Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

14 January 2011

"Kalau baju saya basah, dah lama saya terjun"



Saya pernah menulis tentang kunjungan pertama ke Royal Belum di dalam tulisan yang bertajuk Kembara Royal Belum akhir tahun 2009 yang lalu. Oleh kerana pada masa itu pengetahuan saya agak kurang, maka ada beberapa data yang ditulis sebenarnya tidak tepat kerana saya tidak membuat kajian yang serius dan analitik. Sebagai contoh, saya menganggarkan keluasan keseluruhan Royal Belum ialah seluas 83,751 buah padang bola sepak, tetapi sebenarnya ialah kira-kira 170,792 buah dengan mengambil perbandingan Stadium Old Trafford di Manchester United ialah seluas 1.7 ekar. Selain dari itu, saya tersilap menyatakan Pulau Tali Kail dimiliki oleh Jabatan Perhilitan sedangkan fakta sebenarnya ialah ia dimiliki oleh Jabatan Hutan. Jabatan Perhilitan juga mempunyai pulau mereka sendiri tetapi kemudahan yang disediakan tidaklah sehebat Pulau Tali Kail yang serba serbi lengkap bagaikan hotel 3 bintang. Selain dari itu, fakta yang saya nukilkan bolehlah dikira sebagai tepat kerana tiada apa-apa percanggahan lain selain dari yang telah saya terima.

Saya baru sahaja melawat Royal Belum beberapa hari yang lepas. Melalui tulisan sahabat saya D08 di blognya, kebetulan pula saya berpeluang ke tempat yang sama tetapi di dalam acara yang berlainan. Malah, di dalam beberapa minggu yang akan datang saya akan sekali lagi ke sini demi menyelesaikan tuntutan kerja yang berkisarkan kepada projek menjejaki laluan haiwan liar. Demi kemakmuran yang berpanjangan di antara manusia dan haiwan yang sama-sama berkongsi hidup di dunia ini, sesuatu perlu dilakukan untuk tidak mengganggu habitat mereka yang telah lama terancam. Saya bertuah kerana terlibat secara langsung di dalam projek ini dan oleh kerana kunjungan kali ini adalah dasar tugas, saya tidak terlalu teruja dengan apa yang terkandung di dalam perut Royal Belum kerana saya lebih menumpukan kepada penyelesaian tugas yang telah diamanahkan.

Sayang sekali saya tidak membawa kamera untuk kenang-kenangan kerana kamera saya telah hilang ketika berkunjung ke Pulau Pangkor beberapa hari sebelumnya. Ketika di dalam kereta untuk ke sana, beberapa kali saya meluahkan rasa kekesalan yang teramat sangat di atas kehilangan kamera yang tersayang. Bukan kerana harga kamera yang menjadi persoalan, tetapi kehilangan gambar-gambar di dalamnya yang membuatkan hati menjadi rawan. Lalu dengan perasaan rendah diri kepada orang lain yang megah dengan DSLR mereka, saya agak malu-malu menggunakan telefon bimbit untuk merakam sedikit gambar kenang-kenangan. Dengan sebab itulah gambar-gambar yang diambil agak kabur dan tidak cantik tidak seperti menggunakan kamera digital yang sebenar.




Hutan Belum masih seperti yang saya tinggalkan ketika 2009 dahulu. Ia masih tenang, lembut dan misteri. Isi perutnya yang hijau dan gelap bagai mencabar manusia yang tega untuk menjelajah. Ia sentiasa sunyi dan damai, malah berada di sini walaupun hanya untuk satu malam boleh mengubah pendirian seseorang terhadap persepsi dunia yang kejam ini. Saya mencadangkan kepada sesiapa yang berasa tertekan kerana apa-apa sebab supaya datang ke sini untuk menghilangkan perasaan walang, kerana berada di sini boleh membuatkan kita lupa kepada masalah yang telah menimpa. Maha Suci Allah yang telah meletakkan sebuah 'syurga' di hujung negara ini untuk tatapan kepada hamba-hamba-Nya yang leka.

Gambar di atas telah dirakamkan pada pukul 7.02 pagi usai sahaja saya bersiap-siap untuk pulang. Ia dirakamkan di atas Pulau Tali Kail dengan mengadap ke timur ( mengambil kira saya merakamkan gambar dengan membelakangkan kiblat). Melihat suasana pada pagi yang hening di tasik ini, saya teringkatkan buku-buku cerita pahlawan karya Tony Wong ketika saya masih muda remaja. Gambar-gambar pemandangan yang indah telah diabadikan di dalam karya kepahlawanan Tony Wong sehinggakan membacanya membuatkan saya rasa betapa bertuah jika saya dapat melihatnya di alam nyata. Ternyata Allah telah memakbulkan impian saya dengan menghadirkan Hutan Belum untuk santapan sebagai lukisan alam yang benar-benar wujud.


Seperti biasa juga haiwan kecil ini tidak akan sesekali melepaskan peluang untuk menghisap darah manusia. Di dalam kunjungan kali ini saya hanya dihinggap dua kali berbanding rakan-rakan lain yang lebih banyak. Memang saya menyedari di dalam setiap pengembaraan ke dalam hutan, saya jarang dihinggap si pacat mungkin kerana darah saya kurang enak berbanding orang lain. Atau mungkin sahaja pacat-pacat itu menyedari bahawa menghisap darah saya tidak menghiburkan kerana ia tidak akan membuatkan saya kaget atau panik, kerana saya memang tidak berasa geli dengan drakula cilik ini.

Pada perjalanan pulang selepas menyusuri Sungai Kejar, bot yang kami naiki mati di tengah-tengah tasik kerana telah kehabisan minyak. Dengan nada bergurau, seorang kakitangan tiba-tiba menyarankan saya supaya terjun dari bot untuk mandi sementara mereka menguruskan untuk mengisi minyak yang baru. Lalu saya menjawab,

"Kalau baju saya basah, dah lama saya terjun. Tapi sebab baju kering, malas. Nanti baju basah susah nak masuk kereta."

Sebaik sahaja mengisi minyak dan meneruskan perjalanan, hujan turun dengan lebat sehingga baju kami semua benar-benar basah kuyup. Dan selepas itu saya tidak tertahan lagi mendengar usikan mereka yang menyuruh saya terjun untuk mandi. Memang benar saya mahu terjun, tetapi keadaan masa dan tempat tidak mengizinkan untuk saya berbuat demikian.

02 January 2011

Nilai yang berbeza


Suatu hari rumah saya diziarahi oleh abang dan kakak ipar yang tinggal di Negeri Perak. Abang ipar saya berasal dari Pulau Pinang dan berketurunan Melayu, manakala kakak ipar saya yang juga kakak kepada isteri saya berasal dari Perak dan berketurunan Mendailing Melayu. Mereka tinggal di sebelah selatan negeri yang berdekatan dengan tempat asal ibu dan bapa mertua saya.

Setelah mereka tiba sambil disambut dengan sambutan yang mesra, kakak ipar saya menyatakan kekesalannya kerana tidak membawa buah tangan untuk keluarga kami. Seperti lazimnya adat orang Melayu yang lain, saya tidak mengambil kisah dengan buah tangan kerana kehadiran mereka sudah cukup bermakna buat keluarga saya yang kecil ini. Bukankah tetamu itu sendiri datang membawa rezeki? Kami kemudiannya bersembang gembira di dalam suasana kekeluargaan, usik mengusik dan berbincang tentang hal-hal semasa. Hampir beberapa jam mereka berada di rumah saya dan sempat menikmati makan tengah hari, mereka meminta izin untuk pulang.

Sebelum bertolak pulang, kakak ipar saya sekali lagi menyatakan kekesalannya yang sungguh-sungguh kerana terlupa membelikan buah tangan untuk keluarga saya. Dengan niat untuk bergurau saya berkata, " lain kali datang jangan lupa bawa buah tangan." Serta merta saya melihat riak muka kakak ipar saya menjadi kelat. Di dalam masa yang sama, isteri saya mencubit lengan saya dengan agak keras sehingga membuatkan saya terkejut. Mengapa?

"Apa cakap macam tu?" Isteri saya bertanya.

"Kan ke saya bergurau?" Saya membalas dengan pertanyaan yang sedikit keliru.

Setelah mereka pulang, barulah isteri saya menjelaskan bahawa gurauan saya itu sedikit kasar. Kenyataan saya itu ibarat seperti meminta-minta untuk diberikan buah tangan dan mempersalahkan mereka kerana tidak memberinya untuk keluarga saya.

Saya berasal dari negeri Kedah. Bagi penduduk-penduduk negeri kelahiran saya, kenyataan sebegitu adalah satu gurauan yang sangat menyenangkan hati. Ia bukanlah niat untuk menyalahkan sesiapa malah tidak juga dengan niat untuk meminta-minta, tetapi ia sekadar gurauan mesra yang diterima baik oleh mereka di sana. Tetapi ia tidak terjadi perkara yang sama pula di bumi Perak yang bertuah ini. Gurauan saya sebentar tadi dianggap agak kasar dan tidak sesuai dengan jiwa mereka.

Walaupun kita semua adalah orang Melayu, rupa-rupanya nilai kehidupan kita agak berbeza di dalam beberapa segi. Saya menyedari gurauan orang-orang Melayu di sebelah utara dan negeri Melaka agak kasar bunyinya dan tidak begitu menyenangkan hati bagi orang yang mendengar. Tetapi sesama mereka, gurauan kasar yang sedemikian tidak pernah disimpan di dalam hati malah menganggap sesuatu yang sangat mesra di dalam perhubungan. Begitu juga jika mendengar loghat Kelantan ketika mereka berbicara sesama mereka, ia nampak agak melampau dan bersifat kenegerian walaupun sebenarnya mereka tidak terniat pun untuk bersikap begitu.

Walaupun saya baru sahaja menetap di negeri ini, tetapi saya sudah lama bersahabat dengan orang-orang negeri Perak ketika di zaman universiti dahulu. Hasil penelitian saya yang tidak seberapa, orang-orang Perak mempunyai tutur kata yang sopan dan lemah lembut, malah mereka sangat merendah diri di dalam beberapa segi. Sekiranya kita sudah lama bersahabat dengan mereka barulah gurauan itu menjadi agak 'jahat' di dalam kemesraan. Tidak seperti orang asal negeri saya, mereka bercakap agak tinggi dan juah walaupun sebenarnya mereka tidak berniat untuk menjadi sombong.

Begitulah kepelbagaian yang mencorakkan sistem komunikasi kita seharian. Saya bersyukur kerana mempunyai ramai sahabat dari serata pelosok negara yang akhirnya mencorakkan keperibadian saya sekarang. Mana yang baik diambil sebagai ikutan, mana yang buruk pula dijadikan iktibar untuk menjadikan kita manusia yang lebih baik.

02 December 2010

Sebelum khutbah bermula


Terima kasih Google


Sangat mudah untuk mencari orang-orang miskin di Negeri Perak yang bertuah ini. Saya selalu bersolat Jumaat di Masjid Negeri Ipoh dan setiap hari itu jugalah kita akan dapat melihat terlalu ramai pengemis dan pemungut derma memohon simpati dari orang ramai. Hanya sahaja saya tidak sampai hati untuk mengambil gambar mereka kerana ia mungkin akan melukakan hati beberapa pihak. Di sekitar masjid ini, ada banyak tabung empat segi yang disediakan oleh sekolah anak-anak yatim, sekolah tahfiz, pembinaan masjid dan beberapa minggu kebelakangan saya melihat juga tabung derma untuk melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. Saya mengerti bahawa sekolah-sekolah persendirian ini memang memerlukan dana yang besar untuk membiayai anak-anak peliharaan mereka sedangkan kerajaan tidak punya banyak wang untuk menampung kesemuanya.

Bagi pemungut derma perseorangan, saya selalu melihat beberapa orang duduk berdekatan dengan tempat berwuduk sambil menunjukkan kaki yang berbalut dan ada juga yang membaca beberapa potong ayat Al-Quran yang pendek-pendek. Baru-baru ini, pihak masjid telah menampal notis melarang pengemis-pengemis berkenaan duduk di situ lagi. Bagi pemungut derma yang lain pula mereka akan berlegar-legar di sekitar gerai makan berdekatan sambil mengharapkan ada orang yang baik hati menghulurkan seringgit dua. Tidak kira pengemis Melayu, Cina atau India, semuanya terdapat di situ.

Pernah beberapa minggu saya melihat seorang lelaki muda berkulit hitam (saya bersangka baik dengan menganggapnya seorang Muslim) mengutip derma di dalam masjid ini. Kaki kanannya sentiasa berbalut seperti balutan untuk orang yang patah kaki, dan saya menyedari balutannya akan diperbaharui setiap minggu kerana kain balutnya sentiasa bersih. Berbulan-bulan juga dia mengemis di situ sehinggakan saya terfikir bilakah kakinya akan sembuh.

Ada satu ketika juga saya pernah melihat seorang pengemis India memandang penjamu-penjamu selera di gerai-gerai berhampiran dengan begitu sayu sekali seolah-olah dia terlalu lapar. Saya tidak sampai hati melihatnya tetapi saya juga tidak berniat untuk membelanjanya makan, kerana dengan berbuat demikian barangkali akan menimbulkan ketidakadilan kepada ramai pengemis yang lain. Lalu saya berusaha untuk tidak memandangnya ketika tengah makan demi mengelakkan air mata saya tumpah akibat kesedihan.

Pada satu ketika yang lain, seorang makcik mendatangi saya ketika saya mahu masuk ke dalam kereta usai solat. Dengan tangisan seperti anak kecil, dia mendakwa baru sahaja keluar dari hospital dan ingin ke rumah anaknya di Kuala Lumpur. Saya memberinya sepuluh ringgit apabila dia berjanji untuk menggunakan wang itu untuk membeli tiket bas. Namun minggu-minggu seterusnya saya masih lagi melihat makcik yang sama menagih simpati di kawasan berkenaan. Saya tidak berbicara tentang wang, tetapi saya tertanya-tanya mengapa makcik itu ....

Di sebalik sketsa mereka di pentas berhampiran Masjid Negeri itu, di tempat yang lain masih ramai yang rakus menjarah sumber dari negeri bertuah ini. Mereka terlalu kaya, dan mereka masih terlupa ada orang lain yang lebih memerlukan. Jelaslah seperti kata orang, kekayaan negara kita masih belum dibahagi dengan seadil-adilnya. Saya menyeru kepada pihak yang rakus ini yang terdiri juga dari kalangan pemerintah (jika pun mereka membaca blog saya), perhatikanlah pengemis-pengemis ini. Jangan pula membiarkan mereka menuntut keadilan di akhirat kelak kerana pada masa itu sudah terlewat untuk memohon maaf di atas apa yang berlaku. Mungkin doa mereka boleh menghumban kita ke dalam neraka.

24 November 2010

Selamat bercuti


Terima kasih Google




Jiran saya yang tinggal berhadapan dengan rumah bekerja sebagai seorang pembantu makmal di sebuah sekolah di sini. Ketika saya bergegas untuk ke pejabat pada hari Isnin lepas, saya menyedari beliau masih lagi belum mandi, sedang menyiram pokok bunga dengan memakai kain pelekat berwarna merah. Selalunya apabila saya membuka pintu pada waktu pagi keretanya sudah tidak ada kerana dia pergi bekerja terlalu awal. Barulah saya teringat cuti sekolah sudah pun bermula. Saya sudah diberitahu oleh adik dan ibu saya kerana mereka juga bekerja di sektor pendidikan, tetapi kerana usia saya yang semakin beranjak tua ditambah lagi dengan banyak benda bermain di fikiran membuatkan saya kadang-kadang mudah lupa.

Gembiralah mereka yang terlibat dengan cuti yang panjang ini. Sekurang-kurangnya penat lelah mereka bekerja sepanjang tahun dapat ditebus kembali dengan cuti yang baik ini. Semua guru dan pekerja yang bekerja di sektor pendidikan hanya mendapat peruntukan cuti 7 hari sahaja setahun memandangkan mereka dapat bercuti panjang, tetapi ada juga guru-guru yang tidak dapat menikmati percutian sepuas-puasnya kerana terpaksa menjadi pemeriksa kertas peperiksaan, penjaga peperiksaan dan sebagainya. Bersabarlah, semoga usaha anda semua mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Kadang-kadang saya merasa dengki juga dengan mereka yang dapat bercuti panjang kerana saya tidak dapat menikmatinya. Pekerjaan seperti saya hanya membolehkan saya bercuti semaksima 5 hari sahaja, manakala lebih dari itu perlu mendapat kebenaran khas. Tetapi apabila difikirkan semula apakah yang mahu dikesalkan. Takdir Allah menentukan rezeki saya di sini, dan takdir Allah juga menentukan rezeki cikgu-cikgu sebegitu. Mungkin memandang kepada kesenangan mereka membuatkan saya dengki, tetapi jika melihat kepada kesusahan mereka tentulah saya akan menginsafi.

Setiap pekerjaaan ada keistimewaannya. Sama-samalah kita saling menghargai kerana tanpa orang lain yang mewarnai kehidupan kita, kita mungkin menjadi manusia yang lemah. Kepada guru-guru dan pekerja sektor pendidikan sekalian, saya mengucapkan selamat bercuti. Gunakanlah cuti dengan baik untuk menjadikan ia sebagai suatu kenangan yang indah. Saya akan fokuskan kepada kerja saya. Insya Allah, suatu hari nanti saya pula akan mendapat kesenangan seperti saudara-saudara semua, dengan cara saya yang tersendiri.

01 November 2010

"Rasa tak mahu pulang, hanya mahu beribadat"



"Seronok betul tinggal di sana, hati rasa tenang sahaja, rasa tak mahu pulang ke Malaysia, setiap hari hanya beribadat kepada Allah".

Ungkapan ini biasa kita dengar apabila menziarahi orang yang baru pulang dari menunaikan haji. Bukan mahu menidakkan perasaan yang mereka alami, tetapi saya merasakan ini mungkin ungkapan klise yang menunjukkan bahawa ketenangan yang mereka alami itu membuatkan mereka terlupa kepada hakikat sebenar kehidupan.

Memang benar, mereka mungkin berasa tenang sahaja sepanjang pengabdian mereka di Mekah dan ziarah di Madinah. Mungkin kerana mereka menyerahkan sepenuhnya jiwa kepada Allah Yang Maha Berkuasa, maka dengan sebab itulah Allah mencampakkan rasa ketenangan dan kenikmatan beribadat di dalam hati mereka lalu mereka terlalu asyik hingga melupakan kampung halaman. Segala puji dan syukur kepada Allah yang berkuasa membalik-balikkan hati manusia.

Mengapa mereka berasa tenang sehingga seolah-olah tidak mahu pulang? Di fikiran saya yang dangkal ini saya rasa saya mempunyai jawapannya. Mungkin di sana mereka tidak perlu memikirkan tentang soal makanan, rezeki untuk anak-anak, pekerjaan, hal-hal keduniaan yang remeh temeh dan lain-lain lagi yang menyakitkan hati. Di sana mereka memfokuskan kepada ibadat kerana hal-hal keduniaan telah mereka persiapkan sebelum keberangkatan mereka ke Mekah. Bagi yang mempunyai anak, mereka telah amanahkan kepada orang-orang yang mereka percayai. Bagi yang sedang bekerja, mereka mendapat cuti dan tidak perlu berfikir tentang urusan pekerjaan. Bagi yang berniaga, tentu sahaja mereka tinggalkan urusan perniagaan sebentar untuk mengabdi diri kepada Allah. Di Mekah, mereka tidak perlu berfikir untuk membayar cukai jalan dan cukai pendapatan, dimarahi pelanggan yang sombong, berebut menaiki kenderaan awam, membayar tol dan minyak, membayar bil-bil utiliti atau berhadapan dengan manusia yang berhati busuk.

Namun hakikat kehidupan tidaklah begitu. Kita harus pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambung kembali urusan keduniaan yang tertangguh. Kita harus berfikir untuk menyuap rezeki kepada anak-anak dan diri sendiri, menyelesaikan masalah orang lain di tempat kerja dan membuat pekerjaan yang tidak kita sukai hanya kerana terpaksa. Pada masa itulah ketenangan yang dimiliki ketika di Mekah mula menyusut sedikit demi sedikit.

Begitulah. Ketenangan, kedamaian, kesejahteraan dan kelapangan hanyalah salah satu dari putaran roda kehidupan yang kompleks. Di dalam ketenangan itulah jangan kita lupa suatu masa nanti kita akan menghadapi kesukaran, kerumitan, kesulitan dan keperitan. Pada masa itu, lazimnya kita akan mengingati saat-saat manis diulit ketenangan di Mekah suatu ketika dulu, bagi sesiapa yang pernah sampai di sana.

Saya belum pernah pergi. Semoga Allah membuka hati-Nya untuk menjemput saya ke sana sebelum saya mengadap Dia di hari perhitungan kelak.


30 June 2010

Pada mulanya ia tidak perlu


Hidup kita sebenarnya mudah sahaja. Ia sama mudahnya seperti kita baru lahir dengan tiada apa bekal pun dibawa ketika datang ke dunia ini. Namun begitu dunia ini menyediakan berbagai-bagai perkara yang tidak mudah, lantas kita terikut-ikut untuk menjadikannya sebagai perlu. Cuba kita lihat di sekeliling kita sama ada di rumah, pejabat, jalanan, ruang legar dan sebagainya, banyak benda sebenarnya tidak perlu pada mulanya dalam hidup kita, tetapi oleh kerana terikut-ikut dengan orang lain serta gaya hidup yang ditentukan, ia menjadi sangat penting.

Saya seringkali berasa benci dengan sebuah benda yang dinamakan seterika. Ia sangat mengganggu hidup saya dan isteri terutamanya pada waktu malam sebelum tidur. Apalah salahnya jika seterika itu tidak dicipta, maka kita semua akan keluar dari rumah dengan baju yang berkedut dan tidak kemas. Tetapi jika semua manusia di dunia ini tidak menggunakan seterika dan memakai baju yang berkedut, maka tiada siapa yang akan mengutuk kita kerana tidak kemas. Seterika langsung tidak perlu di dalam hidup manusia. Kita boleh hidup dengan atau tanpa seterika. Dengan menggunakan seterika ia membazirkan elektrik, membuang masa, mengundang bencana kebakaran dan boleh mendatangkan kecederaan. Siapalah manusia 'pintar' yang mula-mula mencipta seterika, dan siapa pula manusia 'cerdik' yang ikut menggunakan seterika dan akhirnya menyusahkan generasi kita semua?

Cuba lihat pula di dinding-dinding rumah atau pejabat,mungkin di sana tergantung lukisan-lukisan, tulisan-tulisan ayat, sudu dan garfu yang besar dan sebagainya. Adakah ia perlu di dalam hidup manusia pada mulanya? Jadi, siapa yang mula-mula mencipta benda tidak penting ini dan kemudian ia dijadikan satu gaya hidup dan akhirnya 'memaksa' ramai orang lain membelinya?

Lihat dan lihat lagi. Akhirnya kita akan menyedari bahawa 90% dari wang kita dihabiskan untuk benda-benda yang tidak perlu. Apa guna pagar rumah yang cantik dan mahal sedangkan pagar murah juga mempunyai fungsi yang sama. Untuk apa membeli penapis air jika menggali perigi lebih murah dan mudah? Untuk apa memasang penghawa dingin di bangunan yang tingkapnya bertutup rapat sedangkan jika tingkap itu dibuka angin akan masuk menderu-deru? Mengapa memasang batu marmar di lantai rumah sedangkan lantai simen juga sudah mencukupi? Jawapannya hanya satu. Ia tidak penting, tetapi ia hanyalah gaya hidup.

Ia sebenarnya hal yang kecil, tetapi jika tidak difikirkan dengan bijak kita akan tersilap menilai mana yang perlu dan mana yang tidak. Ia mungkin boleh membuatkan kita membazirkan wang dalam membeli barang-barang yang tidak penting. Saya pasti banyak menteri-menteri dan ahli parlimen Malaysia pun terjebak dengan benda-benda yang tidak perlu ini. Sebab itulah kita dapat melihat akhir-akhir ini mereka merancang untuk menghabiskan wang yang banyak untuk bangunan Parlimen yang baru, yang sebenarnya tidak penting kerana mereka masih boleh bersidang di bawah pokok seperti di Perak.

13 June 2010

Teknologi individualistik

Menjelang abad ke 21 ini kita berpeluang untuk melihat perkembangan teknologi yang begitu pesat sekali. Bermula dengan penemuan minyak di samudera yang luas, segala-galanya yang berlaku selepas itu bagaikan tiada hadnya lagi. Perkembangan teknologi khususnya di bidang perkomputeran dan teknologi maklumat sangat pesat dan ramai manusia yang oportunis mencari peluang untuk mengkayakan diri sendiri dengan menceburi bidang-bidang berkenaan. Ia tidaklah salah malah kebanyakan dari penemuan-penemuan terbaru di bidang teknologi memudahkan ramai orang di dalam menjalani kehidupan masing-masing.

Walaupun begitu, saya melihat perkembangan teknologi ini lebih menjuruskan manusia untuk menjadi individualistik. Setiap penemuan terbaru hanyalah memangkinkan kepada penggunaan teknologi yang akan membuatkan manusia tidak lagi bercampur gaul dengan orang-orang sekeliling. Ia sangat menyedihkan kerana kurangnya komunikasi terus di antara manusia bermakna hilangnya perhubungan sosial, manakala kekurangan perhubungan sosial akan menjejaskan aktiviti kemasyarakatan iaitu aktiviti yang sangat penting di dalam pembentukan manusia yang bertamadun.

Saya mengambil contoh penemuan permainan komputer untuk kanak-kanak yang dimainkan di komputer atau televisyen seperti PS2 atau XBox. Permainan ini tidak lagi memerlukan ramai kanak-kanak, malah kanak-kanak lebih selesa untuk bermain seorang diri di dalam rumah kerana lebih ramai kanak-kanak akan membuatkan lebih ramai perebutan. Kanak-kanak yang terdedah kepada permainan ini akan hilang kepakaran bersosial dengan masyarakat. Begitu juga dengan laman sosial seperti Facebook yang membuatkan orang lebih selesa berkenalan dengan rakan maya berbanding rakan di komuniti sendiri.

Suatu ketika dahulu, sekiranya kita sedang memandu dan tersesat di mana-mana jalan, perkara pertama yang patut kita lakukan ialah memberhentikan kereta dan mencari orang untuk menanyakan arah jalan. Namun sekarang tidak lagi kerana adanya sistem GPS di dalam kereta masing-masing. Ia nampak remeh tetapi sebenarnya memberikan kesan yang tinggi di dalam masyarakat. Menggunakan GPS bererti kita tidak lagi belajar untuk menyapa manusia secara sopan di jalanan dan lama kelamaan kita juga akan hilang proses pemahaman melalui komunikasi bicara.

Saya nampak sikap individualistik ini sudah semakin ketara di dalam masyarakat. Masyarakat sekarang lebih selesa untuk menggunakan kaedah katering ketika kenduri perkahwinan, lebih selesa menghantar makanan ke masjid-masjid berdekatan untuk kenduri arwah malah lebih menakjubkan, sudah ada e-jenazah untuk proses pengebumian orang meninggal dunia. Semuanya tidak lagi menggunakan khidmat kemasyarakatan seperti dahulu.

Saya sangat khuatir kerana sikap individualistik ini lama kelamaan akan memangkinkan kepada sikap mementingkan diri sendiri. Ia sudah nampak ketara di bandar-bandar besar apabila kebanyakan dari mereka sudah tidak mempedulikan lagi perasaan orang lain. Meletakkan kereta di tempat-tempat yang tidak sepatutnya atau mencuri ruang letak kereta di pasaraya, mendirikan khemah perkahwinan tanpa mempedulikan laluan keluar masuk adalah beberapa contoh yang menunjukkan sikap sebegini. Tidak lama lagi, mungkin juga mereka akan berebut kawasan lapang yang dijadikan tempat untuk kanak-kanak bermain, malah mungkin juga mereka sudah mula menempah kawasan perkuburan untuk keluarga masing-masing.

Semuanya bermula dari satu perkara iaitu teknologi yang menjurus kepada sikap-sikap begini. Bukanlah niat kita untuk menjadi manusia yang individualistik, tetapi keadaan persekitaran dan kebergantungan kita kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya memudahkan sikap ini diketarakan.

09 June 2010

Dabbahwallah : Satu Renungan

Saya baru sahaja menonton siri About Asia di Discovery Channel yang membincangkan tentang sistem keretapi di Mumbai, India. Di dalam rancangan berkenaan, ia memaparkan suasana stesen-stesen keretapi yang menuju ke Mumbai di mana hampir 400,000 orang menggunakan perkhidmatan tersebut setiap hari. Bayangkanlah bagaimana sesaknya suasana tersebut sedangkan saya juga merungut sekiranya terpaksa menggunakan perkhidmatan komuter atau LRT di waktu puncak. Kesesakan yang dipaparkan di dalam rancangan berkenaan tergambar sehinggakan tiada tanah yang tidak kosong dari manusia berdiri, purata 10 orang akan mati setiap hari akibat dilanggar keretapi dan manusia-manusia akan berjujuran keluar dalam keadaan berpeluh dan selekeh kerana terpaksa berebut-rebut dengan orang lain.

India ialah negara yang masih mengamalkan amalan tradisi isteri-isteri akan memasak untuk suami. Makan luar dan restoran masih lagi sesuatu yang janggal. Justru, isteri-isteri akan memasak untuk makanan tengah hari suami-suami mereka di tempat kerja. Disinilah dabbahwallah berfungsi. Mereka bertugas sebagai penghantaran makanan kurier, sama seperti kita melihat penghantaran makanan pizza ke rumah-rumah atau ke tempat kerja.

Sesuatu yang mengagumkan, dabbahwallah ini berfungsi tanpa data tidak seperti penghantaran kurier professional. Data melalui kertas langsung tidak berguna kerana pekerja-pekerja dabbahwallah kebanyakannya terdiri dari golongan kasta rendah yang buta huruf. Prosesnya hanyalah isteri-isteri akan menghantar mangkuk tingkat kepada pekerja ini dengan dicatkan kod di atas mangkuk berkenaan, pekerja-pekerja ini mengumpulkan mangkuk-mangkuk tingkat ini mengikut tempat tujuan dan akan menaiki keretapi untuk menghantarnya ke tempat kerja para suami. Sebanyak 200,000 mangkuk tingkat diedarkan setiap hari ke seluruh pelusuk Mumbai melalui pekerja yang berlainan pula. Lebih mengagumkan, kadar kesilapan penghantaran mangkuk tingkat ke tempat tujuan adalah sangat rendah sehinggakan ia disenaraikan di dalam proses kerja yang cemerlang oleh Forbes. Tahap kecekapan dabbahwallah ini diyakini sama dengan tahap kecekapan syarikat-syarikat besar General Motors dan lain-lain.

Saya sangat teruja dengan prosedur dabbahwallah ini. Bagi saya, ia boleh diaplikasikan di dalam beberapa prosedur kerajaan di Malaysia. Bagaimana pekerja-pekerja ini bekerja dengan hanya mematuhi kod yang tertera di di atas mangkuk tingkat di samping melaksanakannya dengan pantas di bawah tekanan orang yang sangat ramai di stesen keretapi. Kekuatannya tidak bergantung kepada tahap professional, ruang dan masa yang ada. Kekuatannya hanyalah bergantung kepada modal insan yang cekap. Mereka menjimatkan banyak perkara seperti ruang pejabat, kertas dan masa.

Setelah melihat dabbahwallah ini, saya merasakan perkara yang sangat penting di dalam satu-satu prosedur ialah modal insan yang sangat cekap. Sekiranya modal insan ini tidak mempunyai kepakaran, semua prosedur akan musnah. Dan lebih meyakinkan, modal insan yang pakar bukanlah terdidik dengan banyaknya ilmu di dada yang ditimba di sekolah atau universiti, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita dapat memenuhi kehendak orang lain yang memerlukan kita. Bagaimana untuk memenuhi kehendak orang lain? Ia tidak diajar di mana-mana universiti di Malaysia.

18 January 2010

Bagaimana orang-orang dahulu kala hidup?

Ada satu persoalan yang telah bermain di benak saya sejak sekian lama. Menyorot kepada sejarah dunia sejak 200 tahun ke belakang, banyak kemajuan drastik dicapai oleh manusia dari segi peradaban. Abad 1800-an dan 1900-an, manusia telah mencapai tahap yang terlalu laju di dalam pencapaian bangsa, di mana ketika inilah manusia telah menjumpai cara-cara untuk terbang di langit, mencipta dunia-dunia yang dahulu hanya khayalan orang tua, mencipta teknologi internet, jaringan jalanraya, membina bangunan-bangunan tinggi malah menemui formula-formula mencegah penyakit berjangkit. Sejarah menyatakan manusia sejak dari Nabi Adam lagi sudah menghuni dunia ini lebih dari beribu-ribu tahun, malah ada pendapat mengatakan tempoh Adam dijadikan sehinggalah kepada tahun 2010 Masihi ini sudah mencecah ke 100,000 tahun. Persoalan yang bermain di minda saya ialah mengapa hanya untuk tempoh 200 tahun ke belakang ini baru manusia menjumpai cara hidup yang lebih bertamadun? Adakah selama beribu-ribu tahun dahulu mereka hanya hidup sebagai orang batu yang tidak tahu apa itu internet, jalan raya dan sebagainya?

Setelah membaca dan meneliti beberapa tulisan di beberapa sumber, saya mendapat jawapan yang samar dan kabur tetapi dapat memberikan gambaran yang boleh difikirkan tentang kehidupan orang-orang dahulu. Mereka hidup bertamadun seperti kita malah mungkin juga mereka lebih maju dari kita. Mungkin orang-orang zaman dahulu mempunyai teknologi untuk terbang seperti Superman, bergerak pantas seperti Jumper atau mempunyai set kapal terbang peribadi untuk bergerak ke mana sahaja. Teori ini nampak lucu dan bodoh, tetapi jika difikir-fikirkan kembali ia ada logiknya. Malah, tiada sarjana yang pernah menafikan ketamadunan orang-orang dahulu.

Kita masih lagi berfikir bagaimana Piramid, Tembok Besar Cina atau Taman Tergantung di Babylon dibina. Kita juga mengagumi bagaimana Nabi Noh dapat membina kapal yang besar dengan bantuan hanya beberapa orang yang beriman. Bukankah kita tidak perlu berfikir sedahsyat itu jika kita memikirkan bahawa orang-orang dahulu berteknologi tinggi? Seperti juga kita mengagumi pembinaan bangunan tinggi Burj Khalifa atau Palm Island, teorinya mungkin sama sahaja.

Saya tidak ingat syariat Nabi mana yang diperintahkan jika seseorang itu menyesali perbuatannya, dia hanya boleh bertaubat di Mekah. Allah tidak akan menerima taubatnya di tempat lain. Seperkara lagi, jika seseorang ummat Nabi itu terkena najis di mana-mana anggota badannya, anggota yang terkena najis itu harus dipotong dan dibuang. Maka banyaklah manusia-manusia yang mungkin kudung tangannya, hilang lidah kerana termakan benda kotor atau hilang kaki kerana terpijak najis. Bukankah Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Mengapa disuruh melakukan perintah yang pelik dan tidak masuk akal itu?

Tentu sahaja Allah memberikan syariat dan peraturan mengikut keupayaan sesuatu ummat. Sama seperti perintah Allah kepada ummat Muhammad supaya bersolat sebanyak 5 kali sahaja berbanding 50 kali. Saya agak pasti mengikut teori saya yang jahil, ummat nabi yang disyariatkan benda-benda pelik itu mempunyai keupayaan yang luar biasa di dalam hidup mereka. Mungkin mereka boleh memotong anggota badan mereka seperti biasa dalam keadaan sedar tanpa berasa sakit kerana makan ubat, sama seperti teori kita pada zaman ini iaitu ubat bius. Malah mungkin juga mereka telah mencipta ubat yang membuatkan anggota badan yang dibuang itu dapat tumbuh kembali. Mungkin juga mereka mempunyai kelengkapan terbang atau kereta yang sangat laju yang membolehkan mereka pergi ke Mekah pada waktu pagi dan pulang semula ke Jepun misalnya pada waktu tengah hari.

Jadi, jika dahulu mereka maju, mengapa nenek moyang kita masih lagi tinggal di kampung? Entah. Mungkin kerana gempa bumi, penyakit berjangkit, tsunami, kehilangan sumber mineral (seperti kita yang bakal kehilangan sumber petroleum) maka ketamadunan mereka akan mundur dan mundur. Jadilah mereka kembali seperti sedia kala sebelum kemajuan itu dirintis kembali oleh cucu-cucu mereka.

Segala-galanya tidak mustahil. Saya masih lagi membaca tentang perkara ini kerana ia menarik perhatian saya. Selepas ini jika kita melihat gunung, tasik, atau apa-apa sahaja, fikirkanlah bahawa itu bukanlah alam semulajadi yang sebenar. Ia mungkin hasil tinggalan dari nenek moyang kita yang bertamadun.

Tidak mustahil juga anak-anak cucu kita akan menyangka Palm Island di Dubai, Tasik Belum di Perak atau Empangan Tiga Gunung di China itu sebenarnya kejadian alam semulajadi dari azali, sedangkan sebenarnya tamadun kitalah yang mengubah struktur geografi itu. Sekarang saya sudah mula mengesyaki gunung-ganang di sekeliling rumah saya. Dahulu ia hanyalah tanah lapang, tetapi ditambak supaya menjadi setinggi gunung untuk dijadikan kubu mempertahankan negara. Siapa tahu?

11 October 2009

Minda berubah

Ketika saya dalam senang-senang akhir-akhir ini, saya membuka semula tulisan-tulisan saya di dalam blog ini. Seperti yang saya katakan dahulu, pemikiran manusia akan berubah-ubah mengikut faktor-faktor tertentu seperti emosi, masa dan keadaan. Dengan sebab itulah saya langsung menyedari bahawa banyak tulisan-tulisan saya ini hanya layak dicampakkan ke dalam tong sampah sahaja. Blog saya ini pun seperti caca merba, tidak tahu ke mana arah tuju dan tidak jelas apa yang saya mahu ceritakan kepada diri sendiri. Tetapi saya juga boleh memberi alasan, saya hanya baru 3 bulan menceburkan diri di dalam penulisan maya ini, jadi masih banyak yang saya belum belajar.

Menyedari tentang perkara ini, saya telah mengemaskinikan blog saya. Ada beberapa tulisan yang telah saya buang kerana ia tidak bagus pada pandangan saya. Sebenarnya saya mahu membuang kesemuanya sekali gus, tetapi memandangkan ada beberapa perkara yang ingin saya rujuk di kemudian hari, saya membatalkan hasrat saya.

Oleh itu, di kesempatan ini kepada sesiapa yang membaca dan pernah memberikan maklumbalas kepada blog saya, saya memohon maaf sekiranya pendapat/kritikan anda telah dibuang. Bukanlah hasrat saya untuk mengecilkan pendapat/kritikan anda semua, tetapi ini ialah sebahagian dari penambahbaikan yang berterusan kepada hidup saya. Sayang juga untuk membuang pendapat dan kritikan anda, tetapi ada perkara yang perlu kita korbankan di dalam hidup ini untuk melangkah lebih jauh ke hadapan.

Saya cuba berjanji kepada diri sendiri untuk tidak lagi membuang perkara-perkara yang bernilai di dalam hidup saya. Tetapi, entahlah. Kadang-kadang keputusan yang kita lakukan dianggap tepat pada masa ia dilakukan walaupun kemudiannya kita akan menyesal kerana bertindak sedemikian.