28 March 2011

Syarat wajib tayang


Di antara salah satu trivia menarik yang dicipta secara tidak sengaja oleh rakyat Malaysia ialah pawagam Malaysia mencatatkan kehadiran penonton paling sedikit di dunia dikira dari peratusan keseluruhan rakyatnya. Ia bermakna kebanyakan rakyat Malaysia bukanlah suka menonton wayang, malah jika ada penonton yang berulang-ulang sekalipun ia hanyalah di dalam kuantiti yang sedikit. Jika membandingkan kepada statistik diri saya sebagai penonton wayang, saya percaya fakta itu mungkin ada kebenarannya. Kali terakhir saya ke pawagam ialah pada November 2010 ketika menonton filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Sebelum November itu ialah pada Mei 2009 ketika menyaksikan filem Crossing Over. Oleh itu, saya mengambil masa selama 1 tahun 6 bulan untuk kembali ke pawagam semula. Jika tidak silap saya sebelum filem Crossing Over, kali terakhir yang dapat saya ingat ialah filem Madagascar pada tahun 2005 di Selayang Mall.

Saya terdetik untuk mengulas tentang Syarat Wajib Tayang yang diperkenalkan di Malaysia. Peraturan ini dicipta dengan niat untuk membantu pengusaha filem mendapatkan penonton yang ramai, yang mana mereka diberikan hak khas selama satu minggu untuk menayangkan filem mereka tanpa diganggu oleh filem-filem tempatan yang lain. Jika sambutan menggalakkan, pemilik wayang boleh menambah masa tayangan kepada minggu-minggu yang berikutnya tetapi jika ia tidak menguntungkan, pemilik wayang boleh menutupnya selepas habis satu minggu. Oleh kerana jumlah penonton Malaysia tidak ramai, bahkan filem Malaysia belum cukup kuat untuk bertarung dengan filem-filem luar di negara sendiri apatah lagi di luar negara, Syarat Wajib Tayang ini sentiasa menjadi pilihan pengusaha filem. Syarat Wajib Tayang ini tidaklah wajib, kerana itu jika kita masih ingat filem 2 Alam keluaran Dr Rozmey tidak menggunakannya. Kebanyakan pengusaha filem yang tidak menggunakan syarat ini selalunya berpendapat filem mereka agak kuat dan dapat memberi keuntungan, walaupun begitu mereka terpaksa menanggung risiko filem mereka disingkirkan lebih awal di pawagam jika filem itu tidak mendapat sambutan.




Baru-baru ini penerbit Ratu The Movie, Latif Mohaideen menyuarakan ketidakpuasan hatinya tentang syarat ini yang dianggap tidak begitu adil kepada semua pengusaha filem. Ia dibangkitkan apabila filemnya terpaksa bersaing dengan Merong Mahawangsa yang disiarkan seminggu lebih awal, memandangkan filem epik Merong Mahawangsa ini mendapat sambutan di luar kebiasaan. Hasilnya, dia menerima tempias apabila kebanyakan penonton tidak memilih untuk menonton Ratu The Movie.

Saya sebenarnya tidak begitu nampak tentang rungutan beliau. Mungkin dia mengakui bahawa filemnya kurang bermutu, maka dengan itu dia menyalahkan syarat wajib tayang yang telah diperkenalkan. Di dalam wawancaranya dengan Berita Minggu, dia memberikan metafora seperti berikut;

Ironinya beginilah, kalau anda ada RM10, anda akan pilih nasi ayam di gerai atau KFC? Harganya sama, tentu ramai pilih KFC.

Saya percaya dia menyamakan Merong Mahawangsa dengan KFC, dan tentu saja Ratu The Movie dengan nasi ayam di gerai. Soalnya benarkah begitu? Adakah semua orang yang mempunyai RM10 akan memilih KFC? Jika nasi ayam di gerai lebih lazat dan mengenyangkan, tentu saja ramai orang tidak akan malu-malu menikmati hidangan nasi ayam di gerai.

Pada pandangan saya, metafora sebegini tidaklah begitu tepat. Tidak semua orang akan memilih hidangan KFC jika punya wang dengan nilai yang sama. Begitu juga tidak semua orang akan memilih untuk menonton Merong Mahawangsa jika filem Ratu The Movie mempunyai kualiti filem yang baik. Namun jika dibanding-banding secara kasar, filem Ratu The Movie sekali imbas hanyalah mempertaruhkan keseksian pelakonnya berbanding Merong Mahawangsa yang lebih serius. Tentang seksi ini, kebanyakan penonton sudah jemu untuk melihatnya.

Latif Mohaideen juga mendakwa pelaburan besar Merong Mahawangsa tentu saja membuatkan ramai orang teruja untuk menontonnya, manakala Ratu The Movie yang menggunakan belanja yang kecil tidak akan dapat menyaingi kehebatan Merong. Bagi penonton biasa, belanja yang besar bukanlah satu isu yang menghadirkan penonton ke pawagam. Tentu sahaja belanja besar akan membuatkan filem lebih cantik dan berkesan, tetapi ia tidak memainkan peranan yang besar. Jika filem berbelanja besar dapat menarik perhatian ramai, mungkin filem seperti Sumolah atau Jogho dapat mengaut keuntungan yang besar.

Bagi saya, filem-filem Malaysia sangat klise. Kebanyakan filem dapat kita ramal klimaksnya selepas 15 minit tontonan, menyebabkan saya berasa sangat jemu dan bosan. Saya percaya Ratu The Movie juga sama, dan saya sudah tidak larat lagi melihat peha mulus gadis-gadis murahan yang dipertontonkan, atau setidak-tidaknya ketiak mereka yang ditayangkan secara percuma itu. Buatlah filem yang lebih baik, lebih jujur dan di luar kebiasaan. Dengan sebab itu saya masih lagi teruja untuk menonton Saving Private Ryan, The Rock, Buli, Buli Balik atau The Others kerana filem-filem ini unik dan mempunyai nilai yang tersendiri.




22 March 2011

Jalanraya kita


Saya tidak tahu samada saya suka memandu atau tidak. Namun begitu, saya pernah terfikirkan alangkah seronoknya jika saya dapat memandu merentasi seluruh dunia dengan kereta idaman, tentu sahaja ia adalah pengalaman yang menyeronokkan. Saya pernah berazam jika saya sudah terlalu kaya dan tidak perlu pergi bekerja lagi, antara salah satu aktiviti yang akan saya lakukan ialah memandu ke seluruh pelusuk negara dengan kereta idaman yang saya bayangkan sebagai Toyota Alphard, Nissan Murano atau Mitsubishi Airtrek. Saya akan berhenti di mana-mana sahaja yang disukai, meneroka hutan-hutan belantara, menziarahi tempat-tempat bersejarah atau makam-makam lama, mandi manda di air terjun yang cantik dan tidur di mana-mana hotel atau rumah tumpangan. Mungkin di dalam bayangan pemikiran saya yang dangkal ini, aktiviti sebegitu akan mencipta keseronokan yang tiada tandingnya.

Itu ialah cerita beberapa tahun dahulu. Sekarang pun, impian idaman saya itu sukar untuk dipadamkan dari khayalan yang mengasyikkan. Tetapi berpegang kepada realiti, nampaknya saya harus lebih realistik dengan corak kehidupan dan jalanraya Malaysia yang bahaya ini. Mungkin impian itu dipadamkan, atau juga suatu mekanisma baru perlu dirombak bagi memenuhinya.

Menyorot kepada situasi jalanraya Malaysia, semuanya lebih tertumpu kepada unsur-unsur yang tidak menggembirakan. Setiap hari, kematian dan kemalangan sentiasa sahaja berlaku bagaikan jalanraya itu adalah sebuah medan peperangan yang besar. Kita sudah tidak lagi terkejut dengan berita-berita yang menyayat hati, malah menganggapnya normal seperti rakyat Iraq mendengar berita pengeboman. Saya percaya setiap rakyat Malaysia pernah kehilangan saudara atau setidak-tidaknya kenalan kerana kemalangan jalanraya. Bagi diri saya, saya masih belum kehilangan saudara-mara terdekat, tetapi kehilangan kenalan sudah terlalu mangli.

Di pantai barat Semenanjung, orang ramai terpaksa mengeluarkan duit yang lebih untuk membayar tol. Segala-galanya menyakitkan hati, tambahan pula jika kita tinggal di Lembah Klang yang mempunyai beratus-ratus pondok tol. Perbelanjaan terpaksa dilebihkan untuk membayar wang kepada si gadis cantik manis, dan kadang-kadang si gadis itu bagai bermasam-masam muka pula jika kita memandu kereta yang kecil. Lumrah manusia zaman sekarang, kereta memang dijadikan status kedudukan sosial seseorang. Tidak dikira lagi dengan harga minyak yang sudah melambung-lambung. Entahlah, kita rakyat biasa bagaikan anjing menyalak bukit. Suara menjadi serak, bukit tidak pula runtuh.

Jalanraya seakan-akan badi kepada rakyat Malaysia. Mungkin Tuhan ingin menunjukkan kepada kita kerana jalanraya inilah sumber penganiayaan yang besar kepada rakyat. Bermula dari isu minyak yang penentuan harganya masih menjadi misteri, harga jualan kereta yang sangat tinggi berbanding harga luar negara kerana cukai (termasuk kereta nasional Proton), penipuan jualan alat-alat ganti yang didakwa tulen, rahsia penetapan kadar tol yang naik beberapa tahun sekali sehingga kepada unsur-unsur rasuah di dalam pembinaan jalan raya yang melibatkan kontrak JKR. Mungkin kezaliman inilah mendorong Allah menguji manusia Malaysia dengan kematian di jalanraya supaya dapat menyedarkan rakyat bahawa sesuatu harus dilakukan.

Nampaknya saya terpaksa mengadakan pilihan lain untuk aktiviti yang akan dilakukan jika saya sudah kaya nanti. Jika ditakdirkan kematian kerana jalanraya, itu ialah ketentuan Allah. Tetapi kita sebagai manusia tentu sahaja mahu mengelakkannya dari terjadi. Insya Allah, saya akan mencari pilihan yang lebih damai dan berfaedah buat mengisi masa senggang ketika kaya, dan tentunya yang paling utama ialah aktiviti itu dapat memberi manfaat kepada orang lain pula.

20 March 2011

DUN Sarawak bubar


Secara rasminya Dewan Undangan Negeri Sarawak telah pun dibubar pada hari ini, 21 Mac 2011 bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan untuk kali yang kesepuluh. Teka teki mengenai pembubaran ini sudah berakhir, menyaksikan telahan yang tepat dari ramai orang yang meneka pilihanraya akan diadakan pada bulan April. Mungkin benar dan mungkin juga tidak, kerana Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia mempunyai tempoh 2 bulan sebelum pilihanraya umum negeri diadakan. Sekarang, teka teki telah beralih pula kepada agenda yang lebih serius iaitu siapa yang bakal dicalonkan, dan siapa pula yang akan digugurkan. Lumrah politik, mana-mana individu yang bakal digugurkan bermakna jangka hayat politik mereka akan berakhir. Muka-muka baru yang dicalonkan tentu sahaja akan mengambil alih perjalanan arus politik perdana, dan begitulah ia saling berganti selagi sistem demokrasi ini diamalkan.

Politik Sarawak tidak sama dengan politik Semenanjung. Di sini, rakyat masih lagi digula-gulakan dengan janji-janji pembangunan yang masih laku untuk dijadikan modal. Isu-isu seperti jambatan baru, kemudahan infrastruktur dan sebagainya masih menjadi janji yang utama, dan tentunya isu-isu seperti ini amat menguntungkan parti Barisan Nasional sebagai parti yang sedang menguasai kerajaan. Walaupun begitu, identiti bagi sesetengah calon adalah antara faktor penting di beberapa tempat di sini, dengan sebab itulah satu kawasan DUN telah dimenangi oleh parti bebas yang kemudiannya melompat masuk ke Parti Cinta Malaysia. Sarawak dianggap akaun simpanan tetap Barisan Nasional kerana sokongan rakyat kepada BN tidak pernah mengecewakan.

Menyorot kembali siaran-siaran berita arus perdana atau tidak, isu paling utama yang harus ditangani oleh parti Barisan Nasional ini tentu sahaja berkenaan kekayaan luar biasa Ketua Menteri dan sekutu-sekutunya. Tan Sri Taib Mahmud dikatakan mengumpul kekayaan berbillion-billion ringgit baik aset dari dalam dan juga luar negara. Tidak dapat dipastikan kesahihannya, tetapi mengikut kepada rentak pemimpin dan spekulasi yang bertiup, tentu sahaja ada kemungkinan bahawa berita itu benar. Walaupun begitu, di negeri yang agak terkebelakang ini, isu moral pemimpin adalah suatu yang enteng kerana rata-rata penduduknya tidak punya masa untuk memikirkan semua itu lantaran dihimpit dengan kemiskinan. Apatah lagi jaringan internet tidak terlalu meluas di Sarawak memandangkan bentuk muka buminya yang luas dan berbukit-bukau.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, saya tidak terlalu teruja dengan pilihanraya yang bakal diadakan. Malah saya mengagak jika pilihanraya umum seluruh negara diadakan pada masa terdekat sekalipun, saya tidak berselera untuk mengikuti perkembangannya dengan terperinci. Biarlah siapa sahaja yang menang, ia tidak memberikan apa-apa faedah kepada saya. Mungkin kerana penat, bosan, jelek, meluat, marah atau apa-apa sahaja perasaan yang hadir apakala membicarakan tentang politik Malaysia.

Dua tiga tahun dahulu gelombang untuk menukar pemerintahan Barisan Nasional sangat memuncak di kalangan rakyat terutamanya golongan muda. Ramai orang menjangka bahawa Barisan Nasional yang diketuai oleh Umno sedang terkapai-kapai di arus usia, dan mereka sedang perlahan-lahan bertemujanji dengan ajal. Semua orang bersorak-sorak, dan gelombang semakin dirasai dengan kemenangan demi kemenangan yang berpihak kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil yang diadakan. Paling kuat berkokok ialah PKR yang merupakan tinja-tinja Umno, dan kokokan mereka diselang-seli pula dengan laungan Pas dan DAP yang semakin lantang.

Momentum itu tampaknya sudah berubah. Pakatan Rakyat kini berada di tahap defensif dengan serangan politik yang ditujukan. Bermula dengan pemilihan PKR yang mengelirukan, semuanya bagai tidak menjadi untuk Pakatan Rakyat apabila tiba masanya turun ke gelanggang pilihanraya Sarawak. Seorang 'pemuda' yang dahulunya gagah perkasa kini sudah tempang di dalam tempoh tidak sampai 3 tahun sahaja. Itulah agaknya resam dunia, kerana ketika mereka sedang berada di dalam kedudukan menyerang, mereka sangat takbur dan sombong. Baru-baru ini, PKR yang mendominasi politik Sarawak (di dalam konteks parti-parti pembangkang) bertegang urat dengan parti SNAP mengenai peletakan calon yang sesuai. SNAP yang sudah sebati dengan Sarawak hanya diberikan 3 kerusi, sedangkan PKR yang masih hijau itu ingin membolot semuanya demi kepentingan politik mereka. Tidakkah mereka dilihat takbur kerana menyisihkan pengaruh tuan rumah?

Nampaknya jika kita ingin menggantikan Barisan Nasional di Sarawak, tentu sahaja kita sedang memilih PKR yang masih caca merba itu. Orang-orang Sarawak terpaksa memilih salah satu 'kejahatan', dan saya sangat pasti mereka memilih BN kerana parti itu sudah terbukti berpengalaman di dalam pemerintahan. Mengharapkan PKR tentu sahaja akan membinasakan, kerana pemilihan di dalam rumah tangga mereka pun sangat kucar-kacir.

Saya tidak memihak kepada sesiapa. Apa yang saya inginkan adalah sebuah negara yang lebih aman, maju dan sejahtera. Saya berharap supaya negara ini dipimpin oleh seseorang yang hebat, takut kepada Allah dan rasulnya, dan menggunakan akal fikiran ketika membuat keputusan. Biarlah siapa pun yang menang. Saya sudah tidak mahu peduli lagi. Kepada rakyat Sarawak, selamat mengundi dan memilih pemimpin. Pilihlah yang terbaik menurut kacamata agama kerana tangan yang memangkah itulah nanti yang akan menjawab semula di hadapan Allah.

14 March 2011

Apabila diri diingatkan


Di atas rahmat Allah yang menggunung tingginya kepada saya, sejak beberapa bulan kebelakangan ini Allah sentiasa membantu saya ke arah jalan kebenaran. Saya sudah mula mendekatkan diri kepada Tuhan, menghampirkan diri dengan surau yang jaraknya hanya sepelaung, menghadiri kuliah agama secara konsisten dan menambah-nambah amalan sunat. Bukanlah niat saya untuk menunjuk-nunjuk kebaikan yang telah saya lakukan, tidak. Oh Tuhan, lindungilah aku dari perasaan riak dan takbur. Cumanya saya ingin nyatakan bahawa corak kehidupan saya kebelakangan ini agak berubah sedikit. Saya sangat yakin orang lain, saudara-mara, rakan-rakan handai dan taulan samada yang saya kenali atau tidak mempunyai tingkat iman yang jauh lebih tinggi dari saya.

Saya memperkenalkan peraturan baru di rumah. Sekitar pukul 7 sehingga 8 malam, televisyen tidak boleh dibuka kecuali saluran Astro Oasis sahaja yang menayangkan zikir-zikir pengingat diri. Begitu juga peraturan baru dibuat untuk diri sendiri. Bangun sahaja dari tidur perlu mengucapkan syukur kepada Allah dengan sekurang-kurangnya ucapan terima kasih. Di papan putih rumah saya, saya mengingatkan diri sendiri supaya jangan culas untuk solat tahajud, malah sesekali perlu juga menunaikan solat dhuha. Segala-galanya saya mahu sempurnakan bagi memenuhi hajat untuk menjadikan rumah saya diterangi dengan cahaya dari langit.

Saya mahu menjadi manusia yang bersyukur. Saya mahu mendidik anak dan isteri saya ke arah mencari keredhaan Ilahi kerana tiada apa satu pun yang boleh memberi manfaat kecuali Allah Yang Maha Esa. Saya mahu mengajarkan kepada anak saya, bahawa kita punya seorang kekasih yang kekal abadi yang sentiasa menyayangi kita sebagai umatnya. Saya mahu memberitahu isteri saya bahawa rumahtangga yang dibina atas dasar saling mencintai ini tidak akan aman sekiranya kita jauh dari jalan yang benar. Saya mahu mengkhabarkan kepada ibu saya bahawa anakmu ini sudah kembali ke pangkal jalan, mahu membasahkan lidah dengan zikir dan membersihkan hati dengan iman. Saya mahu memberitahu adik saya, abangmu punya rumahtangga yang sederhana, tetapi dunia kami luas hasil dari didikan iman.

Saya juga mahu lupakan kenangan muda remaja saya yang foya-foya dan lalai. Walaupun tidaklah sehingga saya lupa kepada kewajipan, tetapi saya masih merasakan dunia remaja masih lagi menjadi titik hitam di dalam memperingati Allah. Mujurlah rakan-rakan saya semuanya sudah baik-baik, menjadi Muslim yang lebih beriman dan saling mengingati antara kami.

Tetapi itulah, sejauh mana saya mencari kesempurnaan di dalam kehidupan, terkadang saya terlupa bahawa saya masih lagi jauh dari Allah. Suatu malam selepas keluarga saya pulang dari makan malam di sebuah restoran, saya bersembang-sembang bersama isteri di dalam kereta dengan topiknya berkisarkan kepada kehidupan sehari-harian. Tiba-tiba terpacul dari mulut isteri saya,

"Sejak akhir-akhir ni abah banyak sangat merungut-rungut. Tak baik tau."

Aduh. Tatkala itu saya terasa satu lempangan yang sangat kuat hinggap di pipi saya. Adakah aku begitu? Aku mengajarkan isteriku supaya bersyukur. Aku ingin mendidik anakku supaya menjadi Muslim yang redha dengan qada' dan qadarnya. Aku mendidik hatiku supaya mengucapkan terima kasih setiap kali bangun tidur. Tetapi aku sendiri masih jauh dari jalan yang Allah redhai. Rupa-rupanya aku masih seorang manusia yang hina.

Merungut adalah suatu ungkapan yang tidak menunjukkan erti berterima kasih. Merungut menjadikan manusia pasif dengan ketentuan Allah. Merungut menjadikan seseorang sentiasa mempertikaikan ketentuan Allah. Merungut menunjukkan seseorang itu lemah, baik dari segi akal mahupun jasmaninya. Merungut tidak akan menyelesaikan sebarang masalah. Merungut membuatkan orang lain menjadi benci kepada kita. Merungut adalah suatu yang hina. Hina seperti saya yang suka merungut. Saya berazam mahu menjadi seorang yang lebih baik. Maafkan diriku Tuhan kerana mempertikaikan ketentuan-Mu. Sesungguhnya aku adalah insan yang hina di antara makhluk-makhluk-Mu yang lain.


06 March 2011

Tentang ujian


"Alif Lam Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? "
Al-Ankabut : 1-2

Manusia adalah makhluk yang sentiasa lemah dari segi minda dan jasmaninya. Dengan kelemahan itu, Allah 'mengusik' dengan cara menguji untuk mencari siapakah hamba-Nya yang paling teguh pendirian terhadap keimanan. Sangat mudah untuk kita berkata bahawa kita telah beriman dengan sepenuh hati, namun adakalanya apabila ujian datang bertimpa-timpa, keimanan itu digoncang dengan kuat bagaikan angin menyapa lalang yang lembut. Pada masa itu kebanyakan dari kita akan hilang pendirian dan pedoman, bahkan keimanan yang dijaga dengan teguh juga boleh sahaja tersasar dari jalan yang sebenar yang memungkinkan kita untuk terjerumus ke lembah dosa dan maksiat.

Senggang-senggang masa apabila diuji selalunya kita akan mendakwa bahawa ujian kepada diri kita adalah yang paling tinggi berbanding orang lain. Tidak kira macammana bentuk ujiannya samada kesakitan, kepapaan, keresahan dan kesedihan, kita selalu terlupa bahawa ujian itu adalah tanda kasihnya Dia kepada kita hamba yang hina. Kita sentiasa harus percaya bahawa Allah dengan sifat kasih dan sayang-Nya yang tinggi kepada kita tidak akan sesekali memberikan ujian yang tidak dapat kita tempuhi.

Manusia seperti kita yang lemah serba serbi sentiasa takut dan resah apabila ujian melanda. Berapa ramai dari kita yang gundah gelisah apabila saudara-mara yang disayangi ditimpa kesakitan yang berpanjangan. Lalu kita memohon kepada Allah agar sakit mereka disembuhkan, dan kita rela menjadi galang gantinya. Ada pula yang berdoa supaya biarlah kekayaan material yang mereka miliki ditarik Allah semata-mata mengharapkan kesembuhan kepada penyakit.

Lain pula bagi orang yang sedang dilanda kemiskinan. Adakalanya mereka berdoa supaya diberi peluang menjadi kaya, meski kesihatan yang dimiliki menjadi taruhan untuk kekayaan yang bakal diperolehi. Begitu manusia tidak pernah redha dengan ujian, bahkan membuat urusan lain pula dengan Allah. Aku mahu ini, aku tidak mahu itu. Ayuh Tuhan, marilah kita bertukar janji tentang ujian ini. Aku sedang kaya, Kau ambillah kekayaan ini kerana aku tidak mahukannya. Aku hanya mahu tubuh yang sihat. Di lain masa, batang tubuh yang sama juga berbicara benda yang berlainan. Wahai Tuhan, aku mahu menjadi kaya, Kau ambillah nikmat kesihatan aku barang sebentar supaya aku dapat merasai segala-galanya. Apabila aku sudah kaya, akan kucari penawar yang mujarab buat mengubati sakitku ini.

Kita harus sentiasa percaya bahawa ujian yang ditimpakan kepada kita sentiasa dapat ditangani sekiranya kita teguh dengan keimanan kepada Allah. Biarlah orang tersayang pergi, biarlah kemiskinan melingkari hidup kita, biarlah apa sahaja yang kita benci berlegar-legar disekeliling kerana dunia ini hanyalah sementara. Kelak, apabila kita berjaya dengan ujian keimanan ini, orang tersayang yang kita kasihi dan rindui menunggu dengan penuh redha di dunia yang lain. Lalu pada masa itu berpeluk-pelukanlah kita sesama mereka sambil mengucapkan syukur kepada Allah di atas ujian dunia yang sedikit. Begitu juga biarlah kemiskinan itu sentiasa di sisi, kerana sesungguhnya Allah akan memberi kekayaan yang tidak terbatas di sana asal sahaja kita redha dengan ujian yang Allah berikan.

Hai Tuhan, kami semua mahu menangis. Ujilah kami. Nanti Kau tahu bahawa kami adalah hamba-hamba-Mu yang taat. Yang penting, kami mahu bertemu-Mu di akhirat sana. Tiada ujian yang sukar di dunia ini kerana mahar yang Kau janjikan lebih tinggi dari sekadar kesakitan, kemiskinan, keresahan dan kesedihan. Allah, Tuhanku Yang Maha Agung.

01 March 2011

Sinar merah sebelum kelam


Menjelang maghrib adalah waktu yang paling nyaman dan sunyi. Ia akan bertambah sunyi sekiranya kita berseorangan di mana-mana sahaja, dan sunyi itu bukanlah disebabkan suasana yang diam dan sepi tetapi selalunya ia datang dari hati sendiri yang tiba-tiba merasa kesepian dan keseorangan. Bahkan jika kita berada di kotaraya Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur, kesunyian waktu maghrib ketika berseorangan sentiasa sahaja menghantui kita hinggakan kadang-kadang hati terasa seperti bertanya-tanya mengapakah kesunyian ini tiba-tiba hadir di dalam diri kita yang sentiasa sibuk. Adakalanya kita membenci kesunyian itu kerana seperti pakej yang lengkap, ia datang dengan kepiluan dan kesedihan bahkan membawa kenangan-kenangan yang ingin kita tinggalkan.

Manusia begitulah. Tiada manusia yang tega mahu hidup di dalam kesunyian yang berpanjangan. Kesunyian yang keterlaluan bisa sahaja mengubah peribadi menjadi penyedih, tidak optimis dan menakutkan. Walaupun begitu, suka atau tidak kesunyian akan cuba juga mencelah-celah di dalam hati walaupun kita sentiasa mahu menyibuk-nyibukkan diri dengan urusan dunia yang tertangguh. Saya percaya kebanyakan dari kita pernah merasai kesunyian sebelum kelam, dan ia datang tidak pernah dengan undangan yang menyegarkan.

Di kala waktu maghrib menjelang, kita akan melihat sinar merah yang sirna di ufuk barat dan bergentayangan di serata alam. Bagaikan tiada peraturan yang berdisiplin, sinar ini sentiasa memenuhi langit dengan sulaman kelam-kelam gelap yang mendamaikan. Suasana sekeliling akan menjadi sunyi juga seolah-olah mahu menghormati detik-detik cantik ini dan beberapa ketika, ia akan hilang ditelan awan-awan kelam yang harmoni itu. Lalu di sana sini akan terdengar laungan takbir yang menggemakan hati, mengajak manusia untuk menyembah Allah yang Esa yang telah menghadirkan waktu maghrib tanpa malas setiap hari dalam kehidupan kita.

Sinar-sinar merah sebelum kelam ini sebenarnya menjadi perumpamaan yang abadi kepada kehidupan manusia sebelum mati. Kekuatan sinar yang mahu menjajah langit ini digambarkan kepada usaha manusia mengumpul saki baki kekuatan sebelum mati bagi memberitahu kepada orang lain bahawa dirinya bakal dijemput Ilahi. Walaupun cahayanya malap dan kelam, ia akan memenuhi seluruh pelusuk langit dan menyebarkan semangatnya sebelum semangat itu ditelan perlahan-lahan ke dalam malam yang sedang menunggu. Dengan sebab itu kita selalu melihat dan mendengar tentang menjelangnya kematian seseorang, dia seolah-olah menjadi sihat dan kuat bagaikan sakitnya sudah pergi buat selama-lamanya. Meskipun dia sudah terlantar selama bertahun-tahun, tidak makan dan minum dan hanya menunggu ajal menjemput, ada ketikanya dia akan bangun seolah-olah sudah sihat dan walafiat dan seakan memberi berita gembira kepada saudara-saudara yang sedang menunggu. Di kala itu, sedarlah kita bahawa dia sedang menyebarkan semangat merahnya di dada langit sebelum nyawanya diambil untuk ke alam seterusnya.

Mungkin sebahagian dari kita akan juga merasai detik itu. Namun ketakutan kita kepada kematian boleh sahaja menafikan diri sendiri, dan mendakwa bahawa kita akan hidup lebih lama dari itu. Tetapi percayalah, jika sekiranya kita dapat lepas dari detik ajal itu sekalipun, ajal tetap akan menggamit kita pergi di masa yang lain yang telah dijanjikan. Saya berdoa sepenuhnya kepada Allah supaya bekalan yang dibawa cukup untuk dibawa ke sana, kerana tiada lagi gunanya harta dan anak-anak yang comel apabila malam sudah menjelma.