28 December 2009

Kembara Royal Belum


Kembara saya tahun ini melabuhkan tirainya dengan kunjungan ke Taman Negeri Royal Belum yang diketuai oleh Dato' Dr. Ismail bin Alias, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia. Sesekali melasakkan diri di dalam hutan sebegini memang seronok. Jika iklan-iklan semasa sekarang mengajak orang supaya 'memanjakan' diri di spa, rumah urut atau sebagainya, cubalah sesekali masuk ke hutan. Tentu banyak kelainan yang dirasai. Barulah dapat menjadi 'jantan' yang sebenar. Saya lebih suka menjadi 'jantan' seperti ini daripada menjadi 'jantan' metroseksual.

Apa yang menarik bagi saya apabila masuk ke hutan ialah keletah manusia yang pelbagai. Di sini kita dapat melihat lelaki yang bercakap besar, tetapi takut kepada selut dan tanah yang melekat di seluar. Dapat juga melihat wanita yang banyak mulut tetapi kemudiannya mulut dibuka luas-luas untuk menjerit apabila pacat hinggap di kaki. Paling menarik di dalam kembara ini ialah lelaki yang berlagak kacak dan budiman terhadap wanita, kononnya dialah yang paling hebat apabila berada di dalam hutan tanpa menyedari orang lain loya melihat perwatakannya.


Taman Negeri Royal Belum berkeluasan 117,500 hektar seperti yang digazet di dalam keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Upper Belum dan Lower Belum. Menurut anggaran saya, keluasan itu menyamai 83,751 buah padang bola sepak. Jika tidak silap saya, hanya sebanyak 4000 hektar sahaja dari kawasan itu yang dilitupi dengan air manakala selebihnya ialah hutan atau pulau yang terdapat di sekeliling tasik. Kawasan ini juga diletakkan di dalam kawasan keselamatan, kerana itu setiap jarak tertentu kita akan mendapati ada beberapa pos tentera yang berjaga sepanjang masa. Bagi rakyat Malaysia, permohonan untuk masuk ke kawasan Upper Belum akan diproses selama seminggu sebelum diluluskan, manakala bagi pengunjung luar negara boleh menjangkau sehingga dua minggu. Faktor utamanya ialah kerana kawasan ini ialah bekas sarang komunis di mana masih terdapat jerangkap samar yang belum dibersihkan selain dari kawasan ini memang sesuai untuk strategi ketenteraan.

Rombongan ini agak bertuah kerana dapat menjelajah tasik ini dari penghujung utara (Upper Belum) hingga ke penghujung selatan (Lower Belum). Jika di utara, penghujungnya hanyalah cuma 8 kilometer dari sempadan Thailand-Malaysia, manakala penghujung selatan ditutup dengan Empangan Temenggor yang wujud pada tahun 1970-an lama sebelum kewujudan Royal Belum. Sepanjang perkiraan saya, terdapat lebih dari 100 buah pulau yang terhasil dari tasik buatan ini dan pulau-pulau ini kemudiannya diselenggara oleh jabatan-jabatan negeri seperti Perhilitan, JHEOA, Jabatan Perikanan dan sebagainya. Saya cuba mencari pulau milik jabatan saya tetapi dimaklumkan ianya terletak jauh dari jalan biasa.


Pulau Tali Kail ini ialah milik Jabatan Perhilitan. Rasanya pulau ini yang mempunyai prasarana yang paling lengkap untuk kem motivasi dan sebagainya. Selain dari mempunyai chalet dan kemudahan penginapan tidak seperti tempat penginapan rombongan kami (yang sebenarnya hanyalah khemah seperti khemah askar, berkongsi tandas dan kotor kerana tiada lantai), ia mempunyai teknologi Astro dan perantauan telefon dapat diperolehi di sini. Mungkin suatu masa nanti saya akan menyarankan kepada ketua jabatan saya supaya dapat menganjurkan kem bina semangat di sini.

Seperti rutin biasa apabila 'orang-orang besar' turun ke 'bumi', penganjur akan menyediakan pakej yang lengkap untuk pelancongan ini. Ia termasuklah lawatan ke kampung orang asli, melawat bunga rafflesia, air terjun, ternakan talapia dan sebagainya.

Saya berani bertaruh bahawa suara mereka lebih merdu dari suara kebanyakan artis-artis Melayu yang dilahirkan dari program realiti. Persembahan mereka pada malam BBQ dan ketika menyambut kedatangan kami ke perkampungan mereka begitu mengujakan. Kumpulan ini yang menamakan diri mereka sebagai Cinok bukan sahaja dapat menyanyikan lagu-lagu rock dengan baik, tetapi juga lagu Hindustan, irama 60-an dan Thailand. Saya sangat tertawan dengan lagu ciptaan mereka sendiri iaitu 'Bungo Lemaye' yang bermaksud Kekasih Yang Kucintai. Melodinya yang menyayat hati dan suara penyanyinya yang merdu benar-benar membuatkan saya syahdu walaupun saya tidak tahu maksud lirik berkenaan.


Inilah generasi masa depan yang masih terumbang-ambing. Tidak dapat tidak, lama-kelamaan mereka harus menerima teknologi dan pembangunan. Pencapaian akademik mereka tidak mengagumkan, tetapi mereka ada bakat yang tinggi terutamanya di dalam bola sepak. Banyak lagi perancangan yang harus dilakukan oleh kerajaan untuk membangunkan orang asli terutamanya pertikaian mengenai tanah adat, saluran bantuan dan sebagainya. Masalah ini mungkin kecil pada masa sekarang, tetapi pada masa hadapan ia mungkin akan menjadi masalah yang lebih besar.

Yang paling menarik sepanjang percutian ini mungkin terletak pada hidangan terakhirnya iaitu daging kijang liar. Setelah empat hari menikmati ikan darat seperti sebarau dan kelah, akhirnya kami dihadiahkan dengan hidangan panggang ini. Tetapi yang agak menyesalkan ialah rasanya tidak seperti kijang yang pernah saya makan. Ia dimasak mentah, cukup untuk saya merasakan bahawa saya seekor harimau pada malam itu.

Akhir sekali apabila pulang ke rumah, saya perlu menyiapkan alasan yang kukuh untuk isteri saya. Sepanjang tahun ini, saya telah merantau ke beberapa negeri di dalam Malaysia, tetapi dia hanya setia berada di rumah. Saya agak kasihan dan kesal, bukan niat saya untuk meninggalkannya bersendirian, tetapi perantauan saya tahun ini banyak berkisarkan kepada kerja sahaja. Di dalam kereta saya berfikir-fikir di mana mahu saya mengorek wang lebihan untuk membawanya melancong ke mana-mana destinasi pada tahun hadapan. Harapan saya semoga Allah mempermudahkan urusan saya untuk menjadi suami dan bakal bapa yang baik.

16 December 2009

Sedang dalam proses menjadi dewasa

Saya bukanlah pelajar yang baik ketika di universiti dahulu. Jika tidak kerana simpati Allah, hampir sahaja saya tidak dapat menggenggam segulung ijazah. Saya bersikap sambil lewa untuk hadir kuliah dan acuh tak acuh ketika menduduki peperiksaan. Apabila diajak oleh rakan-rakan, saya tidak akan ragu-ragu untuk memenuhi jemputan mereka bermain snooker, badminton atau futsal. Menonton vcd dan bermain permainan komputer pula menjadi rutin malam yang tidak dapat dibuang. Kemudian saya akan tidur pada pukul 2 atau 3 pagi dan bangun semula pada pukul 11 pagi. Segala aktiviti tidak menjurus langsung kepada budaya pembentukan ilmu yang sepatutnya sebagai seorang pelajar universiti. Saya meluangkan masa yang banyak untuk perkara-perkara lain.

Pada ketika itu, saya berdoa supaya cepat-cepat menamatkan pengajian. Saya mahu keluar dari 'neraka' itu dengan segera. Fikir saya, hidup akan lebih tenang tanpa perlu membaca buku dan bersedia untuk peperiksaan. Tambahan pula, tidak ada lagi tugasan yang menyakitkan hati dan pensyarah yang akan memarahi saya jika tidak hadir kuliah. Dengan bekerja juga saya akan menikmati kemewahan dan boleh membeli apa sahaja yang saya suka. Saya boleh bermain tanpa henti, membeli vcd-vcd baru dan membeli koleksi Doraemon yang cantik. Pada masa itu saya selalu membayangkan betapa bertuahnya mereka yang telah bekerja kerana mereka cuma sibuk ketika di pejabat tetapi apabila pulang ke rumah mereka tidak lagi teringat kerja-kerja yang bertimbun. Apabila esok menjelang, akan bermulalah hari baru untuk mereka. Cerita-cerita perit semalam akan hilang dan mereka boleh bekerja seperti biasa. Mereka tidak perlu ingat nota-nota pembelajaran, tidak perlu risau tentang wang dan sebagainya.

Sekarang saya sudah berada di tempat mereka. Rupa-rupanya ia tidaklah indah seperti yang disangkakan. Memang saya tidak perlu lagi pergi ke kuliah, tiada lagi nota-nota yang membosankan dan mempunyai wang untuk kegunaan diri sendiri. Tetapi komitmen yang lebih berat pula yang menanti. Saya sudah tiada masa untuk melakukan aktiviti yang saya suka kerana keletihan bekerja di pejabat. Selepas sesi bekerja, saya akan pulang, menonton televisyen dan kemudian tidur. Tiada lagi aktiviti malam seperti snooker, vcd dan permainan komputer. Menjelang hari minggu, belum sempat melakukan aktiviti yang saya suka, saya menyedari hari Sabtu sudah bertukar hari Ahad dengan begitu pantas. Alangkah ruginya.

Pada masa inilah baru saya terfikir betapa bagusnya jika saya masih lagi seorang pelajar universiti. Hanya perlu ke kuliah mengikut jadual, menjawab soalan peperiksaan dengan lancar dan memberikan sepenuh perhatian di dalam kelas, selebihnya adalah masa untuk saya sendiri. Waktu malam adalah milik saya sendiri untuk melakukan apa yang saya suka. Biarlah saya tidak punya banyak wang, tetapi saya punya masa untuk berhibur.

Benarlah bahawa saya baru sahaja sedang dalam proses untuk menjadi dewasa. Kerana itu saya masih merindui masa-masa dahulu yang terluang. Seperti satu ungkapan yang pernah saya baca : -

apabila kita remaja, kita ada masa, ada tenaga tetapi tiada wang.
apabila kita dewasa, kita ada tenaga, ada wang tetapi tiada masa.
apabila kita tua, kita ada wang, ada masa tetapi tiada tenaga.

Suatu masa nanti apabila saya sudah tua, mungkin saya akan mengenang pula saat-saat manis ketika saya bekerja. Begitulah manusia, tidak akan pernah puas dengan dunia yang sementara ini...

09 December 2009

Terengganu : Uniknya


Saya berpeluang melawat Terengganu di atas satu lawatan kerja 2 hari baru-baru ini. Terengganu tidak pernah menghampakan sekiranya saya mendambakan ketenangan. Suasananya yang suram dan tenteram memang sangat sesuai untuk proses muhasabah diri. Lebih-lebih lagi berbetulan dengan keadaan banjir dan hujan setiap masa, tidak ramai penduduknya yang keluar rumah jika tidak mempunyai hal yang penting. Oleh kerana saya menetapkan kunjungan kali ini adalah agenda kerja, saya tidak bernafsu langsung untuk membeli belah di Pasar Payang. Namun begitu, saya tidak dapat mengelak dari membeli 10 biji telur penyu yang berharga RM35.00. Kepada penyu-penyu yang diancam kepupusan sekalian, saya mohon maaf di atas sikap buruk saya.


Sempat juga saya menikmati makan tengah hari di dalam Pasar Payang sambil melihat kapal-kapal layar berlatih. Latihan ini adalah untuk Piala Monsun yang akan berlangsung esok hari. Tidak jauh dari tempat saya makan, saya menyedari sebuah pulau buatan sedang dibina di tengah-tengah sungai. Seingat saya ketika saya datang beberapa tahun dahulu, pulaunya masih kecil dan jauh di tengah-tengah sungai. Tetapi sekarang pulau itu sudah luas dan hampir mencecah tebing. Dahulu, ada kelibat 2 3 ekor anjing sedang mencari makanan di pulau buatan itu, dan saya menyedari masih ada lagi beberapa ekor sedang melakukan rutin yang sama. Adakah mereka adalah anjing-anjing yang sama? Saya sendiri tidak tahu. Saya mengucapkan salam perkenalan kepada anjing-anjing itu, anda semua sangat bertuah kerana tinggal di bumi yang tenang ini dan saya sangat mencemburui anda semua. Anda tidak perlu bangun pada pukul 6.30 pagi untuk bekerja, anda juga tidak perlu disoal apa-apa di akhirat nanti.



Ini bukanlah kali pertama saya datang ke bandar yang tenang ini. Namun begitu, pada kali ini saya memilih untuk bersendirian walaupun datang ke sini seramai lebih dari 40 orang. Saya ingin menghayati ketenangan tanpa diganggu oleh orang lain, dan saya benar-benar melakukannya apabila saya berjalan bersendirian pada waktu malam. Menyewa di hotel yang terletak di tengah-tengah bandar memberi saya peluang, walaupun peluang itu diragut dengan kejam pada pukul 10.00 malam kerana hujan yang terlalu lebat. Tetapi inilah uniknya Terengganu.



Pada waktu pagi, ketika sedang leka menikmati sarapan di tingkat paling atas, hujan lebat sekali lagi melanda. Suasananya sangat tenang, di atas langit awan hitam sentiasa berarak dengan megah. Titis-titis air menjadi peneman dan kadang-kadang titisan hujan itu menimpa ke dalam cawan teh saya. Di bawah hotel, jalan-jalan raya mula sibuk dengan kenderaan yang membuka lampu dan bergerak perlahan. Saya diberitahu bahawa jalan di hadapan hotel saya ini sangat berbahaya kerana ia pernah meragut nyawa pejalan kaki dan penunggang motosikal.



****************************



Usai sesi kerja, dapat pula ke Masjid Kristal yang menjadi salah satu tempat yang saya ingin ziarahi. Sepanjang perjalanan ke masjid ini, di kiri kanannya terdapat replika-replika masjid popular serata dunia termasuk Masjid Nabawi di Madinah. Oleh kerana masa yang tidak mengizinkan, saya hanya sempat solat Asar dan merenung keindahan replika masjid-masjid lain dari jauh. Azam saya, suatu hari nanti saya akan datang lagi dengan ditemani keluarga tersayang untuk melawat Taman Tamadun Islam ini.



Masjid ini memang indah. Keunikan reka bentuknya dan elemen pembuatannya sehinggakan wajah saya dapat diimbas di kubah masjid. Ditambah lagi dengan keredupan suasana yang nyaman, saya tidak dapat menafikan bahawa ini bukanlah lawatan saya yang terakhir ke sini. Suatu masa nanti saya akan datang lagi. Walaupun begitu, saya agak pasti masjid ini tidak dapat menandingi keberkatan Masjid Jerteh yang saya kunjungi semalam. Masjid Kristal ini dibina hasil hawa nafsu seorang pemimpin dengan menggunakan wang rakyat yang sebenarnya tidak perlu pun, tetapi saya difahamkan Masjid Jerteh dibina dengan sedekah dan ihsan orang ramai.


Seperti biasa, apabila pulang saya akan melalui kawasan yang dilanda banjir. Kepada mangsa-mangsa banjir, saya mengucapkan takziah dan semoga sabar di atas dugaan yang menimpa anda semua. Saya tahu kerajaan negeri tidak mampu berbuat apa-apa di atas tragedi banjir ini kerana ia adalah lumrah alam, walau berjuta ringgit dilaburkan juga tidak akan dapat mengelak dari ia melanda Terengganu.

Saya akan datang lagi ke Terengganu, dengan azam dan watak yang berbeza, dan saya tahu ia tidak akan pernah menghampakan saya. Insya Allah.

29 November 2009

Meraikan Yang Berkhidmat

Saya berharap suatu masa nanti rakyat Malaysia akan lebih matang di dalam menghargai ahli-ahli politik terutamanya yang bergelar Yang Berhormat. Ketika ini, mereka diraikan bagai Tuhan yang tidak pernah membuat apa-apa salah dan silap. Baik dari kalangan parti kerajaan mahupun pembangkang, kedua-duanya mempunyai sifat taksub kepada pemimpin yang keterlaluan.

Entah kerana kagum, takut, bodek atau apa sahaja, kedatangan mereka ke kampung-kampung untuk program-program melawat kawasan diraikan dengan begitu meriah sekali. Ketua-ketua kampung akan habis bergolok gadai dan memerintahkan anak-anak buah untuk mempersiapkan tempat yang terbaik, makanan yang banyak dan lazat dan setiap permintaan YB-YB ini akan dilayan tanpa prejudis. Kerana itulah agaknya YB-YB ini menjadi semakin gemuk, rumah-rumah mereka pula semakin banyak dan besar, kereta-kereta akan bertambah dan anak-anak mereka pula segelintirnya menjadi sombong dan besar kepala. Itu tidak dikira lagi penglibatan YB-YB ini didalam meluluskan tanah kerajaan, membangunkan pekan-pekan, membina dewan dan sebagainya akan menampakkan bahawa YB-YB ini memang sangat berkuasa.

Sebenarnya tidaklah begitu. Saya hairan mengapa kita terlalu menyanjung YB-YB dari semua parti politik ini. Istilah klasik yang digunakan kepada mereka juga ialah 'wakil rakyat' yang membawa maksud mereka hanyalah wakil kepada kita semua. Mereka tidak dipanggil sebagai 'ketua rakyat'. Mengapa mahu disanjung secara berlebih-lebihan? Mereka sepatutnya harus berkhidmat kepada kita.

Saya menyarankan supaya istilah Yang Berhormat ditukar kepada Yang Berkhidmat. Mereka tidak sepatutnya dihormati dengan membabi buta, tetapi mereka sepatutnya berkhidmat untuk kita. Jika YB-YB ini datang ke kampung-kampung, YB-YB inilah yang sepatutnya mengambil hati penduduknya dengan menyediakan makanan yang lazat dan tempat yang terbaik untuk semua penduduk di situ. Wang peruntukan YB itu bukan digunakan untuk diri sendiri, tetapi kepada rakyat yang dibawahnya.

Saya menghormati mereka kerana mereka wakil saya di pentas tertinggi pentadbiran negara. Tetapi saya tidak akan meraikan mereka dengan berlebih-lebihan. Dengan sebab itulah pernah seorang YB datang ke bilik saya dan memohon bantuan saya di atas satu perkara, dia pernah berkata," bantuan ini adalah untuk kepentingan kawasan saya."

Dengan sedikit terkejut saya bertanya, "Oh, tuan seorang ADUN? Maafkan saya, saya tidak kenal". Dia kembali bertanya, "adakah encik memang tidak kenal saya?" Dan saya menjawab,"saya memang tidak kenal tuan." Kami kemudiannya berkenalan dan berbincang beberapa ketika.

Sungguh saya tidak kenal dia. YB sekarang senang sahaja bertukar ganti. Malah bekas YB masih lagi kempunan untuk dipanggil dirinya YB. Tetapi ia tidak menjadi bekas kepada saya. Siapa pun dia, saya tidak akan menghargai dia secara membabi buta. Yang saya tahu, dia mesti berkhidmat untuk saya kerana dia telah menjadi wakil saya.

23 November 2009

Antara jatidiri dan rasa dikhianati


Saya mengakui semangat jatidiri negara saya sangat tinggi. Seboleh-bolehnya saya akan mendahulukan kereta Proton sebelum memilih untuk membeli kereta buatan negara lain. Pada pendapat saya, biarlah kereta itu kurang berkualiti dan cepat rosak, tetapi dengan menggunakan kereta buatan Malaysia akan membuatkan kita berasa bangga dengan negara sendiri di samping dapat mempromosikan negara kita kepada orang luar. Saya mengambil semangat orang-orang Korea yang lebih suka membeli kereta Daewoo atau Hyundai daripada membeli kereta Toyota atau Honda buatan Jepun. Orang-orang negara India juga dikatakan lebih setia dengan buatan Tata walaupun produknya tidak berkualiti dibandingkan dengan negara luar.

Dengan sifat saya yang sedemikian, saya memandang sinis kepada orang yang suka membeli kereta luar. Pada hemat saya, mengapa membeli Naza Suria, Naza Sutera, Hyundai Getz atau Kia Picanto jika kita boleh membeli Savvy. Mengapa pula mahu membeli Kia Spectra, Hyundai Accent, Toyota Vios atau Honda City sekiranya kita ada Waja atau Persona. Apatah lagi apabila mereka membeli kereta Proton yang kemudiannya diubahsuai dan diletakkan perkataan Mitsubishi pada kereta itu, ia membuatkan saya menjadi semakin jelak. Pada pandangan saya, mereka langsung tidak menghormati usaha anak bangsa kita memajukan negara. Mereka tidak patriotik.

Saya juga memandang Perodua dan Naza sebagai pesaing Proton yang tidak bermaruah. Walaupun ketiga-tiganya dilabel sebagai kereta nasional, di kala Proton terus-terusan berusaha untuk mencipta model yang 100% buatan Malaysia, Perodua dan Naza hanya mencedok hasil usaha orang lain seperti Daihatsu dan Peugeot dan kemudiannya dengan bangga menukarkan nama kereta-kereta tersebut kepada nama berteraskan Malaysia. Sungguh memalukan sekali. Saya tidak berbangga apabila model Kelisa mendapat Anugerah Kereta Kompak Terbaik 2006 kerana saya beranggapan bukan Perodua yang selayaknya menerima anugerah itu, tetapi Daihatsu. Lain pula apabila Proton Persona mendapat Anugerah Kereta Sedan Terbaik 2008, saya begitu teruja kerana produk buatan negara Malaysia telah diiktiraf.

Tetapi, itu cerita dahulu. Cerita 2 bulan lepas dan sebelum-sebelumnya sebelum saya mendapat berita ini. Setelah saya membaca di internet bahawa kereta Proton di Arab Saudi jauh lebih murah dari Malaysia, semangat jati diri saya langsung memudar ke tahap yang paling rendah. Saya terasa seolah-olah ditipu dan dikhianati pula. Mana mungkin sesebuah barangan boleh dijual lebih murah di negara luar berbanding negara sendiri. Lebih menyakitkan hati, perbezaan harganya bukanlah sedikit tetapi mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit. Logiknya, sesebuah barangan akan dijual murah di negara buatan sendiri tetapi dijual mahal di negara lain kerana cukai dan sebagainya. Rupa-rupanya Proton mengambil kesempatan di atas semangat setia dan bangga (termasuk kebodohan) saya dengan produk buatan Malaysia.

Hari ini, saya tidak lagi berbangga dengan Proton. Saya sudah tidak berselera memandang Proton di jalanan lagi. Saya juga tidak lagi memandang sinis kepada orang yang menggunakan kereta dari negara lain. Untuk masa ini sekiranya saya berniat untuk membeli kereta baru, Proton bukan lagi keutamaan saya. Jika dahulu saya lebih menghormati Proton Juara berbanding Perodua Rusa, hari ini saya lebih selesa membelek Perodua Alza dari melihat Proton Exora. Itulah akibatnya apabila mengkhianati rakyat negara sendiri.

22 November 2009

Tentang slogan

Setiap kali bertukarnya pemerintahan tertinggi negara, ada satu perkara yang akan menjadi tumpuan rakyat walaupun rakyat tidak kisah langsung sebenarnya dengan perkara itu pada permulaannya. Ia berkaitan dengan slogan pemimpin. Slogan yang entah disebut secara spontan atau difikir beratus-ratus kali sebelum mengucapkannya, namun ia akhirnya menjadi petunjuk kepada orang-orang bawahan untuk menjadi lebih kreatif dalam merealisasikan hasrat tersebut. Slogan ini dianggap oleh rakyat sebagai pedoman dan halatuju kepimpinan negara, bahkan ada juga golongan yang lebih melampau menggunakannya di dalam kehidupan sehari-harian tanpa memahami erti sebenar slogan-slogan itu.

Sayugia juga diingatkan bahawa slogan-slogan ini bukanlah suatu yang penting pun di dalam pentadbiran negara. Ia adalah sejenis kosmetik pentadbiran yang adanya tidak membawa apa-apa makna, ketiadaannya juga tidak memberi apa-apa mudarat. Walaupun begitu, nampaknya slogan yang ghairah dipertonton dan diwar-warkan oleh pemimpin negara boleh juga memakan diri mereka sendiri.

Ketika pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, slogan Cemerlang Gemilang Terbilang akhirnya menjadi sandiwara dan bahan ketawa orang ramai. Apa yang cemerlang di masa pemerintahannya, apa pula yang gemilang dan apa pula yang terbilang? Akhirnya apabila beliau meletak jawatan, namanya juga semakin hilang dengan cemerlang. Tiada apa-apa langkah yang gemilang semasa pentadbirannya yang akan membuatkan rakyat mengingati beliau. Nama beliau di dalam akhbar juga sudah boleh dibilang dengan jari. Tiada lagi cerita-cerita tentang Dato' Seri Abdullah yang sudah bergelar Tun itu. Malah Perdana Menteri sebelum beliau pula yang lebih menonjol.

Kini, slogan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan pula menjadi zikir harian penjawat awam dan kaki ampu. Secara kasarnya, slogan ini dilihat seolah-olah sudah memakan diri. Mana-mana sahaja forum di dada akhbar, maklumbalas atau komentar rakyat yang mengadu hal itu dan ini, akhirnya dibawahnya mereka akan menggunakan slogan ini untuk menyatakan bahawa mereka tidak didahulukan. Hal-hal remeh seperti sampah tidak dikutip, lampu isyarat tidak berfungsi, penutupan jalan, pemeriksaan kereta di Puspakom sehinggalah kepada hal besar seperti pembayaran semula PTPTN, pembubaran DUN Perak akan disertakan sekali dengan "Rakyat Didahulukan". Percayalah, slogan ini lama-lama akan menjadi kudis di dalam pentadbiran negara.

Tiba masanya supaya pemimpin negara tidak terlalu mementingkan kosmetik yang tebal di dalam pentadbiran. Rakyat yang berpelajaran tidak peduli dengan slogan-slogan seperti itu, mereka juga tidak kisah dengan janji-janji manis di dalam ucapan perasmian. Mereka lebih mementingkan perlaksanaan. Bercakap sejuta patah perkataan memang kedengarannya sangat manis, tetapi tanpa perlaksanaan ia akan menjadi hempedu yang semakin membarah di dalam hati rakyat.

16 November 2009

Perak Utara dan Perak Selatan

Perak Utara

Minggu lepas saya mengikuti rombongan ke Selama untuk satu lawatan kerja. Seramai 35 orang dengan 8 buah kereta pacuan 4 roda mengikuti rombongan ini. Saya menaiki kereta sendiri ke Selama, dan di sana saya kemudiannya diambil oleh kereta besar ini untuk memanjat gunung.

































Sekarang musim hujan di pantai barat. Hujan yang tidak berhenti-henti membuatkan sesetengah tempat mula digenangi air. Kebetulan, tempat yang saya lawati terkena kesan oleh hujan yang lebat ini. Air-air sungai di pergunungan mula mengorak laju ke hilir dan menjadi keruh.

































Kami melewati Hutan Simpan Bintang Hijau. Tiba di satu tempat, cuma 3 dari 8 buah kereta sahaja yang dapat melepaskan diri. Selebihnya sangkut di pertengahan jalan kerana cenuram yang agak tinggi, di samping jalan yang licin kerana hujan.






























Gambar di atas ini saya ambil dari Berita Harian 16 November 2009. Ia adalah jalan Selama-Parit Buntar, jalan yang saya lalui untuk ke tempat lawatan itu. Mujurlah saya cepat pulang ke rumah pada hari itu, jika tidak mungkin sehingga hari ini saya masih lagi terkandas di Selama.



Perak Selatan

Hujung minggu lepas, saya menuju ke sebuah daerah di Selatan Perak. Beruntung juga menjadi menantu orang Perak. Penat-penat badan akibat meredah air besar, memanjat gunung dan memantau kawasan hilang apabila mengadap sembah Raja Buah ini.





12 November 2009

Kuching : Episod 3 : Bertemu adik

Kak Yah ialah anak kepada guru mengaji Al-Quran saya di kampung ketika saya kecil dahulu. Dia juga isteri kepada Abang Man, seorang pegawai polis yang bekerja di Kuching. Mereka punya seorang anak yang bernama Ezat berumur 12 tahun dan baru sahaja selesai menduduki peperiksaan UPSR. Kak Yahlah tempat adik saya mengadu nasib di tempat orang, tempat dia memesan untuk membeli barang-barang istimewa Sarawak dan rumah Kak Yah ialah tempat adik saya meletakkan barang-barang peribadi berharga jika dia pulang ke Semenanjung. Mujurlah Kak Yah dan Abang Man sudi menghantar kami ke Hospital Betong, di samping dia sendiri berkeinginan untuk menziarahi adik.

Setibanya kami di Kuching, jam sudah menunjukkan pukul 11.30 pagi. Suasana redup dan tenang. Saya difahamkan sudah 2 minggu Bandaraya Kuching tidak dijamah matahari. Hujan akan turun setiap hari dan siangnya lebih pendek dari waktu malam. Lapangan terbangnya tidak jauh berbeza dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim Alor Setar, cuma ia lebih meriah dan kawalan keselamatannya lebih ketat. Ada ramai anggota polis dan tentera berkumpul di situ, tetapi mereka tidak pula berbuat apa-apa. Cuma sesekali menghisap rokok dan berbual sesama sendiri, namun ada juga yang berwaspada dengan senjata di tangan.

Sambil menunggu Kak Yah datang menjemput, kami beratur untuk membeli tiket pulang yang dijadualkan pada hari Ahad 8 November 2009. Kali ini, saya yang akan membelinya sambil dibimbing oleh isteri saya. Ketika sedang beratur, saya menerima panggilan telefon. Adik!!

"Abang, adik sudah sihat!!" Suaranya agak ceria. Bagaimana boleh sihat dalam tempoh beberapa jam dimasukkan ke wad sedangkan dia sudah demam selama beberapa minggu?

"Entah. Agaknya sebab doktor sudah masukkan air ke dalam badan adik. Masuk kali ini sudah 3 botol." Dia maksudkan air yang biasa kita lihat dicucuk ke lengan dan digantung di atas satu tiang. Saya sebenarnya masih kurang percaya dia sihat. Lalu saya cuba mengalih perhatian dengan mengatakan saya sedang membeli tiket. Tetapi di dalam ketidakpercayaan itu, hati saya merasa lapang benar. Suaranya memang lebih kuat dan bersemangat berbanding hari-hari yang lepas.

Usai membeli tiket, kebetulan pula Kak Yah sudah sampai dengan kereta Personanya. Sekali lagi saya menerima utusan dari adik, kali ini melalui sistem pesanan ringkas. "Abang, sebelum bertolak pergi makan dulu. Kalau Kak Yah ajak makan pergi makan. Kalau tak mau makan, bungkus saja. Pastikan bawa makanan dalam kereta. Buang air siap-siap. Jangan lupa beli roti Gardenia untuk adik. Adik nak makan roti Gardenia." Apa pula? Mengapa dipesan benda yang pelik-pelik begitu? Saya mengambil enteng pesanan itu. Makan? Di mana-mana juga boleh makan. Rezeki Tuhan yang tentukan.

Setelah bersalam-salaman dengan Kak Yah dan Abang Man, kami masuk ke dalam kereta dan meluncur laju ke Serian. Dari Kuching ke Serian, Serian ke Sri Aman, Sri Aman ke Betong. Sejujurnya saya tidak tahu berapa jauh. Tetapi adik pernah berpesan ia memang jauh.

Sayangnya Kak Yah tidak berhenti di mana-mana untuk makan. Tidak apalah, saya datang pun bukan untuk makan. Malah saya tidak mengharapkan untuk berhenti pun, kerana lebih cepat berjumpa adik akan lebih bagus. Kami bersembang-sembang di dalam kereta, bertanyakan perihal anak tunggalnya, pengalaman Kak Yah selama beberapa tahun tinggal di Kuching dan bersuamikan orang Samarahan. Dia nyata sangat mesra. Tidak seperti dahulu ketika dia kadang-kadang mengambil alih tempat ibunya mengajar Al-Quran. Ketika itu dia sangat sombong.

Saya sangat menghayati perjalanan itu. Ia satu pengalaman yang menarik. Ditambah lagi tidak perlu memikirkan adik kerana suaranya sudah bersemangat dan kuat. Laluan itu dipanggil sebagai 'Jalan Serian-Sri Aman', lebih dikenali sebagai lebuhraya. Ia menyambungkan Kuching terus sehingga ke Kota Kinabalu. Tetapi ia cuma 2 lorong, sesekali sahaja kenderaan lalu. Selebihnya kami cuma ditemani semak samun. Jika di Semenanjung, laluan itu mirip sekali menyerupai laluan Selama-Taiping, Batang Berjuntai-Rawang atau Bentong-Gombak. Lebih banyak kami melewati gereja berbanding masjid. Lebih banyak kami melewati hutan berbanding perkampungan.

Setelah 2 jam perjalanan, saya menyedari sesuatu yang pelik. Ditambah pula apabila isteri saya mula membuka coklat dari beg tangannya, saya melihat coklat itu begitu menggiurkan sekali. Rupa-rupanya saya lapar. Dari pagi tadi kami cuma sempat bersarapan di LCCT. Barulah saya teringatkan pesanan ringkas adik tadi. Sepatutnya kami perlu makan dahulu. Di kiri kanan tiada restoran, tiada kedai makan malah tiada apa-apa. Cuma hutan!! Saya sendiri merasa lapar, bagaimana isteri saya dan anak saya di dalam kandungannya? Isteri saya mengunjukkan coklat itu kepada saya, dan sebagai penumpang yang beradab, saya mempelawanya pada Kak Yah dan anaknya. Saya cuma makan sekeping, dan saya merasa cukup nikmat sekali.

Saya sekarang sedang terfikirkan tentang isteri saya. Adakah dia juga merasa lapar. Jika ditanya secara terus, tentulah dia akan katakan tidak kerana dia tidak mahu meresahkan saya. Kak Yah pula seolah-olah mengerti, dan kami singgah sekejap di satu tempat bernama Sri Aman. 1 jam selepas saya menyedari buat pertama kalinya yang saya berasa lapar.

Rupa-rupanya Kak Yah lebih prihatin. Dia tidak berhenti makan pada mulanya kerana dia sudah menyediakan bekal sendiri. Kami seolah-olah berkelah pula di situ. Pesan Kak Yah, di sini tidak boleh makan sembarangan kerana tidak kenal agama penjualnya. Kadang-kadang namanya saja Islam seperti Haji, Lebai atau sebagainya, tetapi ada yang sudah murtad pun. Kala itu saya mengerti kenapa lebih banyak gereja berbanding masjid. Pesannya lagi, di tepi-tepi jalan tidak boleh buang air, kerana hutan adalah tempat yang sensitif. Kala itu juga saya menyedari mengapa adik berpesan supaya kami buang air di Kuching. Saya senyum sendirian. Mereka lebih bijak dari saya.

Kami sampai di Hospital Betong lebih kurang pukul 4.30 petang selepas 5 jam perjalanan. Jaraknya tidaklah jauh, cuma kurang lebih 240 kilometer sahaja dari Kuching. Sama jaraknya dengan Kuala Lumpur ke Ipoh, yang mana saya pernah merekodkan tempoh 3 jam perjalanan. Tetapi di sini, 5 jam itu boleh dikatakan sangat pantas kerana kebiasaannya jarak dari Betong ke Kuching boleh mengambil masa sehingga 7 jam. Mungkin faktor jalanraya, bengkang bengkok dan apa-apa lagi, ia mengambil masa yang lama.

Lambat-lambat saya memasuki wad hospital itu. Adik saya berada di hujung sekali, sedang ditemani oleh Kak Na dan Mira, 2 orang rakan serumahnya. Benar, dia tidaklah seteruk yang saya jangkakan. Kedatangan kami disambut ciuman tangan dan senyumannya, dan perlahan-lahan air matanya jatuh. Mungkin terharu dengan kehadiran saya dan isteri, atau tidak percaya saya boleh sampai ke sini. Kami bersembang panjang, bertanya keadaannya sambil disampuk oleh Kak Na dan Mira, dan Kak Yah turut sama bersembang mesra. Di sebelah katil yang kosong, Abang Man cuma diam ditemani Ezat. Mungkin janggal hendak bersembang kerana kebanyakannya perempuan. Adik saya sihat, kuat dan cergas. Cuma dia tidak boleh berjalan ke mana-mana dia suka kerana diikat dengan corong air itu. Ketawanya seperti yang biasa saya lihat dari dahulu. Tiada tanda-tanda dia sakit walaupun dia nampak agak lembik. Agaknya Allah telah menyembuhkannya dengan medium air yang dicucuk di tangannya.

Di kala itu, di dalam hati saya tenang sekali. Alhamdulillah. Adik saya tidak seteruk yang saya duga pada mulanya. Setiap nadi yang bergetar ketakutan beransur-ansur hilang. Tiba-tiba, deringan telefon memecah perbualan. Ibu!! Saya sudah tahu apa yang mahu dijawab kepadanya jika dia bertanyakan keadaan adik. Saya akan menjawab dengan yakin. Malam ini saya akan tidur nyenyak...

Terima kasih Allah.

saya sengaja mengambil gambar dalam keadaan bergetar...

11 November 2009

Kuching : Episod 2 : Demam yang berpanjangan

Sabtu 31 Oktober 2009 : 5 hari sebelum penerbangan pertama

Saya dan isteri mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk pulang ke rumah orang tua saya di utara Semenanjung. Kepulangan saya disambut biasa-biasa sahaja, tidak seperti ketika saya bekerja di Kuala Lumpur dahulu. Mungkin kerana saya sudah kerap pulang, maka ibu saya tidaklah terlalu teruja dengan kepulangan ini.

"Abang ada telefon adik?" Ibu saya memulakan perbualan pada waktu petang ketika kami bersantai-santai di depan rumah.

"Dah lama dah tak telefon."

"Abang macam tu lah, apa jadi pada adik pun tak tahu. Tahu tak adik sudah dua minggu demam?"

"Yang demam tu tahulah. Tapi tak tahu pula sampai sudah dua minggu."

Ibu saya diam. Giliran saya pula menjadi gusar dan tidak tentu arah. Demam apa sampai dua minggu? Pantas saya membuka komputer riba dan mula menelefon adik, menyuruhnya untuk memasuki sidang video melalui perisian Yahoo Messenger. Lama kami berbual dengan ditemani ibu saya sekali. Dia nampak kuat walaupun sedikit pucat. Dari riak mukanya, saya yakin adik saya tidaklah seteruk mana. Lalu saya mengumpul keyakinan bahawa adik saya tidak apa-apa. Kami mengakhiri sidang video kerana sudah masuk waktu Maghrib.

Isnin 2 November 2009

Ketika saya sibuk-sibuk di pejabat, saya menerima panggilan telefon. Adik!! Saya mengangkat dan suara di hujung sana lemah sekali. "Abang, adik tak larat. Adik tak nak telefon mak. Adik takut mak risau. Adik baru balik dari sekolah. Kak Na kawan serumah adik tolong hantar. Pengetua suruh adik balik berehat. Tadi adik pitam dalam kelas".

Ahh sudah!! Apa yang telah terjadi? Lalu saya memberitahu adik supaya berehat. Saya bertanyakan padanya adakah dia sudah pergi ke hospital untuk pemeriksaan. Dia menjawab dari minggu lepas lagi dia sudah pergi tetapi demamnya masih belum sembuh-sembuh. Saya bertambah risau. Adik saya memberitahu, doktor di Hospital Betong iaitu hospital terdekat menyuruhnya untuk melakukan pemeriksaan x-ray di hospital yang lebih besar iaitu Hospital Sri Aman, kerana mesin x-ray di hospital itu rosak. Dari simptom yang adik saya hadapi, doktor menjangkakan adik saya menghidap pneumonia atau radang paru-paru. Pemeriksaan x-ray digunakan untuk pengesahan penyakit itu, dan penyakit pneumonia itu masih belum sahih.

"Sekarang adik nak buat apa?" Saya bertanya seperti orang bodoh. Saya sebenarnya menahan debar.

"Adik pun tak tahu nak buat apa. Adik tak boleh fikir sekarang."

"Petang ni adik ajak Kak Na teman ke Hospital Sri Aman. Esok adik hantar x-ray tu ke Hospital Betong. Boleh?"

Adik saya menyetujui cadangan saya. Ketika saya menelefon adik saya sekali lagi pada malam itu, pemeriksaan telah dilakukan. Walaupun begitu, x-ray itu tidak dapat dihantar keesokan harinya. Harus dihantar pada hari Rabu 4 Oktober kerana doktor itu sibuk. Saya sangat risau.

Selasa 3 Oktober 2009

Setiap 2 jam sekali saya menelefon bertanyakan kesihatannya. Jawapan yang diterima masih tidak berubah. Sekali lagi dia pergi ke sekolah pada waktu pagi untuk mengajar, tetapi dihantar pulang ke rumah pada pukul 11 pagi kerana keletihan dan tidak bermaya. Saya hanya mampu mengucap panjang. Malam tadi pun saya tidak boleh tidur kerana teringatkannya.

Saya benar-benar buntu. Adakah saya perlu ke Sarawak untuk menziarahinya? Adakah saya perlu memberitahu kesihatan adik saya kepada ibu saya, sesuatu yang tidak mungkin saya lakukan? Adakah adik saya mengalami komplikasi yang serius?

Saya tidak makan tengah hari pada hari itu. Saya ke surau lebih awal pada biasa, dan di situ saya menangis semahu-mahunya. Saya tidak mahu kehilangan adik. Saya tidak mahu dia sakit. Saya memohon pada Allah, berikanlah kesakitan adik kepada saya. Saya mahu dia sihat. Saya mahu ibu saya sihat. Saya mahu semua orang-orang yang saya sayang sihat-sihat. Saya mahu kami semua hidup bahagia.

Mesyuarat petang itu saya hadiri tanpa semangat. Saya lebih terfikirkan keputusan x-ray adik esok.

Rabu 4 Oktober 2009 : 1 hari sebelum penerbangan pertama

Pada waktu pagi, saya sedikit tenang. Saya gagahi juga untuk menelefon adik walaupun saya tahu keadaannya masih sama. Benar. Masih sama. Dia tidak ke sekolah dan demam. Saya nasihatkan dia supaya berehat. Petang ini doktor akan memberikan keputusan x-ray.
........

Pukul 5.30 petang ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja, saya menerima panggilan dari adik. Dia dimasukkan ke wad. Suara di hujung sana seperti menahan sebak. Adik saya memohon supaya dimasukkan ke wad esok, tetapi doktor tidak membenarkannya kerana dia harus dirawat segera.

"Doktor cakap apa?"

"Doktor tak cakap apa. Tapi bila dia tengok x-ray adik, tiba-tiba muka dia berubah. Dia cakap awak kena masuk wad segera." Tiba-tiba pandangan saya menjadi kelam. Air mata bercucuran. Adakah penyakit adik terlalu serius?

Ketika saya sampai di rumah, isteri saya sedang memasak masakan malam. Saya terus memberitahunya, saya mahu ke Sarawak. "Bolehkah awak tolong belikan saya tiket kapal terbang? Saya tidak tahu caranya." Kami berbincang seketika. Rupanya tiket perjalanan kapal terbang yang kurang dari 24 jam masa penerbangan tidak boleh dibeli secara dalam talian. Ia harus dibeli di kaunter di lapangan terbang. Kami memutuskan untuk ke LCCT Sepang pada malam itu juga untuk membeli tiket.

Kemudian, saya gagahi juga untuk menefon ibu saya di kampung. "Mak, adik masuk wad". Di hujung sana, ibu membalas dengan "Allahu akbar". Saya memberitahunya saya akan ke Sarawak esok, kerana tiada penerbangan pada waktu malam. Dia mencadangkan saya pergi seorang, kerana isteri saya tidak mungkin dapat berjalan jauh.

Pada masa yang sama, isteri saya mahu mengikut. "Lebih baik saya ikut daripada saya risaukan awak di sini". Dan saya mengalah dengan kehendak isteri saya. Memang benar apa yang dikatakannya.

Seterusnya saya menelefon adik untuk memberitahu saya akan ke Sarawak esok. "Kakak datang tak? Jangan bagi kakak datang. Dia sedang mengandung. Perjalanan dari Kuching ke tempat adik sangat jauh. Nanti dia sakit." Saya enggan melayan permintaannya. Isteri saya mahu mengikut. Saya akan bawa juga. Jika dia sakit, saya akan menanggung risikonya.

Selepas menikmati makan malam yang tidak nikmat kerana teringatkan adik, kami bertolak ke rumah kakak ipar saya di Nilai. Di sana, dia akan menghantar kami ke lapangan terbang keesokan harinya. Saya lebih banyak diam di dalam perjalanan kerana hati saya tidak keruan.

Sampai di LCCT lebih kurang 12.30 malam, kami bergegas ke kaunter. Rupanya ia sudah ditutup. Saya ingatkan kaunter tiket kapal terbang dibuka 24 jam sehari. Nampaknya esoklah kami membeli tiket. Sebelum tidur saya berdoa supaya segala-galanya dipermudahkan, sakit adik saya disembuhkan dan isteri dan anak saya di dalam kandungan disejahterakan. Saya tidak dapat tidur sebenarnya. Sudah 3 hari tidur saya tidak sempurna...

"Ya Allah, semoga ini adalah ujian kecil dari-Mu."

10 November 2009

Kuching : Episod 1 : Pertama kali di awangan


Khamis 5 November 2009

Entah mahu ketawa atau simpati kepada diri sendiri, inilah pertama kali saya menaiki kapal terbang sepanjang hidup saya. Selama ini saya berbangga juga kerana tidak pernah menaiki kapal terbang, tetapi baru-baru ini 'dara' kapal terbang saya tercemar kerana terpaksa bertolak ke Kuching atas urusan keluarga. Adik saya dimasukkan ke hospital kerana demam yang berpanjangan.

Memang saya sangat gampang. Sangat teruja. Sangat bodoh. Mujurlah saya dipimpin oleh isteri saya yang pernah menaikinya. Dia menceritakan segala prosedur, dari pembelian tiket sehinggalah kepada pendaratan di sana. Jika tidak, harus juga saya diketawakan oleh pramugari-pramugari yang seksi itu.

Kami berlepas pada pukul 9.40 pagi Khamis, mengambil tiket secara tergesa-tergesa pada pagi itu juga dan seperti diramalkan, ia agak mahal. Terpaksalah saya menggunakan kad ajaib di dalam dompet. Selepas itu kami melakukan pemeriksaan bagasi dan terus masuk ke balai berlepas. Mujurlah di balai berlepas saya memakai baju 'vest' yang boleh menahan kesejukan. Beberapa kali juga saya ke tandas sementara menunggu untuk masuk ke dalam pesawat.

Ayat Al-Quran yang pendek-pendek habis semua dibaca untuk menahan gementar. Ayat Qursi yang selalu dipesan oleh ibu saya sebagai amalan harian juga diulang beberapa kali. Agaknya jika orang lain tahu gelodak hati saya ketika itu, mahu rasanya mereka berguling-guling menahan ketawa.

Pengalaman menaiki kapal terbang sangat menarik. Terutamanya apabila pesawat itu meluncur laju untuk berlepas. Saya yang sudah terbiasa menekan brek kereta, turut sama menekan kaki untuk memperlahankan pesawat. Di dalam pesawat, saya menghabiskan dua pertiga penerbangan dengan tidur kerana terlalu letih. Sudah 3 hari tidak tidur kerana terfikirkan adik yang sakit. Tiada makan-makan di atas kapal terbang, tiada juga masa untuk ke tandas. Sekadar membaca akhbar yang dibeli di lapangan terbang. Saya mengakui sangat gayat dan takut. Tetapi dipaksa juga untuk menenangkan perasaan kerana malu dengan penumpang yang lain. Walaupun perasaan tenang itu disembunyikan, sekali sekala apabila pesawat melanggar awan, rasa takut juga. Memang sangat cantik melihat keindahan bumi Allah dari atas terutamanya apabila melintasi Laut China Selatan. Betapa ia begitu mendatar dan menenangkan tidak seperti kita berada di bumi.

Tiba di Kuching pada pukul 11.30 pagi, ada pula pemeriksaan imigresen. Begitu rupanya prosedur penerbangan ke Kuching. Alhamdulillah, satu masalah saya sudah selesai. Kami sudah sampai dengan selamat. Isteri saya yang sedang mengandung juga tidak mengalami apa-apa masalah di dalam penerbangan. Tetapi bagaimana dengan adik?

09 November 2009

Hobi ikut-ikutan






Kamera jenis DSLR memang menjadi gaya terbaru bagi muda mudi waktu ini. Saya percaya hobi menggunakan kamera DSLR ini akan beransur-ansur hilang sedikit masa lagi. Walaupun begitu, oleh kerana hobi ini sedang hangat, saya juga sedikit sebanyak terpengaruh dengannya.

Gambar-gambar ini saya ambil di sekitar rumah saya dan di beberapa tempat lain lagi secara suka-suka. Saya tidak menggunakan kamera jenis DSLR, tetapi cuma kamera digital yang biasa sahaja. Sejujurnya saya tidak sanggup untuk melaburkan sejumlah wang yang tinggi semata-mata untuk mendapatkan kamera yang mahal. Cukuplah kamera berfungsi untuk merakamkan perjalanan yang manis dan pahit di dalam kehidupan seharian saya dan orang-orang lain di sekitar saya, agar ia boleh menjadi kenangan untuk gelak tawa pada masa hadapan.

Gambar-gambar di atas bukanlah hakcipta terpelihara. Ia tidak cantik dan pada pandangan saya yang jahil tentang seni ini, gambar-gambar yang saya rakamkan itu tidak mempunyai nilai yang tinggi. Sekiranya ada sesiapa yang sudi untuk menggunakannya, dipersilakanlah dengan segala hormatnya.

03 November 2009

Pejabat SPRM dalam kenangan - Bahagian 2


Saya pernah menceritakan tentang kenangan saya dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di dalam tulisan saya dahulu yang bertajuk Pejabat SPRM dalam kenangan. Di dalam cerita itu, saya cuma menceritakan serba ringkas pengalaman saya terlibat dengan kes penyelewengan wang peruntukan ADUN tanpa menyebutkan ADUN mana yang terbabit. Dengan tidak disangka-sangka, pada pukul 8.00 malam 3 November 2009, semua saluran televisyen akhirnya menyiarkan berita yang saya tunggu-tunggu sejak sekian lama.

Beberapa ADUN, bekas ADUN dan pembantu Menteri Besar telah didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah. Salah seorang yang terlibat ialah ADUN yang telah saya sebutkan, dan saya boleh berterus terang di sini kerana semua rakyat Malaysia telah mengetahuinya. Beliau ialah Yap Soo Sun, bekas Adun Teratai di negeri Selangor.

Bukanlah tugas saya untuk mengatakan beliau bersalah atau tidak melainkan mahkamah hendaknya. Biarlah mahkamah yang menentukan dengan prinsip "seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan telah dibuktikan bersalah". Untuk tempoh yang akan datang, saya akan bersedia untuk dipanggil ke mahkamah bagi memberi keterangan. Saya pasti jika perbicaraan ini berlangsung, saya berkemungkinan besar akan terlibat sebagai saksi.

Walaubagaimanapun, seperti juga kebanyakan rakyat Malaysia yang lain, saya masih sangsi adakah ini benar-benar pertuduhan yang betul dan serius atau hanya digunakan sebagai sandiwara bagi mengabui mata masyarakat. Mungkin juga Encik Yap Soo Sun ini tidak lagi mempunyai sokongan kuat MCA di belakangnya untuk mengelak pertuduhan, kerana di dalam berita bertarikh dan waktu yang sama, MCA sedang dilanda krisis kepimpinan yang teruk.

Bukan saya seorang, tetapi saya boleh katakan majoriti rakyat berpendidikan akan bersetuju bahawa "SPRM cuma dapat mencari ikan bilis". Apa-apa pun, tahniah di atas usaha SPRM. Allah jua lah yang akan mengadili kalian, seperti Allah mengadili saya.

02 November 2009

Angguk dan geleng

Angguk-angguk geleng-geleng tunduktunduk
ikut tunjuk
Iya iya saya saya kiri kanan ikut saja
Kita tunduk pabila diketuk biarkan
terhantuk tak usah dipujuk
Relakan dipatuk ingat pesan atuk
Sabar sabar sabar sabar!

Tak apa tak kisah tak rugi tak mati tak
ambil peduli
Berserah dan pasrah biar dada
didabik adat pasang turun naik
Didera dijajah terus kita dipenjara
Jadi hamba jadi kuli jadi batu diam
diri
Kita tunggu kita lihat kita nanti kita
perhati
Jangan merungut biar bertangguh diam
akur mesti patuh

Acuh tak acuh endah tak endah buat
lawak bodoh selamba
Biar kita melopong biar kita menganga
biar mereka buat apa mereka suka
biar
Jangan melawan jangan membantah
janganlah degil kena ikut perintah
Kena banyak diam biar apa orang
kata kita tawa dalam duka
Kecut takut kalut kolot terkunci mulut
terkatup tertutup
Kalah sabung menang sorak senduk
nasi tinggal kerak

Dik mari dik… ye kak… nama adik
siapa? … Mia
Adik tahu nyanyi tak?… Tahu… Ah
mari ikut kakak nyanyi sama-sama…

Tolak tambah kali ganda hitung kira
skala nisbah
Maju mundur tinggi rendah berapa
jumlah nilai bangsa

(Kak sekupang ke, dua kupang ke,
tiga kupang?)

Sawah sebendang
ladang sebidang
tanah sekangkang
pohon sebatang
Kerana wang semua
hilang hanya sehelai sepinggang
Yang jenin yang lebai
yang pandir yang luncai
Yang angannya tinggi
yang dibuai mimpi
yang sawah terjual maruah

Saya pasti kebanyakan orang dapat mengecam lirik Angguk Angguk Geleng Geleng yang dinyanyikan oleh kumpulan muzik Ahli Fikir ini. Lirik ini bemakna sekali kerana ia menggambarkan tentang nasib bangsa Melayu di nusantara ini yang semakin hilang pedoman dan mudah dijual beli oleh bangsa lain.

Saya sebenarnya sangat geli hati apabila mengenangkan lagu ini dibawakan oleh kumpulan muzik yang seumpama itu. Genre muzik barat yang dibawakan dan cara mereka berpakaian ketika mereka menyanyi sangat tidak kena dengan rintihan mereka mengenai nasib Melayu. Ditambah lagi dengan asal kumpulan ini iaitu Singapura, satu-satunya tempat di nusantara kita yang Melayu dipinggirkan dengan begitu terhormat.

Sangat rugi dan menyedihkan sekali apabila mereka sedar tentang nasib bangsa Melayu, tetapi mereka hanya dapat terloncat-loncat dan berpakaian barat di pentas muzik. Tetapi saya menghormati mereka, kerana mereka ini jauh lebih baik dari orang Melayu lain yang memegang kuasa tetapi mengabaikan nasib bangsa sendiri atau bangsa Melayu yang cuma dapat melepak di pasar raya seolah-olah pasar raya itu milik mutlak keturunan nenek moyang mereka. Sekurang-kurangnya mereka berusaha mendaulatkan bangsa melalui nyanyian daripada tidak berbuat apa-apa langsung.

27 October 2009

Kenapa tidak anda?

Jika anda selalu mendengar saluran radio Sinar FM, anda mungkin pernah mendengar iklan lebih kurang seperti berikut:-

"Hai, saya Faizal Tahir. Ye, memang saya menyanyikan lagu rock, tetapi hakikatnya jiwa saya ini sebenarnya jiwang juga sebenarnya. Kadangkala saya mendengar Cetusan Hati di Sinar, rintihan, luahan.......... . Jadi jika saya Faizal Tahir mendengar Cetusan Hati, kenapa tidak anda?"


Bolehkah jika saya tukar sedikit kenyataan itu kepada, "jika saya Faizal Tahir makan tahi, kenapa tidak anda?"

Tidak semestinya kita patut mencontohi segala perbuatan yang dilakukan oleh orang lain demi untuk nampak lebih terkehadapan. Jika perbuatan itu memang perbuatan yang baik, memanglah ia digalakkan untuk dicontohi. Jika cuma mendengar Cetusan Hati, lebih baik saya memilih untuk menonton Buletin Utama atau Astro Awani atau saluran National Geographic.

Nanti saya akan iklankan diri saya di dalam radio, "jika saya boleh menonton Buletin Utama atau Astro Awani, kenapa tidak Faizal Tahir?"

25 October 2009

Ketam mengajar anak

Tulisan saya kali ini sedikit panjang sebagai rujukan kepada saya di kemudian hari. Sabtu dan Ahad lepas, saya ke Kelab Golf di Taiping untuk menghadiri Hari Keluarga tempat isteri saya bertugas. Seperti biasa, hari keluarga amatlah sinonim dengan sukaneka untuk kanak-kanak. Oleh kerana saya tiada anak, saya hanya memerhatikan dari jauh, dan memang tabiat saya suka memerhatikan perwatakan orang lain.

Tiba acara lari di dalam guni untuk kanak-kanak, terdapat peraturan iaitu bermula dari petak mula, semua kanak-kanak akan berlari 10 meter ke hadapan dan mengelilingi seorang dewasa yang berlakon sebagai tiang, dan patah balik ke petak mula. Kanak-kanak yang kedua akan mengambil giliran dan bermain perkara yang sama dan kanak-kanak yang ketiga akan terus berlari kehadapan tanpa mengelilingi tiang berkenaan dan terus berlari ke garisan penamat. Terdapat 10 kumpulan yang terdiri dari 3 orang kanak-kanak setiap kumpulan dan setiap kumpulan ialah satu keluarga adik beradik.

Saya memerhatikan seorang pegawai yang berpangkat lebih tinggi dari isteri saya mengajar anaknya dengan bersungguh-sungguh untuk menang. Apabila juruacara memberikan penerangan, dia tidak mengambil endah sebaliknya terus mengajar anak-anaknya untuk berlari dengan betul di dalam guni. Itu bukanlah satu kesalahan, kerana dia merangsang anaknya untuk berjaya.

Tetapi apabila wisel dibunyikan, ketika anaknya berlari di dalam guni, dia mengikut di belakang sehinggalah sampai ke tiang. Ibu bapa yang lain tidak pula bertindak seperti beliau. Dia menyuruh anaknya supaya tidak mengelilingi tiang tersebut kerana ia akan membazirkan masa. Dia kemudiannya menarik anaknya untuk kembali ke petak mula. Anaknya yang kedua mengambil tempat sambil diekori oleh pegawai tersebut seperti anaknya yang pertama tadi, dia tidak mengelilingi tiang itu dan terus kembali ke petak mula. Anak pegawai yang terakhir kemudian terus berlari dan mendapat tempat pertama, jauh meninggalkan peserta yang lain kerana permainan kotor mereka. Hadiahnya ialah hamper makanan yang tinggi seperti yang kita biasa lihat.

Saya melihat dengan penuh hikmah. Kemudian, saya bertanya kepada isteri saya, "Awak tengok tak peristiwa tadi?". Isteri saya kembali bertanya, "Kenapa?".

Saya kemudiannya menyambung, "nanti kita sudah ada anak sendiri, janganlah kita ajar anak menipu semata-mata untuk menang. Biarlah kita kalah dengan cara bermaruah, daripada kita menang dengan tiada maruah. Apalah sangat harga hamper itu jika dibandingkan dengan harga maruah yang telah kita gadai."

Saya sedar ini hanyalah sukaneka yang diadakan untuk bersuka-suka. Mungkin peristiwa itu tidak memberi kesan kepada keluarga yang lain, tetapi bagi saya pegawai itu sebenarnya telah memberikan isyarat yang jelas kepada anak-anaknya, bahawa kita mesti berbuat apa sahaja semata-mata untuk menang termasuklah dengan cara yang paling tidak bermaruah sekali pun. Saya berdoa agar saya dan isteri tidak menjadi ibubapa seperti pegawai itu.

Saya rasa ibubapa yang seperti inilah yang melahirkan ahli-ahli politik yang merampas kerajaan negeri Perak dengan cara tidak sah menurut perlembagaan itu, atau yang menggunakan undi pos untuk menang padahal rakyat sudah menolak mereka.

21 October 2009

Cerita pengajaran untuk kanak-kanak

Saya teringat satu cerita kanak-kanak yang pernah saya baca dahulu. Secara ringkas ceritanya begini :-

Selepas Amin bermain bola sepak, dia keletihan lalu duduk di bawah sepohon pokok langsat. Di bawah pokok langsat itu terdapat pokok tembikai yang sedang menjalar dan buahnya juga sudah masak ranum. Amin terfikirkan sesuatu,

"Mengapakah pokok tembikai ini cuma menjalar, sedangkan buahnya sangat besar. Sedangkan pokok langsat ini tinggi dan tampan, sedangkan buahnya cuma kecil-kecil sahaja. Sepatutnya pokok langsat ini berbuah besar supaya sama dengan ketinggian pokok itu, dan buah tembikai pula kecil supaya sama dengan pokoknya yang menjalar".

Tiba-tiba, sebiji buah langsat gugur dan mengenai kepala Amin. Dia menjerit kesakitan.

"Oh, inilah kebijaksanaan Allah. Jika pokok langsat itu berbuah besar, tentu buahnya jatuh dan mengenai aku, mesti aku mati". Amin pun kemudian pulang dan memuji Allah dengan kebijaksanaan Dia mencipta sesuatu.


Cerita pengajaran ini mengajar kanak-kanak supaya bersyukur dan mengakui kebijaksanaan Allah menciptakan dunia ini. Lucunya, adakah penulis ini pernah terfikir tentang sepohon pokok yang bernama durian? Setelah saya terfikirkan perkara ini, cuma ada dua benda yang bermain di fikiran saya iaitu, samada Allah itu tidak bijaksana kerana menciptakan pokok durian yang boleh membawa maut atau samada penulis itu tidak bijaksana kerana menulis tanpa berfikir terlebih dahulu.

Saya cuma ketawa. Saya boleh berfikir. Tapi bagaimana dengan kanak-kanak?

20 October 2009

Maruah wanita pada tualanya...


Saya terbaca tulisan di blog ini. http://saifulislam.com/?p=6868#more-6868 . (Terima kasih kepada laman saifulislam. Izinkan saya untuk menulis alamat laman web anda di sini). Tidak dapat tidak saya sangat-sangat bersetuju dengan beliau.

Apa lagi yang tinggal pada wanita sekarang selepas tuala wanita yang sepatutnya diletakkan dalam kategori "sangat sulit" diwar-warkan di khalayak ramai. Malah menunjuk-nunjukkan pula bentuk tuala wanita yang kononnya sesuai dengan kemaluan mereka. Paling menyakitkan hati ialah seorang artis wanita bertudung yang menjadi model untuk tuala wanita ini. Bertudung, kemudian menjadi model tuala wanita dan menjerit "kami bebas melakukan apa saja". Sangat memualkan!!

Kuasa komersial sekarang mengatasi segala-galanya. Mungkin pemilik syarikat itu orang kafir yang tidak tahu menilai agama dan adat kita. Tetapi, di mana pula maruah orang-orang yang menjadi model dan melakonkannya?

Sekarang, apabila kita menaiki pesawat, marilah kita melihat punggung pramugarinya dan menelanjangkan maruahnya...

19 October 2009

Seseorang yang pernah berpengaruh

Pagi ini ketika meneliti surat-surat yang sampai di atas meja, saya membaca satu surat permohonan tanah oleh bekas wakil rakyat di kawasan utara Perak. Bekas wakil rakyat ini sudah berusia lebih 75 tahun dan mempunyai pingat kebesaran Sultan. Alasannya, selama dia tinggal di kawasan utara itu, tidak ada satu tanah anugerah pun diperolehinya dan dia mendakwa masih tidak mempunyai tanah kediaman sendiri.

Saya cuma ketawa di dalam hati. Dalam fikiran saya, dia yang sudah berusia, yang selalu orang cakap "rumah kata pergi, kubur kata mari" pun masih lagi mahukan tanah. Jika selama ini tiada tanah kediaman sendiri, di mana dia tinggal selama menjadi wakil rakyat dan selepas dia menjadi wakil rakyat?

Sifat tamak manusia ini tiada penghujungnya. Bayangkanlah jika dia memohon tanah, tempoh untuk dia mendapatkannya, tempoh untuk dia membina rumah pula di atas tanah yang diperolehi, adakah pada masa rumahnya siap dia akan berbaring di dalam rumah atau di dalam tanah? Entahlah.

Sejenak : Kotak bual

Selepas beberapa lama saya meneroka internet, saya berjumpa dengan program kotak bual. Oleh kerana saya menyedari pengunjung di laman web saya ini adalah rakan-rakan saya yang telah lama tidak bersua muka, saya berpendapat ada baiknya jika saya meletakkan kotak bual supaya kita dapat sama-sama berbual jika mempunyai kelapangan masa.

Oleh itu, rakan-rakan saya yang dikasihi dijemput untuk menggunakan kotak bual berkenaan, semoga dengan bicara kita yang murni akan sama-sama saling ingat mengingati dan mengembalikan kenangan perbualan kita suatu masa dahulu.

18 October 2009

Cerita seorang pakcik


Saya selalu bertemu pakcik ini. Ketika di Kuala Lumpur, dia akan memberikan syarahan di Masjid Negara selepas solat Jumaat. Di Ipoh, kelibatnya akan kelihatan di Masjid Negeri, juga selepas solat Jumaat. Saya paling ingat syarahannya apabila dia menyalahkan sistem pembelajaran Matematik di sekolah-sekolah sebagai menyusahkan dan rumit, padahal Matematik sebenarnya sangat mudah.

Di dalam sejarah dunia, terdapat bijak-bijak pandai yang tidak diiktiraf semasa hayat mereka, malah ada yang dibunuh kerana memberikan pendapat yang bertentangan dengan idea semasa. Yang paling diingati mungkin Galileo Galilei dan Imam Hanafi. Seorang lagi saya tidak ingat, tetapi pendapatnya tidak dipedulikan kerana dia tidak mempunyai ijazah dari mana-mana universiti. Akhirnya, 100 tahun selepas kematiannya barulah orang lain mula mengiktiraf pandangan tersebut. Pakcik ini mungkin tidak sampai dibunuh oleh pemerintah kerana pendapat berbeza yang dikemukakannya, tetapi saya sangat khuatir jika pakcik ini sememangnya seorang yang sangat bijak.

Jika dia benar-benar bijak, rugilah jika saya tidak mengambil apa-apa ilmu daripadanya. Memerhatikan dari jauh, saya memang berminat untuk berguru dengannya. Malah, saya ingin membeli buku yang dijual oleh beliau yang berharga RM5.00. Tetapi kerana sifat ego dan malu, sehingga sekarang saya masih tidak membeli buku tersebut. Saya yakin orang lain juga sama seperti saya kerana menganggap pakcik ini sebagai hiburan, tetapi tidak cuba untuk memanfaatkannya.

Saya merasakan bahawa dia memang seorang yang bijak. Pernah dicatat di dalam akhbar, pakcik ini menghadiri seminar angkasa lepas dan menyarankan supaya sistem pelepasan angkasa dibuat seperti kapal terbang biasa berlepas. Seperti biasa, pendapatnya diketawakan oleh sarjana-sarjana yang lain. Tetapi pada masa sekarang, sistem pelepasan kapal terbang biasalah yang sedang dirintis oleh sarjana angkasa berbanding sistem pelepasan secara roket.

Di dalam masa 2 3 minggu ini, saya sedang berfikir-fikir untuk mendekati pakcik ini. Jika tidak pun, sekurang-kurangnya saya akan berusaha untuk membeli buku yang dibuat oleh beliau. Saya risau jika dia menjadi Galileo Galilei atau Imam Hanafi, tentulah selepas saya mati saya akan diketawakan oleh anak cucu sendiri kerana tidak menimba manfaat dari orang yang bijak.

14 October 2009

Cerita satu permainan


Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada pencipta permainan ini. Entah apalah sihir yang diletakkan di dalam permainan ini sehingga jutaan manusia termasuk saya menjadi terlalu ketagih. Jika dua atau tiga hari saya tidak bermain permainan ini, hati saya tidak tertahan-tahan lagi untuk membuka komputer riba saya.

Sekarang, saya sedang menguruskan pasukan Kedah. Setelah bermain secara kumulatifnya berjumlah 138 jam, saya sudah pun memasuki musim 2016-2017 dan nampaknya tiada tanda-tanda saya akan bosan. Dengan kejayaan maya yang saya miliki hasil dari menguruskan pasukan Kedah, saya tidak nampak saya akan berhenti dari bermain dalam masa terdekat.

Ada berbagai-bagai cerita yang lahir dari permainan ini. Kadang-kadang, ia terlalu mempengaruhi kehidupan seharian saya. Di dalam kereta ketika perjalanan pulang dari tempat kerja, saya akan berfikir pemain-pemain mana akan saya beli untuk memantapkan pasukan. Sebelum tidur, saya akan berfikir bagaimana untuk menangani kerenah pemain yang suka merajuk. Ketika tengah mandi, taktik apakah yang digunakan untuk perlawanan seterusnya.

Jika saya menang sesebuah perlawanan, saya akan keluar ke dunia realiti dengan penuh bangga. Tetapi jika saya kalah, akan nampak pula wajah saya yang suram dan memikirkan sesuatu dengan penuh berat sekali. Kadang-kadang isteri saya akan mentertawakan saya jika saya terlalu emosi ketika bermain, ada kalanya sehingga terjatuh dari kerusi, menjerit ketakutan atau bersorak keriangan. Tetapi itulah..... Sudah saya katakan permainan ini sangat berhantu.

Saya percaya bukan saya seorang menjadi gila kerana permainan ini. Jutaan manusia di seluruh dunia mengalami simptom yang sama.

11 October 2009

Minda berubah

Ketika saya dalam senang-senang akhir-akhir ini, saya membuka semula tulisan-tulisan saya di dalam blog ini. Seperti yang saya katakan dahulu, pemikiran manusia akan berubah-ubah mengikut faktor-faktor tertentu seperti emosi, masa dan keadaan. Dengan sebab itulah saya langsung menyedari bahawa banyak tulisan-tulisan saya ini hanya layak dicampakkan ke dalam tong sampah sahaja. Blog saya ini pun seperti caca merba, tidak tahu ke mana arah tuju dan tidak jelas apa yang saya mahu ceritakan kepada diri sendiri. Tetapi saya juga boleh memberi alasan, saya hanya baru 3 bulan menceburkan diri di dalam penulisan maya ini, jadi masih banyak yang saya belum belajar.

Menyedari tentang perkara ini, saya telah mengemaskinikan blog saya. Ada beberapa tulisan yang telah saya buang kerana ia tidak bagus pada pandangan saya. Sebenarnya saya mahu membuang kesemuanya sekali gus, tetapi memandangkan ada beberapa perkara yang ingin saya rujuk di kemudian hari, saya membatalkan hasrat saya.

Oleh itu, di kesempatan ini kepada sesiapa yang membaca dan pernah memberikan maklumbalas kepada blog saya, saya memohon maaf sekiranya pendapat/kritikan anda telah dibuang. Bukanlah hasrat saya untuk mengecilkan pendapat/kritikan anda semua, tetapi ini ialah sebahagian dari penambahbaikan yang berterusan kepada hidup saya. Sayang juga untuk membuang pendapat dan kritikan anda, tetapi ada perkara yang perlu kita korbankan di dalam hidup ini untuk melangkah lebih jauh ke hadapan.

Saya cuba berjanji kepada diri sendiri untuk tidak lagi membuang perkara-perkara yang bernilai di dalam hidup saya. Tetapi, entahlah. Kadang-kadang keputusan yang kita lakukan dianggap tepat pada masa ia dilakukan walaupun kemudiannya kita akan menyesal kerana bertindak sedemikian.

02 October 2009

Selamat datang anak-anak yang comel

Saya sudah lama mahu menulis tentang perkara ini sebagai tanda persahabatan saya yang erat dengan rakan-rakan saya. Namun disebabkan kekangan waktu dan idea, hal ini terpaksa dilambat-lambatkan juga. Masih belum terlewat rasanya untuk saya mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan baik saya yang telah memperoleh cahaya mata.

Anak-anak, rupanya saya sudah tua. Dengan kelahiran anda semua, saya akur bahawa saya sudah menjadi generasi orang dewasa. Mungkin sedikit masa sahaja lagi, saya akan sudah beranjak tua, sedangkan anda semua akan menjadi pemuda-pemuda yang perkasa dan terbilang. Saya mengucapkan tahniah di atas kelahiran anda berdua. Bapa-bapa anda sangat saya kenali ketika mereka muda. Merekalah rakan ketika saya susah dan juga senang. Selamat datang dan selamat menyertai dunia yang penuh pancaroba ini.

Muhammad Hakieem Hibatullah bin Mohd Haieery


Saya masih teringat akan gurauan mesra kami ketika kami sama-sama masih bujang. Kami berjanji untuk menjodohkan anda semua sesama anak-anak kami, supaya ikatan persahabatan ini semakin padu dan kukuh. Namun begitu, segalanya tampak suram apabila anda berdua ditakdirkan Allah sebagai lelaki, malah anak saya sendiri juga sudah dijadualkan seorang lelaki. Nampaknya, terpaksalah kami mencari cahayamata perempuan dari sumber yang lain.

Ahmad Afiq Sufyan bin Mohd Fairuz

Sekarang, mungkin kami sedang menunggu cahayamata Insan Biasa dan berharap supaya dia dikurniakan anak perempuan. Manalah tahu jika benar ketentuan Ilahi, ada di antara kami boleh berbisan. Kepada Seorang Bukan Sasterawan dan Yang Indah, saya menyeru supaya cepat-cepatlah menyertai kami. Kami sangat berbesar hati dan menunggu dengan penuh keterujaan. Tidak sabar rasanya untuk merantau ke Terengganu dan Kedah.

Selamat datang anak-anak. Kepada rakan-rakan saya, zaman kita nampak sudah berakhir. Berilah laluan kepada wira-wira baru ini. Hargailah mereka dengan kasih sayang yang berpada-pada, supaya tidak nanti menjadi "ibu-ibu melahirkan tuan-tuan".

28 September 2009

Laisa al-fata man yaquulu kaana abi

Syair Arab di atas bermakna, "tidak dikatakan seseorang itu sebagai pemuda apabila dia menunjukkan kemewahan dan pangkatnya dan berkata, ini ialah hasil turun temurun dari nenek moyangku." Syair itu ada sambungannya yang bermaksud, "adalah dikatakan pemuda apabila seseorang menunjukkan kemewahan dan pangkatnya dan berkata, ini ialah kemegahan yang aku perolehi dari usaha sendiri."

Hari ini sudah banyak orang yang tidak sedar diri ingin dibelai oleh orang lain hanya semata-mata dia anak orang berada dan berpangkat besar. Ayah mereka selalunya bergelar Datuk atau apa-apa sahaja gelaran kebesaran dunia. Mereka ini pula selalunya dari jenis kupu-kupu malam (tidak kira lelaki atau perempuan) yang suka berlibur di kelab-kelab eksklusif. Kelab-kelab ini tidak mampu dimasuki oleh golongan haprak-haprak. Cuma anak orang kaya sahaja. Dan selalunya pula, mereka dikenali sebagai golongan yang minat pada kereta mewah, bercuti di luar negeri dan berpakaian mahal. Saya harus akui mereka ini tahapnya lebih berprestij dari golongan murahan mat rempit.

Namun begitu, apa yang melucukan ialah mereka hanya mengusung kereta atau tinggal di rumah kepunyaan bapa-bapa mereka sahaja. Jika ditanya pada golongan ini akan berapa banyak harta yang dikumpul menggunakan titik peluh sendiri atau mendapat kerja tanpa menggunakan kabel bapa mereka, hanya segelintir kecil sahaja. Yang lain secara tidak bermaruahnya menggunakan jerih perih bapa mereka untuk menikmati kemewahan dunia.

Suatu hari seorang kakitangan saya masuk ke bilik dan berkata, "Encik, anak Tan Sri ********* mahu berjumpa encik pasal tanah." Saya katakan kembali pada dia, "peduli apa saya dengan anak dia. Saya banyak kerja." Dan anak Tan Sri ********** itu pulang tanpa dapat berjumpa dengan saya.

Saya puas. Saya harus ingatkan pada anak Tan Sri itu, siapa pun bapanya, dia harus mengikut prosedur dalam urusan kerajaan. Bukannya datang berjumpa saya dan berkata, saya mahu itu dan ini. Bolehkan anda tolong buatkan untuk saya? Jika dia datang dan berkata seperti itu kepada saya, saya akan jawab pergi mampus! Jika pun orang lain tidak setegas saya dalam soal ini, sekurang-kurangnya saya sudah memberi khidmat tanpa memilih bulu di dalam urusan kerja saya. Saya puas. Saya telah menyumbang sesuatu kepada makcik-makcik atau pakcik-pakcik di pedalaman yang bukan anak mana-mana Datuk. Makcik-makcik dan pakcik-pakcik itu lebih layak dibantu dari anak Tan Sri ini.

Wahai anak-anak Datuk, Tan Sri atau apa lagi yang saya tak tahu, kalau anda mahu menjadi penyanyi, kalau anda mahu berkahwin dengan artis, kalau anda mahu beribu tirikan artis terkenal, kalau anda mahu tunggang terbalik minum air kencing syaitan di kelab-kelab malam, kalau anda mahu menjadi pelumba kereta, kalau anda mahu menjadi ahli perniagaan yang menggunakan kabel ayah tersayang atau kalau anda mahu mengikut jejak langkah ayah tercinta untuk menjadi ahli politik, pergilah. Saya peduli apa. Tapi tolong jangan ganggu kerja saya. Saya mahu menjaga kepentingan 27 juta penduduk Malaysia. Saya langsung tidak kisah anda anak Datuk mana. Saya peduli apa.

11 September 2009

Tiba-tiba saya menjadi kaya!


Selepas menunaikan solat Jumaat, saya menuju ke sebuah bank yang selama ini setia menjadi penyedia wang gaji saya setiap bulan. Oleh kerana saya telah berniat untuk berbuka puasa di sebuah tempat eksklusif bersama isteri, saya bercadang untuk mengeluarkan sejumlah wang.

Tiba-tiba, saya terkejut kerana melihat wang yang masih banyak di dalam akaun bank. Bagi saya yang bergaji kecil, jumlah wang sebanyak beberapa ribu ringgit itu memang nampak terlalu banyak. Setelah terkasima beberapa ketika, barulah saya menyedari bahawa wang itu sebenarnya ialah tuntutan perpindahan saya dari tempat kerja lama ke tempat baru.

Alhamdulillah, saya agak mewah dengan wang akhir-akhir ini. Saya mendapat 2 kali gaji dalam tempoh 2 minggu kerana pembayaran awal dari majikan, wang sewa rumah, tuntutan perjalanan ke mesyuarat dan sekarang tuntutan perpindahan pula. Jumlah keseluruhannya bolehlah juga dapat membayar ansuran kereta Toyota Vios yang pernah saya idamkan. Lalu saya terfikir bagaimana untuk menguruskan rezeki terpijak ini. Saya sedar, jika saya biarkan wang ini di dalam akaun gaji, jumlah beribu-ribu ringgit ini akan menjadi berpuluh-puluh sahaja dalam tempoh beberapa waktu. Ditambah lagi dengan perayaan yang semakin hampir, segala yang pada mulanya di dalam kategori tidak perlu tiba-tiba pula akan menjadi "sangat terdesak untuk dibeli."

Saya tidak berniat untuk membangga diri tentang wang ini. Apalah sangat wang yang saya ada jika dibandingkan dengan kekayaan Yang Maha Esa, malah untuk dibandingkan dengan rakan-rakan pun saya tidak layak. Cuma sebagai rujukan saya pada masa hadapan, saya cuma boleh katakan, "begitulah manusia". Apabila diuji oleh Allah dengan kesenangan yang sementara, kita langsung terlupa dengan kesengsaraan yang pernah kita hadapi. Bukan sekali dua saya terpaksa mengikat perut kerana kesempitan wang, atau sakit kepala memikirkan di mana mahu mengorek wang tol dan minyak kereta, dan pada masa itulah berbagai janji manis dan azam dibuat supaya berjimat apabila mempunyai wang lebihan. Namun, bilamana Allah benar-benar memberi kita wang lebihan, janji manis dan azam itu nanti cuma akan menjadi ingatan yang semakin dilupakan.

Saya percaya bukan saya seorang yang menghadapi masalah ini. Jika tidak, mana mungkin ada orang yang masih berhutang walhal pendapatannya sudah banyak. Justru, marilah sama-sama kita meneliti ke manakah wang kita pergi selama ini. Bukanlah kita mahu menjadi kedekut, tetapi lebih kepada berhati-hati. Jangan pula nanti selepas bertahun-tahun menghambakan diri kepada majikan, kita gagal pula untuk menunjukkan hasil ketekunan bekerja kita itu. Jika itu yang terjadi, sia-sialah jerih perih kita yang pada mulanya berazam untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Berhati-hatilah dengan perbelanjaan seharian. Seperti kata pemilik gedung WalMart yang juga orang kedua terkaya di dunia (saya terlupa namanya), kebocoran yang kecil juga boleh menenggelamkan sebuah kapal yang besar.