harus belajar lebih lagi untuk menjadi bapa yang bertanggungjawab. Suatu masa nanti saya juga akan melakukan perkara yang sama. Bermalas-malasan pada hari Ahad dengan membaca akhbar atau duduk-duduk sambil menunggu anak saya pulang dari kedai.

Terima kasih ibu dan bapa anak-anak kecil itu.

08 February 2010

Satu kehilangan besar kepada negara

Jika ada pembesar-pembesar negara, artis-artis atau ahli perniagaan terkenal yang meninggal dunia, satu ayat klise yang akan terbit dari mulut pemerintah sedia ada ialah "kematian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada negara". Saya hairan juga dengan kenyataan mereka ini. Adakah mereka benar-benar ikhlas tatkala mengucapkannya atau hanya mengikut teks pemerintah dulu-dulu tanpa ada penghayatan.

Jika pembesar-pembesar yang meninggal dunia itu sedang dalam tempoh perkhidmatan, ada logiknya juga jika ia adalah kehilangan besar kepada negara. Ini kerana mereka masih lagi menyumbang tenaga dan idea untuk pembentukan negara yang lebih baik. Begitu juga dengan artis yang masih lagi menyanyi atau ahli perniagaan yang masih lagi ligat mencari keuntungan. Semuanya masih bertenaga untuk melakukan pekerjaan harian.

Tetapi bagaimana pula dengan golongan itu yang sudah lama tidak kelihatan di dalam media massa, sudah pencen dan berumur beratus-ratus tahun dan ada yang sudah nyanyuk pun. Ada di antara mereka sudah pun dilupakan secara sengaja semenjak mereka mula berpencen. Bagaimana pula kematian mereka adalah kehilangan besar? Mereka sudah menyumbangkan idea dan tenaga pada masa mereka berkhidmat. Apabila mereka sudah berpencen bermakna khidmat mereka tidak diperlukan lagi. Jika benar khidmat mereka masih diperlukan, apa perlunya mereka dipencenkan di dalam perkhidmatan terutamanya parti-parti politik yang tidak mempunyai had umur. Di dalam kes artis misalnya, adakah kematian mereka adalah satu kehilangan apabila suara mereka pun sudah tidak sedap lagi, berlakon pun seperti ayam patah kaki atau sebagainya.

Saya selalu terfikir adakah kematian mereka ini merupakan kehilangan besar kepada negara. Kematian mereka langsung tidak mengubah hidup saya dan saya percaya ia tidak mengubah hidup ramai orang lain. Malah saya langsung tidak rasa kehilangan pun. Mungkin jika ada beberapa pembesar negara yang masih ada sekarang meninggal dunia, saya akan berasa sedikit kehilangan kerana mereka masih lantang bersuara walaupun sudah berpencen.

Alangkah senangnya menjadi pembesar negara, artis atau orang-orang terkenal. Cuma berkhidmat beberapa penggal dan tidak memberi impak yang besar kepada negara, akhirnya apabila kematian mereka dianggap kehilangan yang sangat besar. Bagi artis pula, hanya mengeluarkan beberapa buah lagu yang popular, mengada-adakan gosip supaya kehadirannya dirasai dan kemudiannya senyap begitu sahaja. Bertuahnya hidup mereka kerana diingati sehingga ke akhir hayat. Saya menyarankan supaya istilah 'satu kehilangan besar kepada negara' ditujukan kepada orang-orang yang benar-benar layak sahaja.

03 February 2010

Berbudi pada tanah

Di halaman rumah ibu saya ada banyak pokok-pokok yang ditanam. Ada pokok-pokok bunga yang biasa dijumpai dan ada juga yang dikutip entah dari mana, ada pokok-pokok ulam, pokok buah-buahan dan juga sayur-sayuran. Sewaktu saya kecil dahulu, saya selalu dipaksa untuk menyiram pokok-pokok itu pada petang hari. Ibu saya sangat cerewet dengan pokok-pokoknya, sehinggakan jika ada ranting yang patah kerana kenakalan saya, haruslah saya dileteri sehabis-habisnya. Saya sentiasa terfikir apalah guna ditanam pokok yang entah apa-apa itu terutamanya sayur-sayuran. Ibu saya bukanlah terlalu miskin sehingga tidak mampu membeli sayur-sayuran di pasar.

Sekarang saya sudah dewasa dan berkeluarga. Justru, saya memilih untuk menyewa sebuah rumah taman lot tepi, supaya ada sedikit tanah untuk menghabiskan senggang masa dengan berfaedah. Dan saya mula berjinak-jinak untuk menanam pokok-pokok sayur hanya kerana bencikan lalang yang selalu berdiri megah.

Hasilnya sangat menakjubkan. Rupa-rupanya bercucuk tanam merupakan terapi yang berkesan kepada diri sendiri. Saya sangat teruja untuk menanam pokok sebanyak mana yang saya mampu. Melihat ia membesar, menyiram dan membuang rumput-rumput mencambahkan kepuasan yang tidak terhingga. Saya sekarang mempunyai minat yang baru iaitu bercucuk tanam. Setiap petang apabila pulang dari kerja, saya tidak akan masuk ke dalam rumah kecuali setelah puas menjengok tanaman saya. Bersembang dengan mereka, mengajak mereka membesar, melihat benih yang ditanam bertunas merupakan kepuasan yang tidak terhingga. Sekarang tanaman saya belum berbuah, dan saya tidak sabar untuk menunggu hasilnya.

Benarlah kata orang tua, berbudi pada tanah kita akan dapat hasilnya. Jika tanaman itu tidak berbuah sekalipun, ia mengisi masa saya dengan begitu berfaedah sekali. Sekarang saya sudah tahu mengapa ibu saya sangat minat bercucuk tanam, kerana saya sendiri sudah mula mengetahui faedahnya.