19 August 2011

Di antara 3 negeri



Pekan ini sangat sederhana. Orang-orangnya juga tenang-tenang tidak seperti di bandar Ipoh, apatah lagi jika mahu dibandingkan dengan orang-orang di Kuala Lumpur yang sentiasa kacau bilau. Saat pertama saya menjejakkan kaki ke pekan ini, seperti tiada apa yang istimewa berbanding dengan pekan-pekan lain di negeri Perak. Cuacanya biasa, jalan rayanya juga biasa, kedai-kedai jualan juga biasa, tetapi orang-orang di sini mempunyai loghat Kedah yang baik. Saya seperti berada di 'tanah air' sendiri.

Pekan ini sama sekali tidak akan dapat menandingi pekan-pekan lain di Ipoh dari segi sejarahnya. Ipoh, Kampar dan Taiping terkenal dengan pusat ekonomi dan bijih timah yang berusia beratus-ratus tahun. Kuala Kangsar terkenal dengan pusat pentadbiran diraja. Lain-lain pekan atau bandar juga sudah menjadi terkenal dan maju seperti Manjung, Seri Iskandar atau Teluk Intan, tetapi pekan ini kekal misteri seolah-olah dilepas pandang. Mungkin akibat tiada pelan yang bersesuaian atau tiada sumber alam yang berharga, pekan ini tidak begitu diambil berat oleh pihak pemerintah. Cuma mengadakan semuanya seadanya sambil cuba untuk menambahbaik di mana perlu.

Pagi hari pertama di sini saya agak terkejut juga kerana berjaya sampai ke pejabat lebih awal dari biasa. Seolah-olah kejutan budaya pula apabila pada waktu sebegini tidak ramai orang yang berpusu-pusu ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah. Semuanya tenang dan tenteram, mungkin juga bulan Ramadhan ini membuatkan masyarakatnya yang kebanyakan Melayu menjadi sedikit malas. Tetapi apa pun, memang tiada kesibukan jalanraya di sini kecuali beberapa tempat akibat projek landasan keretapi berkembar yang melencongkan jalanraya ke jalan-jalan kecil.



Selepas dua tiga minggu, barulah saya menyedari keistimewaan daerah ini. Makanannya yang 'entah apa-apa' membuatkan saya sedikit teruja kerana saya sendiri memang meminati masakan yang eksotik. Makanan di daerah ini terutamanya makanan laut agak sukar diperolehi di tempat lain dan buat kali pertama saya dapat menikmati siput unam, siput duri dan kepah besar. Ketua jabatan saya memberi amaran, berat badan saya akan naik 5 kilogram di dalam tempoh 6 bulan.

Saya teruja untuk terus berada di sini. Sesetengah kawasan di sini benar-benar mengingatkan suasana di kampung saya ketika saya berumur 7-8 tahun. Ada surau kayu yang 'hapak' dan lusuh, jalan yang masih belum bertar dan udara yang nyaman bagaikan mengundang nostalgia ketika zaman kecil. Inilah dia pekan Parit Buntar, pekan paling utara di negeri Perak.

01 August 2011

Oh lamanya

Saya merenung blog ini lama-lama dan terkesima di sudut hati. Semacam ada satu perasaan yang sukar untuk digambarkan kepada orang lain. Ingin sahaja saya berteriak untuk menceritakan apa yang telah terjadi, tetapi bila difikir-fikir tidak sesuai pula. Sudah begitu lama blog ini ditinggalkan. Jika ianya sebuah rumah, tentu sahaja ia sudah bersawang di ceruk-ceruk penjuru dinding. Ular juga mungkin sudah mula menghuni silingnya, malah tikus mungkin menari bercicit-cicit di ruang dapur. Jika ia sebuah motosikal, tayarnya sudah lembik tanpa angin lagi. Karat bertatah di mana-mana, malah kaki juga boleh patah semasa hendak menghidupkannya. Jika ia seorang manusia, tentu ia menangis kesepian tidak dikunjungi sesiapa, malah tuannya juga sudah tidak sudi lagi bertanya khabar.

Lamanya blog ini ditinggalkan. Ketika coretan ini mula dilakar, coretan terakhir tertinggal pada 4 April yang lalu. Bermakna ia sudah 4 bulan ditinggalkan tanpa tuan, laksana hantu raya yang berkumang-kumang gila di pinggir kampung. Maafkan aku, tuanmu ini, kerana leka dengan perkara-perkara yang lain.

Saya mempunyai alasan yang kukuh mengapa dengan sengaja meninggalkan blog ini terlalu lama. Namun apabila mahu diungkit-ungkit tentang alasan itu, ia bagaikan terlekat di kerongkong hingga menyukarkan diri untuk menyebutnya. Biarlah untuk sementara waktu perkara ini disimpan sahaja di lubuk hati, mungkin suatu masa nanti saya punya daya kekuatan untuk menghamburkannya juga. Seperti yang pernah saya baca, ada kebenaran yang lebih elok untuk disembunyikan kerana jika ia didedahkan, mungkin ia boleh mendatangkan mudarat.

Banyak yang berlalu di dalam hidup saya sepanjang beberapa bulan ini. Rezeki yang melimpah sehingga dapat menyelesaikan hutang-hutang jangka pendek, hidup juga semakin tenang seiring dengan usaha saya untuk mendekatkan diri dengan Allah. Kebetulan pula saya memang mempersiapkan diri untuk menghadapi Ramadhan, ingin juga menyempurnakan bulan mulia ini dengan sebaik-baiknya tidak seperti dahulu yang cuma membuat amalan ala kadar sahaja. Alhamdulillah, syukur sahaja. Semoga kasih sayang yang diberi Allah ini sentiasa berterusan sehingga ke akhir hayat. Bekerjalah di waktu yang singkat iaitu dunia, saya mahu berehat di waktu yang panjang.

Terima kasih Allah. Terima kasih kawan-kawan yang merindui saya dan blog ini terutamanya Samad Jaafar dan Toyol Kiut. Allah sahajalah yang membalas jasa kalian sebagai sahabat saya yang baik. Ketika coretan ini ditulis, Samad seolah-olah berseorangan di dalam dunia blog dan terdetik pula rasa bersalah kerana membiarkannya keseorangan. Ketika coretan ini ditulis juga, blog Toyol Kiut terpadam dari rekodnya atas sebab-sebab yang saya sendiri tidak pasti. Mungkin kita akan ketemu lagi suatu masa nanti, bersama-sama di dalam arena penulisan ini dengan motif untuk mendapat redha Allah hendaknya.

Selamat menyambut Ramadhan.