28 September 2009

Laisa al-fata man yaquulu kaana abi

Syair Arab di atas bermakna, "tidak dikatakan seseorang itu sebagai pemuda apabila dia menunjukkan kemewahan dan pangkatnya dan berkata, ini ialah hasil turun temurun dari nenek moyangku." Syair itu ada sambungannya yang bermaksud, "adalah dikatakan pemuda apabila seseorang menunjukkan kemewahan dan pangkatnya dan berkata, ini ialah kemegahan yang aku perolehi dari usaha sendiri."

Hari ini sudah banyak orang yang tidak sedar diri ingin dibelai oleh orang lain hanya semata-mata dia anak orang berada dan berpangkat besar. Ayah mereka selalunya bergelar Datuk atau apa-apa sahaja gelaran kebesaran dunia. Mereka ini pula selalunya dari jenis kupu-kupu malam (tidak kira lelaki atau perempuan) yang suka berlibur di kelab-kelab eksklusif. Kelab-kelab ini tidak mampu dimasuki oleh golongan haprak-haprak. Cuma anak orang kaya sahaja. Dan selalunya pula, mereka dikenali sebagai golongan yang minat pada kereta mewah, bercuti di luar negeri dan berpakaian mahal. Saya harus akui mereka ini tahapnya lebih berprestij dari golongan murahan mat rempit.

Namun begitu, apa yang melucukan ialah mereka hanya mengusung kereta atau tinggal di rumah kepunyaan bapa-bapa mereka sahaja. Jika ditanya pada golongan ini akan berapa banyak harta yang dikumpul menggunakan titik peluh sendiri atau mendapat kerja tanpa menggunakan kabel bapa mereka, hanya segelintir kecil sahaja. Yang lain secara tidak bermaruahnya menggunakan jerih perih bapa mereka untuk menikmati kemewahan dunia.

Suatu hari seorang kakitangan saya masuk ke bilik dan berkata, "Encik, anak Tan Sri ********* mahu berjumpa encik pasal tanah." Saya katakan kembali pada dia, "peduli apa saya dengan anak dia. Saya banyak kerja." Dan anak Tan Sri ********** itu pulang tanpa dapat berjumpa dengan saya.

Saya puas. Saya harus ingatkan pada anak Tan Sri itu, siapa pun bapanya, dia harus mengikut prosedur dalam urusan kerajaan. Bukannya datang berjumpa saya dan berkata, saya mahu itu dan ini. Bolehkan anda tolong buatkan untuk saya? Jika dia datang dan berkata seperti itu kepada saya, saya akan jawab pergi mampus! Jika pun orang lain tidak setegas saya dalam soal ini, sekurang-kurangnya saya sudah memberi khidmat tanpa memilih bulu di dalam urusan kerja saya. Saya puas. Saya telah menyumbang sesuatu kepada makcik-makcik atau pakcik-pakcik di pedalaman yang bukan anak mana-mana Datuk. Makcik-makcik dan pakcik-pakcik itu lebih layak dibantu dari anak Tan Sri ini.

Wahai anak-anak Datuk, Tan Sri atau apa lagi yang saya tak tahu, kalau anda mahu menjadi penyanyi, kalau anda mahu berkahwin dengan artis, kalau anda mahu beribu tirikan artis terkenal, kalau anda mahu tunggang terbalik minum air kencing syaitan di kelab-kelab malam, kalau anda mahu menjadi pelumba kereta, kalau anda mahu menjadi ahli perniagaan yang menggunakan kabel ayah tersayang atau kalau anda mahu mengikut jejak langkah ayah tercinta untuk menjadi ahli politik, pergilah. Saya peduli apa. Tapi tolong jangan ganggu kerja saya. Saya mahu menjaga kepentingan 27 juta penduduk Malaysia. Saya langsung tidak kisah anda anak Datuk mana. Saya peduli apa.

11 September 2009

Tiba-tiba saya menjadi kaya!


Selepas menunaikan solat Jumaat, saya menuju ke sebuah bank yang selama ini setia menjadi penyedia wang gaji saya setiap bulan. Oleh kerana saya telah berniat untuk berbuka puasa di sebuah tempat eksklusif bersama isteri, saya bercadang untuk mengeluarkan sejumlah wang.

Tiba-tiba, saya terkejut kerana melihat wang yang masih banyak di dalam akaun bank. Bagi saya yang bergaji kecil, jumlah wang sebanyak beberapa ribu ringgit itu memang nampak terlalu banyak. Setelah terkasima beberapa ketika, barulah saya menyedari bahawa wang itu sebenarnya ialah tuntutan perpindahan saya dari tempat kerja lama ke tempat baru.

Alhamdulillah, saya agak mewah dengan wang akhir-akhir ini. Saya mendapat 2 kali gaji dalam tempoh 2 minggu kerana pembayaran awal dari majikan, wang sewa rumah, tuntutan perjalanan ke mesyuarat dan sekarang tuntutan perpindahan pula. Jumlah keseluruhannya bolehlah juga dapat membayar ansuran kereta Toyota Vios yang pernah saya idamkan. Lalu saya terfikir bagaimana untuk menguruskan rezeki terpijak ini. Saya sedar, jika saya biarkan wang ini di dalam akaun gaji, jumlah beribu-ribu ringgit ini akan menjadi berpuluh-puluh sahaja dalam tempoh beberapa waktu. Ditambah lagi dengan perayaan yang semakin hampir, segala yang pada mulanya di dalam kategori tidak perlu tiba-tiba pula akan menjadi "sangat terdesak untuk dibeli."

Saya tidak berniat untuk membangga diri tentang wang ini. Apalah sangat wang yang saya ada jika dibandingkan dengan kekayaan Yang Maha Esa, malah untuk dibandingkan dengan rakan-rakan pun saya tidak layak. Cuma sebagai rujukan saya pada masa hadapan, saya cuma boleh katakan, "begitulah manusia". Apabila diuji oleh Allah dengan kesenangan yang sementara, kita langsung terlupa dengan kesengsaraan yang pernah kita hadapi. Bukan sekali dua saya terpaksa mengikat perut kerana kesempitan wang, atau sakit kepala memikirkan di mana mahu mengorek wang tol dan minyak kereta, dan pada masa itulah berbagai janji manis dan azam dibuat supaya berjimat apabila mempunyai wang lebihan. Namun, bilamana Allah benar-benar memberi kita wang lebihan, janji manis dan azam itu nanti cuma akan menjadi ingatan yang semakin dilupakan.

Saya percaya bukan saya seorang yang menghadapi masalah ini. Jika tidak, mana mungkin ada orang yang masih berhutang walhal pendapatannya sudah banyak. Justru, marilah sama-sama kita meneliti ke manakah wang kita pergi selama ini. Bukanlah kita mahu menjadi kedekut, tetapi lebih kepada berhati-hati. Jangan pula nanti selepas bertahun-tahun menghambakan diri kepada majikan, kita gagal pula untuk menunjukkan hasil ketekunan bekerja kita itu. Jika itu yang terjadi, sia-sialah jerih perih kita yang pada mulanya berazam untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Berhati-hatilah dengan perbelanjaan seharian. Seperti kata pemilik gedung WalMart yang juga orang kedua terkaya di dunia (saya terlupa namanya), kebocoran yang kecil juga boleh menenggelamkan sebuah kapal yang besar.

03 September 2009

Bahasa Jiwa Bangsa

Bahasa Melayu kita sangat indah. Sudahlah indah, kaya pula. Tetapi kita selalu pula meminjam bahasa asing untuk dijadikan bahasa kita. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, peminjaman ini adalah sesuatu yang lumrah demi pengembangan bahasa itu sendiri. Jika kita tidak meminjam, bahasa kita tidak akan berkembang kerana terjemahan bahasa kita sangat terhad.

Saya tidak ingat siapa yang mengungkap ayat ini. "Asal bahasa Melayu cuma beberapa perkataan sahaja, iaitu babi, batu dan kayu. Yang lain semua dipinjam". Benarkah begitu? Entah. Saya bukan orang lama yang menongkat dunia semata-mata untuk meneliti perkembangan bahas ibunda ini. Tetapi saya rasa orang yang mengungkap itu pun cuma main cakap sahaja.

opsyen : option : pilihan
"Menyelesaikan sesuatu masalah adalah lebih mudah jika meneliti semua pilihan-pilihan yang ada".

adaptasi : adaptation : diilhamkan
"Filem ini diilhamkan dari sebuah novel."

maritim : maritime : samudera
"Agensi Penguatkuasaan Samudera Malaysia"

akuakultur : aquaculture : ternakair
"Industri ternakair berkembang pesat di negara ini."

imarah : i'marah (Bahasa Arab) : meriah
"Marilah sama-sama kita memeriahkan masjid."

agro : Agro : tani
"Bank Pertanian/Agro Bank"

zoo : zoo : taman haiwan
"Taman Haiwan Kuala Lumpur diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia."

Lihatlah betapa indahnya bahasa kita. Bagi saya contoh-contoh di atas bukanlah pinjaman dari bahasa asing. Ini sebenarnya menunjukkan betapa malasnya rakyat Malaysia untuk mengorek khazanah ibunda. Patutlah suatu masa dahulu Dewan Bahasa dan Pustaka dituduh kemandulan idea.

Saya risau pula budaya meminjam ini akan membarah. Maklumlah orang memang suka meminjam dari menghasilkan sendiri. Meminjam lebih mudah, tak perlu keluarkan duit, kalau rosak pun, bukan kita punya. Adakah bahasa kita akan menjadi begini kelak?

Cer : Chair : Kerusi
"Saya sangat tertarik dengan set cer yang dijual di kedai itu."

Bed : Bird : Burung
"Bed helang ialah haiwan rasmi Amerika Syarikat."

Flaig : Flight : Penerbangan
"Flaig dari Jeddah akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebentar lagi."

Saya benar-benar takut. Jika ini terjadi, kita akan hilang jati diri untuk selama-lamanya. Kalaulah memang pun ditakdirkan ia akan terjadi nanti, saya mohon kepada Allah supaya saya mati terlebih dahulu, kerana saya takut anak cucu saya akan kencing di atas pusara saya kerana saya tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan khazanah negara.

Ya Allah, elakkanlah ini dari terjadi.