31 January 2011

Saya sudah ada pengganti - Fisya Sendu

Beberapa hari selepas mengaku putus hubungan dengan anak seorang Dato' dari selatan tanahair, penyanyi kontroversi Fisya Sendu memaklumkan bahawa beliau kini sedang bahagia bercinta dengan seorang jejaka yang masih dirahsiakan. Wajahnya jelas ceria ketika di dalam sidang media yang diadakan di rumahnya untuk memaklumkan perkara berkenaan.

"Saya sekarang sedang bahagia. Insya Allah, dalam 2 3 minggu lagi kami akan melangsungkan perkahwinan," ulasnya tanpa ditanya. Tidak lokek untuk berkongsi cerita cintanya dengan wartawan, Fisya memaklumkan bahawa mereka saling mengenali kerana jejaka itu selalu mengikuti perkembangannya di Twitter. Setelah berkenalan selama 2 hari, mereka telah mengadakan temujanji pertama di sebuah restoran mewah di pinggir ibu kota semalam. "Dia sangat istimewa. Dia membelanja makan malam kami semalam dan dari gayanya, memang saya nampak dia seorang yang kaya. Dia 'swipe' kad kredit dengan penuh yakin, dan dia jemput saya dari rumah pun dengan menaiki jet peribadi. Ini sungguh berbeza dengan seorang lagi jejaka yang cuma sewa helikopter semasa nak berjumpa dengan saya."

Menurut penyanyi bersuara itik serati itu lagi, kenangannya bersama-sama dengan kekasih lamanya Faizal sudah lama ditinggalkan dan dia sedang memandang ke hadapan demi kerjaya nyanyian yang semakin berkembang. Ketika ditanya tentang faktor putusnya hubungan dengan anak Dato' berkenaan, Fisya terus terang mengakui bahawa dia sebenarnya sudah lama mahukan hubungan itu putus kerana Faizal ialah seorang duda.

"Saya gelilah dengan duda-duda ni. Apa kelas wanita macam saya dapat duda. Sepatutnya saya dapat seorang teruna kerana saya pun masih lagi dara. Errrr, maksud saya sebab saya tak kawin lagi. Eloklah Faizal balik ke pangkuan isteri dia. Lagipun saya dengar dia bukan setakat ada seorang isteri. Dia pernah kahwin lari masa dia masih remaja dulu."

Mengulas mengenai kontroversi beliau berpakaian bikini semasa bercuti di Perth baru-baru ini, Fisya mengharapkan supaya rakyat Malaysia tidak memandang peristiwa itu dari perspektif yang sempit. "Masa itu cuaca panas. Saya tak selesa nak memakai baju. Nanti kalau pakai baju badan saya akan berpeluh. Bila berpeluh bakteria dengan mudah akan menyerang badan saya kerana antibodi badan saya tak begitu kuat. Saya harap janganlah diperbesarkan cerita ini. Saya memakai bikini demi untuk mengelakkan penyakit," ujarnya mengakhiri sidang media berkenaan.

23 January 2011

RM1 juta untuk seekor ikan


Rasanya ketika tulisan berkaitan ikan tuna ini diletakkan di dalam blog saya, ikan ini sudah pun selamat disemadikan di dalam perut-perut pembelinya malah mungkin juga sudah menjadi najis yang telah dikeluarkan. Ikan ini dilelong pada akhir 2010 yang lalu dengan harga RM1.22 juta di Tokyo menjadikan ia ikan tuna paling mahal di dunia pernah dijual. Kita mempunyai banyak pilihan dengan nilai RM1.22 juta. Kita boleh membeli banglo yang sangat besar, kereta yang laju, ladang kelapa sawit yang luas atau melancong ke merata dunia. Tetapi ada manusia yang menggunakan jumlah sebesar itu hanya untuk seekor ikan yang akan membusuk di dalam perut.

Dengan terjualnya ikan tuna besar dengan harga yang sangat mahal ini, jelas sekali manusia memang sentiasa dahaga dan lapar dengan makanan yang bermutu tinggi. Tentu bagi kebanyakan manusia yang kurang mampu melihat peristiwa ini dengan penuh rasa terkilan, tetapi bagi yang kaya raya ia mungkin tidak memberikan apa-apa kesan kepada kewangan mereka. Sekiranya kita melihat dengan pandangan kasar, saiz ikan yang berharga RM1.22 juta ini boleh dinikmati oleh 50 orang untuk sekali makan sahaja. Tetapi untuk nilai RM1.22 juta, jika seseorang membelanjakan RM20.00 sehari untuk makanan, maka dia memerlukan masa selama 167 tahun untuk menghabiskan wang sebanyak itu. Jika RM1.22 juta dibahagikan kepada RM20.00 sebagai bekal kepada seorang makan, maka seramai 61,000 orang boleh mendapat RM20.00 untuk bekalan makan sehari. Tetapi bagi peminat ikan tuna yang kaya, mereka boleh menghabiskan jumlah sebesar itu untuk sekali santapan sahaja.

Saya rasa kebanyakan rakyat Malaysia pernah memakan ikan tuna. Ia boleh diperolehi dari tin-tin sardin yang dijual di pasaraya, malah kedai kek juga selalu menjual roti yang berintikan ikan tuna ini. Walaupun begitu, kualiti ikan sardin tuna atau roti inti tuna ini mungkin tidak akan sama dengan ikan tuna sebenar yang dijual di pasar-pasar Tokyo. Ikan tuna jenis ini lebih segar dan dagingnya mungkin lebih lazat.

Di kala kanak-kanak di Afrika masih lagi menagih simpati untuk sepinggan gandum, masyarakat bertamadun di Jepun sedang berterus-terusan dengan kegilaan ini. Saya percaya suatu masa nanti akan ada ikan yang dijual dengan harga lebih tinggi, tetapi pada masa yang sama juga akan ada kanak-kanak di Afrika telah menghembuskan nafas yang terakhir kerana kebuluran. Teruskanlah. Dunia ini memang milik orang-orang kaya yang berlumba-lumba untuk menjadi lebih kaya. Bagi orang-orang miskin yang ketinggalan di dalam perlumbaan ini, mereka tidak berhak untuk terus berada di dalam dunia. Lebih baik membiarkan mereka mati dari memberi sebotol susu kerana orang-orang yang ketinggalan di belakang akan menyusahkan orang-orang kaya ini menikmati kekayaan mereka.

14 January 2011

"Kalau baju saya basah, dah lama saya terjun"



Saya pernah menulis tentang kunjungan pertama ke Royal Belum di dalam tulisan yang bertajuk Kembara Royal Belum akhir tahun 2009 yang lalu. Oleh kerana pada masa itu pengetahuan saya agak kurang, maka ada beberapa data yang ditulis sebenarnya tidak tepat kerana saya tidak membuat kajian yang serius dan analitik. Sebagai contoh, saya menganggarkan keluasan keseluruhan Royal Belum ialah seluas 83,751 buah padang bola sepak, tetapi sebenarnya ialah kira-kira 170,792 buah dengan mengambil perbandingan Stadium Old Trafford di Manchester United ialah seluas 1.7 ekar. Selain dari itu, saya tersilap menyatakan Pulau Tali Kail dimiliki oleh Jabatan Perhilitan sedangkan fakta sebenarnya ialah ia dimiliki oleh Jabatan Hutan. Jabatan Perhilitan juga mempunyai pulau mereka sendiri tetapi kemudahan yang disediakan tidaklah sehebat Pulau Tali Kail yang serba serbi lengkap bagaikan hotel 3 bintang. Selain dari itu, fakta yang saya nukilkan bolehlah dikira sebagai tepat kerana tiada apa-apa percanggahan lain selain dari yang telah saya terima.

Saya baru sahaja melawat Royal Belum beberapa hari yang lepas. Melalui tulisan sahabat saya D08 di blognya, kebetulan pula saya berpeluang ke tempat yang sama tetapi di dalam acara yang berlainan. Malah, di dalam beberapa minggu yang akan datang saya akan sekali lagi ke sini demi menyelesaikan tuntutan kerja yang berkisarkan kepada projek menjejaki laluan haiwan liar. Demi kemakmuran yang berpanjangan di antara manusia dan haiwan yang sama-sama berkongsi hidup di dunia ini, sesuatu perlu dilakukan untuk tidak mengganggu habitat mereka yang telah lama terancam. Saya bertuah kerana terlibat secara langsung di dalam projek ini dan oleh kerana kunjungan kali ini adalah dasar tugas, saya tidak terlalu teruja dengan apa yang terkandung di dalam perut Royal Belum kerana saya lebih menumpukan kepada penyelesaian tugas yang telah diamanahkan.

Sayang sekali saya tidak membawa kamera untuk kenang-kenangan kerana kamera saya telah hilang ketika berkunjung ke Pulau Pangkor beberapa hari sebelumnya. Ketika di dalam kereta untuk ke sana, beberapa kali saya meluahkan rasa kekesalan yang teramat sangat di atas kehilangan kamera yang tersayang. Bukan kerana harga kamera yang menjadi persoalan, tetapi kehilangan gambar-gambar di dalamnya yang membuatkan hati menjadi rawan. Lalu dengan perasaan rendah diri kepada orang lain yang megah dengan DSLR mereka, saya agak malu-malu menggunakan telefon bimbit untuk merakam sedikit gambar kenang-kenangan. Dengan sebab itulah gambar-gambar yang diambil agak kabur dan tidak cantik tidak seperti menggunakan kamera digital yang sebenar.




Hutan Belum masih seperti yang saya tinggalkan ketika 2009 dahulu. Ia masih tenang, lembut dan misteri. Isi perutnya yang hijau dan gelap bagai mencabar manusia yang tega untuk menjelajah. Ia sentiasa sunyi dan damai, malah berada di sini walaupun hanya untuk satu malam boleh mengubah pendirian seseorang terhadap persepsi dunia yang kejam ini. Saya mencadangkan kepada sesiapa yang berasa tertekan kerana apa-apa sebab supaya datang ke sini untuk menghilangkan perasaan walang, kerana berada di sini boleh membuatkan kita lupa kepada masalah yang telah menimpa. Maha Suci Allah yang telah meletakkan sebuah 'syurga' di hujung negara ini untuk tatapan kepada hamba-hamba-Nya yang leka.

Gambar di atas telah dirakamkan pada pukul 7.02 pagi usai sahaja saya bersiap-siap untuk pulang. Ia dirakamkan di atas Pulau Tali Kail dengan mengadap ke timur ( mengambil kira saya merakamkan gambar dengan membelakangkan kiblat). Melihat suasana pada pagi yang hening di tasik ini, saya teringkatkan buku-buku cerita pahlawan karya Tony Wong ketika saya masih muda remaja. Gambar-gambar pemandangan yang indah telah diabadikan di dalam karya kepahlawanan Tony Wong sehinggakan membacanya membuatkan saya rasa betapa bertuah jika saya dapat melihatnya di alam nyata. Ternyata Allah telah memakbulkan impian saya dengan menghadirkan Hutan Belum untuk santapan sebagai lukisan alam yang benar-benar wujud.


Seperti biasa juga haiwan kecil ini tidak akan sesekali melepaskan peluang untuk menghisap darah manusia. Di dalam kunjungan kali ini saya hanya dihinggap dua kali berbanding rakan-rakan lain yang lebih banyak. Memang saya menyedari di dalam setiap pengembaraan ke dalam hutan, saya jarang dihinggap si pacat mungkin kerana darah saya kurang enak berbanding orang lain. Atau mungkin sahaja pacat-pacat itu menyedari bahawa menghisap darah saya tidak menghiburkan kerana ia tidak akan membuatkan saya kaget atau panik, kerana saya memang tidak berasa geli dengan drakula cilik ini.

Pada perjalanan pulang selepas menyusuri Sungai Kejar, bot yang kami naiki mati di tengah-tengah tasik kerana telah kehabisan minyak. Dengan nada bergurau, seorang kakitangan tiba-tiba menyarankan saya supaya terjun dari bot untuk mandi sementara mereka menguruskan untuk mengisi minyak yang baru. Lalu saya menjawab,

"Kalau baju saya basah, dah lama saya terjun. Tapi sebab baju kering, malas. Nanti baju basah susah nak masuk kereta."

Sebaik sahaja mengisi minyak dan meneruskan perjalanan, hujan turun dengan lebat sehingga baju kami semua benar-benar basah kuyup. Dan selepas itu saya tidak tertahan lagi mendengar usikan mereka yang menyuruh saya terjun untuk mandi. Memang benar saya mahu terjun, tetapi keadaan masa dan tempat tidak mengizinkan untuk saya berbuat demikian.

07 January 2011

Politik mak bapak




Mereka dilahirkan dari golongan orang-orang kaya. Celik sahaja mata di dunia ini, pandangan dunia yang mempesonakan telah disediakan untuk bergelar seorang manusia. Ketika kanak-kanak sebaya mereka masih bergelut untuk keluar dari kepompong kemiskinan, mereka mempunyai segala-galanya yang cukup sebagai persediaan sehingga ke akhir hayat. Disekolahkan di sekolah-sekolah elit, diuniversitikan di luar negara dengan tanggungan sendiri, berkahwin dengan pilihan hati tanpa banyak soal dan akhirnya mempunyai masa hadapan yang cerah tidak kira di dalam apa bidang pun yang mereka ceburi. Di bahu bapa-bapa mereka terselempang pingat-pingat kebesaran anugerah raja-raja dunia, kewangannya pula bagaikan sebuah gunung yang terlalu tinggi yang tidak pernah rendah walaupun dikikis setiap hari. Rumah-rumah mereka adalah agam yang mempesonakan, dan sekiranya mereka sudah bosan dengan agam yang sama, mahligai lain menanti dengan penuh setia untuk didiami.

Di rumah-rumah bapa mereka terdapat sofa buatan luar negara yang harganya lebih tinggi dari gaji sebulan seorang pegawai muda kerajaan. Tilam dan bantal habuan tidur terlalu empuk disulam sejuta kapas yang tinggi mutunya. Makanan yang dihidang pula disediakan dari ramuan terbaik tanpa kompromi. Kenderaan-kenderaan santai dan rasmi berkoyan jumlahnya hinggakan mereka terlupa kereta yang mana sudah tamat tempoh cukai jalannya. Tempat santai mereka bukan pula di kaki-kaki lima jalan, bahkan santaian itu dikelilingi pula gadis genit yang menggiurkan. Dan akhirnya mereka ini yang hidup bagai kayangan terjun ke dunia politik yang penuh dengan duri dan tahi mengikut jejak langkah bapa-bapa, seperti pepatah orang-orang tua ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Sekarang katakan kepada saya, adakah mereka ini faham tentang hidup kita? Mungkin demi kelangsungan politik, adakalanya mereka tidur di rumah-rumah pedalaman yang jauh dari tamadun dan menikmati kehidupan serba sederhana, tetapi soalnya adakah mereka benar-benar faham tentang kehidupan kita yang berpendapatan sederhana? Ketika mereka melabuhkan punggung di tilam-tilam empuk di bilik berhawa dingin, ada di kalangan kita yang tidur sambil mendepangkan tangan di dahi dengan memikirkan bagaimana untuk membeli komputer riba buat belajar untuk anak tersayang. Ketika mereka bersantai-santai di sofa import di mahligai-mahligai yang tersergam, ada di antara kita keluh kesah kerana rumah sudah mahu dilelong. Ada juga ketikanya mereka menikmati sarapan pagi di Starbucks atau Oldtown, ada di kalangan kita sedang bertafakur dengan lelehan air mata di solat dhuha dengan harapan supaya Allah melapangkan rezeki demi kelangsungan hidup. Aduh, betapa rendahnya darjat manusia yang bapa-bapa mereka tidak dikenali.

Kemudian apabila mereka sudah mula dikenali dengan nama mereka sendiri, akhirnya mereka mewakili kita sebagai wakil-wakil rakyat yang mesra. Wakil-wakil rakyat inilah yang akhirnya membawa suara rakyat marhaen ke arus perdana, mewakili untuk meluahkan masalah dan kesengsaraan dan mereka juga yang bertanggungjawab di atas segala yang berlaku di dalam kehidupan kita. Mereka mungkin tidak faham mengapa rakyat begitu merungut tentang 10 sen harga petrol dan kenaikan harga bahan asas yang lain. Entah pula mereka menyalahkan kita kerana terlalu gelabah apabila minyak masak sudah kurang di pasaran. Mereka mungkin juga tertanya-tanya mengapa pelajar-pelajar sekarang terlalu manja untuk menjadikan PTPTN sebagai biasiswa kerana mereka tidak pernah mendapat pinjaman PTPTN. Mungkin juga mereka berfikir bahawa bayaran bulanan PTPTN adalah sangat rendah untuk semua rakyat Malaysia, dan kerajaan sudah terlalu bermurah hati apabila menawarkan ujrah 1% kepada peminjamnya. Mereka tidak pernah merasa semua kesengsaraan ini.

Nyatalah kekayaan yang tidak dipandu dengan hemah yang tinggi sebenarnya menjadi duri yang terlalu tajam di dalam kehidupan. Duri ini kemudiannya hanya menunggu masa untuk mencucuk diri mereka sendiri yang leka. Kekayaan membuatkan sebahagian orang menjadi buta, dan lebih malang lagi kebutaan mereka itu membuatkan mereka tidak nampak nasib orang lain yang sama-sama ingin menumpang bahagia di dunia yang sementara ini.

02 January 2011

Nilai yang berbeza


Suatu hari rumah saya diziarahi oleh abang dan kakak ipar yang tinggal di Negeri Perak. Abang ipar saya berasal dari Pulau Pinang dan berketurunan Melayu, manakala kakak ipar saya yang juga kakak kepada isteri saya berasal dari Perak dan berketurunan Mendailing Melayu. Mereka tinggal di sebelah selatan negeri yang berdekatan dengan tempat asal ibu dan bapa mertua saya.

Setelah mereka tiba sambil disambut dengan sambutan yang mesra, kakak ipar saya menyatakan kekesalannya kerana tidak membawa buah tangan untuk keluarga kami. Seperti lazimnya adat orang Melayu yang lain, saya tidak mengambil kisah dengan buah tangan kerana kehadiran mereka sudah cukup bermakna buat keluarga saya yang kecil ini. Bukankah tetamu itu sendiri datang membawa rezeki? Kami kemudiannya bersembang gembira di dalam suasana kekeluargaan, usik mengusik dan berbincang tentang hal-hal semasa. Hampir beberapa jam mereka berada di rumah saya dan sempat menikmati makan tengah hari, mereka meminta izin untuk pulang.

Sebelum bertolak pulang, kakak ipar saya sekali lagi menyatakan kekesalannya yang sungguh-sungguh kerana terlupa membelikan buah tangan untuk keluarga saya. Dengan niat untuk bergurau saya berkata, " lain kali datang jangan lupa bawa buah tangan." Serta merta saya melihat riak muka kakak ipar saya menjadi kelat. Di dalam masa yang sama, isteri saya mencubit lengan saya dengan agak keras sehingga membuatkan saya terkejut. Mengapa?

"Apa cakap macam tu?" Isteri saya bertanya.

"Kan ke saya bergurau?" Saya membalas dengan pertanyaan yang sedikit keliru.

Setelah mereka pulang, barulah isteri saya menjelaskan bahawa gurauan saya itu sedikit kasar. Kenyataan saya itu ibarat seperti meminta-minta untuk diberikan buah tangan dan mempersalahkan mereka kerana tidak memberinya untuk keluarga saya.

Saya berasal dari negeri Kedah. Bagi penduduk-penduduk negeri kelahiran saya, kenyataan sebegitu adalah satu gurauan yang sangat menyenangkan hati. Ia bukanlah niat untuk menyalahkan sesiapa malah tidak juga dengan niat untuk meminta-minta, tetapi ia sekadar gurauan mesra yang diterima baik oleh mereka di sana. Tetapi ia tidak terjadi perkara yang sama pula di bumi Perak yang bertuah ini. Gurauan saya sebentar tadi dianggap agak kasar dan tidak sesuai dengan jiwa mereka.

Walaupun kita semua adalah orang Melayu, rupa-rupanya nilai kehidupan kita agak berbeza di dalam beberapa segi. Saya menyedari gurauan orang-orang Melayu di sebelah utara dan negeri Melaka agak kasar bunyinya dan tidak begitu menyenangkan hati bagi orang yang mendengar. Tetapi sesama mereka, gurauan kasar yang sedemikian tidak pernah disimpan di dalam hati malah menganggap sesuatu yang sangat mesra di dalam perhubungan. Begitu juga jika mendengar loghat Kelantan ketika mereka berbicara sesama mereka, ia nampak agak melampau dan bersifat kenegerian walaupun sebenarnya mereka tidak terniat pun untuk bersikap begitu.

Walaupun saya baru sahaja menetap di negeri ini, tetapi saya sudah lama bersahabat dengan orang-orang negeri Perak ketika di zaman universiti dahulu. Hasil penelitian saya yang tidak seberapa, orang-orang Perak mempunyai tutur kata yang sopan dan lemah lembut, malah mereka sangat merendah diri di dalam beberapa segi. Sekiranya kita sudah lama bersahabat dengan mereka barulah gurauan itu menjadi agak 'jahat' di dalam kemesraan. Tidak seperti orang asal negeri saya, mereka bercakap agak tinggi dan juah walaupun sebenarnya mereka tidak berniat untuk menjadi sombong.

Begitulah kepelbagaian yang mencorakkan sistem komunikasi kita seharian. Saya bersyukur kerana mempunyai ramai sahabat dari serata pelosok negara yang akhirnya mencorakkan keperibadian saya sekarang. Mana yang baik diambil sebagai ikutan, mana yang buruk pula dijadikan iktibar untuk menjadikan kita manusia yang lebih baik.