08 December 2010

Sekarang ialah istilah Tan Sri


Salah seorang Datuk. Terima kasih Google.

Saya jarang sekali menonton drama-drama Melayu kerana setiap kali saya cuba menontonnya, ia hanya akan bertahan tidak sampai 15 minit. Drama Melayu sekarang ibarat seorang anak gadis yang disolek dengan beberapa cara. Metaforanya, dia mempunyai sebatang tubuh yang sama tetapi disolek dengan kosmetik berbeza setiap hari. Gadis itu pula lama kelamaan menjadi semakin tua dan kosmetiknya pun tidak pernah diubah untuk menyesuaikan dengan wajahnya. Skrip drama Melayu tidak pernah berubah dari satu drama ke satu drama, plot penggambarannya longgar dan mesej yang ingin disampaikan pun lebih kurang walaupun tidak pernah sampai ke dalam hati, lalu saya merasakan ia tidak begitu bernilai untuk menghabiskan masa beberapa jam hanya untuk menonton sebuah drama Melayu. Dengan sebab itulah saya terpaksa melanggan Astro, bukan kerana saya banyak wang tetapi kerana mahu mencari hiburan yang berkualiti. Saya percaya ramai rakyat Malaysia seperti saya.

Drama-drama Melayu di televisyen sekarang banyak berkisar kepada golongan ekspatriat dan mewah. Landskap penggambaran hanyalah di premis-premis perniagaan yang mewah, rumah besar dilengkapi perabot yang mahal, kisah anak orang kenamaan yang suka bermain motokar dan juga kisah kejujuran orang miskin di tengah-tengah khalayak kaya. Oh, begitu membosankan. Ia bukanlah dunia saya, dan kerana ia bukan dunia saya, saya tidak berminat untuk menontonnya. Saya percaya jika kita konsisten menonton drama Melayu sekarang, ada satu perkataan yang sangat popular untuk digunakan. Tan Sri.

Suatu waktu dahulu istilah Datuk sangat popular di dalam drama-drama Melayu apabila ia berkaitan dengan golongan-golongan kaya ini. Tetapi sekarang mungkin kerana sudah terlalu banyak lambakan Datuk di Malaysia, pengusaha drama menganggap ia tidak lagi eksklusif dan menukarnya kepada istilah Tan Sri. Ia bagaikan perlumbaan pula untuk menentukan siapa yang lebih hebat dan ternama. Seperti senangnya seseorang mendapat gelaran Datuk dari Negeri Melaka dan Pahang, begitu jugalah senangnya pengusaha drama menggunakan gelaran kebesaran ini di dalam drama mereka.

Sekurang-kurangnya drama Melayu telah memberi jasa kepada rakyat seperti kita. Mereka telah menunjukkan kepada penonton-penontonnya bahawa gelaran Datuk sekarang sudah tidak berguna lagi di Malaysia. Campak sahaja seketul batu di kawasan orang ramai, kemungkinan ia akan mengenai kepala seorang Datuk. Tidak mustahil pula suatu masa nanti istilah Tan Sri ini sudah tidak berharga lagi. Pada masa itu pengusaha-pengusaha drama ini mungkin akan menggunakan istilah kebesaran terakhir iaitu Tun. Maka Jalaluddin Hassan, Rahim Razali dan beberapa muka klise lagi akan berpeluang untuk dipanggil Tun di dalam drama mereka.

5 comments:

a.samad jaafar said...

kelisa..teman setuju betui ngan mike.. getek betui nengok drama melayu.. paling teman pantang kalo ada yang menggambokan golongan berserban ni busuk hati dan kolot.. yang pakai tudung kuat cemburu dan salah sangka.. yg idok bertudung baik dan matang.. bini ngan anak meninggi suara pada suami dan ayah..ternyata drama melayu kebanyakanyan..maksudnya bukan semua.. seperti membodohkan penonton.. errr. sinetron indon lagi teruk yak..

tinuj said...

Salam tuan,
Ghamei juge tak beghape gemo ngan drama melayuni temasuk teman le, tu sebabnye udah ghamei muat blog sendighi salah satu caghe ngilangkan boring nengok drama melayu. Drama kiteni oghang dah dapat agak penyudah ceghitenye. Tambah jaman la ni pelakun wanitanya kalo tak mukak oghat tak sah belakun,nameje islam...Maap ngumpat sikit.

shahrilhakime said...

Drama Melayu ni mane le ndak tunjok ceghite oghang MElayu susah2.......asik ditunjok semuenye gah.....ghumah beso....keghete beso.......ce deme tunjok oghang2 kampong yang susah gile...yang tak dapat bantuan...yang tak dapat maanpaat daghi kenaikan rege minyak tu...... itu yang ghamei oghang melayu jadi budus tu......asik tengok ceghite budus!!

eMMe said...

baik tgk citer hindustan, hehehe...

Anonymous said...

salam...

itulah cerita melayu masih berada di dalam ruang lingkup yang belum meluas..

berkisar dengan kontrak berjuta..perebutan tander, konfik akibat perbezaan kedudukan...
cerita hindustan pun layan.....