04 September 2010

Kisah gelandangan yang menyedarkan


Saya tidak dapat hadir ke surau pada suatu malam Ramadhan kerana anak saya meragam dan isteri saya tidak begitu sihat. Walaupun sedikit kesal kerana malam ponteng itu ialah malam-malam 10 terakhir, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tanggungjawab kepada keluarga saya lebih penting daripada menunaikan amalan sunat terawih. Sunat terawih juga boleh dilakukan di rumah jika saya benar-benar berkehendakkannya. TV3 pada masa itu menayangkan segmen Majalah Tiga yang memaparkan kisah gelandangan di Kuala Lumpur pada bulan Ramadhan.

Ada beberapa kisah kecil diantaranya seorang lelaki ditinggalkan oleh abangnya sendiri kerana perwatakannya yang lembut selain dari golongan keluarga bermasalah dan rata-ratanya berlatar belakangkan Lorong Haji Taib yang popular itu. Ada juga dipaparkan mereka berbuka puasa beramai-ramai di kaki lima, beratur untuk mendapatkan bubur lambuk percuma di Masjid Jamek, tangisan kerana kerinduan kepada saudara mara dan penyesalan ke atas nasib malang yang tidak berkesudahan. Dengan tidak sedar saya menitiskan air mata.

Saya tidak menitiskan air mata simpati kepada nasib mereka yang ditakdirkan Tuhan itu. Sebenarnya air mata simpati itu dicurahkan kepada diri sendiri yang dirasakan lebih teruk dari mereka. Di dalam keadaan saya yang sentiasa mengadu kepada Allah kerana beberapa perkara yang remeh temeh, rupanya di sisi lain di dalam hidup ini lebih ramai yang tidak bernasib baik. Entahlah, tiba-tiba rasa malu kepada Allah Yang Maha Esa dan golongan gelandangan itu.

Saya sentiasa berasa dengki dengan kenderaan mewah yang memotong saya ketika di dalam perjalanan pergi dan pulang dari kerja. Acapkali juga saya memasang impian supaya saya diberi peluang untuk memandu kereta seperti mereka. Saya selalu merintih apabila wang gaji telah masuk pada setiap hujung bulan kerana terpaksa membayar ansuran rumah, bil utiliti, wang pinjaman pendidikan, sewa rumah dan hutang kad kredit. Saya melahirkan perasaan gelisah apabila tiba masa untuk membeli keperluan rumah kerana pada ketika itu saya berasa kantung saya akan lebih mengempis. Usai solat saya tidak pernah putus berdoa supaya saya menjadi kaya dan dilapangkan rezeki kerana merasakan hidup saya ketika ini sangat tertekan. Segalanya saya tumpukan untuk berfikir bagaimana menambah pendapatan.

Nun di celah-celah hidup gelandangan, saya percaya mereka tidak pernah mempunyai wang lebih dari RM100.00 pada satu-satu masa sedangkan nilai itu adalah sesuatu yang lumrah di dalam hidup ini. Dan saya masih menangisi tentang hidup saya yang malang ini. Aduh, malunya.

Rupanya kehidupan saya pada masa ini tidak pernah mendatangkan syukur untuk diri saya. Saya dikurniakan keluarga yang sejahtera dan damai, saudara-mara yang baik dan penyayang, rakan-rakan yang ramai yang sedia membantu, rumah dan makanan yang cukup, pekerjaan yang baik yang memungkinkan saya menguasai orang lain dan wang yang sederhana untuk keperluan. Dan sekali lagi, saya tidak pernah melahirkan ucapan terima kasih di atas kurniaan ini.

Saya bertaubat kepada Allah Yang Perkasa itu. Mungkin jika Allah meletakkan saya di tempat gelandangan itu, barulah saya tahu betapa besarnya nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kehidupan saya sekarang. Manusia yang bodoh sombong seperti saya begitulah. Ketika mana kita kehilangan sesuatu, kita akan merayu-rayu dan mengeluh seolah-olah Allah tidak pernah memerhatikan kita. Tetapi ketika di dalam keadaan senang lenang, kita masih juga berasa tidak pernah cukup.

Semoga hari-hari terakhir Ramadhan ini memberikan saya peluang untuk merayu kepada Allah supaya mengampunkan saya. Saya seorang yang sentiasa terlupa. Mungkin dua tiga bulan lagi saya akan kembali merintih tentang malangnya nasib saya dan terlupa dengan nasib gelandangan itu. Tetapi harapan saya supaya Allah tetapkan hati saya dengan sifat bersyukur kepada-Nya di atas kurniaan kehidupan yang baik yang telah diberikan kepada saya dan keluarga. Amin.

7 comments:

DKosongLapan said...

Errmm.....
Bile kite ghase kite susah ....
ghupenye ade lagi yg lebih susah daghi kite....
seperkare lagi....
ghupenye ade lagi golongan tak beghumah kat Malaysia dah Merdeka 53 tahun ni!

Nailofar said...

Saya pun tengok kisah masyarakat yang hidup bergelandangan tanpa rumah mahupun makanan tu..Rasa insaf menyelinap diri tapi dalam pada itu saya juga kerap terlupa untuk bersyukur di atas kurnia NYA..walaupun sukar hidup senang (duit yang cukup untuk sepanjang bulan), saya ada rumah untuk berteduh dan walaupun tidak mewah, di saat2 terdesak, ada megi untuk dicelur..huhu..Ya Allah, jadikanlah kami semua hambaMU yang bersyukur..Ameeen..

yg_indah said...

aku ada baca dlm buku 'la tahzan': kalau merasa sedih akan kerasnya kasut yg dipakai, lihatlah pada mereka yg tidak berkasut (lebih kurg maksudnya). jaga anak isteri juga ibadat yg dpt byk pahala.menafkahkan mereka dianggap sedekah.ibadah bukan hny di surau.

hg blk mana raya ni?

kelisa_samudera said...

D : 53 tahun kalo mentaliti tak berubah, tak guna jugak.

nailofar : betul2. tapi kita mmg selalu lupa. dah nama pun manusia.

yg_indah : aku raya away tahun ni. raya ketiga baru balik kedah. hang nak mai rumah ka?

a.samad jaafar said...

catatan yg menarik.. jadi follower ye..

kelisa_samudera said...

a samad : terima kasih. boleh link ke blog.

Chaeir Shahir said...

1st