18 October 2010

Selamat berjaya Malaysiaku

Selamat berjaya Malaysiaku,
ku harap kita semua di dalam aman dan damai,
walau saban waktu setiap harga meninggi nilainya,
walau sebilang masa ditipu pemerintah yang durjana,
selamat berjaya Malaysiaku.

Oh, semalam aku mendengar perkhabaran yang sangat gembira,
KDNK negara menjulang nilainya ke angkasa,
dengar cerita beratus peratus jumlahnya,
eloklah begitu demi kedamaian Malaysiaku,
entah apa faedahnya kepadaku aku pun tidak tahu,
mungkin mak long di Gua Musang juga setuju,
KDNK? Apa itu? Sebuah novel cinta baru?

Ya, hari ini aku mendengar khabar yang lebih sensasi,
di akhbar sana sini mereka menyebut tentang kadar inflasi,
si pemerintah menyebut inflasi kita turun lagi,
oh agaknya baguslah demi kemajuan ekonomi negara,
terima kasih kerajaan yang gigih berusaha,
makcik esah di Pendang tidak tahu apa itu inflasi,
dia mahu tahu adakah perutnya setiap hari dijamu nasi,
atau hanya mengharap kasih dan simpati,
dari pemerintah yang tidak pernah mengerti.

Oh ada lagi rupa isu-isu semasa,
dengarnya pelaburan luar negara sudah bertambah sebanyak-banyaknya,
khabarnya ekonomi negara sudah pulih seperti sediakala,
sediakala?
sediakala itu bagaimana?

Tahun lepas aku bayar minyak seringgit lima kupang sahaja,
tahun ini seringgit lapan kupang seliter cuma,
adakah bila pulih minyak akan naik harga,
jika begitu aku tak mahu sediakala,
tak perlu ekonomi pulih asalkan aku hidup bahagia.

wahai tuan-tuan pemerintah yang mulia,
kami rakyat biasa tidak mengerti apa-apa,
KDNK inflasi pelaburan GSTT atau apa-apa lagi istilah bertaraf dunia,
yang kami tahu setiap masa harga barang semakin menggila,
sedang kami lihat di kaca tv anda semua masih tersenyum bangga,
menjual istilah yang kami tidak tahu apa maknanya.

Wahai tuan-tuan pemerintah yang bijaksana,
berilah kami erti bahagia,
kami cuma mahu hidup selesa,
untuk bekalan di hari tua.

08 October 2010

Papan, menjenguk 50 tahun ke belakang


Saya berpeluang melawat pekan Papan apabila mengadakan lawatan tapak di situ baru-baru ini. Pekan Papan ialah sebuah pekan kecil yang terletak di tengah-tengah Negeri Perak dan dihuni oleh lebih kurang 100 orang penduduk. Ia didominasi oleh kaum Cina dan pekannya tidak boleh dipanggil pekan pun kerana ia sangat kecil. Walaupun begitu, pada masa dahulu ia pernah menjadi pusat pengeluaran bijih timah yang paling banyak di dunia. Sekarang pekan ini sangat sepi dan ketika saya hadir bersama beberapa kereta pacuan empat roda, orang-orang di sini memandang dengan sinis menandakan bahawa mereka jarang menerima kehadiran tetamu luar.




Pengarah filem Allahyarham Yasmin Ahmad selalu menggunakan pekan ini di dalam filem-filemnya kerana pekan ini mempunyai banyak bangunan-bangunan bercorak 1950-an. Seperti yang saya katakan tadi, oleh kerana bijih timah ialah industri yang pesat di sini sekitar tahun-tahun itu, pekan-pekan ini terbina dengan maju sekali beserta dengan kemudahan prasarana yang lengkap pada masa itu. Hari ini, bangunan-bangunan ini masih berdiri teguh tetapi agak kusam dan tidak bermaya.



Di pekan ini juga terdirinya istana lama yang digelar Istana Mendailing. Saya pun tidak tahu milik siapakah istana ini sebenarnya kerana tidak diduduki dalam tempoh yang lama. Terdapat beberapa kubur yang masih ada yang saya rasakan kubur kanak-kanak kerana saiznya yang kecil. Di sebelah istana itu juga terdapat sebuah surau yang membuktikan masyarakat Melayu menghuni sebahagian kecil kawasan Papan ini suatu masa dahulu.



Hari ini pekan legenda ini tidak sehebat zaman kegemilangannya dahulu. Jika silap percaturan oleh Kerajaan Negeri, pekan ini akan luput dari peta Negeri Perak kerana terdapat cadangan untuk melombong bijih timah yang masih ada secara besar-besaran di sini. Sekiranya perancangan ini mendapat kelulusan Kerajaan Negeri, semua bangunan-bangunan di sini akan diruntuhkan sehingga menjadi kolam besar lombong bijih seperti yang kita lihat di tempat lain.

Bangunan-bangunan di sini juga suram dan sayu seakan-akan meratapi nasibnya yang dipinggirkan. Saya menyarankan kepada pencinta sejarah supaya lawatlah pekan ini dan berilah sokongan moral kepada bangunan-bangunan yang masih ada sebelum ia hilang buat selama-lamanya. Berterima kasihlah kepada pekan ini di atas sumbangan besar bijih timah yang memungkinkan wujudnya Bandaraya Ipoh seperti yang kita lihat pada masa ini.

Nota : Bijih timah Malaya adalah penyelamat kepada ekonomi Kerajaan British sewaktu mereka mengalami 'great depression' sekitar 1900-1950.

02 October 2010

Admiralti...


Admiralti berasal dari perkataan admiral, bermaksud apa-apa yang berkaitan dengan laut sama ada yang berada di permukaannya dan di dalamnya dan termasuklah dengan apa-apa yang berada di tepi laut iaitu pelabuhan, pantai, air pasang surut, tanjung, kuala dan pulau. Mungkin definisi makna yang luas inilah yang membolehkan sebuah mahkamah dinamakan dengan Mahkamah Admiralti.

Sukar sebenarnya menyebut perkataan admiralti di dalam perkataan Melayu baku, sama ada mahu disebut 'edmairelti' atau mengikut sebutan baku iaitu 'admiralti'. Mengapa tidak saja menggunakan perkataan samudera, iaitu suatu perkataan yang berasal dari nusantara ini yang menggambarkan keseluruhan lautan seperti makna admiralti. Jelaslah, penggubal dasar kerajaan masih lagi kemandulan bahasa, dan pemegang amanah bahasa (DBP) masih lagi sedang nyenyak tidur dengan mendapat pendapatan tetap bulanan.

Semakin lama bahasa nusantara ini semakin terpinggir. Rakyat Malaysia masih lagi selesa menggunakan perkataan Inggeris yang kemudian dimelayukan kerana ianya lebih mudah dan tidak perlu susah payah berfikir. Saya berazam jika saya menjadi orang penting negara suatu hari nanti, saya akan mengubah semua dasar yang mengarut dan pemalas ini. Semenjak dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi, bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting di dunia dan bahasa terpenting di dunia tentulah mempunyai istilah yang banyak.

Jika tidak pun ditukar menjadi Mahkamah Samudera, saya akan menukarnya menjadi Mahkamah Syahbandar. Bukankah suatu masa dahulu pelabuhan Melaka ialah pelabuhan tersibuk di dunia dan siapa lagi orang yang paling bertanggungjawab mengendalikan pelabuhan tersebut jika tidak Syahbandar? Jika kita masih lagi menggunapakai Panglima sebagai panggilan untuk ketua Angkatan Tentera Darat dan Laksamana untuk ketua Angkatan Laut, maka saya tidak nampak ketidakbolehan untuk menggunakan Temenggung bagi menggantikan Ketua Polis Negara. Mungkin menggantikan Bendahara untuk Perdana Menteri dan Penghulu Bendahari untuk Menteri Kewangan nampak agak janggal, tetapi kita masih mempunyai banyak lagi istilah yang boleh ditukar untuk nampak kemelayuan.

Istilah Melayu sangat luas seperti samudera untuk orang-orang yang rajin berfikir, namun bagi orang yang pemalas mereka hanyalah seperti katak di bawah tempurung.