03 February 2010

Berbudi pada tanah

Di halaman rumah ibu saya ada banyak pokok-pokok yang ditanam. Ada pokok-pokok bunga yang biasa dijumpai dan ada juga yang dikutip entah dari mana, ada pokok-pokok ulam, pokok buah-buahan dan juga sayur-sayuran. Sewaktu saya kecil dahulu, saya selalu dipaksa untuk menyiram pokok-pokok itu pada petang hari. Ibu saya sangat cerewet dengan pokok-pokoknya, sehinggakan jika ada ranting yang patah kerana kenakalan saya, haruslah saya dileteri sehabis-habisnya. Saya sentiasa terfikir apalah guna ditanam pokok yang entah apa-apa itu terutamanya sayur-sayuran. Ibu saya bukanlah terlalu miskin sehingga tidak mampu membeli sayur-sayuran di pasar.

Sekarang saya sudah dewasa dan berkeluarga. Justru, saya memilih untuk menyewa sebuah rumah taman lot tepi, supaya ada sedikit tanah untuk menghabiskan senggang masa dengan berfaedah. Dan saya mula berjinak-jinak untuk menanam pokok-pokok sayur hanya kerana bencikan lalang yang selalu berdiri megah.

Hasilnya sangat menakjubkan. Rupa-rupanya bercucuk tanam merupakan terapi yang berkesan kepada diri sendiri. Saya sangat teruja untuk menanam pokok sebanyak mana yang saya mampu. Melihat ia membesar, menyiram dan membuang rumput-rumput mencambahkan kepuasan yang tidak terhingga. Saya sekarang mempunyai minat yang baru iaitu bercucuk tanam. Setiap petang apabila pulang dari kerja, saya tidak akan masuk ke dalam rumah kecuali setelah puas menjengok tanaman saya. Bersembang dengan mereka, mengajak mereka membesar, melihat benih yang ditanam bertunas merupakan kepuasan yang tidak terhingga. Sekarang tanaman saya belum berbuah, dan saya tidak sabar untuk menunggu hasilnya.

Benarlah kata orang tua, berbudi pada tanah kita akan dapat hasilnya. Jika tanaman itu tidak berbuah sekalipun, ia mengisi masa saya dengan begitu berfaedah sekali. Sekarang saya sudah tahu mengapa ibu saya sangat minat bercucuk tanam, kerana saya sendiri sudah mula mengetahui faedahnya.

4 comments:

atbk said...

teringat kat umah semi-detached husni kat SP dulu... mmg penuh dengan tanam-taman..
makan nasik bleh kluar umah jap pilih2 ulam...
byk jenis pulak tu!

tu la kelebihan koje gomen , balik sblm maghrib bleh tanam2..

yg_indah said...

pekerjaan yg paling memberi kepuasan ialah petani.sebab tu nanti dlm syurga petani akan minta untuk terus bertani,sebab kepuasan yg diberikan.hg nak minta jd ADO nanti kat dlm syurga?jgn harap la.jom jd petani.

kelisa_samudera said...

atbk : memang tu salah satu kelebihan keje gomen. ada masa terluang untuk diri sendiri.

yg_indah : tapi hang nanti dalam syurga jgn mintak nak jadi lawyer. sebab aku penah baca satu lawak orang putih, lawyer never go to heaven. kah kah kah. gelak la, aku buat lawak ni.

yg_indah said...

hahaha (kita 2 saja gelak, yg lain mana?) lawak mat saleh juga kata kt neraka ada gadis2 cantik,sebab tu lagi baik pi neraka.