19 January 2012

Muhasabah 2011

2011 adalah tahun yang boleh dikatakan baik juga untuk saya. Tiada pencapaian yang membanggakan, tetapi tiada pula kejatuhan yang merugikan. Semuanya biasa-biasa sahaja, tetapi kehidupan lebih tenang berbanding 2010 yang saya anggap sebagai tahun pengajaran yang kejam. Saya berjaya menguruskan kewangan dan keluarga dengan baik serta secara konsisten menghantar belanja untuk ibu di kampung walaupun saya percaya dia tidak memerlukan wang saya.

Bermula Ogos 2010, saya telah mula berpindah ke Parit Buntar dan hidup berseorangan sementara menunggu isteri saya diberikan keizinan untuk ke sini. Alhamdulillah, kehidupan bujang selepas berkahwin banyak memberikan masa untuk saya kembali bermuhasabah diri. Pulang dari kerja, tiada anak yang mengganggu, tiada pula isteri yang menyapa benar-benar memberikan masa yang tidak ternilai kepada diri sendiri. Tetapi masalah lain pula melanda, kerinduan kepada keluarga terutamanya anak yang masih kecil.

Benarlah, sabar adalah ibu kepada segala ubat. Lama-kelamaan isteri saya telah ditukarkan ke sini, lalu keluarga saya kembali bersatu semula. Kenangan-kenangan di Kuala Kangsar masih segar di dalam ingatan dan terlalu berat rasanya untuk meninggalkan pekan itu yang sangat tenang dan harmoni. Jika diizinkan Allah dengan usia yang panjang, saya akan kembali ke Kuala Kangsar menghabiskan masa-masa tua saya, kerana saya telah membeli rumah di sana. Sehingga sekarang pun, saya kerap teringat-ingat pekan itu walaupun kehidupan saya di sini baik-baik sahaja. Mungkin tempoh 2 tahun di sana benar-benar dipergunakan dengan sebaik mungkin menyebabkan saya kerap teringat pekan kecil itu.

Adik tunggal saya telah menamatkan zaman bujangnya penghujung tahun yang lalu. Ketika kami sama-sama mendengar suaminya melafazkan akad nikah, saya melihat titis-titis jernih di mata ibu saya. Mungkin dia sedih kerana mereka tidak pernah berpisah lama, kecuali ketika adik saya bekerja di Sarawak selama beberapa tahun yang lalu. Mungkin juga dia lega kerana telah menghabisi tanggungjawabnya sebagai ibu. Mungkin juga dia terharu kerana berjaya membesarkan anak-anak selama 29 tahun tanpa kehadiran suami di sisi. Kenduri mereka dibuat agak besar bagi orang kampung seperti kami, ditambah pula sokongan keluarga jauh dan dekat yang merelakan diri mereka 'diperhambakan' untuk menjadi tukang masak, tukang cuci, tukang hias dan sebagainya.

Saya juga lega. Mungkin kerana tidak perlu lagi memikirkan tentang adik saya yang seorang itu. Sekarang dia sudah punya suami, tentu sahaja suaminya akan menjaga dia dengan baik seperti kami menjaganya dengan penuh tertib. Kepada mereka saya mengucapkan selamat berbahagia. Tahun-tahun mendatang akan disulami dengan cabaran, kerana kata orang 10 tahun pertama perkahwinan adalah masa yang sangat getir. Sekiranya 10 tahun itu berjaya dilepasi dengan baik, lazimnya perkahwinan akan kekal harmoni sehingga akhir hayat. Lazimnya begitu.

Selain dari itu, saya sangat tenteram. Benarlah, kembali kepada Allah adalah satu-satunya cara untuk manusia kekal tenang. Bagaikan seseorang yang terbiasa diterangi lampu kalimantang di malam hari, matanya akan menjadi silau jika ternampak lampu limpah yang lebih terang. Begitulah tentang iman. Penambahan iman membuatkan manusia kaget seketika sebelum terbiasa. Bukan kerana takut, tetapi lebih kepada gementar dengan pertambahan iman di dalam hati.

Terima kasih semua rakan-rakan blogger yang saya kasihi. Saya mungkin sedikit perasan, tetapi saya menyedari ada beberapa rakan-rakan yang setia menunggu saya mengemaskini blog ini. Saya sangat terharu, bahkan terasa seperti ada ikatan yang menjalinkan kami semua di alam maya ini walaupun dari segi realitinya tidak pernah bersua muka. Insya Allah dengan izin Dia Yang Maha Menentukan, saya akan menulis blog ini tanpa jemu lagi.


18 January 2012

Cerita tentang rumah

Rumah yang kami diami sekarang jauh lebih besar dari rumah yang kami sewa ketika di Kuala Kangsar dahulu. Tambahan pula, inilah pertama kali di dalam hidup saya mendiami rumah 2 tingkat, dan segala-galanya perlu disesuaikan dengan lebih jitu. Jika kita terlupa mengambil barang di tingkat atas, seksanya untuk naik semula memang ada. Terasa seperti lutut ini kebas pada mulanya untuk membiasakan diri, tetapi lama-kelamaan ada baiknya juga kerana saya menjadi seorang yang pengingat.

Rumah ini adalah kuarters kerajaan. Ia bukanlah rumah saya yang sebenarnya. Sebab itu saya tidak malu-malu untuk mengatakan bahawa rumah ini besar kerana saya tidak pernah mempunyai niat untuk membangga diri. Apa gunanya membanggakan sesuatu yang bukan hak kita? Suatu masa nanti jika Allah mentakdirkan rezeki saya di tempat lain pula, maka rumah ini akan ditinggalkan untuk memberi laluan kepada penghuni baru. Istimewanya keluarga saya, kamilah keluarga pertama mendiami rumah ini lantaran ia baru siap dibina pada bulan Oktober yang lalu.

Di sebelah rumah ini ada tanah yang agak selesa juga untuk bercucuk tanam. Ia memang menjadi hobi saya walaupun saya bukanlah orang yang arif tentang hal pertanian. Dibantu pula dengan ibu yang berkongsi minat yang sama, saya tidak ragu-ragu lagi untuk menjadikan kawasan sebelah rumah ini sebagai kawasan untuk bercucuk tanam. Dimulakan dengan tanaman serai sebanyak 11 pokok, baru-baru ini saya membeli pokok limau dan kedondong untuk ditanam. Tidak sabar rasanya untuk menikmati hasil, bukan untuk dibuat makan sahaja tetapi lebih kepada kepuasan yang tidak terhingga.

Betul-betul di hadapan rumah saya ada sebuah taman permainan asas untuk kanak-kanak. Ia mempunyai buaian, gelongsor dan jongkat jongket. Setiap petang ada kurang lebih 10 orang kanak-kanak akan bermain di sini, dan pemandangannya sangat mendamaikan. Memang, kanak-kanak boleh membikin hati yang gundah menjadi tenang. Sengaja saya pilih rumah berhadapan dengan taman permainan untuk kemudahan anak saya pada mulanya, jadi sebagai bonus saya menikmati suara-suara riang kanak-kanak yang lain.

Sekali imbas, rumah ini nampak sempurna. Ia terletak berdekatan pejabat, berdekatan pula dengan kemudahan-kemudahan awam yang lain. Penghuni-penghuni sekelilingnya ialah rakan-rakan sepejabat, maka perhubungan kami menjadi lebih erat. Lebih-lebih lagi saya ialah ketua di pejabat kepada kebanyakan mereka. Tetapi peristiwa baru-baru ini membuatkan saya kembali bermuhasabah, mendapat kediaman yang diidam-idamkan tidak semestinya menjadikan hati ini menjadi tenang.


17 January 2012

Facebook dan blog

Saya sedang mula belajar untuk menulis semula. Lama saya tinggalkan blog dan menjebakkan diri di dalam Facebook, akhirnya idea untuk menulis panjang-panjang sudah hilang. Benarlah Facebook sangat membunuh idea untuk menulis. Mungkin ia terpaksa mengambil masa sebelum saya dapat menyesuaikan diri dengan cara blog.

Saya sangat menghormati rakan-rakan saya yang masih setia dengan blog. Sungguh, mereka punya prinsip dan jiwa yang tinggi. Bukan mudah untuk setia dengan blog lantaran Facebook sangat mempengaruhi kehidupan zaman sekarang. Berbanding dengan blog yang memerlukan tulisan yang panjang, Facebook boleh dikemaskini dengan mudah.

Saya akan belajar menulis semula. Memang itulah bakat dan minat saya.

15 January 2012

2012

Aduh, mengapa begitu sukar benar untuk saya mengemaskini blog ini. Bukan tidak teringat, bukan pula sudah melupakan, tetapi manusia begitulah. Apabila sikap malas dan bosan sudah hadir, setiap semangat yang disuburkan suatu masa dahulu bagaikan hilang dipuput angin.

2012 sudah menjelma. Ini tahun akan berlakunya hari kiamat, hari di mana berakhirnya dunia yang fana dan bagi orang Islam, mereka percaya mereka akan melangkau ke satu dunia baru yang asing, dan segalanya ternilai melalui perbuatan baik dan jahat di atas dunia. Hari kiamat ini diramalkan melalui kalendar Mayan yang dikatakan sejenis bangsa yang sangat pakar di dalam bidang astronomi 5000 tahun yang lalu.

Saya tidak begitu percaya. Biarlah kiamat berlaku bila-bila sahaja. Tugas sebagai orang Islam bukan meramalkan bila terjadinya kiamat, tetapi bersedia dengan segala jenis amalan tatkala ianya berlaku nanti. Bukankah yang dinilai oleh Allah adalah amalan? Allah tidak akan sesekali bersimpati jika kita dapat meramalkan tarikh kiamat yang tepat, tetapi pada masa yang sama langsung tidak bersedia untuk menghadapinya.

2012 dibuka dengan lembaran yang baru. Tempat baru, kehidupan baru dan tatacara hidup yang baru. Di penghujung negeri ini saya menagih simpati Allah supaya dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia, diselamatkan dari segala bala bencana dan diampunkan segala dosa. Saya mahu menjadi insan yang lebih baik, dan di tempat ini saya percaya ianya dapat direalisasikan.