04 April 2011

Astro

Terima kasih Google


Saya pernah menulis tentang Astro satu ketika dahulu. Di dalam tulisan saya itu, saya mempertikaikan tentang kadar langganan yang sangat mahal berbanding dengan rancangannya yang biasa-biasa sahaja. Malah pada musim hujan, kita membayar harga yang sama walaupun ada ketikanya siaran tidak dapat diterima. Pada ketika itu saya telah memutuskan untuk menamatkan langganan Astro, tetapi keputusan itu diubah apabila mendapati ketiadaan Astro membuatkan mutu saluran menjadi tidak begitu baik. Mungkin kerana jiran-jiran sebelah yang rata-ratanya memasang Astro telah memberi kesan kepada penerimaan satelit di televisyen biasa saya.

Malangnya, tulisan itu telah dibuang apabila saya menilai kembali kualiti penulisan yang tidak begitu baik. Sehingga semalam, saya telah melanggan pakej Movie, Learning dan Sports dengan harga RM107.10 termasuk cukai kerajaan 6% yang diperkenalkan baru-baru ini.

Ia sebenarnya tidak menjadi isu kerana saya masih mampu membayar pada harga yang berkenaan. Sehinggalah apabila saya membaca tulisan blogger Probitas Et Fides yang saya hormati di sini, saya terfikir untuk mengikut saranan beliau mengurangkan jumlah pakej bagi menunjukkan tanda protes kepada harga dan perkhidmatan Astro yang tidak memuaskan. Lalu kemudiannya saya berfikir-fikir selama beberapa jam, melayari laman web Astro untuk menilai-nilai pakej baru dan merenung kembali faedah yang telah saya perolehi selama ini, saya telah mengambil keputusan yang pada hematnya dianggap tepat.

Saya melanggan pakej Movie kerana tidak begitu gemarkan rancangan drama tempatan. Pakej Movie menghidangkan cerita-cerita wayang dari Barat yang menghiburkan dan unik. Memang benar pakej ini bagus, tetapi mengenang kembali saya tidak punya masa untuk menonton satu-satu cerita sehingga habis, untuk apa saya melanggan sesuatu yang tidak dapat dinikmati. Saya hanya mempunyai waktu malam untuk berada di hadapan televisyen memandangkan pada siang hari terpaksa bekerja, dan tentu sahaja pada malam itu mempunyai agenda lain yang lebih elok untuk diluangkan bersama keluarga. Pakej Movie dianggarkan bernilai lebih kurang RM38.00 untuk 3 saluran, dan selalunya satu cerita itu akan diulang selama beberapa bulan sebelum diganti dengan cerita yang lain.

Pakej Sport pula dilanggan kerana saya meminati bolasepak Eropah dan juga badminton. Tetapi memandangkan bolasepak hanya ditayangkan pada malam minggu, malah ada ketikanya ditayangkan pada waktu pagi ketika saya nyenyak tidur, apalah guna saya membayar harga yang lebih demi untuk sesuatu yang sangat sedikit. Kadang-kadang pertandingan badminton juga disiarkan di pakej ini, tetapi ia sangat jarang kerana pertandingan badminton dunia juga sangat sedikit.

Berfikir-fikir kembali, saya akhirnya menggugurkan Sports dan Movie serta menggantikannya dengan Fun dan Mustika. Tinggallah harga yang dibayar ini kepada RM62.90 sebulan, jauh lebih murah dari sebelumnya. Terima kasih Astro, saya tidak akan membayar lagi untuk sesuatu yang tidak dapat saya nikmati. Terima kasih juga kepada Probitas Et Fides kerana menggerakkan usaha ini, semoga Astro lebih mendengar pendapat orang ramai berbanding memberi tumpuan kepada keuntungan kendiri sahaja.