28 December 2009

Kembara Royal Belum


Kembara saya tahun ini melabuhkan tirainya dengan kunjungan ke Taman Negeri Royal Belum yang diketuai oleh Dato' Dr. Ismail bin Alias, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia. Sesekali melasakkan diri di dalam hutan sebegini memang seronok. Jika iklan-iklan semasa sekarang mengajak orang supaya 'memanjakan' diri di spa, rumah urut atau sebagainya, cubalah sesekali masuk ke hutan. Tentu banyak kelainan yang dirasai. Barulah dapat menjadi 'jantan' yang sebenar. Saya lebih suka menjadi 'jantan' seperti ini daripada menjadi 'jantan' metroseksual.

Apa yang menarik bagi saya apabila masuk ke hutan ialah keletah manusia yang pelbagai. Di sini kita dapat melihat lelaki yang bercakap besar, tetapi takut kepada selut dan tanah yang melekat di seluar. Dapat juga melihat wanita yang banyak mulut tetapi kemudiannya mulut dibuka luas-luas untuk menjerit apabila pacat hinggap di kaki. Paling menarik di dalam kembara ini ialah lelaki yang berlagak kacak dan budiman terhadap wanita, kononnya dialah yang paling hebat apabila berada di dalam hutan tanpa menyedari orang lain loya melihat perwatakannya.


Taman Negeri Royal Belum berkeluasan 117,500 hektar seperti yang digazet di dalam keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Upper Belum dan Lower Belum. Menurut anggaran saya, keluasan itu menyamai 83,751 buah padang bola sepak. Jika tidak silap saya, hanya sebanyak 4000 hektar sahaja dari kawasan itu yang dilitupi dengan air manakala selebihnya ialah hutan atau pulau yang terdapat di sekeliling tasik. Kawasan ini juga diletakkan di dalam kawasan keselamatan, kerana itu setiap jarak tertentu kita akan mendapati ada beberapa pos tentera yang berjaga sepanjang masa. Bagi rakyat Malaysia, permohonan untuk masuk ke kawasan Upper Belum akan diproses selama seminggu sebelum diluluskan, manakala bagi pengunjung luar negara boleh menjangkau sehingga dua minggu. Faktor utamanya ialah kerana kawasan ini ialah bekas sarang komunis di mana masih terdapat jerangkap samar yang belum dibersihkan selain dari kawasan ini memang sesuai untuk strategi ketenteraan.

Rombongan ini agak bertuah kerana dapat menjelajah tasik ini dari penghujung utara (Upper Belum) hingga ke penghujung selatan (Lower Belum). Jika di utara, penghujungnya hanyalah cuma 8 kilometer dari sempadan Thailand-Malaysia, manakala penghujung selatan ditutup dengan Empangan Temenggor yang wujud pada tahun 1970-an lama sebelum kewujudan Royal Belum. Sepanjang perkiraan saya, terdapat lebih dari 100 buah pulau yang terhasil dari tasik buatan ini dan pulau-pulau ini kemudiannya diselenggara oleh jabatan-jabatan negeri seperti Perhilitan, JHEOA, Jabatan Perikanan dan sebagainya. Saya cuba mencari pulau milik jabatan saya tetapi dimaklumkan ianya terletak jauh dari jalan biasa.


Pulau Tali Kail ini ialah milik Jabatan Perhilitan. Rasanya pulau ini yang mempunyai prasarana yang paling lengkap untuk kem motivasi dan sebagainya. Selain dari mempunyai chalet dan kemudahan penginapan tidak seperti tempat penginapan rombongan kami (yang sebenarnya hanyalah khemah seperti khemah askar, berkongsi tandas dan kotor kerana tiada lantai), ia mempunyai teknologi Astro dan perantauan telefon dapat diperolehi di sini. Mungkin suatu masa nanti saya akan menyarankan kepada ketua jabatan saya supaya dapat menganjurkan kem bina semangat di sini.

Seperti rutin biasa apabila 'orang-orang besar' turun ke 'bumi', penganjur akan menyediakan pakej yang lengkap untuk pelancongan ini. Ia termasuklah lawatan ke kampung orang asli, melawat bunga rafflesia, air terjun, ternakan talapia dan sebagainya.

Saya berani bertaruh bahawa suara mereka lebih merdu dari suara kebanyakan artis-artis Melayu yang dilahirkan dari program realiti. Persembahan mereka pada malam BBQ dan ketika menyambut kedatangan kami ke perkampungan mereka begitu mengujakan. Kumpulan ini yang menamakan diri mereka sebagai Cinok bukan sahaja dapat menyanyikan lagu-lagu rock dengan baik, tetapi juga lagu Hindustan, irama 60-an dan Thailand. Saya sangat tertawan dengan lagu ciptaan mereka sendiri iaitu 'Bungo Lemaye' yang bermaksud Kekasih Yang Kucintai. Melodinya yang menyayat hati dan suara penyanyinya yang merdu benar-benar membuatkan saya syahdu walaupun saya tidak tahu maksud lirik berkenaan.


Inilah generasi masa depan yang masih terumbang-ambing. Tidak dapat tidak, lama-kelamaan mereka harus menerima teknologi dan pembangunan. Pencapaian akademik mereka tidak mengagumkan, tetapi mereka ada bakat yang tinggi terutamanya di dalam bola sepak. Banyak lagi perancangan yang harus dilakukan oleh kerajaan untuk membangunkan orang asli terutamanya pertikaian mengenai tanah adat, saluran bantuan dan sebagainya. Masalah ini mungkin kecil pada masa sekarang, tetapi pada masa hadapan ia mungkin akan menjadi masalah yang lebih besar.

Yang paling menarik sepanjang percutian ini mungkin terletak pada hidangan terakhirnya iaitu daging kijang liar. Setelah empat hari menikmati ikan darat seperti sebarau dan kelah, akhirnya kami dihadiahkan dengan hidangan panggang ini. Tetapi yang agak menyesalkan ialah rasanya tidak seperti kijang yang pernah saya makan. Ia dimasak mentah, cukup untuk saya merasakan bahawa saya seekor harimau pada malam itu.

Akhir sekali apabila pulang ke rumah, saya perlu menyiapkan alasan yang kukuh untuk isteri saya. Sepanjang tahun ini, saya telah merantau ke beberapa negeri di dalam Malaysia, tetapi dia hanya setia berada di rumah. Saya agak kasihan dan kesal, bukan niat saya untuk meninggalkannya bersendirian, tetapi perantauan saya tahun ini banyak berkisarkan kepada kerja sahaja. Di dalam kereta saya berfikir-fikir di mana mahu saya mengorek wang lebihan untuk membawanya melancong ke mana-mana destinasi pada tahun hadapan. Harapan saya semoga Allah mempermudahkan urusan saya untuk menjadi suami dan bakal bapa yang baik.

16 December 2009

Sedang dalam proses menjadi dewasa

Saya bukanlah pelajar yang baik ketika di universiti dahulu. Jika tidak kerana simpati Allah, hampir sahaja saya tidak dapat menggenggam segulung ijazah. Saya bersikap sambil lewa untuk hadir kuliah dan acuh tak acuh ketika menduduki peperiksaan. Apabila diajak oleh rakan-rakan, saya tidak akan ragu-ragu untuk memenuhi jemputan mereka bermain snooker, badminton atau futsal. Menonton vcd dan bermain permainan komputer pula menjadi rutin malam yang tidak dapat dibuang. Kemudian saya akan tidur pada pukul 2 atau 3 pagi dan bangun semula pada pukul 11 pagi. Segala aktiviti tidak menjurus langsung kepada budaya pembentukan ilmu yang sepatutnya sebagai seorang pelajar universiti. Saya meluangkan masa yang banyak untuk perkara-perkara lain.

Pada ketika itu, saya berdoa supaya cepat-cepat menamatkan pengajian. Saya mahu keluar dari 'neraka' itu dengan segera. Fikir saya, hidup akan lebih tenang tanpa perlu membaca buku dan bersedia untuk peperiksaan. Tambahan pula, tidak ada lagi tugasan yang menyakitkan hati dan pensyarah yang akan memarahi saya jika tidak hadir kuliah. Dengan bekerja juga saya akan menikmati kemewahan dan boleh membeli apa sahaja yang saya suka. Saya boleh bermain tanpa henti, membeli vcd-vcd baru dan membeli koleksi Doraemon yang cantik. Pada masa itu saya selalu membayangkan betapa bertuahnya mereka yang telah bekerja kerana mereka cuma sibuk ketika di pejabat tetapi apabila pulang ke rumah mereka tidak lagi teringat kerja-kerja yang bertimbun. Apabila esok menjelang, akan bermulalah hari baru untuk mereka. Cerita-cerita perit semalam akan hilang dan mereka boleh bekerja seperti biasa. Mereka tidak perlu ingat nota-nota pembelajaran, tidak perlu risau tentang wang dan sebagainya.

Sekarang saya sudah berada di tempat mereka. Rupa-rupanya ia tidaklah indah seperti yang disangkakan. Memang saya tidak perlu lagi pergi ke kuliah, tiada lagi nota-nota yang membosankan dan mempunyai wang untuk kegunaan diri sendiri. Tetapi komitmen yang lebih berat pula yang menanti. Saya sudah tiada masa untuk melakukan aktiviti yang saya suka kerana keletihan bekerja di pejabat. Selepas sesi bekerja, saya akan pulang, menonton televisyen dan kemudian tidur. Tiada lagi aktiviti malam seperti snooker, vcd dan permainan komputer. Menjelang hari minggu, belum sempat melakukan aktiviti yang saya suka, saya menyedari hari Sabtu sudah bertukar hari Ahad dengan begitu pantas. Alangkah ruginya.

Pada masa inilah baru saya terfikir betapa bagusnya jika saya masih lagi seorang pelajar universiti. Hanya perlu ke kuliah mengikut jadual, menjawab soalan peperiksaan dengan lancar dan memberikan sepenuh perhatian di dalam kelas, selebihnya adalah masa untuk saya sendiri. Waktu malam adalah milik saya sendiri untuk melakukan apa yang saya suka. Biarlah saya tidak punya banyak wang, tetapi saya punya masa untuk berhibur.

Benarlah bahawa saya baru sahaja sedang dalam proses untuk menjadi dewasa. Kerana itu saya masih merindui masa-masa dahulu yang terluang. Seperti satu ungkapan yang pernah saya baca : -

apabila kita remaja, kita ada masa, ada tenaga tetapi tiada wang.
apabila kita dewasa, kita ada tenaga, ada wang tetapi tiada masa.
apabila kita tua, kita ada wang, ada masa tetapi tiada tenaga.

Suatu masa nanti apabila saya sudah tua, mungkin saya akan mengenang pula saat-saat manis ketika saya bekerja. Begitulah manusia, tidak akan pernah puas dengan dunia yang sementara ini...

09 December 2009

Terengganu : Uniknya


Saya berpeluang melawat Terengganu di atas satu lawatan kerja 2 hari baru-baru ini. Terengganu tidak pernah menghampakan sekiranya saya mendambakan ketenangan. Suasananya yang suram dan tenteram memang sangat sesuai untuk proses muhasabah diri. Lebih-lebih lagi berbetulan dengan keadaan banjir dan hujan setiap masa, tidak ramai penduduknya yang keluar rumah jika tidak mempunyai hal yang penting. Oleh kerana saya menetapkan kunjungan kali ini adalah agenda kerja, saya tidak bernafsu langsung untuk membeli belah di Pasar Payang. Namun begitu, saya tidak dapat mengelak dari membeli 10 biji telur penyu yang berharga RM35.00. Kepada penyu-penyu yang diancam kepupusan sekalian, saya mohon maaf di atas sikap buruk saya.


Sempat juga saya menikmati makan tengah hari di dalam Pasar Payang sambil melihat kapal-kapal layar berlatih. Latihan ini adalah untuk Piala Monsun yang akan berlangsung esok hari. Tidak jauh dari tempat saya makan, saya menyedari sebuah pulau buatan sedang dibina di tengah-tengah sungai. Seingat saya ketika saya datang beberapa tahun dahulu, pulaunya masih kecil dan jauh di tengah-tengah sungai. Tetapi sekarang pulau itu sudah luas dan hampir mencecah tebing. Dahulu, ada kelibat 2 3 ekor anjing sedang mencari makanan di pulau buatan itu, dan saya menyedari masih ada lagi beberapa ekor sedang melakukan rutin yang sama. Adakah mereka adalah anjing-anjing yang sama? Saya sendiri tidak tahu. Saya mengucapkan salam perkenalan kepada anjing-anjing itu, anda semua sangat bertuah kerana tinggal di bumi yang tenang ini dan saya sangat mencemburui anda semua. Anda tidak perlu bangun pada pukul 6.30 pagi untuk bekerja, anda juga tidak perlu disoal apa-apa di akhirat nanti.



Ini bukanlah kali pertama saya datang ke bandar yang tenang ini. Namun begitu, pada kali ini saya memilih untuk bersendirian walaupun datang ke sini seramai lebih dari 40 orang. Saya ingin menghayati ketenangan tanpa diganggu oleh orang lain, dan saya benar-benar melakukannya apabila saya berjalan bersendirian pada waktu malam. Menyewa di hotel yang terletak di tengah-tengah bandar memberi saya peluang, walaupun peluang itu diragut dengan kejam pada pukul 10.00 malam kerana hujan yang terlalu lebat. Tetapi inilah uniknya Terengganu.



Pada waktu pagi, ketika sedang leka menikmati sarapan di tingkat paling atas, hujan lebat sekali lagi melanda. Suasananya sangat tenang, di atas langit awan hitam sentiasa berarak dengan megah. Titis-titis air menjadi peneman dan kadang-kadang titisan hujan itu menimpa ke dalam cawan teh saya. Di bawah hotel, jalan-jalan raya mula sibuk dengan kenderaan yang membuka lampu dan bergerak perlahan. Saya diberitahu bahawa jalan di hadapan hotel saya ini sangat berbahaya kerana ia pernah meragut nyawa pejalan kaki dan penunggang motosikal.



****************************



Usai sesi kerja, dapat pula ke Masjid Kristal yang menjadi salah satu tempat yang saya ingin ziarahi. Sepanjang perjalanan ke masjid ini, di kiri kanannya terdapat replika-replika masjid popular serata dunia termasuk Masjid Nabawi di Madinah. Oleh kerana masa yang tidak mengizinkan, saya hanya sempat solat Asar dan merenung keindahan replika masjid-masjid lain dari jauh. Azam saya, suatu hari nanti saya akan datang lagi dengan ditemani keluarga tersayang untuk melawat Taman Tamadun Islam ini.



Masjid ini memang indah. Keunikan reka bentuknya dan elemen pembuatannya sehinggakan wajah saya dapat diimbas di kubah masjid. Ditambah lagi dengan keredupan suasana yang nyaman, saya tidak dapat menafikan bahawa ini bukanlah lawatan saya yang terakhir ke sini. Suatu masa nanti saya akan datang lagi. Walaupun begitu, saya agak pasti masjid ini tidak dapat menandingi keberkatan Masjid Jerteh yang saya kunjungi semalam. Masjid Kristal ini dibina hasil hawa nafsu seorang pemimpin dengan menggunakan wang rakyat yang sebenarnya tidak perlu pun, tetapi saya difahamkan Masjid Jerteh dibina dengan sedekah dan ihsan orang ramai.


Seperti biasa, apabila pulang saya akan melalui kawasan yang dilanda banjir. Kepada mangsa-mangsa banjir, saya mengucapkan takziah dan semoga sabar di atas dugaan yang menimpa anda semua. Saya tahu kerajaan negeri tidak mampu berbuat apa-apa di atas tragedi banjir ini kerana ia adalah lumrah alam, walau berjuta ringgit dilaburkan juga tidak akan dapat mengelak dari ia melanda Terengganu.

Saya akan datang lagi ke Terengganu, dengan azam dan watak yang berbeza, dan saya tahu ia tidak akan pernah menghampakan saya. Insya Allah.