01 November 2010

"Rasa tak mahu pulang, hanya mahu beribadat"



"Seronok betul tinggal di sana, hati rasa tenang sahaja, rasa tak mahu pulang ke Malaysia, setiap hari hanya beribadat kepada Allah".

Ungkapan ini biasa kita dengar apabila menziarahi orang yang baru pulang dari menunaikan haji. Bukan mahu menidakkan perasaan yang mereka alami, tetapi saya merasakan ini mungkin ungkapan klise yang menunjukkan bahawa ketenangan yang mereka alami itu membuatkan mereka terlupa kepada hakikat sebenar kehidupan.

Memang benar, mereka mungkin berasa tenang sahaja sepanjang pengabdian mereka di Mekah dan ziarah di Madinah. Mungkin kerana mereka menyerahkan sepenuhnya jiwa kepada Allah Yang Maha Berkuasa, maka dengan sebab itulah Allah mencampakkan rasa ketenangan dan kenikmatan beribadat di dalam hati mereka lalu mereka terlalu asyik hingga melupakan kampung halaman. Segala puji dan syukur kepada Allah yang berkuasa membalik-balikkan hati manusia.

Mengapa mereka berasa tenang sehingga seolah-olah tidak mahu pulang? Di fikiran saya yang dangkal ini saya rasa saya mempunyai jawapannya. Mungkin di sana mereka tidak perlu memikirkan tentang soal makanan, rezeki untuk anak-anak, pekerjaan, hal-hal keduniaan yang remeh temeh dan lain-lain lagi yang menyakitkan hati. Di sana mereka memfokuskan kepada ibadat kerana hal-hal keduniaan telah mereka persiapkan sebelum keberangkatan mereka ke Mekah. Bagi yang mempunyai anak, mereka telah amanahkan kepada orang-orang yang mereka percayai. Bagi yang sedang bekerja, mereka mendapat cuti dan tidak perlu berfikir tentang urusan pekerjaan. Bagi yang berniaga, tentu sahaja mereka tinggalkan urusan perniagaan sebentar untuk mengabdi diri kepada Allah. Di Mekah, mereka tidak perlu berfikir untuk membayar cukai jalan dan cukai pendapatan, dimarahi pelanggan yang sombong, berebut menaiki kenderaan awam, membayar tol dan minyak, membayar bil-bil utiliti atau berhadapan dengan manusia yang berhati busuk.

Namun hakikat kehidupan tidaklah begitu. Kita harus pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambung kembali urusan keduniaan yang tertangguh. Kita harus berfikir untuk menyuap rezeki kepada anak-anak dan diri sendiri, menyelesaikan masalah orang lain di tempat kerja dan membuat pekerjaan yang tidak kita sukai hanya kerana terpaksa. Pada masa itulah ketenangan yang dimiliki ketika di Mekah mula menyusut sedikit demi sedikit.

Begitulah. Ketenangan, kedamaian, kesejahteraan dan kelapangan hanyalah salah satu dari putaran roda kehidupan yang kompleks. Di dalam ketenangan itulah jangan kita lupa suatu masa nanti kita akan menghadapi kesukaran, kerumitan, kesulitan dan keperitan. Pada masa itu, lazimnya kita akan mengingati saat-saat manis diulit ketenangan di Mekah suatu ketika dulu, bagi sesiapa yang pernah sampai di sana.

Saya belum pernah pergi. Semoga Allah membuka hati-Nya untuk menjemput saya ke sana sebelum saya mengadap Dia di hari perhitungan kelak.


6 comments:

yg_indah said...

aku pun dah lama rancang nak ke sana.tapi simpan duit tak pernah cukup.mgkin nnt kita leh pi sana sama2.insylah.

a.samad jaafar said...

kupasan yang cukup baik kelisa.. tahniah.. Abang teman orang kuat tabung haji..kalo ikut kate die.. oghang cakap tak puah duduk mekah tu, biasenye bile udoh sampei sini je.. mase di sane ghamei yg ngelupo nok balik...kate di die le.. mungkin mcm mike cakap.. bila tibe sini banyok sgt kene pikio yak.. baghu la deme tawu ttg indahnye Mekah tu..

eMMe said...

Tak tahu bila dpt jejak kan kaki di Tanah Suci Mekah...moh le kite mengerjakan Haji bila dah sampai masanya...InsyaAllah...sampai gak kat sane...

Yop, mE ade tag mike, jwp jgn tak jwp, hahahha...opssss over pulak...

sekamar rindu said...

salam..

moga kita dipanjangkan umur dan dijemput allah ke mekah..amin

kelisa_samudera said...

yg indah : duit aku dah cukup. tahun depan mmg patut boleh pi. lama dah tabung haji tipon aku bila nak pi. duit bini plak tak cukup. anak plak kecik lagi. nmpak gaya tahun depan tak dapat lagi. tu la yg dikata anak dan isteri fitnah kehidupan.

samad : abang kamu takde ke nak buat pakej pegi mekah free? kekeke. kalo ade kamu hello aku ye.

kelisa_samudera said...

emme : kalo dipanggey Allah, merangkak menyusur pun kita pasti akan sampai.

sekamar rindu : amin...