26 September 2012

Cerita P Ramlee

Saya suka sekali menonton cerita P Ramlee di kaca televisyen. Berapa banyak kali saya tonton sesebuah cerita tidaklah saya cuba untuk mengingatnya, tetapi saya menyedarinya apabila isteri saya menegur tentang tabiat saya yang suka menontonnya berulang-ulang kali. Malah setiap kali saya tonton boleh pula mengundang ketawa padahal ia adalah cerita yang sama. Seperti babak P Ramlee menikmati hidangan malam pertama di dalam cerita Tiga Abdul, saya sudah boleh menghafal dialognya tetapi saya masih ketawa. Ketika saya kecil-kecil dahulu, cerita ini sukar juga untuk ditayang di televisyen dan saya masih ingat ia ditayang pada hari Khamis pukul 10.00 malam, usai sahaja Forum Perdana Ehwal Islam yang popular itu. Ya, suatu ketika dahulu rancangan forum perdana itu sangat popular sehingga ia dapat menandingi jumlah penonton filem P Ramlee. 

Sekarang, ceritanya ditayang setiap hari Isnin, juga bermula pukul 10.00 malam. Dengan kemunculan Astro juga, mereka begitu aktif menayangkannya sehingga pada suatu ketika setiap hari ada sahaja cerita-cerita P Ramlee yang ditayangkan di Astro. Walaupun begitu, ianya hanya berkisar kepada filem-filemnya yang popular seperti siri Bujang Lapuk, siri Do Re Mi dan beberapa lagi. Sebenarnya banyak juga filem P Ramlee yang telah diterbitkan tetapi tidak pula ditayangkan mungkin di atas sebab-sebab tertentu. Saya difahamkan pertikaian mengenai royalti filem-filem beliau masih belum dapat diputuskan, malah hakmilik filem ini juga masih belum dimuktamadkan. Ia memungkinkan bahawa stesen-stesen televisyen ini sebenarnya menayangkan filem P Ramlee dengan percuma tanpa perlu membayar royalti kepada mana-mana pihak.

Saya mungkin suka melihat suasana pada zaman dahulu. Tentang cara hidup masyarakat yang seperti tidak terkejar-kejar, suasana di dalam istana yang cuba dibayangkan oleh P Ramlee dan juga bentuk muka bumi yang penuh harmoni. Pelakon-pelakonnya yang semestinya membawakan watak mengikut kehidupan realiti sangat tenang, diiring pula dengan keadaan persekitaran yang sangat sepi dan sayu tanpa hiruk pikuk atau sikap berlumba-lumba. Sungguh, ia sangat menenangkan perasaan. 

Lihat sahaja filem Do Re Mi di mana P Ramlee menyanyikan lagu pada awal-awal filem, entah, perasannya sukar digambarkan. Begitu juga persekitaran Zoo Negara, Setapak dan Kuala Lumpur di dalam filem Masam Masam Manis. Tetapi saya percaya di sebalik ketenangan dan keharmonian yang diterjemahkan ke dalam filem, mereka punya masalah yang tersendiri. Mungkin masalah mereka lebih berat dari masalah kita pada zaman ini tetapi pedulikanlah itu semua. Saya hanya mahu menghayati ketenangan yang digambarkan oleh mereka. 

24 September 2012

Mereka yang mulia

Sepanjang Malaysia mencapai kemerdekaan yang usianya sudah mencecah 55 tahun pada tahun 2012, golongan ini hampir tidak boleh disentuh. Tiada siapa yang tahu apa kerja mereka yang sebenarnya, apa yang mereka buat di mahligai yang indah-indah, berapa pendapatan mereka sepanjang bulan malah bagaimana mereka menghabiskan masa yang terluang setiap hari. Semuanya ibarat rahsia, selari dengan kehidupan mereka yang eksklusif. 

Rakyat Malaysia juga dimomokkan dengan kekuasaan mereka yang berkurun-kurun lamanya. Tentang tulah yang menyelubungi masyarakat Melayu, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi malah pada suatu ketika dikatakan juga bahawa mereka adalah wakil Tuhan di muka bumi ini. Tetapi hairan juga, mengapa mereka hanya mewakili Tuhan di muka bumi nusantara Melayu, padahal di seluruh dunia tiada pula wakil-wakil Tuhan yang menjaga mereka. Mungkin nusantara ini diberkati Allah agaknya. 

Hari ini keadaan sudah berubah sedikit demi sedikit. Sudah semakin ramai yang berani mempertikaikan golongan ini secara terang-terangan, malah sehingga menyingkap perbuatan khurafat yang didakwa dilakukan oleh mereka. Entahlah, saya kurang pasti. Adakah mereka benar-benar melakukannya atau tidak itu tidak juga persoalan yang penting. 

Pada masa hadapan kita sendiri pun tidak pasti takdir mereka. Adakah mereka kekal sebagai pentadbir agama di sini, atau mereka hanya tinggal kenangan. Sejarah dunia telah membuktikan tiada yang mustahil untuk golongan ini disingkirkan. Suatu masa dahulu golongan ini menguasai hampir seluruh dunia dengan kuasa mereka yang tiada taranya. Pada zaman ini, Nepal menjadi negara terakhir menyingkirkan mereka dari sejarah yang gemilang. Tiada yang mustahil, sekiranya mereka gagal membuka hati dan telinga untuk bersama dengan rakyat. 

23 September 2012

Padangnya tidak rata

Ketika saya menulis coretan ini, di kaca televisyen rumah saya Manchester United baru sahaja menewaskan Liverpool dengan jaringan 2-1. Bagi saya sebagai peminat Manchester United, ia adalah antara perlawanan yang agak membosankan. Tentu sahaja saya bergembira dengan kemenangan ini, tetapi mutu permainan yang ditunjukkan tidak memuaskan. Liverpool kehilangan seorang pemain pada separuh masa pertama, menjadikan mereka terpaksa bermain dengan 10 orang untuk menentang gergasi bolasepak Inggeris itu. Dan keputusan itu sudah dijangkakan. 

Ya, mereka bermain di atas padang yang tidak rata. Bermain 10 orang menentang sebuah pasukan yang menduduki tempat kedua pada musim yang lalu, ia agak tidak adil untuk Liverpool. Sungguh, padang mereka berentap rata dan bersih, tetapi ia sebenarnya tidak rata. 

Kebetulan pula ketika saya menulis coretan ini, jaringan internet Celcom yang saya langgani agak perlahan sekali. Beberapa kali ia terputus membuatkan saya berasa seperti hendak marah, tetapi kepada siapa pula yang mahu saya marahkan. Mungkin Ketua Pegawai Eksekutif Celcom juga sudah tidur pada ketika ini, malah menelefon pegawai khidmat pelanggannya juga tidak akan memberikan apa-apa kesan. Jaringan internet Malaysia kekal buruk, malah fakta menunjukkan jaringannya jauh lebih lemah dari sebahagian negara-negara Afrika yang mundur. Semuanya disebabkan sikap beri muka kerajaan kepada Syarikat TM, satu-satunya syarikat telekomunikasi yang dimiliki oleh kerajaan. Dengan adanya syarikat ini, ia dimanjakan dan kelebihan sentiasa diberi kepadanya, sehingga menimbulkan perasaan tidak adil kepada syarikat swasta yang lain seperti Celcom, Maxis dan Digi. Sejajar dengan usaha kerajaan untuk menjadi negara maju menjelang 2020, banyak syarikat telekomunikasi lain mula menyediakan perkhidmatan internet yang pantas seperti Wimax, Unifi dan Yes. Tetapi jaringan komunikasi internet kekal buruk kerana sikap kerajaan yang sentiasa melebih-lebihkan TM di dalam apa sahaja keistimewaan. 

Entah berapa kali pula saya merungut tentang Proton yang sentiasa dimanjakan, walaupun kualiti kereta-kereta keluarannya hampir tidak memuaskan. Rakyat Malaysia dijamu dengan kereta dari kelas rendah, padahal jika diikut kepada kemampuan rakyatnya sendiri, mereka boleh membeli kereta yang jauh lebih berkualiti. Itu pun jika Proton berani bermain di atas padang yang rata. 

Rupa-rupanya padang yang tidak rata berada di mana-mana. Seperti kempen Barisan Nasional setiap kali menjelang pilihanraya.