27 December 2010

Melambai 2010


Terima kasih Google


Beberapa hari sahaja lagi 2010 akan mula melabuhkan tirainya. Maka berakhirlah sudah satu lagi fasa yang berusia 365 hari dan fasa yang baru akan bermula tanpa dapat ditangguh-tangguh lagi. Semuanya sedang memandang ke arah 2011, tahun baru yang menandakan episod baru di dalam hidup kita. Semua kerja kita sama ada yang telah siap atau tidak akan dibawa ke tahun seterusnya dan ia bergantung kepada diri kita sendiri untuk menyelesaikannya mengikut lunas yang telah ditetapkan. Setiap orang melalui pengalaman yang berbeza dan pengalaman yang berbeza itulah menyebabkan pandangan kita kepada kehidupan tidak pernah sama dengan orang lain. Dengan ketidaksamaan ini selalunya akan menimbulkan konflik dan pertentangan berkenaan bagaimana harus kita menjalani kehidupan yang sepatutnya.

Saya ingin melambai 2010 dengan penuh pengajaran yang bermakna. Seperti agakan saya pada awal tahun yang lalu, tahun 2010 adalah tahun yang penuh mencabar dan ianya ternyata benar kepada corak kehidupan saya. Tahun ini adalah tahun pengajaran, pembelajaran, iktibar dan penyuluh. Tahun ini saya bersengsara demi matlamat murni yang masih belum kesampaian. Nyata, niat saya untuk melangkah terlalu jauh akhirnya membuatkan kaki saya tersadung lantas merebahkan saya di dalam kancah khalayak yang ramai.

Tahun ini juga memberikan saya pengajaran yang banyak terutamanya dari segi kewangan. Setelah bersenang-senang selama beberapa tahun, cabaran yang tidak terduga telah membuatkan saya kaget dan sedikit panik. Mujurlah saya tidak cepat melatah, jika tidak tentu sahaja kerebahan saya itu menjadi lebih teruk dan mungkin pula membuahkan luka-luka yang lebih parah. Pengajarannya, jika berkaitan dengan soal kewangan semua orang boleh menjadi gila dan tidak tentu arah.

Namun saya masih bersyukur kerana kerebahan itu tidak menjejaskan tanggungjawab di bidang yang lain. Saya masih bersyukur kerana tidak pula menjebakkan orang lain di dalam kancah yang sama. Saya masih bersyukur kerana keluarga saya masih bahagia dan masih boleh mengharungi kehidupan dengan baik cumanya agak terkekang sahaja. Syukur sahaja. Ia boleh menjadi lebih buruk tetapi Allah tidak mengizinkannya dan saya sangat berterima kasih di atas pertolongan-Nya yang segera. Tentu sahaja Allah itu maha penyayang kepada makhluknya, tetapi saya merasakan Allah menyayangi saya lebih dari makhluk yang lain.

Saya akan membiarkan 2010 berlalu dengan puputan angin bayu yang mententeramkan. Setelah intipatinya dihisap dan dihadam dengan penuh rasa iktibar, biarlah ia pergi dengan tenang. Saya akan sentiasa merindui 2010 sebagai guru yang paling tegas dan garang dan kerana ketegasan itulah saya mahu bangkit menjadi manusia yang lebih berguna. Telah beberapa kali saya jatuh dan tewas, dan ketewasan kali ini tiada bezanya seperti masa-masa yang lalu. Saya akan bangkit dengan penuh rasa degil dan sombong, dan akan menghantar mesej suci kepada dunia bahawa ujian dari Dia ini adalah suatu yang enteng demi memenuhi matlamat menjadi insan yang beriman.

Bagi tahun 2010 yang akan berlalu ini, tiada pencapaian yang baik yang boleh saya terampilkan kepada orang-orang yang tersayang. Jika ada, ia tentunya berkisar kepada pelajaran yang bermakna kepada diri sendiri untuk saya lebih berhati-hati. Jelas sekali bahawa saya tidak patut untuk bersikap terburu-buru di dalam apa juga tindakan kerana sikap yang sedemikian tidak membawa apa-apa keuntungan. Saya harus meninggalkan sikap gelojoh kerana saya sudah semakin dewasa dan matang, dan tanggungjawab yang semakin berat semakin membuatkan sifat gelojoh kelihatan tidak sesuai. Apa sahaja pekerjaan harus difikirkan dengan tenang dan tenteram kerana ketenangan itulah yang akan memandu untuk urusan seterusnya. Sekiranya kita menemui persimpangan yang sangat besar yang akan menentukan hala tuju yang seterusnya, duduklah dan berfikir dahulu sebelum bertindak. Ini kerana mengambil masa untuk berfikir tentu sahaja tidak akan lebih lama daripada kita meneruskan langkah ke jalan yang buntu yang kadang-kadang kita sendiri tidak mempunyai peluang untuk berpatah balik.

Saya akan terus memandang 2011 dengan penuh harapan dan kasih sayang. Insya Allah, Allah akan bersama-sama dengan hamba-Nya yang sabar. Melihat kepada situasi dunia dan apa yang telah dan sedang berlaku, saya percaya 2011 adalah tahun yang baik kepada saya dan orang lain. Setidak-tidaknya jika saya masih lagi menemui persimpangan yang sama, saya sudah tahu apa yang patut dilakukan untuk lebih berjaya. Ia mungkin tahun yang tenang, penuh perasaan gembira dan tidak gundah gulana. Ia tahun untuk memperkukuhkan kewangan, menambahkan keimanan dan bersahabat dengan semua orang. Tentu sahaja Allah akan memberikan kesenangan setelah ujian sebagai ganjaran kepada hamba-Nya. Apa yang perlu adalah sentiasa percaya bahawa Allah sentiasa berada di sisi kita tidak kira masa susah dan senang, asal sahaja kita mengkehendaki Dia berada di situ. Suatu masa nanti, saya akan memandang 2010 dengan senyuman dan berterima kasih kepada tahun ini kerana menjadikan saya insan yang lebih berguna.

Terima kasih 2010. Terpaksa atau tidak, saya harus melangkah lagi. Doakan saya supaya berjaya menjadi insan yang lebih baik. Doakan keluarga saya, ibu bapa, abang-abang, adik-adik, makcik-makcik dan pakcik-pakcik, sahabat-sahabat dan seluruh saudara Islam saya supaya kami sentiasa aman-aman dan bahagia. Dengan pengajaran yang sangat menginsafkan, Insya Allah sinar yang terang sedang menanti di lorong yang suram.


18 December 2010

Bila kenangan bertandang



Sejak akhir-akhir ini, kenangan kehidupan lampau sentiasa sahaja menjengah jadual harian saya yang sudah sedia sibuk. Saya mengakui saya agak sentimental sehingga sifat sentimental ini terterjemah di dalam blog saya, tetapi kenangan-kenangan yang lalu bagaikan sibuk pula untuk menyelitkan diri di dalam senggang masa itu. Mungkin sudah tiba masanya untuk saya melayan kenangan yang hadir ini sebagai cerminan kepada keperibadian saya, dan tentunya kenangan itu harus dijadikan iktibar untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam dunia yang lebih baru. Terima kasih di atas kenangan itu dengannya membuatkan saya sentiasa berhati-hati.

Saya percaya kebanyakan orang akan sentiasa menghargai kenangan hidup mereka. Dengan mengingati dan menghargai kenanganlah membuatkan kita percaya di mana kita sepatutnya berada sekarang. Ada orang yang tidak suka apabila mengimbau kembali kenangan mereka mungkin kerana malu dengan kekurangan yang ada, tetapi percayalah mereka pastinya akan menyesal kerana tidak mengingatinya. Langkah kehidupan kita ibarat suatu permainan domino yang indah. Jika satu keping dikeluarkan tentunya ia tidak akan lengkap dan cantik.

Saya sentiasa percaya setiap orang akan melalui kenangan hidup yang berbeza dengan orang lain. Hatta sepasang anak kembar yang tidak berpisah sekalipun akan mempunyai pengalaman yang tidak sama. Jika pun kemana-mana sahaja mereka sentiasa berdampingan, tetapi mereka mempunyai soal hati yang berbeza. Mungkin salah seorang sedang gembira tetapi pasangannya sedang berduka. Bukankah itu tidak sama? Orang lain tidak boleh sesekali mengakui bahawa perjalanan hidup mereka lebih indah dari kita. Walaupun hidup mereka dititip intan berlian, melancong ke luar negara setiap masa, disayangi ibu dan bapa dan mereka telah merasa segala kenikmatan dunia, belum tentu pengalaman mereka lebih berharga dari apa yang kita pernah alami. Saya pernah berpeluang bergaul dengan orang-orang kaya yang tidak punya masalah dengan kewangan, tetapi saya tahu hidup mereka tidak pernah seindah kehidupan saya.

Saya mahu menyayangi semua kenangan saya. Saya berdoa kepada Allah supaya biarkanlah kenangan itu sentiasa datang kepada saya sebagai teman yang paling setia. Biarpun ia adalah kenangan yang pahit, manis, masam, kelat dan sebagainya, ia tetap kenangan diri saya yang terindah. Kenangan pahit manis menjadi anak yatim, takut dimarahi ibu kerana lambat pulang, kecewa kerana putus cinta, berjalan-jalan di Chow Kit bersama rakan-rakan, bangun lambat kerana bermain futsal di sebelah malam, gementar kerana ibu dimasukkan ke hospital, kecewa kerana gagal dalam peperiksaan, gembira kerana adik telah berjaya, malu kerana bersikap terburu-buru dan sebagainya. Merekalah kenangan saya. Merekalah teman setia saya. Merekalah ibarat susunan gambar yang sempurna untuk gambaran diri saya.

Kenangan, datanglah. Saya akan sentiasa menanti dengan penuh rela. Terima kasih Allah di atas kenangan terbaik buat diriku. Suatu hari nanti aku akan mengadap-Mu dengan kenangan ini semoga kenangan ini akan membantuku kelak di hadapan-Mu.

14 December 2010

Apa mereka boleh buat?


14 Disember 2010, Azlan Lazim iaitu bapa kepada 'personaliti' terkenal negara, Saiful Bukhari Azlan telah menghantar surat kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bagi memohon untuk mempercepatkan penyelesaian kes anaknya. Kes anaknya ialah kes yang berprofil tinggi yang diketahui oleh seluruh pelusuk negara. Mungkin sahaja suatu masa nanti ia akan menjadi satu sejarah panjang yang berkait-kait dengan kisah perjuangan rakyat.

Saya berteka-teki tentang kewajaran pihak-pihak yang menghantar surat atau memorandum kepada YDPA tentang perkara-perkara yang mereka tidak berpuas hati. Sejak akhir-akhir ini, perbuatan menghantar memorandum dan surat ini semakin menjadi-jadi pula. Baru sahaja agaknya kita mendengar tentang perarakan baju merah dan hitam menghantar memorandum berkenaan isu air dan salah guna kuasa, hari ini Azlan Lazim juga mengambil langkah yang sama. Sudah bertahun-tahun amalan menghantar memorandum ini berlaku tetapi saya tidak pernah pula mendengar apa-apa kesan langsung dari pejabat YDPA hasil memorandum yang dihantar. Mungkin juga Istana Negara telah menyediakan sebuah perpustakaan khas untuk menyimpan buku-buku memorandum tersebut lantaran terlalu banyak yang telah dihantar dan tebal-tebal pula. Ia mungkin amalan sesetengah pihak untuk menunjukkan pengaruh mereka kepada rakyat, atau hanya sekadar ingin mendapatkan publisiti politik bagi meraih tumpuan.

Bagi kalangan orang-orang yang celik, apalah yang boleh dibuat dengan menghantar memorandum kepada pejabat YDPA. Pernahkah kita mendengar suatu polisi ditukar selepas satu memorandum dihantar? Pernahkah juga kita mendengar YDPA memberikan respons selepas membaca sesebuah memorandum? Mungkin juga memorandum itu langsung tidak sampai ke tangan YDPA kerana telah ditapis dahulu untuk bacaan pegawai-pegawai istana yang lain. Umum mengetahui bahawa institusi kesultanan negara kita hanyalah sebuah simbol yang gah tanpa apa-apa kuasa, seperti juga kita melihat Tugu Negara yang diukir dengan perwira-perwira bersenjata tetapi langsung tidak dapat mencipta gerun kepada sesiapa.

Institusi kesultanan sekarang ibarat Tugu Negara itulah. Kata-kata mereka tidak lagi diambil peduli oleh sekalian rakyat kerana mereka tidak berkuasa hatta di atas kata-kata mereka sendiri. Mereka hanya bersuara di dalam ucapan kemerdekaan, Maulud Nabi, Maal Hijrah atau beberapa lagi peristiwa yang berkaitan. Akhbar-akhbar kemudiannya akan memetik ucapan mereka selama beberapa hari untuk dimuatkan, tetapi selepas itu ia akan kembali senyap sunyi seperti peristiwa itu tidak pernah terjadi. Tiada siapa lagi yang akan mengambil peduli dan tiada siapa pun yang cuba untuk merealisasikan ucapan mereka.

Perkara yang paling menyakitkan hati kepada saya ialah apabila saya menjadi ketua, tetapi kepimpinan saya tidak dihormati barang sedikit pun oleh orang-orang bawahan. Semoga institusi kesultanan kita tidak sebegitu.

Cerita tentang tidur

Terima kasih Google


Secara purata, manusia normal akan tidur selama 6 jam sehari yang bersamaan dengan 1/4 dari keseluruhan hari. Jika seseorang itu hidup selama 60 tahun, dia telah mengambil masa selama 15 tahun untuk tidur. Lima belas tahun adalah suatu tempoh yang sangat panjang di dalam kehidupan yang singkat ini. Tetapi sayangnya kebanyakan dari kita termasuk saya hanya menggunakan tempoh itu untuk tidur iaitu salah satu aktiviti yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kehidupan bermasyarakat.

Saya pernah membaca beberapa cerita tentang Tun Dr. Mahathir yang hanya tidur selama 2 jam sahaja setiap hari. Ia mungkin benar dan mungkin juga tidak, tetapi jika ia adalah benar maka saya mengakui memang patutlah dia sentiasa berfikiran jauh dan genius. Mungkin ketika orang lain sedang tidur dan otak mereka tidak berfungsi, otaknya sentiasa bekerja untuk menggilap kepintaran dan berfikir tentang hal-hal keduniaan. Jika ia benar juga, saya tertanya-tanya bagaimana dia kekal segar sedangkan tidur yang cukup adalah salah satu syarat untuk menjadikan kita lebih bertenaga untuk kehidupan esok harinya.

Ketika saya belajar di salah sebuah universiti dahulu, saya biasa untuk tidur lambat setiap malam. Kadangkala saya akan tidur pada pukul 2, 3 malah selalu juga saya hanya terlelap apabila jam sudah menunjukkan pukul 4. Pada masa itu tiada komitmen untuk bangun awal kerana kita boleh memilih untuk menghadiri kelas mengikut waktu kesukaan kita, dan tentunya saya tidak akan sesekali memilih untuk menghadiri kelas pada awal pagi. Pada masa itu tidur lewat adalah sesuatu yang lumrah, malah sehingga kini saya masih terasa betapa bagusnya dapat tidur lewat pada setiap hari.

Pekerjaan saya sekarang telah menjadikan nikmat tidur lewat tidak dapat dikecapi lagi. Selalunya saya akan mula melabuhkan kepala pada pukul 10.30 malam, malah jika saya masih lagi bermain komputer pada pukul 11.00 malam, suatu sesalan yang tidak terhingga akan datang di dalam fikiran saya. Jika terlewat tidur saya akan menghadapi kesukaran untuk bangun pada awal pagi dan menjadikan saya kurang bertenaga untuk bekerja.

Terlalu banyak perkara boleh kita lakukan jika kita tidak tidur. Di saat orang lain diulit mimpi, kita boleh menyudahkan perkara-perkara lain yang lebih penting. Kita boleh mengemas rumah, menonton televisyen, membaca buku, melayari internet malah bersenam. Sekurang-kurangnya apa sahaja perkara yang kita lakukan di malam hari tentulah lebih baik dari tidur sahaja dan memimpikan perkara yang bukan-bukan. Malah lebih manis jika dapat tidur sekejap dan bangun pula untuk menunaikan solat tahajjud. Agaknya dengan berbuat demikian maka sudah lengkaplah putaran kehidupan kita sebagai seorang Muslim.

Alangkah bagusnya jika dapat tidur lewat tetapi kekal bertenaga setiap masa. Dengan sebab itulah sehingga sekarang saya masih lagi mencari petuanya yang mujarab.


08 December 2010

Sekarang ialah istilah Tan Sri


Salah seorang Datuk. Terima kasih Google.

Saya jarang sekali menonton drama-drama Melayu kerana setiap kali saya cuba menontonnya, ia hanya akan bertahan tidak sampai 15 minit. Drama Melayu sekarang ibarat seorang anak gadis yang disolek dengan beberapa cara. Metaforanya, dia mempunyai sebatang tubuh yang sama tetapi disolek dengan kosmetik berbeza setiap hari. Gadis itu pula lama kelamaan menjadi semakin tua dan kosmetiknya pun tidak pernah diubah untuk menyesuaikan dengan wajahnya. Skrip drama Melayu tidak pernah berubah dari satu drama ke satu drama, plot penggambarannya longgar dan mesej yang ingin disampaikan pun lebih kurang walaupun tidak pernah sampai ke dalam hati, lalu saya merasakan ia tidak begitu bernilai untuk menghabiskan masa beberapa jam hanya untuk menonton sebuah drama Melayu. Dengan sebab itulah saya terpaksa melanggan Astro, bukan kerana saya banyak wang tetapi kerana mahu mencari hiburan yang berkualiti. Saya percaya ramai rakyat Malaysia seperti saya.

Drama-drama Melayu di televisyen sekarang banyak berkisar kepada golongan ekspatriat dan mewah. Landskap penggambaran hanyalah di premis-premis perniagaan yang mewah, rumah besar dilengkapi perabot yang mahal, kisah anak orang kenamaan yang suka bermain motokar dan juga kisah kejujuran orang miskin di tengah-tengah khalayak kaya. Oh, begitu membosankan. Ia bukanlah dunia saya, dan kerana ia bukan dunia saya, saya tidak berminat untuk menontonnya. Saya percaya jika kita konsisten menonton drama Melayu sekarang, ada satu perkataan yang sangat popular untuk digunakan. Tan Sri.

Suatu waktu dahulu istilah Datuk sangat popular di dalam drama-drama Melayu apabila ia berkaitan dengan golongan-golongan kaya ini. Tetapi sekarang mungkin kerana sudah terlalu banyak lambakan Datuk di Malaysia, pengusaha drama menganggap ia tidak lagi eksklusif dan menukarnya kepada istilah Tan Sri. Ia bagaikan perlumbaan pula untuk menentukan siapa yang lebih hebat dan ternama. Seperti senangnya seseorang mendapat gelaran Datuk dari Negeri Melaka dan Pahang, begitu jugalah senangnya pengusaha drama menggunakan gelaran kebesaran ini di dalam drama mereka.

Sekurang-kurangnya drama Melayu telah memberi jasa kepada rakyat seperti kita. Mereka telah menunjukkan kepada penonton-penontonnya bahawa gelaran Datuk sekarang sudah tidak berguna lagi di Malaysia. Campak sahaja seketul batu di kawasan orang ramai, kemungkinan ia akan mengenai kepala seorang Datuk. Tidak mustahil pula suatu masa nanti istilah Tan Sri ini sudah tidak berharga lagi. Pada masa itu pengusaha-pengusaha drama ini mungkin akan menggunakan istilah kebesaran terakhir iaitu Tun. Maka Jalaluddin Hassan, Rahim Razali dan beberapa muka klise lagi akan berpeluang untuk dipanggil Tun di dalam drama mereka.

02 December 2010

Sebelum khutbah bermula


Terima kasih Google


Sangat mudah untuk mencari orang-orang miskin di Negeri Perak yang bertuah ini. Saya selalu bersolat Jumaat di Masjid Negeri Ipoh dan setiap hari itu jugalah kita akan dapat melihat terlalu ramai pengemis dan pemungut derma memohon simpati dari orang ramai. Hanya sahaja saya tidak sampai hati untuk mengambil gambar mereka kerana ia mungkin akan melukakan hati beberapa pihak. Di sekitar masjid ini, ada banyak tabung empat segi yang disediakan oleh sekolah anak-anak yatim, sekolah tahfiz, pembinaan masjid dan beberapa minggu kebelakangan saya melihat juga tabung derma untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. Saya mengerti bahawa sekolah-sekolah persendirian ini memang memerlukan dana yang besar untuk membiayai anak-anak peliharaan mereka sedangkan kerajaan tidak punya banyak wang untuk menampung kesemuanya.

Bagi pemungut derma perseorangan, saya selalu melihat beberapa orang duduk berdekatan dengan tempat berwuduk sambil menunjukkan kaki yang berbalut dan ada juga yang membaca beberapa potong ayat Al-Quran yang pendek-pendek. Baru-baru ini, pihak masjid telah menampal notis melarang pengemis-pengemis berkenaan duduk di situ lagi. Bagi pemungut derma yang lain pula mereka akan berlegar-legar di sekitar gerai makan berdekatan sambil mengharapkan ada orang yang baik hati menghulurkan seringgit dua. Tidak kira pengemis Melayu, Cina atau India, semuanya terdapat di situ.

Pernah beberapa minggu saya melihat seorang lelaki muda berkulit hitam (saya bersangka baik dengan menganggapnya seorang Muslim) mengutip derma di dalam masjid ini. Kaki kanannya sentiasa berbalut seperti balutan untuk orang yang patah kaki, dan saya menyedari balutannya akan diperbaharui setiap minggu kerana kain balutnya sentiasa bersih. Berbulan-bulan juga dia mengemis di situ sehinggakan saya terfikir bilakah kakinya akan sembuh.

Ada satu ketika juga saya pernah melihat seorang pengemis India memandang penjamu-penjamu selera di gerai-gerai berhampiran dengan begitu sayu sekali seolah-olah dia terlalu lapar. Saya tidak sampai hati melihatnya tetapi saya juga tidak berniat untuk membelanjanya makan, kerana dengan berbuat demikian barangkali akan menimbulkan ketidakadilan kepada ramai pengemis yang lain. Lalu saya berusaha untuk tidak memandangnya ketika tengah makan demi mengelakkan air mata saya tumpah akibat kesedihan.

Pada satu ketika yang lain, seorang makcik mendatangi saya ketika saya mahu masuk ke dalam kereta usai solat. Dengan tangisan seperti anak kecil, dia mendakwa baru sahaja keluar dari hospital dan ingin ke rumah anaknya di Kuala Lumpur. Saya memberinya sepuluh ringgit apabila dia berjanji untuk menggunakan wang itu untuk membeli tiket bas. Namun minggu-minggu seterusnya saya masih lagi melihat makcik yang sama menagih simpati di kawasan berkenaan. Saya tidak berbicara tentang wang, tetapi saya tertanya-tanya mengapa makcik itu ....

Di sebalik sketsa mereka di pentas berhampiran Masjid Negeri itu, di tempat yang lain masih ramai yang rakus menjarah sumber dari negeri bertuah ini. Mereka terlalu kaya, dan mereka masih terlupa ada orang lain yang lebih memerlukan. Jelaslah seperti kata orang, kekayaan negara kita masih belum dibahagi dengan seadil-adilnya. Saya menyeru kepada pihak yang rakus ini yang terdiri juga dari kalangan pemerintah (jika pun mereka membaca blog saya), perhatikanlah pengemis-pengemis ini. Jangan pula membiarkan mereka menuntut keadilan di akhirat kelak kerana pada masa itu sudah terlewat untuk memohon maaf di atas apa yang berlaku. Mungkin doa mereka boleh menghumban kita ke dalam neraka.

28 November 2010

Mencari kereta feminin

Suatu hari adik tunggal saya menelefon. Saya tidak terkejut dengan panggilan telefonnya kerana dia kerap menelefon saya, lebih-lebih lagi apabila dia terasa rindu untuk bertanyakan khabar anak saya yang masih belum pandai bercakap itu. Tetapi kali ini tujuannya sedikit berlainan.

"Abang, adik nak beli kereta."

"Nak beli kereta apa?" Saya bertanya penuh minat.

"Tak tahu."

"Berapa bajet?"

"Tak tahu."

"Nak kereta yang macam mana?"

"Tak tahu."

"Dah tu, apa yang tahu?"

"Tak tahu apa-apa. Tapi adik nak beli kereta juga. Adik nak kereta yang punggungnya conget. Baru nampak style. Tak nak kereta Proton. Abang tolong carikan tau," dia menambah penuh jujur. Conget bermaksud tinggi di dalam bahasa Kedah, suatu perkataan yang sukar didefinisikan tetapi mudah memahaminya. Ahhh sudah. Bagaimana pula untuk mencari kereta yang sedemikian?

Ayah saya telah lama meninggal dunia. Oleh itu adik saya banyak bergantung kepada ibu dan saya di dalam membuat keputusan penting di dalam hidupnya. Tetapi kali ini sudah 'melampau'. Semuanya disandarkan kepada saya untuk mencari kereta yang diidamkannya. Setelah meneliti kemampuan kewangannya, mulai dari hari itu saya membawanya ke kedai-kedai kereta untuk membantunya membuat keputusan. Saya membiarkan dia membuat keputusan dengan menolongnya membuat perbandingan di antara kereta-kereta pilihan.

Agak lama juga saya berfikir-fikir untuk mencari kereta yang sesuai dengannya. Malah sehingga tulisan ini dimasukkan di dalam blog saya, saya masih belum berpuas hati dengan kereta pilihannya walaupun keputusan sudah dibuat.

Apa yang ingin saya utarakan ialah rupa-rupanya agak sukar untuk mencari kereta yang sesuai dengan sifat kewanitaan. Hampir semua kereta di dunia ini dicipta untuk kepuasan orang lelaki, bermula dari kemampuan enjin, kemudahan stereo dan bunyi, hiasan dalaman malahan tempat meletak barang-barang. Dengan sebab itulah semua kereta mempunyai ruang habuk rokok dan tempat menyalakan api rokok, tempat meletak fail-fail kerja di tepi pintu dan tempat menggantung baju di belakang. Tetapi pernahkah kita melihat sebuah kereta yang mempunyai tempat khas untuk meletakkan tas tangan atau beg duit? Jauh panggang dari api pula untuk melihat sebuah kereta yang mempunyai tempat khas meletak alat solek, kasut atau barang-barang peribadi. Malah kebanyakan kereta tidak mempunyai ruang khusus untuk kotak tisu yang sinonim dengan wanita. Oh kasihannya kepada para wanita sekelian.

Saya ingin utarakan juga apabila kita mula-mula mahu membeli kereta, kita akan mendapat sebuah brosur yang mencatatkan tentang kelebihan sesebuah kereta, dan selalunya di bahagian belakang brosur berkenaan akan tertulis tentang spesifikasi kereta iaitu luas, panjang, tinggi, kekuatan enjin, casis, c.c., spesifikasi tayar dan spesifikasi dalaman. Saya percaya kebanyakan wanita langsung tidak mempedulikan perkara itu. Apa yang mereka selalu lihat pada sebuah kereta hanyalah warna dan rekabentuknya. Enjin? Pedulikan. Mereka bukannya mahu memandu laju atau mengubahsuai.

Saya percaya di dalam dunia sekarang perkara taboo seperti ini haruslah diubah sedikit demi sedikit. Pada masa dahulu kita sedia maklum kebanyakan pemandu adalah lelaki, tetapi sekarang kebanyakan wanita juga adalah pemandu yang aktif (regular driver). Mereka memandu setiap hari untuk ke pejabat, malah mereka juga biasa melakukan perjalanan jauh. Oleh itu, berilah sedikit ruang kepada mereka untuk berasa selesa di dalam kenderaan mereka sendiri.

Banyak perkara yang perlu diubahsuai untuk benar-benar menjadikan kereta sesuatu yang mesra wanita. Umum mengetahui wanita adalah pemandu yang agak kurang berhati-hati (saya melihat pemanduan ibu, adik dan isteri saya), tidak pernah mempedulikan tentang kesihatan enjin dan tidak peka dengan perubahan bunyi enjin. Mungkin pembuat kereta perlu menyediakan alat elektronik yang boleh memberitahu pemandu wanita bahawa sudah tiba masanya anda menghantar kereta untuk diperiksa. Tetapi menyediakan ruang untuk meletak tas tangan adalah satu permulaan yang baik. Ia mungkin membuatkan wanita lebih cepat menggerakkan kereta kerana tidak perlu lagi mencari-cari duit syiling untuk dibayar ketika berada di plaza tol.

Kepada adik saya, cukup setakat ini saya membantu kamu. Jangan pula nanti menyuruh saya membawa keretanya untuk diservis, kerana jika semuanya saya yang lakukan, sampai bila-bila pun dia tidak akan pandai. Tetapi saya menghormati keputusannya, dan saya sangat berbangga dengannya. Kemampuannya membeli kereta yang jauh lebih mahal dari kereta saya membuktikan dia sudah berjaya di dalam hidup. Biarlah ia tidak mahal seperti kereta orang lain, tetapi apa yang lebih penting ialah ia dibeli dengan penuh semangat kekeluargaan yang dikongsi dengan ibu dan abangnya yang tersayang.



25 November 2010

Satu petua yang berguna


Suatu hari saya dipanggil oleh ketua saya yang akan berpindah tidak lama lagi. Selepas berbual tentang kerja beberapa ketika, kami mula memindahkan perbualan kepada soal-soal peribadi yang lebih ringan. Memandangkan beliau sedang berada di dalam kategori veteran, mulutnya agak ringan untuk berbicara tentang pengalaman hidup yang telah dilaluinya. Kisah tentang pengalaman perit hidupnya melalui zaman kesukaran apabila suaminya tidak mempunyai pekerjaan, majlis perkahwinan anaknya dan asam garam kehidupan rumah tangga yang dilaluinya. Suaminya kemudian memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM6,000 hasil dari wang hantaran anaknya, dan pada ketika ini syarikat suaminya sudah mempunyai aset berjumlah hampir RM1,000,000. Dia tidak putus-putus mengucapkan syukur kepada Allah kerana memberikan nikmat yang tidak terhingga itu. Lebih-lebih lagi apabila suaminya bukanlah jenis yang suka mengharap apa-apa dari kerajaan, termasuklah berulang alik ke Pejabat Tanah untuk merayu diluluskan tanah atau projek.

Apabila tiba di suatu simpang cerita, dia dengan perlahan-lahan bertanyakan kepada saya. "Kamu nak belajar satu petua bagaimana untuk doa kita dikabulkan?"

"Menarik juga puan."

"Tetapkan satu azam dan tetapkan juga tarikhnya bila azam kamu akan tercapai. Kemudian mulai dari hari ini, setiap pagi kamu bangun dari tidur, fikirkanlah tentang satu perkara yang patut kamu syukuri di dalam hidup ini. Fikirkan ia walau sekecil mana pun nikmat itu. Insya Allah, azam kamu akan tercapai di dalam masa yang kamu tetapkan. Jangan fikirkan bagaimana, bila, siapa dan mengapa azam itu boleh tercapai. Tinggalkan urusan itu kepada Allah. Tetapi jika azam itu tidak tercapai, jangan pula salahkan saya. Itu hanya satu petua." Dia lalu memberitahu secara rambang tentang doa beberapa orang yang telah dikabulkan dengan cara yang sedemikian. Ada yang meminta dipercepatkan jodoh, ditukar kerja ke tempat yang disukai dan sebagainya.

Mulai dari hari itu, saya memasang azam seperti yang dinasihatkan olehnya. Pada setiap pagi saya bangun dari tidur, saya akan memikirkan satu perkara yang boleh membuatkan saya rasa bersyukur dengan hidup ini. Setelah beberapa hari saya melakukannya, barulah saya menyedari rupanya begitu banyak benda yang patut saya ucapkan terima kasih ke atasnya.

Perbuatan saya yang didasarkan hanya untuk mencapai matlamat kecil itu rupanya memberikan kesan kepada kehidupan saya sekarang. Mulai dari hari itu, saya bangun dengan perasaan yang ceria. Malah saya menyedari dengan memikirkan tentang sesuatu yang patut saya syukuri, saya bagaikan telah melepaskan sebuah batu yang selama ini menjadi beban di pundak saya. Allah telah memberikan nikmat kepada saya dengan tiada penghujungnya, dan saya percaya pada masa depan saya mampu untuk mengharungi kehidupan dengan lebih baik lagi. Mungkin kerana perasaan ceria dan berbaik sangka kepada Allah itulah akhirnya Allah akan menjadikan azam saya menjadi kenyataan. Semoga di satu masa yang telah saya tetapkan sendiri, Allah benar-benar memakbulkan doa saya itu.

Terima kasih puan di atas nasihat yang berguna itu. Saya sangat menghargainya. Semoga puan dirahmati Allah dunia dan akhirat dan saya berdoa puan sentiasa bahagia bersama orang-orang yang tersayang. Sekiranya Allah masih belum berhasrat untuk memakbulkan doa saya pada waktu yang saya kehendaki, saya sudah berterima kasih kerana Allah menghadirkan puan di dalam hidup saya. Saya harus mensyukuri nikmat syukur itu sendiri, kerana dengan nikmat itu membuktikan saya masih lagi beriman.

24 November 2010

Selamat bercuti


Terima kasih Google




Jiran saya yang tinggal berhadapan dengan rumah bekerja sebagai seorang pembantu makmal di sebuah sekolah di sini. Ketika saya bergegas untuk ke pejabat pada hari Isnin lepas, saya menyedari beliau masih lagi belum mandi, sedang menyiram pokok bunga dengan memakai kain pelekat berwarna merah. Selalunya apabila saya membuka pintu pada waktu pagi keretanya sudah tidak ada kerana dia pergi bekerja terlalu awal. Barulah saya teringat cuti sekolah sudah pun bermula. Saya sudah diberitahu oleh adik dan ibu saya kerana mereka juga bekerja di sektor pendidikan, tetapi kerana usia saya yang semakin beranjak tua ditambah lagi dengan banyak benda bermain di fikiran membuatkan saya kadang-kadang mudah lupa.

Gembiralah mereka yang terlibat dengan cuti yang panjang ini. Sekurang-kurangnya penat lelah mereka bekerja sepanjang tahun dapat ditebus kembali dengan cuti yang baik ini. Semua guru dan pekerja yang bekerja di sektor pendidikan hanya mendapat peruntukan cuti 7 hari sahaja setahun memandangkan mereka dapat bercuti panjang, tetapi ada juga guru-guru yang tidak dapat menikmati percutian sepuas-puasnya kerana terpaksa menjadi pemeriksa kertas peperiksaan, penjaga peperiksaan dan sebagainya. Bersabarlah, semoga usaha anda semua mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Kadang-kadang saya merasa dengki juga dengan mereka yang dapat bercuti panjang kerana saya tidak dapat menikmatinya. Pekerjaan seperti saya hanya membolehkan saya bercuti semaksima 5 hari sahaja, manakala lebih dari itu perlu mendapat kebenaran khas. Tetapi apabila difikirkan semula apakah yang mahu dikesalkan. Takdir Allah menentukan rezeki saya di sini, dan takdir Allah juga menentukan rezeki cikgu-cikgu sebegitu. Mungkin memandang kepada kesenangan mereka membuatkan saya dengki, tetapi jika melihat kepada kesusahan mereka tentulah saya akan menginsafi.

Setiap pekerjaaan ada keistimewaannya. Sama-samalah kita saling menghargai kerana tanpa orang lain yang mewarnai kehidupan kita, kita mungkin menjadi manusia yang lemah. Kepada guru-guru dan pekerja sektor pendidikan sekalian, saya mengucapkan selamat bercuti. Gunakanlah cuti dengan baik untuk menjadikan ia sebagai suatu kenangan yang indah. Saya akan fokuskan kepada kerja saya. Insya Allah, suatu hari nanti saya pula akan mendapat kesenangan seperti saudara-saudara semua, dengan cara saya yang tersendiri.

11 November 2010

Cerita tentang pusar rambut


Anak tunggal saya mempunyai pusar rambut yang luas di atas kepalanya. Entah dari mana gen itu diambil saya pun tidak tahu kerana saya dan isteri tidak mempunyai pusar rambut yang sebegitu. Setiap kali kami pulang ke kampung atau dilawat oleh orang-orang tua, mereka akan mengatakan kepada saya bahawa anak saya sesuai menjadi penggembala kambing. Tidak kira di dalam nada serius atau bergurau, ramai orang-orang tua baik dari kampung ibu saya yang berketurunan Melayu, kampung ayah saya yang berketurunan Jawa atau kampung isteri saya yang berketurunan Mendailing, semuanya menyatakan perkara yang sama. Ada juga di antara mereka mendakwa pusaran rambut yang luas ini bukan hanya tertumpu kepada gembala kambing sahaja, tetapi anak saya akan berjaya sekiranya terlibat di dalam apa-apa penternakan haiwan seperti ayam, ikan dan sebagainya.

Di sebalik gurauan mereka itu, saya sangat gembira dengan 'petanda' yang terdapat di atas pusar rambut anak saya itu. Sekiranya anak saya langsung tidak berbakat pun di dalam aktiviti penternakan, ia sekurang-kurangnya memujuk hati saya bahawa anak saya akan berminat dengan penternakan haiwan. Saya sudah lama bercita-cita untuk menjadi penggembala lembu atau kambing, tetapi hajat saya itu nampaknya belum lagi dikabulkan akibat kesuntukan masa dan peluang.

Saya berpendapat anak saya dan anak-anak Malaysia yang lain amnya akan berhadapan dengan cabaran yang sangat getir apabila mereka dewasa nanti. Peluang pekerjaan pada masa ini pun sangat tipis dan terpaksa bersaing dengan ramai orang, apatah lagi pada masa hadapan mungkin bekerja makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta akan menjadi lebih mencabar. Selain dari persaingan yang ramai, bekerja makan gaji juga menuntut kepada tekanan yang tinggi dari orang-orang atasan. Dengan sebab itulah saya sedang berusaha untuk mendidik anak saya kepada membuka perniagaan sendiri terutamanya penternakan haiwan kerana ia mendapat sambutan tidak kira masa dan ketika.

Suatu masa nanti, saya sendiri berazam akan membuka perniagaan yang berasaskan haiwan ternakan. Saya sudah lama berazam untuk merealisasikannya, tetapi mungkin Allah masih belum mahu mengkabulkan hasrat saya. Saya sangat berminat dengan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing, malah melihat mereka makan atau buang air pun membuatkan saya teruja dan asyik. Akibat dari minat saya terhadap haiwan-haiwan, saya selalunya akan mengajak isteri saya ke Zoo Taiping sekiranya tiada apa kerja yang mahu dibuat pada hujung minggu.

Kepada anak saya yang dikasihi, mulalah belajar untuk mengenal hidup. Gembalalah kambing dan bukalah perniagaan kerana sesungguhnya junjungan besar kita juga melakukan perkara yang sama suatu ketika dahulu. Mungkin menggembala kambing atau membuka perniagaan kecil-kecilan dianggap suatu pekerjaan yang berkelas lebih rendah, tetapi peduli apa dengan kata-kata orang. Sekurang-kurangnya kambing tidak pernah marah kepada penggembalanya sekiranya kita lambat memberi mereka makan, tetapi orang atasan di pejabat selalu marah-marah kepada orang bawahannya.


04 November 2010

Harga kegagalan



Di antara buku kegemaran saya sepanjang zaman ialah Berani Gagal hasil karya Billy P.S. Lim. Buku ini antara lain menceritakan tentang sisi lain kehidupan yang mana ianya membuatkan semua orang fobia, iaitu berani menghadapi kegagalan. Bagi kaum Cina, gagal adalah sesuatu yang taboo di dalam masyarakatnya, malah mengucapkan kata-kata seperti jatuh, gagal, tersingkir, hitam dan lain-lain cukup sahaja membuatkan mereka bermasam muka. Ini juga adalah salah satu dari elemen ultra kiasu yang cukup sinonim yang bermaksud takut mati.

Terima kasih Billy kerana mengarang buku sehebat itu untuk tatapan saya dan pembaca lain. Selama ini buku-buku motivasi yang saya baca hanya memuatkan cara untuk berjaya, kaya, disenangi orang dan bermewah-mewah di dalam dunia. Tidak sangka pula kegagalan adalah sesuatu yang manis di dalam hidup!

Sebut sahaja siapa yang tidak pernah gagal di dalam hidup ini. Dari orang-orang berketurunan mulia, ahli politik malah orang biasa seperti saya semuanya pernah gagal di dalam apa-apa jua bidang. Ada yang gagal di dalam percintaan sehingga mempengaruhi kehidupannya selepas itu, ada yang gagal di dalam perniagaan, pelajaran dan keimanan bahkan ada yang terlalu gagal sehingga apa sahaja kerja yang dibuatnya tidak menjadi. Tetapi, cuma sedikit sahaja yang tidak malu untuk mengaku bahawa "saya pernah gagal". Mungkin kerana mengaku kita pernah gagal akan mengundang persepi yang buruk di mata orang lain.

Kita harus ingat bahawa konsep kegagalan itu hadir hanya kerana kita tidak mendapat apa yang kita ingini. Sebagai contoh, kegagalan di dalam percintaan menjelma kerana kita tidak dapat berkahwin dengan orang yang kita sayangi, kegagalan di dalam perniagaan hadir kerana kita tidak mendapat untung yang kita ingini. Di sebalik kegagalan itu sebenarnya kita mendapat sesuatu yang tidak kita ingini yang sebenarnya mungkin lebih berharga daripada apa yang kita inginkan, sedangkan kita tidak tahu harga 'kegagalan' itu.

Hari ini, esok atau lusa, harga 'kegagalan' itu mungkin memeritkan untuk kita semua. Di dalam senggang masa untuk meratapi kegagalan, kita akan menangisi dan menyesal serta bertanya-tanya mengapakah kita gagal di dalam perancangan yang kita kerjakan. Tetapi lihatlah setahun, dua tahun atau seterusnya, pada masa itu kita mungkin akan tersenyum dan berterima kasih kepada kegagalan yang pernah kita hadapi.

Tiada salahnya untuk kita gagal. Tiada salahnya juga jika kita berjaya. Kedua-duanya adalah anugerah yang tidak terhitung sebagai pengalaman untuk kita di dunia ini. Hanya kita perlu ingat, kadang-kadang kegagalan itu adalah sesuatu yang menjadi umpat keji oleh orang lain kepada kita, walhal di sudut hati kita sendiri kita sudah bersyukur kerana kegagalan itu. Apa yang perlu dirisaukan jika kita gagal? Orang lain juga pernah begitu, tetapi mereka malu untuk mengakuinya.

01 November 2010

"Rasa tak mahu pulang, hanya mahu beribadat"



"Seronok betul tinggal di sana, hati rasa tenang sahaja, rasa tak mahu pulang ke Malaysia, setiap hari hanya beribadat kepada Allah".

Ungkapan ini biasa kita dengar apabila menziarahi orang yang baru pulang dari menunaikan haji. Bukan mahu menidakkan perasaan yang mereka alami, tetapi saya merasakan ini mungkin ungkapan klise yang menunjukkan bahawa ketenangan yang mereka alami itu membuatkan mereka terlupa kepada hakikat sebenar kehidupan.

Memang benar, mereka mungkin berasa tenang sahaja sepanjang pengabdian mereka di Mekah dan ziarah di Madinah. Mungkin kerana mereka menyerahkan sepenuhnya jiwa kepada Allah Yang Maha Berkuasa, maka dengan sebab itulah Allah mencampakkan rasa ketenangan dan kenikmatan beribadat di dalam hati mereka lalu mereka terlalu asyik hingga melupakan kampung halaman. Segala puji dan syukur kepada Allah yang berkuasa membalik-balikkan hati manusia.

Mengapa mereka berasa tenang sehingga seolah-olah tidak mahu pulang? Di fikiran saya yang dangkal ini saya rasa saya mempunyai jawapannya. Mungkin di sana mereka tidak perlu memikirkan tentang soal makanan, rezeki untuk anak-anak, pekerjaan, hal-hal keduniaan yang remeh temeh dan lain-lain lagi yang menyakitkan hati. Di sana mereka memfokuskan kepada ibadat kerana hal-hal keduniaan telah mereka persiapkan sebelum keberangkatan mereka ke Mekah. Bagi yang mempunyai anak, mereka telah amanahkan kepada orang-orang yang mereka percayai. Bagi yang sedang bekerja, mereka mendapat cuti dan tidak perlu berfikir tentang urusan pekerjaan. Bagi yang berniaga, tentu sahaja mereka tinggalkan urusan perniagaan sebentar untuk mengabdi diri kepada Allah. Di Mekah, mereka tidak perlu berfikir untuk membayar cukai jalan dan cukai pendapatan, dimarahi pelanggan yang sombong, berebut menaiki kenderaan awam, membayar tol dan minyak, membayar bil-bil utiliti atau berhadapan dengan manusia yang berhati busuk.

Namun hakikat kehidupan tidaklah begitu. Kita harus pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambung kembali urusan keduniaan yang tertangguh. Kita harus berfikir untuk menyuap rezeki kepada anak-anak dan diri sendiri, menyelesaikan masalah orang lain di tempat kerja dan membuat pekerjaan yang tidak kita sukai hanya kerana terpaksa. Pada masa itulah ketenangan yang dimiliki ketika di Mekah mula menyusut sedikit demi sedikit.

Begitulah. Ketenangan, kedamaian, kesejahteraan dan kelapangan hanyalah salah satu dari putaran roda kehidupan yang kompleks. Di dalam ketenangan itulah jangan kita lupa suatu masa nanti kita akan menghadapi kesukaran, kerumitan, kesulitan dan keperitan. Pada masa itu, lazimnya kita akan mengingati saat-saat manis diulit ketenangan di Mekah suatu ketika dulu, bagi sesiapa yang pernah sampai di sana.

Saya belum pernah pergi. Semoga Allah membuka hati-Nya untuk menjemput saya ke sana sebelum saya mengadap Dia di hari perhitungan kelak.


18 October 2010

Selamat berjaya Malaysiaku

Selamat berjaya Malaysiaku,
ku harap kita semua di dalam aman dan damai,
walau saban waktu setiap harga meninggi nilainya,
walau sebilang masa ditipu pemerintah yang durjana,
selamat berjaya Malaysiaku.

Oh, semalam aku mendengar perkhabaran yang sangat gembira,
KDNK negara menjulang nilainya ke angkasa,
dengar cerita beratus peratus jumlahnya,
eloklah begitu demi kedamaian Malaysiaku,
entah apa faedahnya kepadaku aku pun tidak tahu,
mungkin mak long di Gua Musang juga setuju,
KDNK? Apa itu? Sebuah novel cinta baru?

Ya, hari ini aku mendengar khabar yang lebih sensasi,
di akhbar sana sini mereka menyebut tentang kadar inflasi,
si pemerintah menyebut inflasi kita turun lagi,
oh agaknya baguslah demi kemajuan ekonomi negara,
terima kasih kerajaan yang gigih berusaha,
makcik esah di Pendang tidak tahu apa itu inflasi,
dia mahu tahu adakah perutnya setiap hari dijamu nasi,
atau hanya mengharap kasih dan simpati,
dari pemerintah yang tidak pernah mengerti.

Oh ada lagi rupa isu-isu semasa,
dengarnya pelaburan luar negara sudah bertambah sebanyak-banyaknya,
khabarnya ekonomi negara sudah pulih seperti sediakala,
sediakala?
sediakala itu bagaimana?

Tahun lepas aku bayar minyak seringgit lima kupang sahaja,
tahun ini seringgit lapan kupang seliter cuma,
adakah bila pulih minyak akan naik harga,
jika begitu aku tak mahu sediakala,
tak perlu ekonomi pulih asalkan aku hidup bahagia.

wahai tuan-tuan pemerintah yang mulia,
kami rakyat biasa tidak mengerti apa-apa,
KDNK inflasi pelaburan GSTT atau apa-apa lagi istilah bertaraf dunia,
yang kami tahu setiap masa harga barang semakin menggila,
sedang kami lihat di kaca tv anda semua masih tersenyum bangga,
menjual istilah yang kami tidak tahu apa maknanya.

Wahai tuan-tuan pemerintah yang bijaksana,
berilah kami erti bahagia,
kami cuma mahu hidup selesa,
untuk bekalan di hari tua.

08 October 2010

Papan, menjenguk 50 tahun ke belakang


Saya berpeluang melawat pekan Papan apabila mengadakan lawatan tapak di situ baru-baru ini. Pekan Papan ialah sebuah pekan kecil yang terletak di tengah-tengah Negeri Perak dan dihuni oleh lebih kurang 100 orang penduduk. Ia didominasi oleh kaum Cina dan pekannya tidak boleh dipanggil pekan pun kerana ia sangat kecil. Walaupun begitu, pada masa dahulu ia pernah menjadi pusat pengeluaran bijih timah yang paling banyak di dunia. Sekarang pekan ini sangat sepi dan ketika saya hadir bersama beberapa kereta pacuan empat roda, orang-orang di sini memandang dengan sinis menandakan bahawa mereka jarang menerima kehadiran tetamu luar.




Pengarah filem Allahyarham Yasmin Ahmad selalu menggunakan pekan ini di dalam filem-filemnya kerana pekan ini mempunyai banyak bangunan-bangunan bercorak 1950-an. Seperti yang saya katakan tadi, oleh kerana bijih timah ialah industri yang pesat di sini sekitar tahun-tahun itu, pekan-pekan ini terbina dengan maju sekali beserta dengan kemudahan prasarana yang lengkap pada masa itu. Hari ini, bangunan-bangunan ini masih berdiri teguh tetapi agak kusam dan tidak bermaya.



Di pekan ini juga terdirinya istana lama yang digelar Istana Mendailing. Saya pun tidak tahu milik siapakah istana ini sebenarnya kerana tidak diduduki dalam tempoh yang lama. Terdapat beberapa kubur yang masih ada yang saya rasakan kubur kanak-kanak kerana saiznya yang kecil. Di sebelah istana itu juga terdapat sebuah surau yang membuktikan masyarakat Melayu menghuni sebahagian kecil kawasan Papan ini suatu masa dahulu.



Hari ini pekan legenda ini tidak sehebat zaman kegemilangannya dahulu. Jika silap percaturan oleh Kerajaan Negeri, pekan ini akan luput dari peta Negeri Perak kerana terdapat cadangan untuk melombong bijih timah yang masih ada secara besar-besaran di sini. Sekiranya perancangan ini mendapat kelulusan Kerajaan Negeri, semua bangunan-bangunan di sini akan diruntuhkan sehingga menjadi kolam besar lombong bijih seperti yang kita lihat di tempat lain.

Bangunan-bangunan di sini juga suram dan sayu seakan-akan meratapi nasibnya yang dipinggirkan. Saya menyarankan kepada pencinta sejarah supaya lawatlah pekan ini dan berilah sokongan moral kepada bangunan-bangunan yang masih ada sebelum ia hilang buat selama-lamanya. Berterima kasihlah kepada pekan ini di atas sumbangan besar bijih timah yang memungkinkan wujudnya Bandaraya Ipoh seperti yang kita lihat pada masa ini.

Nota : Bijih timah Malaya adalah penyelamat kepada ekonomi Kerajaan British sewaktu mereka mengalami 'great depression' sekitar 1900-1950.

02 October 2010

Admiralti...


Admiralti berasal dari perkataan admiral, bermaksud apa-apa yang berkaitan dengan laut sama ada yang berada di permukaannya dan di dalamnya dan termasuklah dengan apa-apa yang berada di tepi laut iaitu pelabuhan, pantai, air pasang surut, tanjung, kuala dan pulau. Mungkin definisi makna yang luas inilah yang membolehkan sebuah mahkamah dinamakan dengan Mahkamah Admiralti.

Sukar sebenarnya menyebut perkataan admiralti di dalam perkataan Melayu baku, sama ada mahu disebut 'edmairelti' atau mengikut sebutan baku iaitu 'admiralti'. Mengapa tidak saja menggunakan perkataan samudera, iaitu suatu perkataan yang berasal dari nusantara ini yang menggambarkan keseluruhan lautan seperti makna admiralti. Jelaslah, penggubal dasar kerajaan masih lagi kemandulan bahasa, dan pemegang amanah bahasa (DBP) masih lagi sedang nyenyak tidur dengan mendapat pendapatan tetap bulanan.

Semakin lama bahasa nusantara ini semakin terpinggir. Rakyat Malaysia masih lagi selesa menggunakan perkataan Inggeris yang kemudian dimelayukan kerana ianya lebih mudah dan tidak perlu susah payah berfikir. Saya berazam jika saya menjadi orang penting negara suatu hari nanti, saya akan mengubah semua dasar yang mengarut dan pemalas ini. Semenjak dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi, bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting di dunia dan bahasa terpenting di dunia tentulah mempunyai istilah yang banyak.

Jika tidak pun ditukar menjadi Mahkamah Samudera, saya akan menukarnya menjadi Mahkamah Syahbandar. Bukankah suatu masa dahulu pelabuhan Melaka ialah pelabuhan tersibuk di dunia dan siapa lagi orang yang paling bertanggungjawab mengendalikan pelabuhan tersebut jika tidak Syahbandar? Jika kita masih lagi menggunapakai Panglima sebagai panggilan untuk ketua Angkatan Tentera Darat dan Laksamana untuk ketua Angkatan Laut, maka saya tidak nampak ketidakbolehan untuk menggunakan Temenggung bagi menggantikan Ketua Polis Negara. Mungkin menggantikan Bendahara untuk Perdana Menteri dan Penghulu Bendahari untuk Menteri Kewangan nampak agak janggal, tetapi kita masih mempunyai banyak lagi istilah yang boleh ditukar untuk nampak kemelayuan.

Istilah Melayu sangat luas seperti samudera untuk orang-orang yang rajin berfikir, namun bagi orang yang pemalas mereka hanyalah seperti katak di bawah tempurung.

26 September 2010

Stress


Sejak akhir-akhir ini saya agak tertekan dengan bebanan kerja di pejabat. Mungkin beberapa faktor membuatkan saya mengalami stress, cumanya saya berharap agar perasaan stress ini tidak berpanjangan untuk tempoh yang lama. Saya pernah menghadiri satu program bersama-sama dengan pesakit klinik psikiatri dan hasil dari program itu saya dapat membuat kesimpulan, iaitu semua orang di dalam dunia ini mempunyai kecenderungan untuk menjadi gila. Saya berharap supaya saya tidak sampai ke tahap sebegitu.

Ini bukanlah kali pertama saya menghadapi tekanan sebegini di dalam hidup. Walaupun begitu, saya gagal untuk mengimbau kembali apakah yang telah saya lakukan untuk menghadapi stress pada masa yang lalu. Hasilnya kosong. Yang saya ingat, masalah yang menyebabkan saya stress itu berlalu begitu sahaja dan saya tidak stress lagi selepas itu.

Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada orang lain. Bagi saya, ketika di dalam senggang masa stress ini saya mengimpikan supaya diberikan sayap untuk terbang jauh bagi melupakan masalah yang saya hadapi. Saya terbayangkan untuk duduk bersendirian di atas gunung yang tinggi, berada berseorangan di sebuah pulau atau diberi kuasa untuk membunuh orang yang menyebabkan masalah stress saya. Melihat wajah anak saya yang tenang ketika tidur dan mengganggu saya ketika saya membuat kerja membuatkan saya terfikir betapa bertuahnya menjadi kanak-kanak.

Hakikatnya, melarikan diri jauh-jauh ke tempat yang lain tidak akan menyelesaikan masalah. Masalah bukanlah wujud untuk kita lari daripadanya, tetapi untuk kita berfikir bagaimana mengatasinya. Sekiranya kita sentiasa lari dari masalah, kita akan menjadi orang yang tidak dipercayai seterusnya tidak akan mematangkan kita di dalam apa jua urusan.

Kepada Allah saya bermohon supaya diberikan kekuatan untuk menempuh hidup yang penuh ranjau ini. Demi Allah yang saya menjadi hamba-Nya, demi ibu, isteri, anak dan sanak saudara saya yang sebilang waktu menyayangi saya, saya akan berazam untuk menjadi lelaki yang lebih kuat. Terima kasih Allah kerana memberikan perasaan stress ini, kerana dengan perasaan ini akan membuatkan saya menjadi insan yang lebih baik.

20 September 2010

Sebuah iklan di Kampar


Apabila beberapa pihak yang terlibat dengan Program Banci Penduduk dan Perumahan 2010 mengadu bahawa ada di kalangan rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa Melayu, saya sebenarnya tidak terkejut langsung kerana saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan hati itu. Saya tidak tahu apa faktor yang membuatkan mereka tidak tahu berbahasa Melayu, tetapi sikap mereka yang memandang mudah bahasa kebangsaan dan suka menggunakan bahasa ibunda sendiri sepatutnya diubah demi keharmonian penduduk Malaysia. Saya menganggap sepanjang hidup mereka tidak pernah keluar dari rumah atau tidak pernah pergi ke mana-mana pasaraya besar. Atau mungkin juga mereka terlalu bodoh sombong sehingga berasakan mereka hanya boleh hidup dengan bergaul bersama rakan sesama bangsa. Bukanlah mahu prejudis atau bersifat perkauman, tetapi hakikatnya ada segelintir kaum Cina dan India di Perak tidak tahu berbahasa Melayu. Pergilah ke Bercham, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas.

Kampar ialah sebuah pekan kecil yang terletak di tengah negeri Perak. Daerah Kampar ialah daerah paling bongsu di Negeri Perak yang baru ditubuhkan beberapa tahun yang lalu. Sebelum itu, pekan Kampar terletak di dalam daerah Kinta. Majoriti penduduk di pekan Kampar ini terdiri dari bangsa Cina dan kita dapat melihat jirat Cina yang sangat besar di atas bukit dari laluan utama. Seseorang pernah bergurau dengan saya dengan mengatakan jika masyarakat Cina membuat negara sendiri di sini pun pihak berkuasa tidak akan perasan kerana kawasan pendudukan Cina yang sangat luas.

Kampar terkenal dengan Battle of Kampar yang berlaku di suatu tempat bernama Green Ridge. Saya mendapat maklumat bahawa Green Ridge terletak di suatu tempat tidak jauh dari papan tanda ini difotokan. Walaupun begitu, saya masih gagal mencari di manakah terletaknya lokasi peperangan yang bersejarah bagi pihak British itu sehingga sekarang. Jika saya berkesempatan, suatu masa nanti saya akan meneroka beberapa kawasan bukit di sekitarnya dalam usaha untuk menjejakkan kaki di situ.

Mungkin kerana kawasan pendudukan Cina yang luas inilah sesetengah masyarakat mereka merasakan bahawa mereka tidak perlu bercampur gaul dengan penduduk dari bangsa lain. Hasilnya dapat kita lihat dengan terjemahan papan tanda di atas yang saya rasakan diterjemahkan sebutir-sebutir dari perkataan Inggeris. Tetapi sebenarnya, saya sendiri gagal mencari ayat dari bahasa Inggeris yang tepat untuk terjemahan itu.

15 September 2010

Menggagau ikan di cuti raya


Berbetulan dengan musim menuai di Negeri Kedah, saya mengambil cuti Hari Raya Aidilfitri yang lalu untuk turun ke bendang menggagau ikan. Kali terakhir saya berkesempatan untuk menggagau ikan ini ialah pada tahun 2007 kerana pada waktu itu saya masih lagi menganggur. Selepas itu, akibat desakan kerja dan jarak yang jauh dengan kampung halaman, saya sudah tidak lagi berpeluang melakukan aktiviti yang mengasyikkan ini. Bukanlah apa-apa tujuan pun sebenarnya jauh lagi kerana terdesak untuk mencari wang, tetapi aktiviti menggagau ikan ini adalah salah satu keseronokan yang tidak dapat dibayangkan oleh anak-anak bandar khususnya.

Aktiviti menggagau ikan ini dilakukan selepas habis padi dituai di sesebuah petak sawah. Pada masa dahulu tuaian dilakukan dengan kerbau bajak atau manual, tetapi sekarang semuanya menggunakan mesin tuai yang besar. Kita dapat melihat burung-burung akan mengekori mesin tuai ini di belakang kerana selalunya ikan-ikan yang mati akibat dilanggar mesin tuai menjadi hidangan yang menyelerakan buat burung-burung tersebut.

Walaupun menggagau ikan ialah satu kerja yang tidak memerlukan kepakaran yang tinggi, tetapi ia juga memerlukan sedikit pengalaman dan rasa berani. Jika sekiranya masih ada perasaan geli, takut kotor atau takut termakan selut kerana terjatuh, kita tidak akan dapat menggagau ikan dengan baik. Kemahiran ini sangat berguna lebih-lebih lagi apabila mengejar ikan yang licin seperti haruan dan keli. Cabaran besar bagi golongan kurang pakar ialah rasa sakit kerana terkena duri ikan puyu atau sengat keli, terjatuh kerana termasuk di dalam selut yang dalam atau mencari lubuk-lubuk tempat ikan bersarang manakala cabaran terbesar bagi golongan pakar ialah untuk berlumba-lumba mencari ikan terbesar. Ikan-ikan di dalam bendang tidaklah besar-besar seperti ikan di sungai, tetapi tidaklah menghairankan pula sekiranya seseorang penggagau mendapat ikan haruan sebesar lengan orang dewasa.

Selalunya ikan puyu ialah ikan yang paling banyak di dalam bendang padi. Lazim pula jika kita tergagau ikan haruan dan keli manakala ikan sepat ialah ikan yang agak jarang ditemui. Ikan puyu mempunyai duri yang tajam di sekitar siripnya dan sebenarnya tangan penggagau lebih banyak terluka akibat duri puyu berbanding sengat keli yang berbisa itu. Ikan haruan pula tidak mempunyai apa-apa senjata untuk mempertahankan diri, tetapi badannya yang licin menyukarkan penggagau mendapat ikan tersebut.

Pada musim ini saya mendapati ikan-ikan yang masih ada cuma kecil-kecil sahaja. Saya meneka ikan-ikan ini hanyalah baki yang masih ada kerana musim menuai sudah pun tiba ke penghujungnya. Mungkin juga kerana sikap manusia yang tamak kerana menggunakan renjatan elektrik telah membuatkan banyak ikan-ikan besar sudah mati. Di sepanjang perjalanan pulang, saya melihat banyak ikan-ikan kecil telah mati di parit (orang-orang Kedah memanggilnya 'kokyu') dan ia mengesahkan telahan saya bahawa ada orang yang tidak bertanggungjawab yang telah menggunakan renjatan elektrik.



Ikan-ikan puyu dan lampam yang kecil lebih sesuai dibuat ikan pekasam atau digoreng. Manakala ikan keli atau haruan boleh dibuat gulai. Rasanya? Entahlah. Ia subjektif. Tetapi bagi orang berlidah kampung seperti saya, ia jauh lebih lazat jika dimakan bersama kicap dengan sulaman sedikit ulam-ulaman bersambal belacan di tengah bendang berbanding menikmati makanan barat di hotel-hotel.

Saya bukanlah 'anak bendang' yang sejati. Kehidupan masa kecil saya lebih dipengaruhi dengan kehidupan orang pekan kerana ibu saya tidak mengerjakan sawah padi. Walaupun begitu, jika ditanya kepada saya tentang apa yang saya tahu tentang ikan darat di bendang padi, saya rasa saya boleh menjawabnya dengan baik.

04 September 2010

Kisah gelandangan yang menyedarkan


Saya tidak dapat hadir ke surau pada suatu malam Ramadhan kerana anak saya meragam dan isteri saya tidak begitu sihat. Walaupun sedikit kesal kerana malam ponteng itu ialah malam-malam 10 terakhir, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tanggungjawab kepada keluarga saya lebih penting daripada menunaikan amalan sunat terawih. Sunat terawih juga boleh dilakukan di rumah jika saya benar-benar berkehendakkannya. TV3 pada masa itu menayangkan segmen Majalah Tiga yang memaparkan kisah gelandangan di Kuala Lumpur pada bulan Ramadhan.

Ada beberapa kisah kecil diantaranya seorang lelaki ditinggalkan oleh abangnya sendiri kerana perwatakannya yang lembut selain dari golongan keluarga bermasalah dan rata-ratanya berlatar belakangkan Lorong Haji Taib yang popular itu. Ada juga dipaparkan mereka berbuka puasa beramai-ramai di kaki lima, beratur untuk mendapatkan bubur lambuk percuma di Masjid Jamek, tangisan kerana kerinduan kepada saudara mara dan penyesalan ke atas nasib malang yang tidak berkesudahan. Dengan tidak sedar saya menitiskan air mata.

Saya tidak menitiskan air mata simpati kepada nasib mereka yang ditakdirkan Tuhan itu. Sebenarnya air mata simpati itu dicurahkan kepada diri sendiri yang dirasakan lebih teruk dari mereka. Di dalam keadaan saya yang sentiasa mengadu kepada Allah kerana beberapa perkara yang remeh temeh, rupanya di sisi lain di dalam hidup ini lebih ramai yang tidak bernasib baik. Entahlah, tiba-tiba rasa malu kepada Allah Yang Maha Esa dan golongan gelandangan itu.

Saya sentiasa berasa dengki dengan kenderaan mewah yang memotong saya ketika di dalam perjalanan pergi dan pulang dari kerja. Acapkali juga saya memasang impian supaya saya diberi peluang untuk memandu kereta seperti mereka. Saya selalu merintih apabila wang gaji telah masuk pada setiap hujung bulan kerana terpaksa membayar ansuran rumah, bil utiliti, wang pinjaman pendidikan, sewa rumah dan hutang kad kredit. Saya melahirkan perasaan gelisah apabila tiba masa untuk membeli keperluan rumah kerana pada ketika itu saya berasa kantung saya akan lebih mengempis. Usai solat saya tidak pernah putus berdoa supaya saya menjadi kaya dan dilapangkan rezeki kerana merasakan hidup saya ketika ini sangat tertekan. Segalanya saya tumpukan untuk berfikir bagaimana menambah pendapatan.

Nun di celah-celah hidup gelandangan, saya percaya mereka tidak pernah mempunyai wang lebih dari RM100.00 pada satu-satu masa sedangkan nilai itu adalah sesuatu yang lumrah di dalam hidup ini. Dan saya masih menangisi tentang hidup saya yang malang ini. Aduh, malunya.

Rupanya kehidupan saya pada masa ini tidak pernah mendatangkan syukur untuk diri saya. Saya dikurniakan keluarga yang sejahtera dan damai, saudara-mara yang baik dan penyayang, rakan-rakan yang ramai yang sedia membantu, rumah dan makanan yang cukup, pekerjaan yang baik yang memungkinkan saya menguasai orang lain dan wang yang sederhana untuk keperluan. Dan sekali lagi, saya tidak pernah melahirkan ucapan terima kasih di atas kurniaan ini.

Saya bertaubat kepada Allah Yang Perkasa itu. Mungkin jika Allah meletakkan saya di tempat gelandangan itu, barulah saya tahu betapa besarnya nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kehidupan saya sekarang. Manusia yang bodoh sombong seperti saya begitulah. Ketika mana kita kehilangan sesuatu, kita akan merayu-rayu dan mengeluh seolah-olah Allah tidak pernah memerhatikan kita. Tetapi ketika di dalam keadaan senang lenang, kita masih juga berasa tidak pernah cukup.

Semoga hari-hari terakhir Ramadhan ini memberikan saya peluang untuk merayu kepada Allah supaya mengampunkan saya. Saya seorang yang sentiasa terlupa. Mungkin dua tiga bulan lagi saya akan kembali merintih tentang malangnya nasib saya dan terlupa dengan nasib gelandangan itu. Tetapi harapan saya supaya Allah tetapkan hati saya dengan sifat bersyukur kepada-Nya di atas kurniaan kehidupan yang baik yang telah diberikan kepada saya dan keluarga. Amin.

02 September 2010

Gajah, Planter's Heaven dan Emerald West


Kubu Gajah, Batu Gajah, Padang Gajah dan Kampung Gajah ialah beberapa tempat di negeri Perak yang menggunakan nama gajah. Saya kurang pasti ada tempat lain yang menggunakannya, tetapi sepanjang pengembaraan saya, inilah yang dapat saya ketahui. Dua tempat daripadanya merupakan daerah pentadbiran iaitu Kampung Gajah dan Batu Gajah.

Disebabkan terlalu banyak tempat yang menggunakan nama gajah di sini, saya merasakan gajah mendapat pengiktirafan yang istimewa daripada penduduk negeri Perak. Malah penyakit kaki gajah yang pertama di Malaysia juga dikenalpasti bermula dari negeri ini. Ia tidaklah begitu mengejutkan apabila melihat kepada struktur geografi, negeri ini mempunyai gunung ganang dan hutan belukar yang pelbagai yang menjadikan ia habitat yang sesuai untuk makhluk ini. Jika bernasib baik, kita dapat bertembung dengan gajah ketika menyusuri Lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Grik dengan Jeli. Di Hutan Simpan Belum di Daerah Hulu Perak, bertembung dengan gajah bukanlah sesuatu yang menghairankan. Malah pekan kecil seperti Lenggong juga merekodkan kehadiran gajah di beberapa perkampungannya.

Orang-orang zaman dahulu kebiasaannya akan menamakan sesebuah tempat mengikut apa yang mudah didapati atau terjadi sesuatu peristiwa yang pelik di situ. Kita dapat melihatnya melalui penamaan Kota Melaka, Alor Setar, Kuala Lumpur dan sebagainya. Jika kita mengikut konsep penamaan tempat ini kepada negeri Perak, maka kita akan mendapati bahawa gajah memang mudah didapati di negeri Perak.

Suatu masa dahulu keadaannya memang begitu. Orang-orang kampung yang 'bodoh' ini akan menamakan sesuatu mengikut apa yang mereka lihat. Tetapi orang-orang sekarang yang 'cerdik' menamakan sesuatu tempat bukan lagi kerana kebiasaan sesuatu kejadian, tetapi 'lebih kepada main ikut sedap mulut'. Sesiapa yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan dari Port Dickson hingga ke Rawang akan mengerti apa yang saya maksudkan. Bermula dari Bandar Springhill, Planter's Heaven, Bandar Bukit Mahkota, Cyberjaya sehinggalah ke Valencia dan Emerald West/East, segalanya membuatkan lidah saya tidak selesa.

Rasanya rakyat Malaysia sudah semakin malu untuk menamakan sesuatu yang cenderung kepada suasana Malaysia. Mungkin mereka merasakan bahawa menamakan sesuatu tempat dengan nama barat akan menjadikan pemikiran penduduknya lebih murni dan maju. Kemungkinan juga menamakan Valencia di Rawang akan menjadikan kawasan itu lebih sejuk seperti cuaca di Valencia, Sepanyol. Atau menamakan Cyberjaya boleh membuatkan penduduknya lebih berfikiran ke arah kemajuan daya teknologi berasaskan internet.

Sekarang perumahan-perumahan baru tidak lagi menggunakan nama Melayu. Taman Rowther, Gombak dan Bandar Baru Botani, Ipoh (sekadar menamakan beberapa tempat) adalah beberapa contoh yang menampakkan tabiat ini. Semuanya dikiblatkan kepada barat seolah-olah kita sekarang menjadi sebahagian dari benua Eropah. Suatu masa dahulu apabila nama Shah Alam, Bandar Baru Uda, Putrajaya atau Bandar Darul Aman diisytiharkan sebagai nama tempat, ia masih lagi boleh diterima kerana masih bercirikan Malaysia. Suatu masa nanti jangan terkejut pula jika hutan di kampung anda dinamakan sebagai East New York atau New Manchester.

Kecerdikan manusia sebenarnya begitulah. Lebih suka menjahanamkan dari memperbetulkan. Selepas itu kita akan merungut bahawa bahasa kita sudah semakin mundur dan menyalak ke sana sini tanpa menyalahkan diri sendiri. Menuding jari memang mudah, semudah menamakan sesuatu kawasan.

30 August 2010

Semuanya kerana gigi


Saya rasa saya akan mengingati tarikh 29 Ogos 2010 / 19 Ramadhan 1431 dengan tempoh yang lama gara-gara sebatang gigi yang berlubang. Setelah tidak dapat menahan sakit lagi walaupun berbagai cara telah dilakukan, saya mengambil keputusan untuk mencabutnya walaupun menyedari risiko terbatalnya puasa sangat tinggi. Saya bertanya-tanyakan juga kepada ibu saya apakah mencabut gigi boleh membatalkan puasa, dan dijawabnya puasa akan terbatal sekiranya mengeluarkan darah dengan sengaja. Memang jelas puasa saya akan terbatal kerana mencabut gigi geraham boleh mengakibatkan darah tidak berhenti untuk tempoh beberapa jam.

Pedih juga apabila mengenangkan rekod baik puasa saya akhirnya terpaksa dicemari dengan sengaja. Setelah berpuasa penuh selama 19 tahun Hijrah yang bersamaan dengan 18 tahun Masihi, (mula berpuasa penuh mulai Darjah 4) akhirnya kejayaan peribadi saya yang biasa-biasa pada pandangan orang itu terpaksa ditamatkan juga. Terkilan, sedih dan rasa ketinggalan.

Saya akhirnya sempat membayangkan perasaan rakan-rakan wanita yang tidak boleh berpuasa. Sekiranya saya cukup terkilan hanya kerana terpaksa ponteng satu hari, apatah lagi mereka yang akan berasa sungguh sedih kerana tidak dapat berpuasa berhari-hari. Di dalam kesempatan itu saya mengucapkan syukur pula kerana dilahirkan sebagai seorang lelaki.

Semuanya kerana gigi geraham bongsu saya yang berlubang. Selepas dicabut, saya dibenarkan membawa pulang gigi tersebut untuk disimpan atau ditanam. Apakala saya melihatnya, patutlah sakit saya tidak tertahan lagi selama beberapa hari yang lalu. Selepas Ramadhan ini saya mempunyai agenda penting untuk menebus puasa, sesuatu yang sangat janggal bagi kehidupan seorang lelaki Muslim seperti saya.

25 August 2010

Perihal doa kepada pemerintah


Terlanjur bercerita tentang doa kepada pemerintah yang menjadi bahan panas pada akhir-akhir ini, saya tidak mahu berpendirian apa-apa kerana saya sendiri tidak pernah mendengar doa yang dimaksudkan. Saya mengambil sikap berhati-hati apabila sesebuah parti politik mengeluarkan sesuatu isu kerana saya teringat firman-Nya:-

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
Al-Hujuraat : 6


Tanpa prejudis saya berpendapat Islam bukanlah agama yang kedekut untuk mendoakan pemerintah-pemerintahnya. Eloklah jika doa ditadah bagi memohon pemimpin bukan Islam yang adil supaya mereka memeluk Islam kerana doa yang sedemikian sangat murni. Saya cuma dapat melihat yang isu ini hanyalah isu maha kecil yang sama sekali tidak akan menurun atau meningkatkan undi mana-mana parti politik.

Apa yang ingin saya ceritakan ialah semenjak saya mula-mula pandai ke masjid untuk mendirikan solat Jumaat iaitu 20 tahun yang lalu, doa kepada ketua negeri/negara memang selalu dibacakan. Saya boleh menghafal setiap bait-bait doa berkenaan dan saya menyedari doanya lebih kurang sama, tidak kira ia dibacakan di Kedah, Kuala Lumpur atau Perak. Isi kandungannya adalah untuk memohon supaya disejahterakan sultan-sultan sekalian dan dipanjangkan umur bagi membolehkan mereka memerintah dengan baik. Lazimnya ketika saya masih budak, saya menyedari bahawa jemaah akan mengaminkan doa tersebut dengan kuat dan sukarela.

Namun begitu, akhir-akhir ini suasananya agak berbeza sekali di masjid tempat saya selalu bersembahyang sekarang. Doa yang dibacakan kepada pemerintah ini tidak diaminkan dengan bersemangat oleh jemaahnya. Ada pula yang saya lihat majoriti jemaah yang langsung menjatuhkan tangan apabila doa tersebut dibacakan walaupun mereka mengangkat tangan untuk doa yang sebelum-sebelum itu. Malah di beberapa masjid lain sekitar tempat saya bersolat langsung tiada doa yang dimaksudkan.

Rasanya saya dapat mengagak mengapa jemaah-jemaah masjid berperangai sedemikian. Tetapi biasalah, jika saya tuliskan di sini tentulah ia menjadi sensitif dan didakwa menghasut pula. Tetapi kerana takut dakwaan menghasut itulah agaknya rakyat negara kita, khususnya jemaah di masjid-masjid yang saya sebutkan ini akhirnya memprotes secara diam-diam. Perbuatan menjatuhkan tangan ketika doa itu dibacakan adalah perbuatan yang paling berkesan untuk menunjukkan bahawa mereka tidak suka kepada seseorang, tetapi ia juga perbuatan yang boleh dikatakan 'sah dari segi undang-undang.' Tiada apa-apa dakwaan akan dikenakan jika kita menjatuhkan tangan ketika doa dibaca untuk kesejahteraan ketua negeri/negara.

Entahlah, saya bukan orang yang bijak di dalam beragama. Saya tidak tahu sama ada isu ini besar atau tidak di sisi Allah nanti. Saya cuma memohon kepada Allah supaya sesiapa sahaja yang menggunakan agama untuk kepentingan dunia tidak kira dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, biarlah Allah membalas dengan balasan yang setimpal. Saya tidak mahu berfikir tentang isu remeh ini. Isu ini menyesakkan kepala dan dada saya.


22 August 2010

Tabung Bayi dan 'Baby Hatch'


Sekitar tahun 1993-1994, budaya bohjan dan bohsia semakin menjadi-jadi di kalangan golongan remaja pada masa itu. Istilah bohjan dan bohsia ditujukan kepada ahli masyarakat khususnya remaja yang mengamalkan seks sumbang, luar nikah dan pelacuran peringkat murahan. Golongan ini dikatakan bermula dengan budaya lepak dan dituduh menjadi agen perosak kepada budaya hidup bermasyarakat. Ya, memang benar ia menjadi perosak kepada masyarakat. Hasil dari penularan budaya seks sumbang inilah akhirnya membawa kepada gejala pembuangan bayi yang serius sekitar tahun 1995-1996. Seingat saya sepanjang saya hidup di Malaysia ini, inilah kali pertama gejala sosial yang sangat teruk telah merebak ke seluruh peringkat masyarakat. Pada masa itu, rakyat seakan-akan tidak dapat menerima kejahatan dan kekejaman manusia yang berhati binatang dengan membuang dan membunuh bayi merata-rata.

Gejala ini akhirnya tiba ke keadaan yang tidak dapat dikawal lagi. Lalu dicadangkan oleh segelintir orang supaya kerajaan menubuhkan Tabung Bayi bagi mengelakkan bayi-bayi berkenaan dibuang merata-rata. Alasannya mudah. Kerajaan akan menerima bayi ini kerana dosa yang dilakukan oleh ibu bapa sudah tinggal dosa. Apa yang penting ialah menyelamatkan nyawa. Kemudiannya cadangan ini ditentang habis-habisan oleh segelintir yang lain pula. Mereka memberi alasan yang penggunaan Tabung Bayi akan menggalakkan perlakuan seks luar nikah, sikap tidak bertanggungjawab dan menyusahkan kerajaan untuk membela bayi-bayi berkenaan. Antara yang lantang menentang penubuhan Tabung Bayi itu seingat saya ialah Mufti Perak Darul Ridzuan.

Pada masa itu saya berpendapat untuk menentang kewujudan Tabung Bayi itu.

14 tahun sudah berlalu selepas cadangan penubuhan Tabung Bayi ditentang habis-habisan tanpa sempat merealisasikannya. Pada tahun 2010 ini sekali lagi gejala pembuangan bayi menular dengan drastik. Walaupun begitu, rakyat Malaysia sudah kurang sensitif dengan berita-berita ini mungkin kerana sudah lali dengan gejala sosial yang mula membarah. Sekali lagi penubuhan Tabung Bayi dicadangkan dengan menggunakan nama yang lain, Baby Hatch.

Tidak seperti tahun 1995-1996, penubuhan Baby Hatch ini tidak mendapat reaksi penentangan yang besar. Malah ia ditubuhkan tanpa merujuk kepada apa-apa rundingan dengan rakyat, dan sedar-sedar kita telah mendapat 2 orang bayi Baby Hatch. Bayi ini akan dijaga oleh Jabatan Kebajikan dan mungkin pula akan dibela oleh keluarga-keluarga yang berminat.

Rupa-rupanya 14 tahun ialah masa yang lama untuk kita melupakan prinsip kita suatu masa dahulu. Sekarang tiada lagi tentangan yang keterlaluan kepada Baby Hatch, malah saya juga tidak mendengar apa-apa komen dari Mufti Perak Darul Ridzuan berkenaan perkara ini. Mungkin suatu masa dahulu kita menentangnya kerana nama Tabung Bayi tidak komersial. Sekarang kita menggunakan Baby Hatch, ia jauh lebih 'bertamadun' sesuai dengan kehendak semasa. Orang yang menggunakan Baby Hatch 'kurang berdosa' jika dibandingkan dengan orang yang menggunakan Tabung Bayi, malah penggunaan nama Baby Hatch juga sama sekali tidak akan menggalakkan perlakuan seks luar nikah. Mana tahu.

Sekarang pun saya masih menentang kewujudan Baby Hatch ini.


20 August 2010

Sejenak : Your comment was published

Saya memohon maaf sekiranya sedikit pengemaskinian blog saya menyukarkan orang lain untuk memberikan pendapat. Apabila saya menyemak kembali tulisan-tulisan saya yang terdahulu, saya mendapati terdapat komen-komen yang diberikan oleh rakan-rakan yang mulia kepada tulisan-tulisan saya yang lama. Di atas komen yang diberikan, saya mengucapkan terima kasih dan sangat menghargainya.

Walaupun begitu, saya berkemungkinan akan terlepas pandang komen-komen berkenaan kerana ada komen diberikan kepada tulisan saya yang terlalu lama. Oleh yang demikian, saya membuat keputusan supaya setiap tulisan saya yang berusia lebih dari 7 hari akan diletakkan di dalam senarai kelulusan (approval) saya dahulu. Ia bertujuan untuk saya tidak terlepas pandang kepada komen-komen yang diberikan. Sejujurnya tindakan saya ini bukanlah berniat untuk menapis sebarang tulisan yang tidak selari dengan pendapat saya.

Saya mengucapkan terima kasih dan sangat menghargai setiap tulisan dari pengunjung-pengunjung blog saya. Di atas tulisan-tulisan anda semua minda saya sentiasa berkembang untuk berfikir ke arah yang lebih baik. Walaupun blog saya lebih menjurus kepada kehidupan peribadi yang dekat dengan saya, tetapi saya sentiasa percaya bahawa mendengar pendapat orang lain akan menjadikan kita lebih 'merdeka'.

11 August 2010

Perihal saf depan

"Sekiranya kamu semua tahu ganjaran pahala bagi orang yang bersolat di saf depan, nescaya kamu semua akan terpaksa memutuskannya dengan mengundi."

Inilah makna sepotong hadis yang disabdakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Saya berharap makna sebenar hadis ini tidak lari kerana saya tidak ingat kandungan (matan) hadis itu yang tepat. Apa yang pasti, hadis ini menceritakan tentang ganjaran besar kepada orang yang bersembahyang di saf hadapan ketika solat berjamaah sehinggakan jika manusia nampak besarnya ganjaran itu, maka mereka terpaksa mengundi untuk berada di situ. Setakat yang saya tahu, tidak ada pula mana-mana masjid yang menganjurkan undian ini kerana semua umat Islam bagai mengerti aturannya. Siapa yang datang awal akan berada di hadapan, manakala siapa yang datang lewat akan berada di saf belakang.

Ada sesetengah masyarakat Melayu kita yang kadang-kadang mengambil sesuatu ajaran itu secara separuh-separuh. Amalan separuh-separuh ini bagaikan sudah berakar di dalam sanubari orang Islam kerana ilmu pengetahuan mereka yang kurang, atau sengaja membutakan diri ke arah kebenaran. Hadis ini perlu juga dibaca bersama-sama dengan hadis lain yang mengajak kepada keadilan, persaudaraan dan akhlak yang mulia. Sekiranya kita terlambat datang ke masjid atau surau untuk mengerjakan sembahyang berjamaah, kita haruslah akur dengan kelewatan itu dan tidak berusaha pula untuk memotong barisan yang telah bersedia di hadapan. Bukankah sesuatu yang kurang adab jika kita berasak-asak juga untuk ke hadapan dan menghimpit orang lain semata-mata untuk memenuhi tuntutan hadis di atas?

Di dalam bulan Ramadhan ini masjid-masjid dan surau-surau menjadi tumpuan pada malam hari dengan orang Islam mula berebut-rebut ganjaran pahala yang tidak terhitung banyaknya. Di dalam usaha kita menambah pahala ini, janganlah pula kita mengecilkan hati orang lain dengan sikap kita yang tidak berakhlak. Adalah lebih baik sekiranya kita bersolat berseorangan di rumah daripada kita pergi berjemaah tetapi kemudiannya perbuatan kita mengguris hati orang lain. Sesungguhnya asas perhubungan Islam itu terjalin di dalam tiga cara iaitu perhubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain. Jika kita menjaga perhubungan yang baik dengan Allah tetapi memandang enteng hal-hal yang lain, ia tidaklah bertepatan dengan konsep Islam itu sendiri.

Pada kesempatan di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya mengingatkan diri saya sendiri dan rakan-rakan yang mengunjungi blog saya supaya sentiasa berhemah di dalam amalan kita. Sekiranya kita terlewat datang ke masjid, akurlah untuk berada di belakang. Perbuatan kita yang menghimpit orang lain semata-mata untuk berada di saf hadapan akan menimbulkan sakit hati dan jelik kepada orang lain. Biarlah kita mendapat pahala yang sedikit daripada kita mendapat pahala yang banyak tetapi dalam masa yang sama kita juga mendapat dosa kerana tidak menjaga hati orang lain.

07 August 2010

Facebook cara saya


Tidak perlulah lagi saya perkatakan tentang apa yang boleh kita lakukan di Facebook kerana semua orang sudah mengetahuinya. Saya melihat kecenderungan ramai rakan-rakan saya yang meluahkan segala-galanya di Facebook, berkongsi saat suka duka, meletakkan gambar perkahwinan, kelahiran anak, melancong ke luar negara, pencapaian peribadi dan sebagainya di sana. Malah adakalanya dikirimkan perkara yang entah apa-apa seperti bertemu dengan jejaka kacak, anak sudah pandai berjalan, dipuji oleh ketua jabatan atau lapar kerana tidak berselera untuk makan. Ada pula yang setiap saat sentiasa mengeluh dengan kehidupan seolah-olah rahmat Allah tidak pernah turun kepadanya. Saya tidak kisah dengan itu semua. Cuma kadang-kadang saya agak jelak dengan sesetengah orang yang mengemaskini status mereka beberapa minit sekali, seolah-olah perjalanan hidup mereka begitu penting untuk diketahui oleh orang lain.

Saya pernah ditanya oleh beberapa orang rakan mengapa saya tidak meletakkan gambar isteri dan anak saya di dalam koleksi foto saya. Lalu saya katakan bahawa mereka adalah harta peribadi saya yang tidak ternilai, dan saya tidak berniat untuk berkongsi wajah mereka dengan cara yang sebegitu. Sekiranya mereka ingin berkenal-kenal dengan keluarga saya, datanglah dan berjumpa secara realiti kerana itu lebih baik dari mengenal secara maya. Hasil dari jawapan saya itu akhirnya saya terpaksa mendengar ceramah percuma dari mereka. Lalu dikatakanlah bahawa saya kolot, tidak mesra dan mengada-ngada.

Biarlah. Saya tidak peduli dengan kata-kata nista orang lain. Sekiranya saya mahu mengambil berat dengan kata-kata orang lain, pening kepala saya untuk melayan mereka kerana setiap orang punya pendapat tersendiri. Bagi saya, di dalam hidup ini ada perkara yang boleh dikongsi dengan orang lain dan ada pula yang tidak. Jika sekiranya semua perkara ingin dikongsikan dengan orang lain di dalam Facebook, apa pula yang tinggal untuk menjadi kenangan istimewa kepada diri saya sendiri. Jika saya berjalan-jalan dengan suasana romantis bersama isteri, anak saya baru bercerai susu atau sebagainya, ia bukanlah menjadi kudis kepada orang lain pun. Lalu untuk apa pula saya menghebahkannya ke serata alam?

Bayangkan sekiranya saya telah membeli sesuatu yang berharga, lalu saya menghebahkannya di Facebook. Kemudian apabila saya berjumpa seseorang secara realiti dan saya ingin berkongsi sesuatu dengannya tentang perkara itu, lalu dia katakan, "ohhhh, itu telah kau ceritakan di dalam Facebook." Mungkin saya akan berasa malu.

Saya tidak tahu apa pendapat orang lain tentang perkara ini. Tetapi untuk sehingga hari ini, inilah pendirian saya terhadap Facebook. Maafkan saya jika ada orang yang terasa dengan tulisan ini kerana saya tidak menujukan kepada sesiapa. Saya masih mahu begini. Facebook bukanlah tempat yang sesuai untuk saya dan keluarga kerana harga diri keluarga saya lebih tinggi nilainya untuk dikongsi di tempat yang sebegitu. Jika mereka rasa pendapat saya tidak kena, silakanlah. Tidak ada apa-apa kemudaratan baik kepada saya atau kepada sesiapa pun.