13 June 2010

Teknologi individualistik

Menjelang abad ke 21 ini kita berpeluang untuk melihat perkembangan teknologi yang begitu pesat sekali. Bermula dengan penemuan minyak di samudera yang luas, segala-galanya yang berlaku selepas itu bagaikan tiada hadnya lagi. Perkembangan teknologi khususnya di bidang perkomputeran dan teknologi maklumat sangat pesat dan ramai manusia yang oportunis mencari peluang untuk mengkayakan diri sendiri dengan menceburi bidang-bidang berkenaan. Ia tidaklah salah malah kebanyakan dari penemuan-penemuan terbaru di bidang teknologi memudahkan ramai orang di dalam menjalani kehidupan masing-masing.

Walaupun begitu, saya melihat perkembangan teknologi ini lebih menjuruskan manusia untuk menjadi individualistik. Setiap penemuan terbaru hanyalah memangkinkan kepada penggunaan teknologi yang akan membuatkan manusia tidak lagi bercampur gaul dengan orang-orang sekeliling. Ia sangat menyedihkan kerana kurangnya komunikasi terus di antara manusia bermakna hilangnya perhubungan sosial, manakala kekurangan perhubungan sosial akan menjejaskan aktiviti kemasyarakatan iaitu aktiviti yang sangat penting di dalam pembentukan manusia yang bertamadun.

Saya mengambil contoh penemuan permainan komputer untuk kanak-kanak yang dimainkan di komputer atau televisyen seperti PS2 atau XBox. Permainan ini tidak lagi memerlukan ramai kanak-kanak, malah kanak-kanak lebih selesa untuk bermain seorang diri di dalam rumah kerana lebih ramai kanak-kanak akan membuatkan lebih ramai perebutan. Kanak-kanak yang terdedah kepada permainan ini akan hilang kepakaran bersosial dengan masyarakat. Begitu juga dengan laman sosial seperti Facebook yang membuatkan orang lebih selesa berkenalan dengan rakan maya berbanding rakan di komuniti sendiri.

Suatu ketika dahulu, sekiranya kita sedang memandu dan tersesat di mana-mana jalan, perkara pertama yang patut kita lakukan ialah memberhentikan kereta dan mencari orang untuk menanyakan arah jalan. Namun sekarang tidak lagi kerana adanya sistem GPS di dalam kereta masing-masing. Ia nampak remeh tetapi sebenarnya memberikan kesan yang tinggi di dalam masyarakat. Menggunakan GPS bererti kita tidak lagi belajar untuk menyapa manusia secara sopan di jalanan dan lama kelamaan kita juga akan hilang proses pemahaman melalui komunikasi bicara.

Saya nampak sikap individualistik ini sudah semakin ketara di dalam masyarakat. Masyarakat sekarang lebih selesa untuk menggunakan kaedah katering ketika kenduri perkahwinan, lebih selesa menghantar makanan ke masjid-masjid berdekatan untuk kenduri arwah malah lebih menakjubkan, sudah ada e-jenazah untuk proses pengebumian orang meninggal dunia. Semuanya tidak lagi menggunakan khidmat kemasyarakatan seperti dahulu.

Saya sangat khuatir kerana sikap individualistik ini lama kelamaan akan memangkinkan kepada sikap mementingkan diri sendiri. Ia sudah nampak ketara di bandar-bandar besar apabila kebanyakan dari mereka sudah tidak mempedulikan lagi perasaan orang lain. Meletakkan kereta di tempat-tempat yang tidak sepatutnya atau mencuri ruang letak kereta di pasaraya, mendirikan khemah perkahwinan tanpa mempedulikan laluan keluar masuk adalah beberapa contoh yang menunjukkan sikap sebegini. Tidak lama lagi, mungkin juga mereka akan berebut kawasan lapang yang dijadikan tempat untuk kanak-kanak bermain, malah mungkin juga mereka sudah mula menempah kawasan perkuburan untuk keluarga masing-masing.

Semuanya bermula dari satu perkara iaitu teknologi yang menjurus kepada sikap-sikap begini. Bukanlah niat kita untuk menjadi manusia yang individualistik, tetapi keadaan persekitaran dan kebergantungan kita kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya memudahkan sikap ini diketarakan.

No comments: