11 August 2010

Perihal saf depan

"Sekiranya kamu semua tahu ganjaran pahala bagi orang yang bersolat di saf depan, nescaya kamu semua akan terpaksa memutuskannya dengan mengundi."

Inilah makna sepotong hadis yang disabdakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Saya berharap makna sebenar hadis ini tidak lari kerana saya tidak ingat kandungan (matan) hadis itu yang tepat. Apa yang pasti, hadis ini menceritakan tentang ganjaran besar kepada orang yang bersembahyang di saf hadapan ketika solat berjamaah sehinggakan jika manusia nampak besarnya ganjaran itu, maka mereka terpaksa mengundi untuk berada di situ. Setakat yang saya tahu, tidak ada pula mana-mana masjid yang menganjurkan undian ini kerana semua umat Islam bagai mengerti aturannya. Siapa yang datang awal akan berada di hadapan, manakala siapa yang datang lewat akan berada di saf belakang.

Ada sesetengah masyarakat Melayu kita yang kadang-kadang mengambil sesuatu ajaran itu secara separuh-separuh. Amalan separuh-separuh ini bagaikan sudah berakar di dalam sanubari orang Islam kerana ilmu pengetahuan mereka yang kurang, atau sengaja membutakan diri ke arah kebenaran. Hadis ini perlu juga dibaca bersama-sama dengan hadis lain yang mengajak kepada keadilan, persaudaraan dan akhlak yang mulia. Sekiranya kita terlambat datang ke masjid atau surau untuk mengerjakan sembahyang berjamaah, kita haruslah akur dengan kelewatan itu dan tidak berusaha pula untuk memotong barisan yang telah bersedia di hadapan. Bukankah sesuatu yang kurang adab jika kita berasak-asak juga untuk ke hadapan dan menghimpit orang lain semata-mata untuk memenuhi tuntutan hadis di atas?

Di dalam bulan Ramadhan ini masjid-masjid dan surau-surau menjadi tumpuan pada malam hari dengan orang Islam mula berebut-rebut ganjaran pahala yang tidak terhitung banyaknya. Di dalam usaha kita menambah pahala ini, janganlah pula kita mengecilkan hati orang lain dengan sikap kita yang tidak berakhlak. Adalah lebih baik sekiranya kita bersolat berseorangan di rumah daripada kita pergi berjemaah tetapi kemudiannya perbuatan kita mengguris hati orang lain. Sesungguhnya asas perhubungan Islam itu terjalin di dalam tiga cara iaitu perhubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain. Jika kita menjaga perhubungan yang baik dengan Allah tetapi memandang enteng hal-hal yang lain, ia tidaklah bertepatan dengan konsep Islam itu sendiri.

Pada kesempatan di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya mengingatkan diri saya sendiri dan rakan-rakan yang mengunjungi blog saya supaya sentiasa berhemah di dalam amalan kita. Sekiranya kita terlewat datang ke masjid, akurlah untuk berada di belakang. Perbuatan kita yang menghimpit orang lain semata-mata untuk berada di saf hadapan akan menimbulkan sakit hati dan jelik kepada orang lain. Biarlah kita mendapat pahala yang sedikit daripada kita mendapat pahala yang banyak tetapi dalam masa yang sama kita juga mendapat dosa kerana tidak menjaga hati orang lain.

1 comment:

DKosongLapan said...

Salam tuan tanah....
AMalan separuh-separuh ni la yang bahaya.....sbbnye mula2 dia jadi amalan kita...kemudian disampaikan pada anak-anak kita.....kemudian sampai la generasi yg keberapa...jadila kita golongan yg separuh-separuh....camne la amalan kita masa tu ye??? diterima ato tidak??