16 December 2009

Sedang dalam proses menjadi dewasa

Saya bukanlah pelajar yang baik ketika di universiti dahulu. Jika tidak kerana simpati Allah, hampir sahaja saya tidak dapat menggenggam segulung ijazah. Saya bersikap sambil lewa untuk hadir kuliah dan acuh tak acuh ketika menduduki peperiksaan. Apabila diajak oleh rakan-rakan, saya tidak akan ragu-ragu untuk memenuhi jemputan mereka bermain snooker, badminton atau futsal. Menonton vcd dan bermain permainan komputer pula menjadi rutin malam yang tidak dapat dibuang. Kemudian saya akan tidur pada pukul 2 atau 3 pagi dan bangun semula pada pukul 11 pagi. Segala aktiviti tidak menjurus langsung kepada budaya pembentukan ilmu yang sepatutnya sebagai seorang pelajar universiti. Saya meluangkan masa yang banyak untuk perkara-perkara lain.

Pada ketika itu, saya berdoa supaya cepat-cepat menamatkan pengajian. Saya mahu keluar dari 'neraka' itu dengan segera. Fikir saya, hidup akan lebih tenang tanpa perlu membaca buku dan bersedia untuk peperiksaan. Tambahan pula, tidak ada lagi tugasan yang menyakitkan hati dan pensyarah yang akan memarahi saya jika tidak hadir kuliah. Dengan bekerja juga saya akan menikmati kemewahan dan boleh membeli apa sahaja yang saya suka. Saya boleh bermain tanpa henti, membeli vcd-vcd baru dan membeli koleksi Doraemon yang cantik. Pada masa itu saya selalu membayangkan betapa bertuahnya mereka yang telah bekerja kerana mereka cuma sibuk ketika di pejabat tetapi apabila pulang ke rumah mereka tidak lagi teringat kerja-kerja yang bertimbun. Apabila esok menjelang, akan bermulalah hari baru untuk mereka. Cerita-cerita perit semalam akan hilang dan mereka boleh bekerja seperti biasa. Mereka tidak perlu ingat nota-nota pembelajaran, tidak perlu risau tentang wang dan sebagainya.

Sekarang saya sudah berada di tempat mereka. Rupa-rupanya ia tidaklah indah seperti yang disangkakan. Memang saya tidak perlu lagi pergi ke kuliah, tiada lagi nota-nota yang membosankan dan mempunyai wang untuk kegunaan diri sendiri. Tetapi komitmen yang lebih berat pula yang menanti. Saya sudah tiada masa untuk melakukan aktiviti yang saya suka kerana keletihan bekerja di pejabat. Selepas sesi bekerja, saya akan pulang, menonton televisyen dan kemudian tidur. Tiada lagi aktiviti malam seperti snooker, vcd dan permainan komputer. Menjelang hari minggu, belum sempat melakukan aktiviti yang saya suka, saya menyedari hari Sabtu sudah bertukar hari Ahad dengan begitu pantas. Alangkah ruginya.

Pada masa inilah baru saya terfikir betapa bagusnya jika saya masih lagi seorang pelajar universiti. Hanya perlu ke kuliah mengikut jadual, menjawab soalan peperiksaan dengan lancar dan memberikan sepenuh perhatian di dalam kelas, selebihnya adalah masa untuk saya sendiri. Waktu malam adalah milik saya sendiri untuk melakukan apa yang saya suka. Biarlah saya tidak punya banyak wang, tetapi saya punya masa untuk berhibur.

Benarlah bahawa saya baru sahaja sedang dalam proses untuk menjadi dewasa. Kerana itu saya masih merindui masa-masa dahulu yang terluang. Seperti satu ungkapan yang pernah saya baca : -

apabila kita remaja, kita ada masa, ada tenaga tetapi tiada wang.
apabila kita dewasa, kita ada tenaga, ada wang tetapi tiada masa.
apabila kita tua, kita ada wang, ada masa tetapi tiada tenaga.

Suatu masa nanti apabila saya sudah tua, mungkin saya akan mengenang pula saat-saat manis ketika saya bekerja. Begitulah manusia, tidak akan pernah puas dengan dunia yang sementara ini...

15 comments:

Nafastari said...

Benar, benar, benar semuanya. Saya juga mempunyai perasaan yg begini. Agaknya semua orang pun mengalami perasaan begini. Selamat menjadi dewasa kepada kita semua.

atbk said...

saya tak...
saya tak sabar menanti hari esok dan hari-hari seterusnya,
ya, hari semalam memang manis, malah yang pahit-pahit juga tetap manis...
tak pernah terlintas di fikiran saya nak ulang benda dahulu, sbb takkan berlaku pun, apatah lagi nak membayangkan 'alangkah indahnya' kalau dpt kembali...
setiap sesuatu berlaku pada konteks tertentu, dan 2 konteks yang sama takkan terjadi atau berulang, takkan sekali-kali!

saya tahu saya akan gembira lagi, saya juga tahu saya akan menangis lagi... bila bagaimana atau di mana.. itulah 'adventure'nya, berusaha sambil menunggu apa yang terjadual utk kita... hidup penuh suspense dan surprise!

terima kasih Tuhan atas 'adventure' ini!

kelisa_samudera said...

nafastari : rasanya ramai yang berfikiran seperti kita. selamat datang semuanya ke alam dewasa. sama2lah kita menempuh dunia baru.

atbk : nampaknya anda berlainan!! hahaha

KopiahPuteh said...

Saya mungkin seperti anda ATBK,Dalam hidup saya yang lepas tidak banyak perkara yang menarik untuk di ingati.Yang banyak hanya perkara untuk disesali..

Golongan Marhaen said...

dahulu kita tak pernah fikir tentang komitmen..hanya menerima apa yang ada..kini, segalanya telah berubah..kita tak boleh bersuka ria macam dahulu kerna kita punya tanggungjawab..Tanggungjawab menuntut kepada Pengorbanan..Pengorbanan menuntut kepada Ketabahan Hati kita..

atbk said...

en. kopiah, saya tak bermaksud begitu..

apa yang ada pada diri saya sekarang adalah terbina dari saya yang dulu2, so apa2 hal.. saya masih menghargai apa2 yang saya lalui dulu2...

menarik atau tidak, mengingatinya mengingatkan siapa diriku sebenarnya..
;)

kelisa_samudera said...

kopiah puteh: tiada apa yg mahu disesalkan. cerita hidup kita indah sebenarnya untuk diri kita sendiri. orang lain tidak pernah melalui apa yg pernah kita lalui, baik dari segi perjalanan, perasaan atau halangan. ;)

GM : semakin kita dewasa, semakin kita banyak wang, semakin itulah kita semua menjadi terlalu bernafsu untuk menambah komitmen. ada kereta satu nak tambah 2, ada komputer ofis nak beli laptop sendiri, ada tv nak tambah astro, boleh makan atas lantai nak beli meja makan. huhuhu

atbk : memang benar. cerita hidup kita telah diskripkan oleh diri kita sendiri dengan takdir Allah. sekiranya kita cuba melupakan satu babak kehidupan kita, pengakhirannya nanti akan berbeza.

Anonymous said...

KS,

Chittt, penat keje di opis konon, padahal ko sibuk dgn FB n Blogs...

Hahaha... Makan budok...

-Artakuz-

kelisa_samudera said...

artakuz:
ko ingat tak penat ke tulis blog & baca fesbuk? kena baca satu2 perkataan wooo. kah kah kah

yg_indah said...

kalau aku boleh kembali ke masa kita study dulu pun pasti aku gunakan ke'bolehtidakhadiran' sebanyak 20% itu jugak.dan kepandaian classmate meniru signature kita.
Sekarang lagi 'heaven' di sana, setiap mahallah ada networking tau.leh tengok anime tiap2 hari.perghhhh kalau nak cerita mmg tak habis di sini la.

kelisa_samudera said...

yg-indah : tu la hang. hang tak menggunakan sepenuhnya. kan dah rugi. sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

IB : aku tak nak join bakat. sebab bakat tu lebih kurang macam BAKTI. bakti plak, semah kebayan yang jadi pengerusinya. tensen aku menengok dia.

kelisa_samudera said...

alamak koi. sori. aku terdelete komen hang. huhuhu. nak delete komen aku sendiri tapi terdelete komen org lain plak.

Nailofar said...

Takleh tahan gelak bile baca tang "koleksi doraemon yang cantik itu"..muahaha Betapa masa tu saudara KS memang belum dewasa..kena la dengan tajuk post ni..:)

Sejarah jadikanlah sempadan supaya kita tak jatuh ke dalam perigi yang sama dua tiga atau empat kali..:)

kelisa_samudera said...

nailofar :
yg doraemon tu kira ok lagi. ada kawan saya menonton dragonball pagi sabtu dengan isteri dan mak mertua dia tanpa miss. camner cerita pulak tu? hahaha

Nailofar said...

KS: Itu sehati sejiwa namanye..muahahaha