26 September 2012

Cerita P Ramlee

Saya suka sekali menonton cerita P Ramlee di kaca televisyen. Berapa banyak kali saya tonton sesebuah cerita tidaklah saya cuba untuk mengingatnya, tetapi saya menyedarinya apabila isteri saya menegur tentang tabiat saya yang suka menontonnya berulang-ulang kali. Malah setiap kali saya tonton boleh pula mengundang ketawa padahal ia adalah cerita yang sama. Seperti babak P Ramlee menikmati hidangan malam pertama di dalam cerita Tiga Abdul, saya sudah boleh menghafal dialognya tetapi saya masih ketawa. Ketika saya kecil-kecil dahulu, cerita ini sukar juga untuk ditayang di televisyen dan saya masih ingat ia ditayang pada hari Khamis pukul 10.00 malam, usai sahaja Forum Perdana Ehwal Islam yang popular itu. Ya, suatu ketika dahulu rancangan forum perdana itu sangat popular sehingga ia dapat menandingi jumlah penonton filem P Ramlee. 

Sekarang, ceritanya ditayang setiap hari Isnin, juga bermula pukul 10.00 malam. Dengan kemunculan Astro juga, mereka begitu aktif menayangkannya sehingga pada suatu ketika setiap hari ada sahaja cerita-cerita P Ramlee yang ditayangkan di Astro. Walaupun begitu, ianya hanya berkisar kepada filem-filemnya yang popular seperti siri Bujang Lapuk, siri Do Re Mi dan beberapa lagi. Sebenarnya banyak juga filem P Ramlee yang telah diterbitkan tetapi tidak pula ditayangkan mungkin di atas sebab-sebab tertentu. Saya difahamkan pertikaian mengenai royalti filem-filem beliau masih belum dapat diputuskan, malah hakmilik filem ini juga masih belum dimuktamadkan. Ia memungkinkan bahawa stesen-stesen televisyen ini sebenarnya menayangkan filem P Ramlee dengan percuma tanpa perlu membayar royalti kepada mana-mana pihak.

Saya mungkin suka melihat suasana pada zaman dahulu. Tentang cara hidup masyarakat yang seperti tidak terkejar-kejar, suasana di dalam istana yang cuba dibayangkan oleh P Ramlee dan juga bentuk muka bumi yang penuh harmoni. Pelakon-pelakonnya yang semestinya membawakan watak mengikut kehidupan realiti sangat tenang, diiring pula dengan keadaan persekitaran yang sangat sepi dan sayu tanpa hiruk pikuk atau sikap berlumba-lumba. Sungguh, ia sangat menenangkan perasaan. 

Lihat sahaja filem Do Re Mi di mana P Ramlee menyanyikan lagu pada awal-awal filem, entah, perasannya sukar digambarkan. Begitu juga persekitaran Zoo Negara, Setapak dan Kuala Lumpur di dalam filem Masam Masam Manis. Tetapi saya percaya di sebalik ketenangan dan keharmonian yang diterjemahkan ke dalam filem, mereka punya masalah yang tersendiri. Mungkin masalah mereka lebih berat dari masalah kita pada zaman ini tetapi pedulikanlah itu semua. Saya hanya mahu menghayati ketenangan yang digambarkan oleh mereka. 

2 comments:

a.samad jaafar said...

fuhh.. udoh byk juge kamu nulih yak..

"Saya mungkin suka melihat suasana pada zaman dahulu. Tentang cara hidup masyarakat yang seperti tidak terkejar-kejar, suasana di dalam istana yang cuba dibayangkan oleh P Ramlee dan juga bentuk muka bumi yang penuh harmoni."

nampaknya kita ada persamaan di sini.. cuma, aku jarang sgt menonton tv..

p ramlee bagi aku seorang genius..malangnya, kerana sikap kebanyakan daripada kita( hingga ke hari ini).. beliau tidak begitu dipandang pd zamannya.. malah beliau juga sering disabotaj.. melayu mmg hebat..!

? said...

sy punya seorang adik yg punya minat spt saudara.. sblm sy bngun tido, ia dh pasang internet tngok citer abg ramlee ia kt youtube..nk tido pun ia msh pasang citer yg sama.. emm.. jk malam isnin, ia x pernah lupa tngok kt tv pula.. aneh sungguh.. berulangkali mlihat citer yg sama, xde bosan ye..