29 November 2009

Meraikan Yang Berkhidmat

Saya berharap suatu masa nanti rakyat Malaysia akan lebih matang di dalam menghargai ahli-ahli politik terutamanya yang bergelar Yang Berhormat. Ketika ini, mereka diraikan bagai Tuhan yang tidak pernah membuat apa-apa salah dan silap. Baik dari kalangan parti kerajaan mahupun pembangkang, kedua-duanya mempunyai sifat taksub kepada pemimpin yang keterlaluan.

Entah kerana kagum, takut, bodek atau apa sahaja, kedatangan mereka ke kampung-kampung untuk program-program melawat kawasan diraikan dengan begitu meriah sekali. Ketua-ketua kampung akan habis bergolok gadai dan memerintahkan anak-anak buah untuk mempersiapkan tempat yang terbaik, makanan yang banyak dan lazat dan setiap permintaan YB-YB ini akan dilayan tanpa prejudis. Kerana itulah agaknya YB-YB ini menjadi semakin gemuk, rumah-rumah mereka pula semakin banyak dan besar, kereta-kereta akan bertambah dan anak-anak mereka pula segelintirnya menjadi sombong dan besar kepala. Itu tidak dikira lagi penglibatan YB-YB ini didalam meluluskan tanah kerajaan, membangunkan pekan-pekan, membina dewan dan sebagainya akan menampakkan bahawa YB-YB ini memang sangat berkuasa.

Sebenarnya tidaklah begitu. Saya hairan mengapa kita terlalu menyanjung YB-YB dari semua parti politik ini. Istilah klasik yang digunakan kepada mereka juga ialah 'wakil rakyat' yang membawa maksud mereka hanyalah wakil kepada kita semua. Mereka tidak dipanggil sebagai 'ketua rakyat'. Mengapa mahu disanjung secara berlebih-lebihan? Mereka sepatutnya harus berkhidmat kepada kita.

Saya menyarankan supaya istilah Yang Berhormat ditukar kepada Yang Berkhidmat. Mereka tidak sepatutnya dihormati dengan membabi buta, tetapi mereka sepatutnya berkhidmat untuk kita. Jika YB-YB ini datang ke kampung-kampung, YB-YB inilah yang sepatutnya mengambil hati penduduknya dengan menyediakan makanan yang lazat dan tempat yang terbaik untuk semua penduduk di situ. Wang peruntukan YB itu bukan digunakan untuk diri sendiri, tetapi kepada rakyat yang dibawahnya.

Saya menghormati mereka kerana mereka wakil saya di pentas tertinggi pentadbiran negara. Tetapi saya tidak akan meraikan mereka dengan berlebih-lebihan. Dengan sebab itulah pernah seorang YB datang ke bilik saya dan memohon bantuan saya di atas satu perkara, dia pernah berkata," bantuan ini adalah untuk kepentingan kawasan saya."

Dengan sedikit terkejut saya bertanya, "Oh, tuan seorang ADUN? Maafkan saya, saya tidak kenal". Dia kembali bertanya, "adakah encik memang tidak kenal saya?" Dan saya menjawab,"saya memang tidak kenal tuan." Kami kemudiannya berkenalan dan berbincang beberapa ketika.

Sungguh saya tidak kenal dia. YB sekarang senang sahaja bertukar ganti. Malah bekas YB masih lagi kempunan untuk dipanggil dirinya YB. Tetapi ia tidak menjadi bekas kepada saya. Siapa pun dia, saya tidak akan menghargai dia secara membabi buta. Yang saya tahu, dia mesti berkhidmat untuk saya kerana dia telah menjadi wakil saya.

23 November 2009

Antara jatidiri dan rasa dikhianati


Saya mengakui semangat jatidiri negara saya sangat tinggi. Seboleh-bolehnya saya akan mendahulukan kereta Proton sebelum memilih untuk membeli kereta buatan negara lain. Pada pendapat saya, biarlah kereta itu kurang berkualiti dan cepat rosak, tetapi dengan menggunakan kereta buatan Malaysia akan membuatkan kita berasa bangga dengan negara sendiri di samping dapat mempromosikan negara kita kepada orang luar. Saya mengambil semangat orang-orang Korea yang lebih suka membeli kereta Daewoo atau Hyundai daripada membeli kereta Toyota atau Honda buatan Jepun. Orang-orang negara India juga dikatakan lebih setia dengan buatan Tata walaupun produknya tidak berkualiti dibandingkan dengan negara luar.

Dengan sifat saya yang sedemikian, saya memandang sinis kepada orang yang suka membeli kereta luar. Pada hemat saya, mengapa membeli Naza Suria, Naza Sutera, Hyundai Getz atau Kia Picanto jika kita boleh membeli Savvy. Mengapa pula mahu membeli Kia Spectra, Hyundai Accent, Toyota Vios atau Honda City sekiranya kita ada Waja atau Persona. Apatah lagi apabila mereka membeli kereta Proton yang kemudiannya diubahsuai dan diletakkan perkataan Mitsubishi pada kereta itu, ia membuatkan saya menjadi semakin jelak. Pada pandangan saya, mereka langsung tidak menghormati usaha anak bangsa kita memajukan negara. Mereka tidak patriotik.

Saya juga memandang Perodua dan Naza sebagai pesaing Proton yang tidak bermaruah. Walaupun ketiga-tiganya dilabel sebagai kereta nasional, di kala Proton terus-terusan berusaha untuk mencipta model yang 100% buatan Malaysia, Perodua dan Naza hanya mencedok hasil usaha orang lain seperti Daihatsu dan Peugeot dan kemudiannya dengan bangga menukarkan nama kereta-kereta tersebut kepada nama berteraskan Malaysia. Sungguh memalukan sekali. Saya tidak berbangga apabila model Kelisa mendapat Anugerah Kereta Kompak Terbaik 2006 kerana saya beranggapan bukan Perodua yang selayaknya menerima anugerah itu, tetapi Daihatsu. Lain pula apabila Proton Persona mendapat Anugerah Kereta Sedan Terbaik 2008, saya begitu teruja kerana produk buatan negara Malaysia telah diiktiraf.

Tetapi, itu cerita dahulu. Cerita 2 bulan lepas dan sebelum-sebelumnya sebelum saya mendapat berita ini. Setelah saya membaca di internet bahawa kereta Proton di Arab Saudi jauh lebih murah dari Malaysia, semangat jati diri saya langsung memudar ke tahap yang paling rendah. Saya terasa seolah-olah ditipu dan dikhianati pula. Mana mungkin sesebuah barangan boleh dijual lebih murah di negara luar berbanding negara sendiri. Lebih menyakitkan hati, perbezaan harganya bukanlah sedikit tetapi mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit. Logiknya, sesebuah barangan akan dijual murah di negara buatan sendiri tetapi dijual mahal di negara lain kerana cukai dan sebagainya. Rupa-rupanya Proton mengambil kesempatan di atas semangat setia dan bangga (termasuk kebodohan) saya dengan produk buatan Malaysia.

Hari ini, saya tidak lagi berbangga dengan Proton. Saya sudah tidak berselera memandang Proton di jalanan lagi. Saya juga tidak lagi memandang sinis kepada orang yang menggunakan kereta dari negara lain. Untuk masa ini sekiranya saya berniat untuk membeli kereta baru, Proton bukan lagi keutamaan saya. Jika dahulu saya lebih menghormati Proton Juara berbanding Perodua Rusa, hari ini saya lebih selesa membelek Perodua Alza dari melihat Proton Exora. Itulah akibatnya apabila mengkhianati rakyat negara sendiri.

22 November 2009

Tentang slogan

Setiap kali bertukarnya pemerintahan tertinggi negara, ada satu perkara yang akan menjadi tumpuan rakyat walaupun rakyat tidak kisah langsung sebenarnya dengan perkara itu pada permulaannya. Ia berkaitan dengan slogan pemimpin. Slogan yang entah disebut secara spontan atau difikir beratus-ratus kali sebelum mengucapkannya, namun ia akhirnya menjadi petunjuk kepada orang-orang bawahan untuk menjadi lebih kreatif dalam merealisasikan hasrat tersebut. Slogan ini dianggap oleh rakyat sebagai pedoman dan halatuju kepimpinan negara, bahkan ada juga golongan yang lebih melampau menggunakannya di dalam kehidupan sehari-harian tanpa memahami erti sebenar slogan-slogan itu.

Sayugia juga diingatkan bahawa slogan-slogan ini bukanlah suatu yang penting pun di dalam pentadbiran negara. Ia adalah sejenis kosmetik pentadbiran yang adanya tidak membawa apa-apa makna, ketiadaannya juga tidak memberi apa-apa mudarat. Walaupun begitu, nampaknya slogan yang ghairah dipertonton dan diwar-warkan oleh pemimpin negara boleh juga memakan diri mereka sendiri.

Ketika pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, slogan Cemerlang Gemilang Terbilang akhirnya menjadi sandiwara dan bahan ketawa orang ramai. Apa yang cemerlang di masa pemerintahannya, apa pula yang gemilang dan apa pula yang terbilang? Akhirnya apabila beliau meletak jawatan, namanya juga semakin hilang dengan cemerlang. Tiada apa-apa langkah yang gemilang semasa pentadbirannya yang akan membuatkan rakyat mengingati beliau. Nama beliau di dalam akhbar juga sudah boleh dibilang dengan jari. Tiada lagi cerita-cerita tentang Dato' Seri Abdullah yang sudah bergelar Tun itu. Malah Perdana Menteri sebelum beliau pula yang lebih menonjol.

Kini, slogan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan pula menjadi zikir harian penjawat awam dan kaki ampu. Secara kasarnya, slogan ini dilihat seolah-olah sudah memakan diri. Mana-mana sahaja forum di dada akhbar, maklumbalas atau komentar rakyat yang mengadu hal itu dan ini, akhirnya dibawahnya mereka akan menggunakan slogan ini untuk menyatakan bahawa mereka tidak didahulukan. Hal-hal remeh seperti sampah tidak dikutip, lampu isyarat tidak berfungsi, penutupan jalan, pemeriksaan kereta di Puspakom sehinggalah kepada hal besar seperti pembayaran semula PTPTN, pembubaran DUN Perak akan disertakan sekali dengan "Rakyat Didahulukan". Percayalah, slogan ini lama-lama akan menjadi kudis di dalam pentadbiran negara.

Tiba masanya supaya pemimpin negara tidak terlalu mementingkan kosmetik yang tebal di dalam pentadbiran. Rakyat yang berpelajaran tidak peduli dengan slogan-slogan seperti itu, mereka juga tidak kisah dengan janji-janji manis di dalam ucapan perasmian. Mereka lebih mementingkan perlaksanaan. Bercakap sejuta patah perkataan memang kedengarannya sangat manis, tetapi tanpa perlaksanaan ia akan menjadi hempedu yang semakin membarah di dalam hati rakyat.

16 November 2009

Perak Utara dan Perak Selatan

Perak Utara

Minggu lepas saya mengikuti rombongan ke Selama untuk satu lawatan kerja. Seramai 35 orang dengan 8 buah kereta pacuan 4 roda mengikuti rombongan ini. Saya menaiki kereta sendiri ke Selama, dan di sana saya kemudiannya diambil oleh kereta besar ini untuk memanjat gunung.

































Sekarang musim hujan di pantai barat. Hujan yang tidak berhenti-henti membuatkan sesetengah tempat mula digenangi air. Kebetulan, tempat yang saya lawati terkena kesan oleh hujan yang lebat ini. Air-air sungai di pergunungan mula mengorak laju ke hilir dan menjadi keruh.

































Kami melewati Hutan Simpan Bintang Hijau. Tiba di satu tempat, cuma 3 dari 8 buah kereta sahaja yang dapat melepaskan diri. Selebihnya sangkut di pertengahan jalan kerana cenuram yang agak tinggi, di samping jalan yang licin kerana hujan.






























Gambar di atas ini saya ambil dari Berita Harian 16 November 2009. Ia adalah jalan Selama-Parit Buntar, jalan yang saya lalui untuk ke tempat lawatan itu. Mujurlah saya cepat pulang ke rumah pada hari itu, jika tidak mungkin sehingga hari ini saya masih lagi terkandas di Selama.



Perak Selatan

Hujung minggu lepas, saya menuju ke sebuah daerah di Selatan Perak. Beruntung juga menjadi menantu orang Perak. Penat-penat badan akibat meredah air besar, memanjat gunung dan memantau kawasan hilang apabila mengadap sembah Raja Buah ini.





12 November 2009

Kuching : Episod 3 : Bertemu adik

Kak Yah ialah anak kepada guru mengaji Al-Quran saya di kampung ketika saya kecil dahulu. Dia juga isteri kepada Abang Man, seorang pegawai polis yang bekerja di Kuching. Mereka punya seorang anak yang bernama Ezat berumur 12 tahun dan baru sahaja selesai menduduki peperiksaan UPSR. Kak Yahlah tempat adik saya mengadu nasib di tempat orang, tempat dia memesan untuk membeli barang-barang istimewa Sarawak dan rumah Kak Yah ialah tempat adik saya meletakkan barang-barang peribadi berharga jika dia pulang ke Semenanjung. Mujurlah Kak Yah dan Abang Man sudi menghantar kami ke Hospital Betong, di samping dia sendiri berkeinginan untuk menziarahi adik.

Setibanya kami di Kuching, jam sudah menunjukkan pukul 11.30 pagi. Suasana redup dan tenang. Saya difahamkan sudah 2 minggu Bandaraya Kuching tidak dijamah matahari. Hujan akan turun setiap hari dan siangnya lebih pendek dari waktu malam. Lapangan terbangnya tidak jauh berbeza dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim Alor Setar, cuma ia lebih meriah dan kawalan keselamatannya lebih ketat. Ada ramai anggota polis dan tentera berkumpul di situ, tetapi mereka tidak pula berbuat apa-apa. Cuma sesekali menghisap rokok dan berbual sesama sendiri, namun ada juga yang berwaspada dengan senjata di tangan.

Sambil menunggu Kak Yah datang menjemput, kami beratur untuk membeli tiket pulang yang dijadualkan pada hari Ahad 8 November 2009. Kali ini, saya yang akan membelinya sambil dibimbing oleh isteri saya. Ketika sedang beratur, saya menerima panggilan telefon. Adik!!

"Abang, adik sudah sihat!!" Suaranya agak ceria. Bagaimana boleh sihat dalam tempoh beberapa jam dimasukkan ke wad sedangkan dia sudah demam selama beberapa minggu?

"Entah. Agaknya sebab doktor sudah masukkan air ke dalam badan adik. Masuk kali ini sudah 3 botol." Dia maksudkan air yang biasa kita lihat dicucuk ke lengan dan digantung di atas satu tiang. Saya sebenarnya masih kurang percaya dia sihat. Lalu saya cuba mengalih perhatian dengan mengatakan saya sedang membeli tiket. Tetapi di dalam ketidakpercayaan itu, hati saya merasa lapang benar. Suaranya memang lebih kuat dan bersemangat berbanding hari-hari yang lepas.

Usai membeli tiket, kebetulan pula Kak Yah sudah sampai dengan kereta Personanya. Sekali lagi saya menerima utusan dari adik, kali ini melalui sistem pesanan ringkas. "Abang, sebelum bertolak pergi makan dulu. Kalau Kak Yah ajak makan pergi makan. Kalau tak mau makan, bungkus saja. Pastikan bawa makanan dalam kereta. Buang air siap-siap. Jangan lupa beli roti Gardenia untuk adik. Adik nak makan roti Gardenia." Apa pula? Mengapa dipesan benda yang pelik-pelik begitu? Saya mengambil enteng pesanan itu. Makan? Di mana-mana juga boleh makan. Rezeki Tuhan yang tentukan.

Setelah bersalam-salaman dengan Kak Yah dan Abang Man, kami masuk ke dalam kereta dan meluncur laju ke Serian. Dari Kuching ke Serian, Serian ke Sri Aman, Sri Aman ke Betong. Sejujurnya saya tidak tahu berapa jauh. Tetapi adik pernah berpesan ia memang jauh.

Sayangnya Kak Yah tidak berhenti di mana-mana untuk makan. Tidak apalah, saya datang pun bukan untuk makan. Malah saya tidak mengharapkan untuk berhenti pun, kerana lebih cepat berjumpa adik akan lebih bagus. Kami bersembang-sembang di dalam kereta, bertanyakan perihal anak tunggalnya, pengalaman Kak Yah selama beberapa tahun tinggal di Kuching dan bersuamikan orang Samarahan. Dia nyata sangat mesra. Tidak seperti dahulu ketika dia kadang-kadang mengambil alih tempat ibunya mengajar Al-Quran. Ketika itu dia sangat sombong.

Saya sangat menghayati perjalanan itu. Ia satu pengalaman yang menarik. Ditambah lagi tidak perlu memikirkan adik kerana suaranya sudah bersemangat dan kuat. Laluan itu dipanggil sebagai 'Jalan Serian-Sri Aman', lebih dikenali sebagai lebuhraya. Ia menyambungkan Kuching terus sehingga ke Kota Kinabalu. Tetapi ia cuma 2 lorong, sesekali sahaja kenderaan lalu. Selebihnya kami cuma ditemani semak samun. Jika di Semenanjung, laluan itu mirip sekali menyerupai laluan Selama-Taiping, Batang Berjuntai-Rawang atau Bentong-Gombak. Lebih banyak kami melewati gereja berbanding masjid. Lebih banyak kami melewati hutan berbanding perkampungan.

Setelah 2 jam perjalanan, saya menyedari sesuatu yang pelik. Ditambah pula apabila isteri saya mula membuka coklat dari beg tangannya, saya melihat coklat itu begitu menggiurkan sekali. Rupa-rupanya saya lapar. Dari pagi tadi kami cuma sempat bersarapan di LCCT. Barulah saya teringatkan pesanan ringkas adik tadi. Sepatutnya kami perlu makan dahulu. Di kiri kanan tiada restoran, tiada kedai makan malah tiada apa-apa. Cuma hutan!! Saya sendiri merasa lapar, bagaimana isteri saya dan anak saya di dalam kandungannya? Isteri saya mengunjukkan coklat itu kepada saya, dan sebagai penumpang yang beradab, saya mempelawanya pada Kak Yah dan anaknya. Saya cuma makan sekeping, dan saya merasa cukup nikmat sekali.

Saya sekarang sedang terfikirkan tentang isteri saya. Adakah dia juga merasa lapar. Jika ditanya secara terus, tentulah dia akan katakan tidak kerana dia tidak mahu meresahkan saya. Kak Yah pula seolah-olah mengerti, dan kami singgah sekejap di satu tempat bernama Sri Aman. 1 jam selepas saya menyedari buat pertama kalinya yang saya berasa lapar.

Rupa-rupanya Kak Yah lebih prihatin. Dia tidak berhenti makan pada mulanya kerana dia sudah menyediakan bekal sendiri. Kami seolah-olah berkelah pula di situ. Pesan Kak Yah, di sini tidak boleh makan sembarangan kerana tidak kenal agama penjualnya. Kadang-kadang namanya saja Islam seperti Haji, Lebai atau sebagainya, tetapi ada yang sudah murtad pun. Kala itu saya mengerti kenapa lebih banyak gereja berbanding masjid. Pesannya lagi, di tepi-tepi jalan tidak boleh buang air, kerana hutan adalah tempat yang sensitif. Kala itu juga saya menyedari mengapa adik berpesan supaya kami buang air di Kuching. Saya senyum sendirian. Mereka lebih bijak dari saya.

Kami sampai di Hospital Betong lebih kurang pukul 4.30 petang selepas 5 jam perjalanan. Jaraknya tidaklah jauh, cuma kurang lebih 240 kilometer sahaja dari Kuching. Sama jaraknya dengan Kuala Lumpur ke Ipoh, yang mana saya pernah merekodkan tempoh 3 jam perjalanan. Tetapi di sini, 5 jam itu boleh dikatakan sangat pantas kerana kebiasaannya jarak dari Betong ke Kuching boleh mengambil masa sehingga 7 jam. Mungkin faktor jalanraya, bengkang bengkok dan apa-apa lagi, ia mengambil masa yang lama.

Lambat-lambat saya memasuki wad hospital itu. Adik saya berada di hujung sekali, sedang ditemani oleh Kak Na dan Mira, 2 orang rakan serumahnya. Benar, dia tidaklah seteruk yang saya jangkakan. Kedatangan kami disambut ciuman tangan dan senyumannya, dan perlahan-lahan air matanya jatuh. Mungkin terharu dengan kehadiran saya dan isteri, atau tidak percaya saya boleh sampai ke sini. Kami bersembang panjang, bertanya keadaannya sambil disampuk oleh Kak Na dan Mira, dan Kak Yah turut sama bersembang mesra. Di sebelah katil yang kosong, Abang Man cuma diam ditemani Ezat. Mungkin janggal hendak bersembang kerana kebanyakannya perempuan. Adik saya sihat, kuat dan cergas. Cuma dia tidak boleh berjalan ke mana-mana dia suka kerana diikat dengan corong air itu. Ketawanya seperti yang biasa saya lihat dari dahulu. Tiada tanda-tanda dia sakit walaupun dia nampak agak lembik. Agaknya Allah telah menyembuhkannya dengan medium air yang dicucuk di tangannya.

Di kala itu, di dalam hati saya tenang sekali. Alhamdulillah. Adik saya tidak seteruk yang saya duga pada mulanya. Setiap nadi yang bergetar ketakutan beransur-ansur hilang. Tiba-tiba, deringan telefon memecah perbualan. Ibu!! Saya sudah tahu apa yang mahu dijawab kepadanya jika dia bertanyakan keadaan adik. Saya akan menjawab dengan yakin. Malam ini saya akan tidur nyenyak...

Terima kasih Allah.

saya sengaja mengambil gambar dalam keadaan bergetar...

11 November 2009

Kuching : Episod 2 : Demam yang berpanjangan

Sabtu 31 Oktober 2009 : 5 hari sebelum penerbangan pertama

Saya dan isteri mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk pulang ke rumah orang tua saya di utara Semenanjung. Kepulangan saya disambut biasa-biasa sahaja, tidak seperti ketika saya bekerja di Kuala Lumpur dahulu. Mungkin kerana saya sudah kerap pulang, maka ibu saya tidaklah terlalu teruja dengan kepulangan ini.

"Abang ada telefon adik?" Ibu saya memulakan perbualan pada waktu petang ketika kami bersantai-santai di depan rumah.

"Dah lama dah tak telefon."

"Abang macam tu lah, apa jadi pada adik pun tak tahu. Tahu tak adik sudah dua minggu demam?"

"Yang demam tu tahulah. Tapi tak tahu pula sampai sudah dua minggu."

Ibu saya diam. Giliran saya pula menjadi gusar dan tidak tentu arah. Demam apa sampai dua minggu? Pantas saya membuka komputer riba dan mula menelefon adik, menyuruhnya untuk memasuki sidang video melalui perisian Yahoo Messenger. Lama kami berbual dengan ditemani ibu saya sekali. Dia nampak kuat walaupun sedikit pucat. Dari riak mukanya, saya yakin adik saya tidaklah seteruk mana. Lalu saya mengumpul keyakinan bahawa adik saya tidak apa-apa. Kami mengakhiri sidang video kerana sudah masuk waktu Maghrib.

Isnin 2 November 2009

Ketika saya sibuk-sibuk di pejabat, saya menerima panggilan telefon. Adik!! Saya mengangkat dan suara di hujung sana lemah sekali. "Abang, adik tak larat. Adik tak nak telefon mak. Adik takut mak risau. Adik baru balik dari sekolah. Kak Na kawan serumah adik tolong hantar. Pengetua suruh adik balik berehat. Tadi adik pitam dalam kelas".

Ahh sudah!! Apa yang telah terjadi? Lalu saya memberitahu adik supaya berehat. Saya bertanyakan padanya adakah dia sudah pergi ke hospital untuk pemeriksaan. Dia menjawab dari minggu lepas lagi dia sudah pergi tetapi demamnya masih belum sembuh-sembuh. Saya bertambah risau. Adik saya memberitahu, doktor di Hospital Betong iaitu hospital terdekat menyuruhnya untuk melakukan pemeriksaan x-ray di hospital yang lebih besar iaitu Hospital Sri Aman, kerana mesin x-ray di hospital itu rosak. Dari simptom yang adik saya hadapi, doktor menjangkakan adik saya menghidap pneumonia atau radang paru-paru. Pemeriksaan x-ray digunakan untuk pengesahan penyakit itu, dan penyakit pneumonia itu masih belum sahih.

"Sekarang adik nak buat apa?" Saya bertanya seperti orang bodoh. Saya sebenarnya menahan debar.

"Adik pun tak tahu nak buat apa. Adik tak boleh fikir sekarang."

"Petang ni adik ajak Kak Na teman ke Hospital Sri Aman. Esok adik hantar x-ray tu ke Hospital Betong. Boleh?"

Adik saya menyetujui cadangan saya. Ketika saya menelefon adik saya sekali lagi pada malam itu, pemeriksaan telah dilakukan. Walaupun begitu, x-ray itu tidak dapat dihantar keesokan harinya. Harus dihantar pada hari Rabu 4 Oktober kerana doktor itu sibuk. Saya sangat risau.

Selasa 3 Oktober 2009

Setiap 2 jam sekali saya menelefon bertanyakan kesihatannya. Jawapan yang diterima masih tidak berubah. Sekali lagi dia pergi ke sekolah pada waktu pagi untuk mengajar, tetapi dihantar pulang ke rumah pada pukul 11 pagi kerana keletihan dan tidak bermaya. Saya hanya mampu mengucap panjang. Malam tadi pun saya tidak boleh tidur kerana teringatkannya.

Saya benar-benar buntu. Adakah saya perlu ke Sarawak untuk menziarahinya? Adakah saya perlu memberitahu kesihatan adik saya kepada ibu saya, sesuatu yang tidak mungkin saya lakukan? Adakah adik saya mengalami komplikasi yang serius?

Saya tidak makan tengah hari pada hari itu. Saya ke surau lebih awal pada biasa, dan di situ saya menangis semahu-mahunya. Saya tidak mahu kehilangan adik. Saya tidak mahu dia sakit. Saya memohon pada Allah, berikanlah kesakitan adik kepada saya. Saya mahu dia sihat. Saya mahu ibu saya sihat. Saya mahu semua orang-orang yang saya sayang sihat-sihat. Saya mahu kami semua hidup bahagia.

Mesyuarat petang itu saya hadiri tanpa semangat. Saya lebih terfikirkan keputusan x-ray adik esok.

Rabu 4 Oktober 2009 : 1 hari sebelum penerbangan pertama

Pada waktu pagi, saya sedikit tenang. Saya gagahi juga untuk menelefon adik walaupun saya tahu keadaannya masih sama. Benar. Masih sama. Dia tidak ke sekolah dan demam. Saya nasihatkan dia supaya berehat. Petang ini doktor akan memberikan keputusan x-ray.
........

Pukul 5.30 petang ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja, saya menerima panggilan dari adik. Dia dimasukkan ke wad. Suara di hujung sana seperti menahan sebak. Adik saya memohon supaya dimasukkan ke wad esok, tetapi doktor tidak membenarkannya kerana dia harus dirawat segera.

"Doktor cakap apa?"

"Doktor tak cakap apa. Tapi bila dia tengok x-ray adik, tiba-tiba muka dia berubah. Dia cakap awak kena masuk wad segera." Tiba-tiba pandangan saya menjadi kelam. Air mata bercucuran. Adakah penyakit adik terlalu serius?

Ketika saya sampai di rumah, isteri saya sedang memasak masakan malam. Saya terus memberitahunya, saya mahu ke Sarawak. "Bolehkah awak tolong belikan saya tiket kapal terbang? Saya tidak tahu caranya." Kami berbincang seketika. Rupanya tiket perjalanan kapal terbang yang kurang dari 24 jam masa penerbangan tidak boleh dibeli secara dalam talian. Ia harus dibeli di kaunter di lapangan terbang. Kami memutuskan untuk ke LCCT Sepang pada malam itu juga untuk membeli tiket.

Kemudian, saya gagahi juga untuk menefon ibu saya di kampung. "Mak, adik masuk wad". Di hujung sana, ibu membalas dengan "Allahu akbar". Saya memberitahunya saya akan ke Sarawak esok, kerana tiada penerbangan pada waktu malam. Dia mencadangkan saya pergi seorang, kerana isteri saya tidak mungkin dapat berjalan jauh.

Pada masa yang sama, isteri saya mahu mengikut. "Lebih baik saya ikut daripada saya risaukan awak di sini". Dan saya mengalah dengan kehendak isteri saya. Memang benar apa yang dikatakannya.

Seterusnya saya menelefon adik untuk memberitahu saya akan ke Sarawak esok. "Kakak datang tak? Jangan bagi kakak datang. Dia sedang mengandung. Perjalanan dari Kuching ke tempat adik sangat jauh. Nanti dia sakit." Saya enggan melayan permintaannya. Isteri saya mahu mengikut. Saya akan bawa juga. Jika dia sakit, saya akan menanggung risikonya.

Selepas menikmati makan malam yang tidak nikmat kerana teringatkan adik, kami bertolak ke rumah kakak ipar saya di Nilai. Di sana, dia akan menghantar kami ke lapangan terbang keesokan harinya. Saya lebih banyak diam di dalam perjalanan kerana hati saya tidak keruan.

Sampai di LCCT lebih kurang 12.30 malam, kami bergegas ke kaunter. Rupanya ia sudah ditutup. Saya ingatkan kaunter tiket kapal terbang dibuka 24 jam sehari. Nampaknya esoklah kami membeli tiket. Sebelum tidur saya berdoa supaya segala-galanya dipermudahkan, sakit adik saya disembuhkan dan isteri dan anak saya di dalam kandungan disejahterakan. Saya tidak dapat tidur sebenarnya. Sudah 3 hari tidur saya tidak sempurna...

"Ya Allah, semoga ini adalah ujian kecil dari-Mu."

10 November 2009

Kuching : Episod 1 : Pertama kali di awangan


Khamis 5 November 2009

Entah mahu ketawa atau simpati kepada diri sendiri, inilah pertama kali saya menaiki kapal terbang sepanjang hidup saya. Selama ini saya berbangga juga kerana tidak pernah menaiki kapal terbang, tetapi baru-baru ini 'dara' kapal terbang saya tercemar kerana terpaksa bertolak ke Kuching atas urusan keluarga. Adik saya dimasukkan ke hospital kerana demam yang berpanjangan.

Memang saya sangat gampang. Sangat teruja. Sangat bodoh. Mujurlah saya dipimpin oleh isteri saya yang pernah menaikinya. Dia menceritakan segala prosedur, dari pembelian tiket sehinggalah kepada pendaratan di sana. Jika tidak, harus juga saya diketawakan oleh pramugari-pramugari yang seksi itu.

Kami berlepas pada pukul 9.40 pagi Khamis, mengambil tiket secara tergesa-tergesa pada pagi itu juga dan seperti diramalkan, ia agak mahal. Terpaksalah saya menggunakan kad ajaib di dalam dompet. Selepas itu kami melakukan pemeriksaan bagasi dan terus masuk ke balai berlepas. Mujurlah di balai berlepas saya memakai baju 'vest' yang boleh menahan kesejukan. Beberapa kali juga saya ke tandas sementara menunggu untuk masuk ke dalam pesawat.

Ayat Al-Quran yang pendek-pendek habis semua dibaca untuk menahan gementar. Ayat Qursi yang selalu dipesan oleh ibu saya sebagai amalan harian juga diulang beberapa kali. Agaknya jika orang lain tahu gelodak hati saya ketika itu, mahu rasanya mereka berguling-guling menahan ketawa.

Pengalaman menaiki kapal terbang sangat menarik. Terutamanya apabila pesawat itu meluncur laju untuk berlepas. Saya yang sudah terbiasa menekan brek kereta, turut sama menekan kaki untuk memperlahankan pesawat. Di dalam pesawat, saya menghabiskan dua pertiga penerbangan dengan tidur kerana terlalu letih. Sudah 3 hari tidak tidur kerana terfikirkan adik yang sakit. Tiada makan-makan di atas kapal terbang, tiada juga masa untuk ke tandas. Sekadar membaca akhbar yang dibeli di lapangan terbang. Saya mengakui sangat gayat dan takut. Tetapi dipaksa juga untuk menenangkan perasaan kerana malu dengan penumpang yang lain. Walaupun perasaan tenang itu disembunyikan, sekali sekala apabila pesawat melanggar awan, rasa takut juga. Memang sangat cantik melihat keindahan bumi Allah dari atas terutamanya apabila melintasi Laut China Selatan. Betapa ia begitu mendatar dan menenangkan tidak seperti kita berada di bumi.

Tiba di Kuching pada pukul 11.30 pagi, ada pula pemeriksaan imigresen. Begitu rupanya prosedur penerbangan ke Kuching. Alhamdulillah, satu masalah saya sudah selesai. Kami sudah sampai dengan selamat. Isteri saya yang sedang mengandung juga tidak mengalami apa-apa masalah di dalam penerbangan. Tetapi bagaimana dengan adik?

09 November 2009

Hobi ikut-ikutan






Kamera jenis DSLR memang menjadi gaya terbaru bagi muda mudi waktu ini. Saya percaya hobi menggunakan kamera DSLR ini akan beransur-ansur hilang sedikit masa lagi. Walaupun begitu, oleh kerana hobi ini sedang hangat, saya juga sedikit sebanyak terpengaruh dengannya.

Gambar-gambar ini saya ambil di sekitar rumah saya dan di beberapa tempat lain lagi secara suka-suka. Saya tidak menggunakan kamera jenis DSLR, tetapi cuma kamera digital yang biasa sahaja. Sejujurnya saya tidak sanggup untuk melaburkan sejumlah wang yang tinggi semata-mata untuk mendapatkan kamera yang mahal. Cukuplah kamera berfungsi untuk merakamkan perjalanan yang manis dan pahit di dalam kehidupan seharian saya dan orang-orang lain di sekitar saya, agar ia boleh menjadi kenangan untuk gelak tawa pada masa hadapan.

Gambar-gambar di atas bukanlah hakcipta terpelihara. Ia tidak cantik dan pada pandangan saya yang jahil tentang seni ini, gambar-gambar yang saya rakamkan itu tidak mempunyai nilai yang tinggi. Sekiranya ada sesiapa yang sudi untuk menggunakannya, dipersilakanlah dengan segala hormatnya.

03 November 2009

Pejabat SPRM dalam kenangan - Bahagian 2


Saya pernah menceritakan tentang kenangan saya dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di dalam tulisan saya dahulu yang bertajuk Pejabat SPRM dalam kenangan. Di dalam cerita itu, saya cuma menceritakan serba ringkas pengalaman saya terlibat dengan kes penyelewengan wang peruntukan ADUN tanpa menyebutkan ADUN mana yang terbabit. Dengan tidak disangka-sangka, pada pukul 8.00 malam 3 November 2009, semua saluran televisyen akhirnya menyiarkan berita yang saya tunggu-tunggu sejak sekian lama.

Beberapa ADUN, bekas ADUN dan pembantu Menteri Besar telah didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah. Salah seorang yang terlibat ialah ADUN yang telah saya sebutkan, dan saya boleh berterus terang di sini kerana semua rakyat Malaysia telah mengetahuinya. Beliau ialah Yap Soo Sun, bekas Adun Teratai di negeri Selangor.

Bukanlah tugas saya untuk mengatakan beliau bersalah atau tidak melainkan mahkamah hendaknya. Biarlah mahkamah yang menentukan dengan prinsip "seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan telah dibuktikan bersalah". Untuk tempoh yang akan datang, saya akan bersedia untuk dipanggil ke mahkamah bagi memberi keterangan. Saya pasti jika perbicaraan ini berlangsung, saya berkemungkinan besar akan terlibat sebagai saksi.

Walaubagaimanapun, seperti juga kebanyakan rakyat Malaysia yang lain, saya masih sangsi adakah ini benar-benar pertuduhan yang betul dan serius atau hanya digunakan sebagai sandiwara bagi mengabui mata masyarakat. Mungkin juga Encik Yap Soo Sun ini tidak lagi mempunyai sokongan kuat MCA di belakangnya untuk mengelak pertuduhan, kerana di dalam berita bertarikh dan waktu yang sama, MCA sedang dilanda krisis kepimpinan yang teruk.

Bukan saya seorang, tetapi saya boleh katakan majoriti rakyat berpendidikan akan bersetuju bahawa "SPRM cuma dapat mencari ikan bilis". Apa-apa pun, tahniah di atas usaha SPRM. Allah jua lah yang akan mengadili kalian, seperti Allah mengadili saya.

02 November 2009

Angguk dan geleng

Angguk-angguk geleng-geleng tunduktunduk
ikut tunjuk
Iya iya saya saya kiri kanan ikut saja
Kita tunduk pabila diketuk biarkan
terhantuk tak usah dipujuk
Relakan dipatuk ingat pesan atuk
Sabar sabar sabar sabar!

Tak apa tak kisah tak rugi tak mati tak
ambil peduli
Berserah dan pasrah biar dada
didabik adat pasang turun naik
Didera dijajah terus kita dipenjara
Jadi hamba jadi kuli jadi batu diam
diri
Kita tunggu kita lihat kita nanti kita
perhati
Jangan merungut biar bertangguh diam
akur mesti patuh

Acuh tak acuh endah tak endah buat
lawak bodoh selamba
Biar kita melopong biar kita menganga
biar mereka buat apa mereka suka
biar
Jangan melawan jangan membantah
janganlah degil kena ikut perintah
Kena banyak diam biar apa orang
kata kita tawa dalam duka
Kecut takut kalut kolot terkunci mulut
terkatup tertutup
Kalah sabung menang sorak senduk
nasi tinggal kerak

Dik mari dik… ye kak… nama adik
siapa? … Mia
Adik tahu nyanyi tak?… Tahu… Ah
mari ikut kakak nyanyi sama-sama…

Tolak tambah kali ganda hitung kira
skala nisbah
Maju mundur tinggi rendah berapa
jumlah nilai bangsa

(Kak sekupang ke, dua kupang ke,
tiga kupang?)

Sawah sebendang
ladang sebidang
tanah sekangkang
pohon sebatang
Kerana wang semua
hilang hanya sehelai sepinggang
Yang jenin yang lebai
yang pandir yang luncai
Yang angannya tinggi
yang dibuai mimpi
yang sawah terjual maruah

Saya pasti kebanyakan orang dapat mengecam lirik Angguk Angguk Geleng Geleng yang dinyanyikan oleh kumpulan muzik Ahli Fikir ini. Lirik ini bemakna sekali kerana ia menggambarkan tentang nasib bangsa Melayu di nusantara ini yang semakin hilang pedoman dan mudah dijual beli oleh bangsa lain.

Saya sebenarnya sangat geli hati apabila mengenangkan lagu ini dibawakan oleh kumpulan muzik yang seumpama itu. Genre muzik barat yang dibawakan dan cara mereka berpakaian ketika mereka menyanyi sangat tidak kena dengan rintihan mereka mengenai nasib Melayu. Ditambah lagi dengan asal kumpulan ini iaitu Singapura, satu-satunya tempat di nusantara kita yang Melayu dipinggirkan dengan begitu terhormat.

Sangat rugi dan menyedihkan sekali apabila mereka sedar tentang nasib bangsa Melayu, tetapi mereka hanya dapat terloncat-loncat dan berpakaian barat di pentas muzik. Tetapi saya menghormati mereka, kerana mereka ini jauh lebih baik dari orang Melayu lain yang memegang kuasa tetapi mengabaikan nasib bangsa sendiri atau bangsa Melayu yang cuma dapat melepak di pasar raya seolah-olah pasar raya itu milik mutlak keturunan nenek moyang mereka. Sekurang-kurangnya mereka berusaha mendaulatkan bangsa melalui nyanyian daripada tidak berbuat apa-apa langsung.