30 June 2010

Pada mulanya ia tidak perlu


Hidup kita sebenarnya mudah sahaja. Ia sama mudahnya seperti kita baru lahir dengan tiada apa bekal pun dibawa ketika datang ke dunia ini. Namun begitu dunia ini menyediakan berbagai-bagai perkara yang tidak mudah, lantas kita terikut-ikut untuk menjadikannya sebagai perlu. Cuba kita lihat di sekeliling kita sama ada di rumah, pejabat, jalanan, ruang legar dan sebagainya, banyak benda sebenarnya tidak perlu pada mulanya dalam hidup kita, tetapi oleh kerana terikut-ikut dengan orang lain serta gaya hidup yang ditentukan, ia menjadi sangat penting.

Saya seringkali berasa benci dengan sebuah benda yang dinamakan seterika. Ia sangat mengganggu hidup saya dan isteri terutamanya pada waktu malam sebelum tidur. Apalah salahnya jika seterika itu tidak dicipta, maka kita semua akan keluar dari rumah dengan baju yang berkedut dan tidak kemas. Tetapi jika semua manusia di dunia ini tidak menggunakan seterika dan memakai baju yang berkedut, maka tiada siapa yang akan mengutuk kita kerana tidak kemas. Seterika langsung tidak perlu di dalam hidup manusia. Kita boleh hidup dengan atau tanpa seterika. Dengan menggunakan seterika ia membazirkan elektrik, membuang masa, mengundang bencana kebakaran dan boleh mendatangkan kecederaan. Siapalah manusia 'pintar' yang mula-mula mencipta seterika, dan siapa pula manusia 'cerdik' yang ikut menggunakan seterika dan akhirnya menyusahkan generasi kita semua?

Cuba lihat pula di dinding-dinding rumah atau pejabat,mungkin di sana tergantung lukisan-lukisan, tulisan-tulisan ayat, sudu dan garfu yang besar dan sebagainya. Adakah ia perlu di dalam hidup manusia pada mulanya? Jadi, siapa yang mula-mula mencipta benda tidak penting ini dan kemudian ia dijadikan satu gaya hidup dan akhirnya 'memaksa' ramai orang lain membelinya?

Lihat dan lihat lagi. Akhirnya kita akan menyedari bahawa 90% dari wang kita dihabiskan untuk benda-benda yang tidak perlu. Apa guna pagar rumah yang cantik dan mahal sedangkan pagar murah juga mempunyai fungsi yang sama. Untuk apa membeli penapis air jika menggali perigi lebih murah dan mudah? Untuk apa memasang penghawa dingin di bangunan yang tingkapnya bertutup rapat sedangkan jika tingkap itu dibuka angin akan masuk menderu-deru? Mengapa memasang batu marmar di lantai rumah sedangkan lantai simen juga sudah mencukupi? Jawapannya hanya satu. Ia tidak penting, tetapi ia hanyalah gaya hidup.

Ia sebenarnya hal yang kecil, tetapi jika tidak difikirkan dengan bijak kita akan tersilap menilai mana yang perlu dan mana yang tidak. Ia mungkin boleh membuatkan kita membazirkan wang dalam membeli barang-barang yang tidak penting. Saya pasti banyak menteri-menteri dan ahli parlimen Malaysia pun terjebak dengan benda-benda yang tidak perlu ini. Sebab itulah kita dapat melihat akhir-akhir ini mereka merancang untuk menghabiskan wang yang banyak untuk bangunan Parlimen yang baru, yang sebenarnya tidak penting kerana mereka masih boleh bersidang di bawah pokok seperti di Perak.

21 June 2010

Selamat tinggal tembok Pudu



Seperti yang dirancang oleh kerajaan Malaysia, pada malam ini tembok Penjara Pudu yang telah berusia 119 tahun akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan jalanraya yang baru. Bagi golongan rakyat yang sentimental seperti saya dan ramai lagi, hanya pilu yang akan mengiringi pemergian tembok itu. Tembok itu telah mencatat sejarah yang panjang di dalam peradaban Kuala Lumpur dan Malaysia. Tembok itu juga memiliki lukisan mural terpanjang di dunia.

Tembok itu menjadi saksi bisu kepada banyak peristiwa yang berlaku di dalam dan luarnya. Ia menjadi saksi kepada ketangkasan Datuk Zaman Khan dan anak-anak buahnya menumpaskan Botak Chin. Ia juga menjadi saksi kepada pemergian banduan-banduan ke penjara yang dikatakan mempunyai kawalan keselamatan terbaik dunia, Penjara Sungai Buloh. Lebih menyayat hati, ia menjadi saksi kepada jutaan manusia yang datang dan pergi di Kuala Lumpur, ada yang pulang ke kampung sebagai wira, ada pula yang tewas di tengah-tengah kota metropolitan itu.

Jika saya datang ke Kuala Lumpur menaiki bas, saya akan menyusuri tembok itu sebelum sampai ke Hentian Pudu. Jalannya memang sesak, sangat mustahil jika perjalanan menyusuri tembok itu dapat dilakukan dengan lancar tanpa tersekat-sekat. Malah, berjalan kaki mungkin lebih cepat sampai jika perjalanan dilakukan dengan kenderaan empat roda pada waktu puncak. Setiap kali saya memandangnya, ada wajah pilu anak-anak kota bagaikan terlukis di setiap bentangan tembok yang sayu itu. Tembok itu kusam, bagaikan kusamnya orang-orang kota yang jerih dan perih untuk mencabar kepantasan Kuala Lumpur. Tembok itu gagah, bagaikan gagahnya semangat anak-anak muda yang datang ke Kuala Lumpur. Pada masa depan, tembok itu tidak akan berada di situ lagi.

Di atas nama pembangunan, tembok kusam itu tidak akan berada lagi di sana untuk menyambut kehadiran saya ke Kuala Lumpur. Sepuluh tahun lagi, bangunan penjara yang berbentuk Y tunggang tungging itu juga mungkin akan dirobohkan. Saya berdoa cukuplah setakat ini bangunan warisan negara akan dirobohi. Nanti esok lusa entah Muzium Negara, Stadium Merdeka atau Hentian Pudu akan hilang buat selama-lamanya dari gambaran. Pada masa itu, tiada lagi manisnya untuk saya mengenang Kuala Lumpur. Mengenang Kuala Lumpur dengan KLCC, itu sangat mustahil untuk saya.

13 June 2010

Teknologi individualistik

Menjelang abad ke 21 ini kita berpeluang untuk melihat perkembangan teknologi yang begitu pesat sekali. Bermula dengan penemuan minyak di samudera yang luas, segala-galanya yang berlaku selepas itu bagaikan tiada hadnya lagi. Perkembangan teknologi khususnya di bidang perkomputeran dan teknologi maklumat sangat pesat dan ramai manusia yang oportunis mencari peluang untuk mengkayakan diri sendiri dengan menceburi bidang-bidang berkenaan. Ia tidaklah salah malah kebanyakan dari penemuan-penemuan terbaru di bidang teknologi memudahkan ramai orang di dalam menjalani kehidupan masing-masing.

Walaupun begitu, saya melihat perkembangan teknologi ini lebih menjuruskan manusia untuk menjadi individualistik. Setiap penemuan terbaru hanyalah memangkinkan kepada penggunaan teknologi yang akan membuatkan manusia tidak lagi bercampur gaul dengan orang-orang sekeliling. Ia sangat menyedihkan kerana kurangnya komunikasi terus di antara manusia bermakna hilangnya perhubungan sosial, manakala kekurangan perhubungan sosial akan menjejaskan aktiviti kemasyarakatan iaitu aktiviti yang sangat penting di dalam pembentukan manusia yang bertamadun.

Saya mengambil contoh penemuan permainan komputer untuk kanak-kanak yang dimainkan di komputer atau televisyen seperti PS2 atau XBox. Permainan ini tidak lagi memerlukan ramai kanak-kanak, malah kanak-kanak lebih selesa untuk bermain seorang diri di dalam rumah kerana lebih ramai kanak-kanak akan membuatkan lebih ramai perebutan. Kanak-kanak yang terdedah kepada permainan ini akan hilang kepakaran bersosial dengan masyarakat. Begitu juga dengan laman sosial seperti Facebook yang membuatkan orang lebih selesa berkenalan dengan rakan maya berbanding rakan di komuniti sendiri.

Suatu ketika dahulu, sekiranya kita sedang memandu dan tersesat di mana-mana jalan, perkara pertama yang patut kita lakukan ialah memberhentikan kereta dan mencari orang untuk menanyakan arah jalan. Namun sekarang tidak lagi kerana adanya sistem GPS di dalam kereta masing-masing. Ia nampak remeh tetapi sebenarnya memberikan kesan yang tinggi di dalam masyarakat. Menggunakan GPS bererti kita tidak lagi belajar untuk menyapa manusia secara sopan di jalanan dan lama kelamaan kita juga akan hilang proses pemahaman melalui komunikasi bicara.

Saya nampak sikap individualistik ini sudah semakin ketara di dalam masyarakat. Masyarakat sekarang lebih selesa untuk menggunakan kaedah katering ketika kenduri perkahwinan, lebih selesa menghantar makanan ke masjid-masjid berdekatan untuk kenduri arwah malah lebih menakjubkan, sudah ada e-jenazah untuk proses pengebumian orang meninggal dunia. Semuanya tidak lagi menggunakan khidmat kemasyarakatan seperti dahulu.

Saya sangat khuatir kerana sikap individualistik ini lama kelamaan akan memangkinkan kepada sikap mementingkan diri sendiri. Ia sudah nampak ketara di bandar-bandar besar apabila kebanyakan dari mereka sudah tidak mempedulikan lagi perasaan orang lain. Meletakkan kereta di tempat-tempat yang tidak sepatutnya atau mencuri ruang letak kereta di pasaraya, mendirikan khemah perkahwinan tanpa mempedulikan laluan keluar masuk adalah beberapa contoh yang menunjukkan sikap sebegini. Tidak lama lagi, mungkin juga mereka akan berebut kawasan lapang yang dijadikan tempat untuk kanak-kanak bermain, malah mungkin juga mereka sudah mula menempah kawasan perkuburan untuk keluarga masing-masing.

Semuanya bermula dari satu perkara iaitu teknologi yang menjurus kepada sikap-sikap begini. Bukanlah niat kita untuk menjadi manusia yang individualistik, tetapi keadaan persekitaran dan kebergantungan kita kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya memudahkan sikap ini diketarakan.

09 June 2010

Dabbahwallah : Satu Renungan

Saya baru sahaja menonton siri About Asia di Discovery Channel yang membincangkan tentang sistem keretapi di Mumbai, India. Di dalam rancangan berkenaan, ia memaparkan suasana stesen-stesen keretapi yang menuju ke Mumbai di mana hampir 400,000 orang menggunakan perkhidmatan tersebut setiap hari. Bayangkanlah bagaimana sesaknya suasana tersebut sedangkan saya juga merungut sekiranya terpaksa menggunakan perkhidmatan komuter atau LRT di waktu puncak. Kesesakan yang dipaparkan di dalam rancangan berkenaan tergambar sehinggakan tiada tanah yang tidak kosong dari manusia berdiri, purata 10 orang akan mati setiap hari akibat dilanggar keretapi dan manusia-manusia akan berjujuran keluar dalam keadaan berpeluh dan selekeh kerana terpaksa berebut-rebut dengan orang lain.

India ialah negara yang masih mengamalkan amalan tradisi isteri-isteri akan memasak untuk suami. Makan luar dan restoran masih lagi sesuatu yang janggal. Justru, isteri-isteri akan memasak untuk makanan tengah hari suami-suami mereka di tempat kerja. Disinilah dabbahwallah berfungsi. Mereka bertugas sebagai penghantaran makanan kurier, sama seperti kita melihat penghantaran makanan pizza ke rumah-rumah atau ke tempat kerja.

Sesuatu yang mengagumkan, dabbahwallah ini berfungsi tanpa data tidak seperti penghantaran kurier professional. Data melalui kertas langsung tidak berguna kerana pekerja-pekerja dabbahwallah kebanyakannya terdiri dari golongan kasta rendah yang buta huruf. Prosesnya hanyalah isteri-isteri akan menghantar mangkuk tingkat kepada pekerja ini dengan dicatkan kod di atas mangkuk berkenaan, pekerja-pekerja ini mengumpulkan mangkuk-mangkuk tingkat ini mengikut tempat tujuan dan akan menaiki keretapi untuk menghantarnya ke tempat kerja para suami. Sebanyak 200,000 mangkuk tingkat diedarkan setiap hari ke seluruh pelusuk Mumbai melalui pekerja yang berlainan pula. Lebih mengagumkan, kadar kesilapan penghantaran mangkuk tingkat ke tempat tujuan adalah sangat rendah sehinggakan ia disenaraikan di dalam proses kerja yang cemerlang oleh Forbes. Tahap kecekapan dabbahwallah ini diyakini sama dengan tahap kecekapan syarikat-syarikat besar General Motors dan lain-lain.

Saya sangat teruja dengan prosedur dabbahwallah ini. Bagi saya, ia boleh diaplikasikan di dalam beberapa prosedur kerajaan di Malaysia. Bagaimana pekerja-pekerja ini bekerja dengan hanya mematuhi kod yang tertera di di atas mangkuk tingkat di samping melaksanakannya dengan pantas di bawah tekanan orang yang sangat ramai di stesen keretapi. Kekuatannya tidak bergantung kepada tahap professional, ruang dan masa yang ada. Kekuatannya hanyalah bergantung kepada modal insan yang cekap. Mereka menjimatkan banyak perkara seperti ruang pejabat, kertas dan masa.

Setelah melihat dabbahwallah ini, saya merasakan perkara yang sangat penting di dalam satu-satu prosedur ialah modal insan yang sangat cekap. Sekiranya modal insan ini tidak mempunyai kepakaran, semua prosedur akan musnah. Dan lebih meyakinkan, modal insan yang pakar bukanlah terdidik dengan banyaknya ilmu di dada yang ditimba di sekolah atau universiti, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita dapat memenuhi kehendak orang lain yang memerlukan kita. Bagaimana untuk memenuhi kehendak orang lain? Ia tidak diajar di mana-mana universiti di Malaysia.