27 December 2010

Melambai 2010


Terima kasih Google


Beberapa hari sahaja lagi 2010 akan mula melabuhkan tirainya. Maka berakhirlah sudah satu lagi fasa yang berusia 365 hari dan fasa yang baru akan bermula tanpa dapat ditangguh-tangguh lagi. Semuanya sedang memandang ke arah 2011, tahun baru yang menandakan episod baru di dalam hidup kita. Semua kerja kita sama ada yang telah siap atau tidak akan dibawa ke tahun seterusnya dan ia bergantung kepada diri kita sendiri untuk menyelesaikannya mengikut lunas yang telah ditetapkan. Setiap orang melalui pengalaman yang berbeza dan pengalaman yang berbeza itulah menyebabkan pandangan kita kepada kehidupan tidak pernah sama dengan orang lain. Dengan ketidaksamaan ini selalunya akan menimbulkan konflik dan pertentangan berkenaan bagaimana harus kita menjalani kehidupan yang sepatutnya.

Saya ingin melambai 2010 dengan penuh pengajaran yang bermakna. Seperti agakan saya pada awal tahun yang lalu, tahun 2010 adalah tahun yang penuh mencabar dan ianya ternyata benar kepada corak kehidupan saya. Tahun ini adalah tahun pengajaran, pembelajaran, iktibar dan penyuluh. Tahun ini saya bersengsara demi matlamat murni yang masih belum kesampaian. Nyata, niat saya untuk melangkah terlalu jauh akhirnya membuatkan kaki saya tersadung lantas merebahkan saya di dalam kancah khalayak yang ramai.

Tahun ini juga memberikan saya pengajaran yang banyak terutamanya dari segi kewangan. Setelah bersenang-senang selama beberapa tahun, cabaran yang tidak terduga telah membuatkan saya kaget dan sedikit panik. Mujurlah saya tidak cepat melatah, jika tidak tentu sahaja kerebahan saya itu menjadi lebih teruk dan mungkin pula membuahkan luka-luka yang lebih parah. Pengajarannya, jika berkaitan dengan soal kewangan semua orang boleh menjadi gila dan tidak tentu arah.

Namun saya masih bersyukur kerana kerebahan itu tidak menjejaskan tanggungjawab di bidang yang lain. Saya masih bersyukur kerana tidak pula menjebakkan orang lain di dalam kancah yang sama. Saya masih bersyukur kerana keluarga saya masih bahagia dan masih boleh mengharungi kehidupan dengan baik cumanya agak terkekang sahaja. Syukur sahaja. Ia boleh menjadi lebih buruk tetapi Allah tidak mengizinkannya dan saya sangat berterima kasih di atas pertolongan-Nya yang segera. Tentu sahaja Allah itu maha penyayang kepada makhluknya, tetapi saya merasakan Allah menyayangi saya lebih dari makhluk yang lain.

Saya akan membiarkan 2010 berlalu dengan puputan angin bayu yang mententeramkan. Setelah intipatinya dihisap dan dihadam dengan penuh rasa iktibar, biarlah ia pergi dengan tenang. Saya akan sentiasa merindui 2010 sebagai guru yang paling tegas dan garang dan kerana ketegasan itulah saya mahu bangkit menjadi manusia yang lebih berguna. Telah beberapa kali saya jatuh dan tewas, dan ketewasan kali ini tiada bezanya seperti masa-masa yang lalu. Saya akan bangkit dengan penuh rasa degil dan sombong, dan akan menghantar mesej suci kepada dunia bahawa ujian dari Dia ini adalah suatu yang enteng demi memenuhi matlamat menjadi insan yang beriman.

Bagi tahun 2010 yang akan berlalu ini, tiada pencapaian yang baik yang boleh saya terampilkan kepada orang-orang yang tersayang. Jika ada, ia tentunya berkisar kepada pelajaran yang bermakna kepada diri sendiri untuk saya lebih berhati-hati. Jelas sekali bahawa saya tidak patut untuk bersikap terburu-buru di dalam apa juga tindakan kerana sikap yang sedemikian tidak membawa apa-apa keuntungan. Saya harus meninggalkan sikap gelojoh kerana saya sudah semakin dewasa dan matang, dan tanggungjawab yang semakin berat semakin membuatkan sifat gelojoh kelihatan tidak sesuai. Apa sahaja pekerjaan harus difikirkan dengan tenang dan tenteram kerana ketenangan itulah yang akan memandu untuk urusan seterusnya. Sekiranya kita menemui persimpangan yang sangat besar yang akan menentukan hala tuju yang seterusnya, duduklah dan berfikir dahulu sebelum bertindak. Ini kerana mengambil masa untuk berfikir tentu sahaja tidak akan lebih lama daripada kita meneruskan langkah ke jalan yang buntu yang kadang-kadang kita sendiri tidak mempunyai peluang untuk berpatah balik.

Saya akan terus memandang 2011 dengan penuh harapan dan kasih sayang. Insya Allah, Allah akan bersama-sama dengan hamba-Nya yang sabar. Melihat kepada situasi dunia dan apa yang telah dan sedang berlaku, saya percaya 2011 adalah tahun yang baik kepada saya dan orang lain. Setidak-tidaknya jika saya masih lagi menemui persimpangan yang sama, saya sudah tahu apa yang patut dilakukan untuk lebih berjaya. Ia mungkin tahun yang tenang, penuh perasaan gembira dan tidak gundah gulana. Ia tahun untuk memperkukuhkan kewangan, menambahkan keimanan dan bersahabat dengan semua orang. Tentu sahaja Allah akan memberikan kesenangan setelah ujian sebagai ganjaran kepada hamba-Nya. Apa yang perlu adalah sentiasa percaya bahawa Allah sentiasa berada di sisi kita tidak kira masa susah dan senang, asal sahaja kita mengkehendaki Dia berada di situ. Suatu masa nanti, saya akan memandang 2010 dengan senyuman dan berterima kasih kepada tahun ini kerana menjadikan saya insan yang lebih berguna.

Terima kasih 2010. Terpaksa atau tidak, saya harus melangkah lagi. Doakan saya supaya berjaya menjadi insan yang lebih baik. Doakan keluarga saya, ibu bapa, abang-abang, adik-adik, makcik-makcik dan pakcik-pakcik, sahabat-sahabat dan seluruh saudara Islam saya supaya kami sentiasa aman-aman dan bahagia. Dengan pengajaran yang sangat menginsafkan, Insya Allah sinar yang terang sedang menanti di lorong yang suram.


18 December 2010

Bila kenangan bertandang



Sejak akhir-akhir ini, kenangan kehidupan lampau sentiasa sahaja menjengah jadual harian saya yang sudah sedia sibuk. Saya mengakui saya agak sentimental sehingga sifat sentimental ini terterjemah di dalam blog saya, tetapi kenangan-kenangan yang lalu bagaikan sibuk pula untuk menyelitkan diri di dalam senggang masa itu. Mungkin sudah tiba masanya untuk saya melayan kenangan yang hadir ini sebagai cerminan kepada keperibadian saya, dan tentunya kenangan itu harus dijadikan iktibar untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam dunia yang lebih baru. Terima kasih di atas kenangan itu dengannya membuatkan saya sentiasa berhati-hati.

Saya percaya kebanyakan orang akan sentiasa menghargai kenangan hidup mereka. Dengan mengingati dan menghargai kenanganlah membuatkan kita percaya di mana kita sepatutnya berada sekarang. Ada orang yang tidak suka apabila mengimbau kembali kenangan mereka mungkin kerana malu dengan kekurangan yang ada, tetapi percayalah mereka pastinya akan menyesal kerana tidak mengingatinya. Langkah kehidupan kita ibarat suatu permainan domino yang indah. Jika satu keping dikeluarkan tentunya ia tidak akan lengkap dan cantik.

Saya sentiasa percaya setiap orang akan melalui kenangan hidup yang berbeza dengan orang lain. Hatta sepasang anak kembar yang tidak berpisah sekalipun akan mempunyai pengalaman yang tidak sama. Jika pun kemana-mana sahaja mereka sentiasa berdampingan, tetapi mereka mempunyai soal hati yang berbeza. Mungkin salah seorang sedang gembira tetapi pasangannya sedang berduka. Bukankah itu tidak sama? Orang lain tidak boleh sesekali mengakui bahawa perjalanan hidup mereka lebih indah dari kita. Walaupun hidup mereka dititip intan berlian, melancong ke luar negara setiap masa, disayangi ibu dan bapa dan mereka telah merasa segala kenikmatan dunia, belum tentu pengalaman mereka lebih berharga dari apa yang kita pernah alami. Saya pernah berpeluang bergaul dengan orang-orang kaya yang tidak punya masalah dengan kewangan, tetapi saya tahu hidup mereka tidak pernah seindah kehidupan saya.

Saya mahu menyayangi semua kenangan saya. Saya berdoa kepada Allah supaya biarkanlah kenangan itu sentiasa datang kepada saya sebagai teman yang paling setia. Biarpun ia adalah kenangan yang pahit, manis, masam, kelat dan sebagainya, ia tetap kenangan diri saya yang terindah. Kenangan pahit manis menjadi anak yatim, takut dimarahi ibu kerana lambat pulang, kecewa kerana putus cinta, berjalan-jalan di Chow Kit bersama rakan-rakan, bangun lambat kerana bermain futsal di sebelah malam, gementar kerana ibu dimasukkan ke hospital, kecewa kerana gagal dalam peperiksaan, gembira kerana adik telah berjaya, malu kerana bersikap terburu-buru dan sebagainya. Merekalah kenangan saya. Merekalah teman setia saya. Merekalah ibarat susunan gambar yang sempurna untuk gambaran diri saya.

Kenangan, datanglah. Saya akan sentiasa menanti dengan penuh rela. Terima kasih Allah di atas kenangan terbaik buat diriku. Suatu hari nanti aku akan mengadap-Mu dengan kenangan ini semoga kenangan ini akan membantuku kelak di hadapan-Mu.

14 December 2010

Apa mereka boleh buat?


14 Disember 2010, Azlan Lazim iaitu bapa kepada 'personaliti' terkenal negara, Saiful Bukhari Azlan telah menghantar surat kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bagi memohon untuk mempercepatkan penyelesaian kes anaknya. Kes anaknya ialah kes yang berprofil tinggi yang diketahui oleh seluruh pelusuk negara. Mungkin sahaja suatu masa nanti ia akan menjadi satu sejarah panjang yang berkait-kait dengan kisah perjuangan rakyat.

Saya berteka-teki tentang kewajaran pihak-pihak yang menghantar surat atau memorandum kepada YDPA tentang perkara-perkara yang mereka tidak berpuas hati. Sejak akhir-akhir ini, perbuatan menghantar memorandum dan surat ini semakin menjadi-jadi pula. Baru sahaja agaknya kita mendengar tentang perarakan baju merah dan hitam menghantar memorandum berkenaan isu air dan salah guna kuasa, hari ini Azlan Lazim juga mengambil langkah yang sama. Sudah bertahun-tahun amalan menghantar memorandum ini berlaku tetapi saya tidak pernah pula mendengar apa-apa kesan langsung dari pejabat YDPA hasil memorandum yang dihantar. Mungkin juga Istana Negara telah menyediakan sebuah perpustakaan khas untuk menyimpan buku-buku memorandum tersebut lantaran terlalu banyak yang telah dihantar dan tebal-tebal pula. Ia mungkin amalan sesetengah pihak untuk menunjukkan pengaruh mereka kepada rakyat, atau hanya sekadar ingin mendapatkan publisiti politik bagi meraih tumpuan.

Bagi kalangan orang-orang yang celik, apalah yang boleh dibuat dengan menghantar memorandum kepada pejabat YDPA. Pernahkah kita mendengar suatu polisi ditukar selepas satu memorandum dihantar? Pernahkah juga kita mendengar YDPA memberikan respons selepas membaca sesebuah memorandum? Mungkin juga memorandum itu langsung tidak sampai ke tangan YDPA kerana telah ditapis dahulu untuk bacaan pegawai-pegawai istana yang lain. Umum mengetahui bahawa institusi kesultanan negara kita hanyalah sebuah simbol yang gah tanpa apa-apa kuasa, seperti juga kita melihat Tugu Negara yang diukir dengan perwira-perwira bersenjata tetapi langsung tidak dapat mencipta gerun kepada sesiapa.

Institusi kesultanan sekarang ibarat Tugu Negara itulah. Kata-kata mereka tidak lagi diambil peduli oleh sekalian rakyat kerana mereka tidak berkuasa hatta di atas kata-kata mereka sendiri. Mereka hanya bersuara di dalam ucapan kemerdekaan, Maulud Nabi, Maal Hijrah atau beberapa lagi peristiwa yang berkaitan. Akhbar-akhbar kemudiannya akan memetik ucapan mereka selama beberapa hari untuk dimuatkan, tetapi selepas itu ia akan kembali senyap sunyi seperti peristiwa itu tidak pernah terjadi. Tiada siapa lagi yang akan mengambil peduli dan tiada siapa pun yang cuba untuk merealisasikan ucapan mereka.

Perkara yang paling menyakitkan hati kepada saya ialah apabila saya menjadi ketua, tetapi kepimpinan saya tidak dihormati barang sedikit pun oleh orang-orang bawahan. Semoga institusi kesultanan kita tidak sebegitu.

Cerita tentang tidur

Terima kasih Google


Secara purata, manusia normal akan tidur selama 6 jam sehari yang bersamaan dengan 1/4 dari keseluruhan hari. Jika seseorang itu hidup selama 60 tahun, dia telah mengambil masa selama 15 tahun untuk tidur. Lima belas tahun adalah suatu tempoh yang sangat panjang di dalam kehidupan yang singkat ini. Tetapi sayangnya kebanyakan dari kita termasuk saya hanya menggunakan tempoh itu untuk tidur iaitu salah satu aktiviti yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kehidupan bermasyarakat.

Saya pernah membaca beberapa cerita tentang Tun Dr. Mahathir yang hanya tidur selama 2 jam sahaja setiap hari. Ia mungkin benar dan mungkin juga tidak, tetapi jika ia adalah benar maka saya mengakui memang patutlah dia sentiasa berfikiran jauh dan genius. Mungkin ketika orang lain sedang tidur dan otak mereka tidak berfungsi, otaknya sentiasa bekerja untuk menggilap kepintaran dan berfikir tentang hal-hal keduniaan. Jika ia benar juga, saya tertanya-tanya bagaimana dia kekal segar sedangkan tidur yang cukup adalah salah satu syarat untuk menjadikan kita lebih bertenaga untuk kehidupan esok harinya.

Ketika saya belajar di salah sebuah universiti dahulu, saya biasa untuk tidur lambat setiap malam. Kadangkala saya akan tidur pada pukul 2, 3 malah selalu juga saya hanya terlelap apabila jam sudah menunjukkan pukul 4. Pada masa itu tiada komitmen untuk bangun awal kerana kita boleh memilih untuk menghadiri kelas mengikut waktu kesukaan kita, dan tentunya saya tidak akan sesekali memilih untuk menghadiri kelas pada awal pagi. Pada masa itu tidur lewat adalah sesuatu yang lumrah, malah sehingga kini saya masih terasa betapa bagusnya dapat tidur lewat pada setiap hari.

Pekerjaan saya sekarang telah menjadikan nikmat tidur lewat tidak dapat dikecapi lagi. Selalunya saya akan mula melabuhkan kepala pada pukul 10.30 malam, malah jika saya masih lagi bermain komputer pada pukul 11.00 malam, suatu sesalan yang tidak terhingga akan datang di dalam fikiran saya. Jika terlewat tidur saya akan menghadapi kesukaran untuk bangun pada awal pagi dan menjadikan saya kurang bertenaga untuk bekerja.

Terlalu banyak perkara boleh kita lakukan jika kita tidak tidur. Di saat orang lain diulit mimpi, kita boleh menyudahkan perkara-perkara lain yang lebih penting. Kita boleh mengemas rumah, menonton televisyen, membaca buku, melayari internet malah bersenam. Sekurang-kurangnya apa sahaja perkara yang kita lakukan di malam hari tentulah lebih baik dari tidur sahaja dan memimpikan perkara yang bukan-bukan. Malah lebih manis jika dapat tidur sekejap dan bangun pula untuk menunaikan solat tahajjud. Agaknya dengan berbuat demikian maka sudah lengkaplah putaran kehidupan kita sebagai seorang Muslim.

Alangkah bagusnya jika dapat tidur lewat tetapi kekal bertenaga setiap masa. Dengan sebab itulah sehingga sekarang saya masih lagi mencari petuanya yang mujarab.


08 December 2010

Sekarang ialah istilah Tan Sri


Salah seorang Datuk. Terima kasih Google.

Saya jarang sekali menonton drama-drama Melayu kerana setiap kali saya cuba menontonnya, ia hanya akan bertahan tidak sampai 15 minit. Drama Melayu sekarang ibarat seorang anak gadis yang disolek dengan beberapa cara. Metaforanya, dia mempunyai sebatang tubuh yang sama tetapi disolek dengan kosmetik berbeza setiap hari. Gadis itu pula lama kelamaan menjadi semakin tua dan kosmetiknya pun tidak pernah diubah untuk menyesuaikan dengan wajahnya. Skrip drama Melayu tidak pernah berubah dari satu drama ke satu drama, plot penggambarannya longgar dan mesej yang ingin disampaikan pun lebih kurang walaupun tidak pernah sampai ke dalam hati, lalu saya merasakan ia tidak begitu bernilai untuk menghabiskan masa beberapa jam hanya untuk menonton sebuah drama Melayu. Dengan sebab itulah saya terpaksa melanggan Astro, bukan kerana saya banyak wang tetapi kerana mahu mencari hiburan yang berkualiti. Saya percaya ramai rakyat Malaysia seperti saya.

Drama-drama Melayu di televisyen sekarang banyak berkisar kepada golongan ekspatriat dan mewah. Landskap penggambaran hanyalah di premis-premis perniagaan yang mewah, rumah besar dilengkapi perabot yang mahal, kisah anak orang kenamaan yang suka bermain motokar dan juga kisah kejujuran orang miskin di tengah-tengah khalayak kaya. Oh, begitu membosankan. Ia bukanlah dunia saya, dan kerana ia bukan dunia saya, saya tidak berminat untuk menontonnya. Saya percaya jika kita konsisten menonton drama Melayu sekarang, ada satu perkataan yang sangat popular untuk digunakan. Tan Sri.

Suatu waktu dahulu istilah Datuk sangat popular di dalam drama-drama Melayu apabila ia berkaitan dengan golongan-golongan kaya ini. Tetapi sekarang mungkin kerana sudah terlalu banyak lambakan Datuk di Malaysia, pengusaha drama menganggap ia tidak lagi eksklusif dan menukarnya kepada istilah Tan Sri. Ia bagaikan perlumbaan pula untuk menentukan siapa yang lebih hebat dan ternama. Seperti senangnya seseorang mendapat gelaran Datuk dari Negeri Melaka dan Pahang, begitu jugalah senangnya pengusaha drama menggunakan gelaran kebesaran ini di dalam drama mereka.

Sekurang-kurangnya drama Melayu telah memberi jasa kepada rakyat seperti kita. Mereka telah menunjukkan kepada penonton-penontonnya bahawa gelaran Datuk sekarang sudah tidak berguna lagi di Malaysia. Campak sahaja seketul batu di kawasan orang ramai, kemungkinan ia akan mengenai kepala seorang Datuk. Tidak mustahil pula suatu masa nanti istilah Tan Sri ini sudah tidak berharga lagi. Pada masa itu pengusaha-pengusaha drama ini mungkin akan menggunakan istilah kebesaran terakhir iaitu Tun. Maka Jalaluddin Hassan, Rahim Razali dan beberapa muka klise lagi akan berpeluang untuk dipanggil Tun di dalam drama mereka.

02 December 2010

Sebelum khutbah bermula


Terima kasih Google


Sangat mudah untuk mencari orang-orang miskin di Negeri Perak yang bertuah ini. Saya selalu bersolat Jumaat di Masjid Negeri Ipoh dan setiap hari itu jugalah kita akan dapat melihat terlalu ramai pengemis dan pemungut derma memohon simpati dari orang ramai. Hanya sahaja saya tidak sampai hati untuk mengambil gambar mereka kerana ia mungkin akan melukakan hati beberapa pihak. Di sekitar masjid ini, ada banyak tabung empat segi yang disediakan oleh sekolah anak-anak yatim, sekolah tahfiz, pembinaan masjid dan beberapa minggu kebelakangan saya melihat juga tabung derma untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. Saya mengerti bahawa sekolah-sekolah persendirian ini memang memerlukan dana yang besar untuk membiayai anak-anak peliharaan mereka sedangkan kerajaan tidak punya banyak wang untuk menampung kesemuanya.

Bagi pemungut derma perseorangan, saya selalu melihat beberapa orang duduk berdekatan dengan tempat berwuduk sambil menunjukkan kaki yang berbalut dan ada juga yang membaca beberapa potong ayat Al-Quran yang pendek-pendek. Baru-baru ini, pihak masjid telah menampal notis melarang pengemis-pengemis berkenaan duduk di situ lagi. Bagi pemungut derma yang lain pula mereka akan berlegar-legar di sekitar gerai makan berdekatan sambil mengharapkan ada orang yang baik hati menghulurkan seringgit dua. Tidak kira pengemis Melayu, Cina atau India, semuanya terdapat di situ.

Pernah beberapa minggu saya melihat seorang lelaki muda berkulit hitam (saya bersangka baik dengan menganggapnya seorang Muslim) mengutip derma di dalam masjid ini. Kaki kanannya sentiasa berbalut seperti balutan untuk orang yang patah kaki, dan saya menyedari balutannya akan diperbaharui setiap minggu kerana kain balutnya sentiasa bersih. Berbulan-bulan juga dia mengemis di situ sehinggakan saya terfikir bilakah kakinya akan sembuh.

Ada satu ketika juga saya pernah melihat seorang pengemis India memandang penjamu-penjamu selera di gerai-gerai berhampiran dengan begitu sayu sekali seolah-olah dia terlalu lapar. Saya tidak sampai hati melihatnya tetapi saya juga tidak berniat untuk membelanjanya makan, kerana dengan berbuat demikian barangkali akan menimbulkan ketidakadilan kepada ramai pengemis yang lain. Lalu saya berusaha untuk tidak memandangnya ketika tengah makan demi mengelakkan air mata saya tumpah akibat kesedihan.

Pada satu ketika yang lain, seorang makcik mendatangi saya ketika saya mahu masuk ke dalam kereta usai solat. Dengan tangisan seperti anak kecil, dia mendakwa baru sahaja keluar dari hospital dan ingin ke rumah anaknya di Kuala Lumpur. Saya memberinya sepuluh ringgit apabila dia berjanji untuk menggunakan wang itu untuk membeli tiket bas. Namun minggu-minggu seterusnya saya masih lagi melihat makcik yang sama menagih simpati di kawasan berkenaan. Saya tidak berbicara tentang wang, tetapi saya tertanya-tanya mengapa makcik itu ....

Di sebalik sketsa mereka di pentas berhampiran Masjid Negeri itu, di tempat yang lain masih ramai yang rakus menjarah sumber dari negeri bertuah ini. Mereka terlalu kaya, dan mereka masih terlupa ada orang lain yang lebih memerlukan. Jelaslah seperti kata orang, kekayaan negara kita masih belum dibahagi dengan seadil-adilnya. Saya menyeru kepada pihak yang rakus ini yang terdiri juga dari kalangan pemerintah (jika pun mereka membaca blog saya), perhatikanlah pengemis-pengemis ini. Jangan pula membiarkan mereka menuntut keadilan di akhirat kelak kerana pada masa itu sudah terlewat untuk memohon maaf di atas apa yang berlaku. Mungkin doa mereka boleh menghumban kita ke dalam neraka.