11 May 2010

Di kerusi ini...

Salah satu tanda-tanda kehancuran yang disebut di dalam hadis Rasulullah ialah apabila harta kekayaan negara berlegar-legar di sekitar orang-orang tertentu sahaja. Pada mulanya saya memang faham tentang perkara ini, tetapi berada di kerusi empuk saya di pejabat membuatkan saya lebih jelas. Begitulah setiap hari, setiap jam, minit dan saat berlalu pergi saya mendapat gambaran yang sangat jelas tentang kekayaan negara ini yang hanya milik orang-orang tertentu sahaja. Kadangkala saya berdoa kepada Allah supaya apa yang berlaku ini hanyalah sebuah mimpi ngeri kerana saya langsung tidak menyangka ada orang yang sebegitu rakus mencuri hak orang lain yang sama-sama berhak.

Bumi Perak yang dikurniakan Allah kepada rakyat Malaysia ini terlalu kaya dengan sumber hasilnya. Sebut sahaja apa yang diinginkan di dalam dunia ini, Perak akan mempunyainya. Setiap inci bumi bertuah ini rupa-rupanya dihiasi dengan khazanah yang pelbagai, tidak kira ianya adalah ketulan pasir ataupun deposit emas. Patutlah bumi Malaysia ini pernah disebut sebagai mahar perkahwinan Saidina Ali dan Fatimah kerana kekayaannya yang terlalu banyak. Dengan kekayaan yang sebegitu luas sepatutnya semua rakyat Perak, bukan, sepatutnya semua rakyat Malaysia sudah boleh bersenang lenang dan menikmati kekayaan yang menakjubkan. Sayangnya, yang miskin tetap miskin kedana, yang kaya bertambah kaya.

Apabila saya memandang ke luar tingkap dari bilik berhawa dingin saya, satu perasaan pilu akan datang di dalam diri. Terutamanya apabila kebetulan di luar tingkap itu saya terperasan makcik-makcik yang sedang berjalan sambil disimbah mentari yang kejam, atau rakan-rakan yang sedang melarikan diri dari hujan. Mereka sepatutnya tidak perlu begitu bersusah-payah hanya untuk mencari masa hadapan yang lebih baik. Perasaan itu semakin menebal apabila teringatkan tentang nasib kebanyakan rakyat Malaysia yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan secangkir kebahagiaan kepada anak-anak, juga nasib kebanyakan rakyat Malaysia yang mencari rezeki melalui cara jujur tetapi akhirnya yang mendapat labanya ialah orang-orang yang rakus.

Di kerusi ini juga saya dapat melihat kebanyakan pembesar-pembesar negara tidak kira dari parti politik, keturunan 'mulia', pegawai-pegawai kerajaan yang sudah berpencen atau tidak dan korporat-korporat menggunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Malahan, kuasanya digunakan tanpa ada rasa malu kepada saya atau kepada Allah sekalipun.

Mungkin saya tidak akan lama lagi di kerusi ini. Begitulah doa saya setiap hari. Hati saya berasa sungguh luluh dengan mereka yang mensia-siakan amanah. Sekiranya saya diberi peluang oleh Allah untuk mengorek rezeki di tempat yang lebih tenang tanpa gangguan dari bangsat-bangsat ini, saya akan pergi. Biarlah mereka terus-terusan memperkosa hasil bumi ini untuk santapan keluarga-keluarga mereka. Saya tidak akan ambil peduli walau satu sen pun. Saya cuma mahukan ketenangan di bumi yang sementara ini. Jika saya menjadi kaya sekalipun, harapnya kekayaan saya itu tidaklah dengan cara merenggut hak orang lain yang sama-sama memerlukan. Saya berdoa kepada Allah supaya memelihara rakyat Malaysia yang jujur dan lurus, supaya kami sama-sama berada di dalam perlindungan-Nya kerana hanya Dialah yang maha memberikan rezeki yang sebenar-benarnya.

2 comments:

atbk said...

sabar...

yg_indah said...

jomla kita balik ke jelapang padi tanam getah/padi.lagi bes....