Jika ada pembesar-pembesar negara, artis-artis atau ahli perniagaan terkenal yang meninggal dunia, satu ayat klise yang akan terbit dari mulut pemerintah sedia ada ialah "kematian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada negara". Saya hairan juga dengan kenyataan mereka ini. Adakah mereka benar-benar ikhlas tatkala mengucapkannya atau hanya mengikut teks pemerintah dulu-dulu tanpa ada penghayatan.
Jika pembesar-pembesar yang meninggal dunia itu sedang dalam tempoh perkhidmatan, ada logiknya juga jika ia adalah kehilangan besar kepada negara. Ini kerana mereka masih lagi menyumbang tenaga dan idea untuk pembentukan negara yang lebih baik. Begitu juga dengan artis yang masih lagi menyanyi atau ahli perniagaan yang masih lagi ligat mencari keuntungan. Semuanya masih bertenaga untuk melakukan pekerjaan harian.
Tetapi bagaimana pula dengan golongan itu yang sudah lama tidak kelihatan di dalam media massa, sudah pencen dan berumur beratus-ratus tahun dan ada yang sudah nyanyuk pun. Ada di antara mereka sudah pun dilupakan secara sengaja semenjak mereka mula berpencen. Bagaimana pula kematian mereka adalah kehilangan besar? Mereka sudah menyumbangkan idea dan tenaga pada masa mereka berkhidmat. Apabila mereka sudah berpencen bermakna khidmat mereka tidak diperlukan lagi. Jika benar khidmat mereka masih diperlukan, apa perlunya mereka dipencenkan di dalam perkhidmatan terutamanya parti-parti politik yang tidak mempunyai had umur. Di dalam kes artis misalnya, adakah kematian mereka adalah satu kehilangan apabila suara mereka pun sudah tidak sedap lagi, berlakon pun seperti ayam patah kaki atau sebagainya.
Saya selalu terfikir adakah kematian mereka ini merupakan kehilangan besar kepada negara. Kematian mereka langsung tidak mengubah hidup saya dan saya percaya ia tidak mengubah hidup ramai orang lain. Malah saya langsung tidak rasa kehilangan pun. Mungkin jika ada beberapa pembesar negara yang masih ada sekarang meninggal dunia, saya akan berasa sedikit kehilangan kerana mereka masih lantang bersuara walaupun sudah berpencen.
Alangkah senangnya menjadi pembesar negara, artis atau orang-orang terkenal. Cuma berkhidmat beberapa penggal dan tidak memberi impak yang besar kepada negara, akhirnya apabila kematian mereka dianggap kehilangan yang sangat besar. Bagi artis pula, hanya mengeluarkan beberapa buah lagu yang popular, mengada-adakan gosip supaya kehadirannya dirasai dan kemudiannya senyap begitu sahaja. Bertuahnya hidup mereka kerana diingati sehingga ke akhir hayat. Saya menyarankan supaya istilah 'satu kehilangan besar kepada negara' ditujukan kepada orang-orang yang benar-benar layak sahaja.
3 comments:
aku nak mendengar ungkapan ni pulak"kematian sipolan bin sipolan adalah kelebihan besar untuk negara"huhuhu..
agak2nya bila la..
bile dah meninggal, isu orang masih ingat atau lupe dah tak penting lagi dah..dok pikir satu je..lepas atau tak azab kubur..cukup tak amalan di timbangan akhirat..kalau pun hubungan dunia yang masih berguna ialah doa anak soleh,sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat..
hmm
mari berusaha memberi manfaat kepada manusia lain sblm mati!
Post a Comment