26 September 2010

Stress


Sejak akhir-akhir ini saya agak tertekan dengan bebanan kerja di pejabat. Mungkin beberapa faktor membuatkan saya mengalami stress, cumanya saya berharap agar perasaan stress ini tidak berpanjangan untuk tempoh yang lama. Saya pernah menghadiri satu program bersama-sama dengan pesakit klinik psikiatri dan hasil dari program itu saya dapat membuat kesimpulan, iaitu semua orang di dalam dunia ini mempunyai kecenderungan untuk menjadi gila. Saya berharap supaya saya tidak sampai ke tahap sebegitu.

Ini bukanlah kali pertama saya menghadapi tekanan sebegini di dalam hidup. Walaupun begitu, saya gagal untuk mengimbau kembali apakah yang telah saya lakukan untuk menghadapi stress pada masa yang lalu. Hasilnya kosong. Yang saya ingat, masalah yang menyebabkan saya stress itu berlalu begitu sahaja dan saya tidak stress lagi selepas itu.

Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada orang lain. Bagi saya, ketika di dalam senggang masa stress ini saya mengimpikan supaya diberikan sayap untuk terbang jauh bagi melupakan masalah yang saya hadapi. Saya terbayangkan untuk duduk bersendirian di atas gunung yang tinggi, berada berseorangan di sebuah pulau atau diberi kuasa untuk membunuh orang yang menyebabkan masalah stress saya. Melihat wajah anak saya yang tenang ketika tidur dan mengganggu saya ketika saya membuat kerja membuatkan saya terfikir betapa bertuahnya menjadi kanak-kanak.

Hakikatnya, melarikan diri jauh-jauh ke tempat yang lain tidak akan menyelesaikan masalah. Masalah bukanlah wujud untuk kita lari daripadanya, tetapi untuk kita berfikir bagaimana mengatasinya. Sekiranya kita sentiasa lari dari masalah, kita akan menjadi orang yang tidak dipercayai seterusnya tidak akan mematangkan kita di dalam apa jua urusan.

Kepada Allah saya bermohon supaya diberikan kekuatan untuk menempuh hidup yang penuh ranjau ini. Demi Allah yang saya menjadi hamba-Nya, demi ibu, isteri, anak dan sanak saudara saya yang sebilang waktu menyayangi saya, saya akan berazam untuk menjadi lelaki yang lebih kuat. Terima kasih Allah kerana memberikan perasaan stress ini, kerana dengan perasaan ini akan membuatkan saya menjadi insan yang lebih baik.

20 September 2010

Sebuah iklan di Kampar


Apabila beberapa pihak yang terlibat dengan Program Banci Penduduk dan Perumahan 2010 mengadu bahawa ada di kalangan rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa Melayu, saya sebenarnya tidak terkejut langsung kerana saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan hati itu. Saya tidak tahu apa faktor yang membuatkan mereka tidak tahu berbahasa Melayu, tetapi sikap mereka yang memandang mudah bahasa kebangsaan dan suka menggunakan bahasa ibunda sendiri sepatutnya diubah demi keharmonian penduduk Malaysia. Saya menganggap sepanjang hidup mereka tidak pernah keluar dari rumah atau tidak pernah pergi ke mana-mana pasaraya besar. Atau mungkin juga mereka terlalu bodoh sombong sehingga berasakan mereka hanya boleh hidup dengan bergaul bersama rakan sesama bangsa. Bukanlah mahu prejudis atau bersifat perkauman, tetapi hakikatnya ada segelintir kaum Cina dan India di Perak tidak tahu berbahasa Melayu. Pergilah ke Bercham, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas.

Kampar ialah sebuah pekan kecil yang terletak di tengah negeri Perak. Daerah Kampar ialah daerah paling bongsu di Negeri Perak yang baru ditubuhkan beberapa tahun yang lalu. Sebelum itu, pekan Kampar terletak di dalam daerah Kinta. Majoriti penduduk di pekan Kampar ini terdiri dari bangsa Cina dan kita dapat melihat jirat Cina yang sangat besar di atas bukit dari laluan utama. Seseorang pernah bergurau dengan saya dengan mengatakan jika masyarakat Cina membuat negara sendiri di sini pun pihak berkuasa tidak akan perasan kerana kawasan pendudukan Cina yang sangat luas.

Kampar terkenal dengan Battle of Kampar yang berlaku di suatu tempat bernama Green Ridge. Saya mendapat maklumat bahawa Green Ridge terletak di suatu tempat tidak jauh dari papan tanda ini difotokan. Walaupun begitu, saya masih gagal mencari di manakah terletaknya lokasi peperangan yang bersejarah bagi pihak British itu sehingga sekarang. Jika saya berkesempatan, suatu masa nanti saya akan meneroka beberapa kawasan bukit di sekitarnya dalam usaha untuk menjejakkan kaki di situ.

Mungkin kerana kawasan pendudukan Cina yang luas inilah sesetengah masyarakat mereka merasakan bahawa mereka tidak perlu bercampur gaul dengan penduduk dari bangsa lain. Hasilnya dapat kita lihat dengan terjemahan papan tanda di atas yang saya rasakan diterjemahkan sebutir-sebutir dari perkataan Inggeris. Tetapi sebenarnya, saya sendiri gagal mencari ayat dari bahasa Inggeris yang tepat untuk terjemahan itu.

15 September 2010

Menggagau ikan di cuti raya


Berbetulan dengan musim menuai di Negeri Kedah, saya mengambil cuti Hari Raya Aidilfitri yang lalu untuk turun ke bendang menggagau ikan. Kali terakhir saya berkesempatan untuk menggagau ikan ini ialah pada tahun 2007 kerana pada waktu itu saya masih lagi menganggur. Selepas itu, akibat desakan kerja dan jarak yang jauh dengan kampung halaman, saya sudah tidak lagi berpeluang melakukan aktiviti yang mengasyikkan ini. Bukanlah apa-apa tujuan pun sebenarnya jauh lagi kerana terdesak untuk mencari wang, tetapi aktiviti menggagau ikan ini adalah salah satu keseronokan yang tidak dapat dibayangkan oleh anak-anak bandar khususnya.

Aktiviti menggagau ikan ini dilakukan selepas habis padi dituai di sesebuah petak sawah. Pada masa dahulu tuaian dilakukan dengan kerbau bajak atau manual, tetapi sekarang semuanya menggunakan mesin tuai yang besar. Kita dapat melihat burung-burung akan mengekori mesin tuai ini di belakang kerana selalunya ikan-ikan yang mati akibat dilanggar mesin tuai menjadi hidangan yang menyelerakan buat burung-burung tersebut.

Walaupun menggagau ikan ialah satu kerja yang tidak memerlukan kepakaran yang tinggi, tetapi ia juga memerlukan sedikit pengalaman dan rasa berani. Jika sekiranya masih ada perasaan geli, takut kotor atau takut termakan selut kerana terjatuh, kita tidak akan dapat menggagau ikan dengan baik. Kemahiran ini sangat berguna lebih-lebih lagi apabila mengejar ikan yang licin seperti haruan dan keli. Cabaran besar bagi golongan kurang pakar ialah rasa sakit kerana terkena duri ikan puyu atau sengat keli, terjatuh kerana termasuk di dalam selut yang dalam atau mencari lubuk-lubuk tempat ikan bersarang manakala cabaran terbesar bagi golongan pakar ialah untuk berlumba-lumba mencari ikan terbesar. Ikan-ikan di dalam bendang tidaklah besar-besar seperti ikan di sungai, tetapi tidaklah menghairankan pula sekiranya seseorang penggagau mendapat ikan haruan sebesar lengan orang dewasa.

Selalunya ikan puyu ialah ikan yang paling banyak di dalam bendang padi. Lazim pula jika kita tergagau ikan haruan dan keli manakala ikan sepat ialah ikan yang agak jarang ditemui. Ikan puyu mempunyai duri yang tajam di sekitar siripnya dan sebenarnya tangan penggagau lebih banyak terluka akibat duri puyu berbanding sengat keli yang berbisa itu. Ikan haruan pula tidak mempunyai apa-apa senjata untuk mempertahankan diri, tetapi badannya yang licin menyukarkan penggagau mendapat ikan tersebut.

Pada musim ini saya mendapati ikan-ikan yang masih ada cuma kecil-kecil sahaja. Saya meneka ikan-ikan ini hanyalah baki yang masih ada kerana musim menuai sudah pun tiba ke penghujungnya. Mungkin juga kerana sikap manusia yang tamak kerana menggunakan renjatan elektrik telah membuatkan banyak ikan-ikan besar sudah mati. Di sepanjang perjalanan pulang, saya melihat banyak ikan-ikan kecil telah mati di parit (orang-orang Kedah memanggilnya 'kokyu') dan ia mengesahkan telahan saya bahawa ada orang yang tidak bertanggungjawab yang telah menggunakan renjatan elektrik.



Ikan-ikan puyu dan lampam yang kecil lebih sesuai dibuat ikan pekasam atau digoreng. Manakala ikan keli atau haruan boleh dibuat gulai. Rasanya? Entahlah. Ia subjektif. Tetapi bagi orang berlidah kampung seperti saya, ia jauh lebih lazat jika dimakan bersama kicap dengan sulaman sedikit ulam-ulaman bersambal belacan di tengah bendang berbanding menikmati makanan barat di hotel-hotel.

Saya bukanlah 'anak bendang' yang sejati. Kehidupan masa kecil saya lebih dipengaruhi dengan kehidupan orang pekan kerana ibu saya tidak mengerjakan sawah padi. Walaupun begitu, jika ditanya kepada saya tentang apa yang saya tahu tentang ikan darat di bendang padi, saya rasa saya boleh menjawabnya dengan baik.

04 September 2010

Kisah gelandangan yang menyedarkan


Saya tidak dapat hadir ke surau pada suatu malam Ramadhan kerana anak saya meragam dan isteri saya tidak begitu sihat. Walaupun sedikit kesal kerana malam ponteng itu ialah malam-malam 10 terakhir, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tanggungjawab kepada keluarga saya lebih penting daripada menunaikan amalan sunat terawih. Sunat terawih juga boleh dilakukan di rumah jika saya benar-benar berkehendakkannya. TV3 pada masa itu menayangkan segmen Majalah Tiga yang memaparkan kisah gelandangan di Kuala Lumpur pada bulan Ramadhan.

Ada beberapa kisah kecil diantaranya seorang lelaki ditinggalkan oleh abangnya sendiri kerana perwatakannya yang lembut selain dari golongan keluarga bermasalah dan rata-ratanya berlatar belakangkan Lorong Haji Taib yang popular itu. Ada juga dipaparkan mereka berbuka puasa beramai-ramai di kaki lima, beratur untuk mendapatkan bubur lambuk percuma di Masjid Jamek, tangisan kerana kerinduan kepada saudara mara dan penyesalan ke atas nasib malang yang tidak berkesudahan. Dengan tidak sedar saya menitiskan air mata.

Saya tidak menitiskan air mata simpati kepada nasib mereka yang ditakdirkan Tuhan itu. Sebenarnya air mata simpati itu dicurahkan kepada diri sendiri yang dirasakan lebih teruk dari mereka. Di dalam keadaan saya yang sentiasa mengadu kepada Allah kerana beberapa perkara yang remeh temeh, rupanya di sisi lain di dalam hidup ini lebih ramai yang tidak bernasib baik. Entahlah, tiba-tiba rasa malu kepada Allah Yang Maha Esa dan golongan gelandangan itu.

Saya sentiasa berasa dengki dengan kenderaan mewah yang memotong saya ketika di dalam perjalanan pergi dan pulang dari kerja. Acapkali juga saya memasang impian supaya saya diberi peluang untuk memandu kereta seperti mereka. Saya selalu merintih apabila wang gaji telah masuk pada setiap hujung bulan kerana terpaksa membayar ansuran rumah, bil utiliti, wang pinjaman pendidikan, sewa rumah dan hutang kad kredit. Saya melahirkan perasaan gelisah apabila tiba masa untuk membeli keperluan rumah kerana pada ketika itu saya berasa kantung saya akan lebih mengempis. Usai solat saya tidak pernah putus berdoa supaya saya menjadi kaya dan dilapangkan rezeki kerana merasakan hidup saya ketika ini sangat tertekan. Segalanya saya tumpukan untuk berfikir bagaimana menambah pendapatan.

Nun di celah-celah hidup gelandangan, saya percaya mereka tidak pernah mempunyai wang lebih dari RM100.00 pada satu-satu masa sedangkan nilai itu adalah sesuatu yang lumrah di dalam hidup ini. Dan saya masih menangisi tentang hidup saya yang malang ini. Aduh, malunya.

Rupanya kehidupan saya pada masa ini tidak pernah mendatangkan syukur untuk diri saya. Saya dikurniakan keluarga yang sejahtera dan damai, saudara-mara yang baik dan penyayang, rakan-rakan yang ramai yang sedia membantu, rumah dan makanan yang cukup, pekerjaan yang baik yang memungkinkan saya menguasai orang lain dan wang yang sederhana untuk keperluan. Dan sekali lagi, saya tidak pernah melahirkan ucapan terima kasih di atas kurniaan ini.

Saya bertaubat kepada Allah Yang Perkasa itu. Mungkin jika Allah meletakkan saya di tempat gelandangan itu, barulah saya tahu betapa besarnya nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kehidupan saya sekarang. Manusia yang bodoh sombong seperti saya begitulah. Ketika mana kita kehilangan sesuatu, kita akan merayu-rayu dan mengeluh seolah-olah Allah tidak pernah memerhatikan kita. Tetapi ketika di dalam keadaan senang lenang, kita masih juga berasa tidak pernah cukup.

Semoga hari-hari terakhir Ramadhan ini memberikan saya peluang untuk merayu kepada Allah supaya mengampunkan saya. Saya seorang yang sentiasa terlupa. Mungkin dua tiga bulan lagi saya akan kembali merintih tentang malangnya nasib saya dan terlupa dengan nasib gelandangan itu. Tetapi harapan saya supaya Allah tetapkan hati saya dengan sifat bersyukur kepada-Nya di atas kurniaan kehidupan yang baik yang telah diberikan kepada saya dan keluarga. Amin.

02 September 2010

Gajah, Planter's Heaven dan Emerald West


Kubu Gajah, Batu Gajah, Padang Gajah dan Kampung Gajah ialah beberapa tempat di negeri Perak yang menggunakan nama gajah. Saya kurang pasti ada tempat lain yang menggunakannya, tetapi sepanjang pengembaraan saya, inilah yang dapat saya ketahui. Dua tempat daripadanya merupakan daerah pentadbiran iaitu Kampung Gajah dan Batu Gajah.

Disebabkan terlalu banyak tempat yang menggunakan nama gajah di sini, saya merasakan gajah mendapat pengiktirafan yang istimewa daripada penduduk negeri Perak. Malah penyakit kaki gajah yang pertama di Malaysia juga dikenalpasti bermula dari negeri ini. Ia tidaklah begitu mengejutkan apabila melihat kepada struktur geografi, negeri ini mempunyai gunung ganang dan hutan belukar yang pelbagai yang menjadikan ia habitat yang sesuai untuk makhluk ini. Jika bernasib baik, kita dapat bertembung dengan gajah ketika menyusuri Lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Grik dengan Jeli. Di Hutan Simpan Belum di Daerah Hulu Perak, bertembung dengan gajah bukanlah sesuatu yang menghairankan. Malah pekan kecil seperti Lenggong juga merekodkan kehadiran gajah di beberapa perkampungannya.

Orang-orang zaman dahulu kebiasaannya akan menamakan sesebuah tempat mengikut apa yang mudah didapati atau terjadi sesuatu peristiwa yang pelik di situ. Kita dapat melihatnya melalui penamaan Kota Melaka, Alor Setar, Kuala Lumpur dan sebagainya. Jika kita mengikut konsep penamaan tempat ini kepada negeri Perak, maka kita akan mendapati bahawa gajah memang mudah didapati di negeri Perak.

Suatu masa dahulu keadaannya memang begitu. Orang-orang kampung yang 'bodoh' ini akan menamakan sesuatu mengikut apa yang mereka lihat. Tetapi orang-orang sekarang yang 'cerdik' menamakan sesuatu tempat bukan lagi kerana kebiasaan sesuatu kejadian, tetapi 'lebih kepada main ikut sedap mulut'. Sesiapa yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan dari Port Dickson hingga ke Rawang akan mengerti apa yang saya maksudkan. Bermula dari Bandar Springhill, Planter's Heaven, Bandar Bukit Mahkota, Cyberjaya sehinggalah ke Valencia dan Emerald West/East, segalanya membuatkan lidah saya tidak selesa.

Rasanya rakyat Malaysia sudah semakin malu untuk menamakan sesuatu yang cenderung kepada suasana Malaysia. Mungkin mereka merasakan bahawa menamakan sesuatu tempat dengan nama barat akan menjadikan pemikiran penduduknya lebih murni dan maju. Kemungkinan juga menamakan Valencia di Rawang akan menjadikan kawasan itu lebih sejuk seperti cuaca di Valencia, Sepanyol. Atau menamakan Cyberjaya boleh membuatkan penduduknya lebih berfikiran ke arah kemajuan daya teknologi berasaskan internet.

Sekarang perumahan-perumahan baru tidak lagi menggunakan nama Melayu. Taman Rowther, Gombak dan Bandar Baru Botani, Ipoh (sekadar menamakan beberapa tempat) adalah beberapa contoh yang menampakkan tabiat ini. Semuanya dikiblatkan kepada barat seolah-olah kita sekarang menjadi sebahagian dari benua Eropah. Suatu masa dahulu apabila nama Shah Alam, Bandar Baru Uda, Putrajaya atau Bandar Darul Aman diisytiharkan sebagai nama tempat, ia masih lagi boleh diterima kerana masih bercirikan Malaysia. Suatu masa nanti jangan terkejut pula jika hutan di kampung anda dinamakan sebagai East New York atau New Manchester.

Kecerdikan manusia sebenarnya begitulah. Lebih suka menjahanamkan dari memperbetulkan. Selepas itu kita akan merungut bahawa bahasa kita sudah semakin mundur dan menyalak ke sana sini tanpa menyalahkan diri sendiri. Menuding jari memang mudah, semudah menamakan sesuatu kawasan.