Showing posts with label peribadi. Show all posts
Showing posts with label peribadi. Show all posts

22 March 2011

Jalanraya kita


Saya tidak tahu samada saya suka memandu atau tidak. Namun begitu, saya pernah terfikirkan alangkah seronoknya jika saya dapat memandu merentasi seluruh dunia dengan kereta idaman, tentu sahaja ia adalah pengalaman yang menyeronokkan. Saya pernah berazam jika saya sudah terlalu kaya dan tidak perlu pergi bekerja lagi, antara salah satu aktiviti yang akan saya lakukan ialah memandu ke seluruh pelusuk negara dengan kereta idaman yang saya bayangkan sebagai Toyota Alphard, Nissan Murano atau Mitsubishi Airtrek. Saya akan berhenti di mana-mana sahaja yang disukai, meneroka hutan-hutan belantara, menziarahi tempat-tempat bersejarah atau makam-makam lama, mandi manda di air terjun yang cantik dan tidur di mana-mana hotel atau rumah tumpangan. Mungkin di dalam bayangan pemikiran saya yang dangkal ini, aktiviti sebegitu akan mencipta keseronokan yang tiada tandingnya.

Itu ialah cerita beberapa tahun dahulu. Sekarang pun, impian idaman saya itu sukar untuk dipadamkan dari khayalan yang mengasyikkan. Tetapi berpegang kepada realiti, nampaknya saya harus lebih realistik dengan corak kehidupan dan jalanraya Malaysia yang bahaya ini. Mungkin impian itu dipadamkan, atau juga suatu mekanisma baru perlu dirombak bagi memenuhinya.

Menyorot kepada situasi jalanraya Malaysia, semuanya lebih tertumpu kepada unsur-unsur yang tidak menggembirakan. Setiap hari, kematian dan kemalangan sentiasa sahaja berlaku bagaikan jalanraya itu adalah sebuah medan peperangan yang besar. Kita sudah tidak lagi terkejut dengan berita-berita yang menyayat hati, malah menganggapnya normal seperti rakyat Iraq mendengar berita pengeboman. Saya percaya setiap rakyat Malaysia pernah kehilangan saudara atau setidak-tidaknya kenalan kerana kemalangan jalanraya. Bagi diri saya, saya masih belum kehilangan saudara-mara terdekat, tetapi kehilangan kenalan sudah terlalu mangli.

Di pantai barat Semenanjung, orang ramai terpaksa mengeluarkan duit yang lebih untuk membayar tol. Segala-galanya menyakitkan hati, tambahan pula jika kita tinggal di Lembah Klang yang mempunyai beratus-ratus pondok tol. Perbelanjaan terpaksa dilebihkan untuk membayar wang kepada si gadis cantik manis, dan kadang-kadang si gadis itu bagai bermasam-masam muka pula jika kita memandu kereta yang kecil. Lumrah manusia zaman sekarang, kereta memang dijadikan status kedudukan sosial seseorang. Tidak dikira lagi dengan harga minyak yang sudah melambung-lambung. Entahlah, kita rakyat biasa bagaikan anjing menyalak bukit. Suara menjadi serak, bukit tidak pula runtuh.

Jalanraya seakan-akan badi kepada rakyat Malaysia. Mungkin Tuhan ingin menunjukkan kepada kita kerana jalanraya inilah sumber penganiayaan yang besar kepada rakyat. Bermula dari isu minyak yang penentuan harganya masih menjadi misteri, harga jualan kereta yang sangat tinggi berbanding harga luar negara kerana cukai (termasuk kereta nasional Proton), penipuan jualan alat-alat ganti yang didakwa tulen, rahsia penetapan kadar tol yang naik beberapa tahun sekali sehingga kepada unsur-unsur rasuah di dalam pembinaan jalan raya yang melibatkan kontrak JKR. Mungkin kezaliman inilah mendorong Allah menguji manusia Malaysia dengan kematian di jalanraya supaya dapat menyedarkan rakyat bahawa sesuatu harus dilakukan.

Nampaknya saya terpaksa mengadakan pilihan lain untuk aktiviti yang akan dilakukan jika saya sudah kaya nanti. Jika ditakdirkan kematian kerana jalanraya, itu ialah ketentuan Allah. Tetapi kita sebagai manusia tentu sahaja mahu mengelakkannya dari terjadi. Insya Allah, saya akan mencari pilihan yang lebih damai dan berfaedah buat mengisi masa senggang ketika kaya, dan tentunya yang paling utama ialah aktiviti itu dapat memberi manfaat kepada orang lain pula.

14 March 2011

Apabila diri diingatkan


Di atas rahmat Allah yang menggunung tingginya kepada saya, sejak beberapa bulan kebelakangan ini Allah sentiasa membantu saya ke arah jalan kebenaran. Saya sudah mula mendekatkan diri kepada Tuhan, menghampirkan diri dengan surau yang jaraknya hanya sepelaung, menghadiri kuliah agama secara konsisten dan menambah-nambah amalan sunat. Bukanlah niat saya untuk menunjuk-nunjuk kebaikan yang telah saya lakukan, tidak. Oh Tuhan, lindungilah aku dari perasaan riak dan takbur. Cumanya saya ingin nyatakan bahawa corak kehidupan saya kebelakangan ini agak berubah sedikit. Saya sangat yakin orang lain, saudara-mara, rakan-rakan handai dan taulan samada yang saya kenali atau tidak mempunyai tingkat iman yang jauh lebih tinggi dari saya.

Saya memperkenalkan peraturan baru di rumah. Sekitar pukul 7 sehingga 8 malam, televisyen tidak boleh dibuka kecuali saluran Astro Oasis sahaja yang menayangkan zikir-zikir pengingat diri. Begitu juga peraturan baru dibuat untuk diri sendiri. Bangun sahaja dari tidur perlu mengucapkan syukur kepada Allah dengan sekurang-kurangnya ucapan terima kasih. Di papan putih rumah saya, saya mengingatkan diri sendiri supaya jangan culas untuk solat tahajud, malah sesekali perlu juga menunaikan solat dhuha. Segala-galanya saya mahu sempurnakan bagi memenuhi hajat untuk menjadikan rumah saya diterangi dengan cahaya dari langit.

Saya mahu menjadi manusia yang bersyukur. Saya mahu mendidik anak dan isteri saya ke arah mencari keredhaan Ilahi kerana tiada apa satu pun yang boleh memberi manfaat kecuali Allah Yang Maha Esa. Saya mahu mengajarkan kepada anak saya, bahawa kita punya seorang kekasih yang kekal abadi yang sentiasa menyayangi kita sebagai umatnya. Saya mahu memberitahu isteri saya bahawa rumahtangga yang dibina atas dasar saling mencintai ini tidak akan aman sekiranya kita jauh dari jalan yang benar. Saya mahu mengkhabarkan kepada ibu saya bahawa anakmu ini sudah kembali ke pangkal jalan, mahu membasahkan lidah dengan zikir dan membersihkan hati dengan iman. Saya mahu memberitahu adik saya, abangmu punya rumahtangga yang sederhana, tetapi dunia kami luas hasil dari didikan iman.

Saya juga mahu lupakan kenangan muda remaja saya yang foya-foya dan lalai. Walaupun tidaklah sehingga saya lupa kepada kewajipan, tetapi saya masih merasakan dunia remaja masih lagi menjadi titik hitam di dalam memperingati Allah. Mujurlah rakan-rakan saya semuanya sudah baik-baik, menjadi Muslim yang lebih beriman dan saling mengingati antara kami.

Tetapi itulah, sejauh mana saya mencari kesempurnaan di dalam kehidupan, terkadang saya terlupa bahawa saya masih lagi jauh dari Allah. Suatu malam selepas keluarga saya pulang dari makan malam di sebuah restoran, saya bersembang-sembang bersama isteri di dalam kereta dengan topiknya berkisarkan kepada kehidupan sehari-harian. Tiba-tiba terpacul dari mulut isteri saya,

"Sejak akhir-akhir ni abah banyak sangat merungut-rungut. Tak baik tau."

Aduh. Tatkala itu saya terasa satu lempangan yang sangat kuat hinggap di pipi saya. Adakah aku begitu? Aku mengajarkan isteriku supaya bersyukur. Aku ingin mendidik anakku supaya menjadi Muslim yang redha dengan qada' dan qadarnya. Aku mendidik hatiku supaya mengucapkan terima kasih setiap kali bangun tidur. Tetapi aku sendiri masih jauh dari jalan yang Allah redhai. Rupa-rupanya aku masih seorang manusia yang hina.

Merungut adalah suatu ungkapan yang tidak menunjukkan erti berterima kasih. Merungut menjadikan manusia pasif dengan ketentuan Allah. Merungut menjadikan seseorang sentiasa mempertikaikan ketentuan Allah. Merungut menunjukkan seseorang itu lemah, baik dari segi akal mahupun jasmaninya. Merungut tidak akan menyelesaikan sebarang masalah. Merungut membuatkan orang lain menjadi benci kepada kita. Merungut adalah suatu yang hina. Hina seperti saya yang suka merungut. Saya berazam mahu menjadi seorang yang lebih baik. Maafkan diriku Tuhan kerana mempertikaikan ketentuan-Mu. Sesungguhnya aku adalah insan yang hina di antara makhluk-makhluk-Mu yang lain.


10 February 2011

Satira, karya yang menenangkan

Sejak akhir-akhir ini saya agak gemar untuk mencuba genre satira di dalam penulisan sendiri. Entah mengapa idea-idea untuk menghasilkan satira ini mencurah-curah pula datang bagai tidak tertahan-tahan sehinggakan kadang kala saya terlupa apakah idea yang pernah datang kerana terlalu banyak.

Sungguh, penulisan ialah cerminan kepada diri sendiri. Maka segala apa yang saya tintakan dari mula blog ini dihasilkan sehinggalah ke saat ini, ia adalah cermin peribadi terbesar kepada saya. Saya mengagak rakan-rakan yang sentiasa melayari blog saya sudah dapat meneka apakah yang ingin saya dapatkan di dalam hidup ini, ke arah manakah condongnya ideologi politik saya dan apakah status kewangan dan sosial saya. Mungkin...

Bagi saya menulis satira adalah suatu yang santai dan menenangkan. Seperti juga Shahnon Ahmad yang selalu menggunakan karyanya untuk melepaskan geram dan marah, kebetulan bagi saya sendiri menulis satira memungkinkan ke arah itu. Ia lebih selamat, tiada ancaman dari mana-mana pihak di negara yang serba serbinya terjajah ini dan mungkin juga menjadi cetusan idea kepada orang lain tentang apa yang ingin saya sampaikan.

Demi rasa marah dan geram saya, saya akan cuba menyampaikan satira-satira terbaik bagi dilampirkan di blog ini pada masa hadapan. Bagi rakan-rakan yang tidak bersetuju kepada karya-karya saya, maafkanlah kerana sesungguhnya saya tidak dapat memuaskan hati semua orang. Saya cuma mahu menyampaikan apa yang dirasakan benar, mudah-mudahan dengan sumbangan saya yang sedikit ini dapat membantu mencorakkan negara kita ke arah yang lebih baik. Insya Allah.


14 December 2010

Cerita tentang tidur

Terima kasih Google


Secara purata, manusia normal akan tidur selama 6 jam sehari yang bersamaan dengan 1/4 dari keseluruhan hari. Jika seseorang itu hidup selama 60 tahun, dia telah mengambil masa selama 15 tahun untuk tidur. Lima belas tahun adalah suatu tempoh yang sangat panjang di dalam kehidupan yang singkat ini. Tetapi sayangnya kebanyakan dari kita termasuk saya hanya menggunakan tempoh itu untuk tidur iaitu salah satu aktiviti yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kehidupan bermasyarakat.

Saya pernah membaca beberapa cerita tentang Tun Dr. Mahathir yang hanya tidur selama 2 jam sahaja setiap hari. Ia mungkin benar dan mungkin juga tidak, tetapi jika ia adalah benar maka saya mengakui memang patutlah dia sentiasa berfikiran jauh dan genius. Mungkin ketika orang lain sedang tidur dan otak mereka tidak berfungsi, otaknya sentiasa bekerja untuk menggilap kepintaran dan berfikir tentang hal-hal keduniaan. Jika ia benar juga, saya tertanya-tanya bagaimana dia kekal segar sedangkan tidur yang cukup adalah salah satu syarat untuk menjadikan kita lebih bertenaga untuk kehidupan esok harinya.

Ketika saya belajar di salah sebuah universiti dahulu, saya biasa untuk tidur lambat setiap malam. Kadangkala saya akan tidur pada pukul 2, 3 malah selalu juga saya hanya terlelap apabila jam sudah menunjukkan pukul 4. Pada masa itu tiada komitmen untuk bangun awal kerana kita boleh memilih untuk menghadiri kelas mengikut waktu kesukaan kita, dan tentunya saya tidak akan sesekali memilih untuk menghadiri kelas pada awal pagi. Pada masa itu tidur lewat adalah sesuatu yang lumrah, malah sehingga kini saya masih terasa betapa bagusnya dapat tidur lewat pada setiap hari.

Pekerjaan saya sekarang telah menjadikan nikmat tidur lewat tidak dapat dikecapi lagi. Selalunya saya akan mula melabuhkan kepala pada pukul 10.30 malam, malah jika saya masih lagi bermain komputer pada pukul 11.00 malam, suatu sesalan yang tidak terhingga akan datang di dalam fikiran saya. Jika terlewat tidur saya akan menghadapi kesukaran untuk bangun pada awal pagi dan menjadikan saya kurang bertenaga untuk bekerja.

Terlalu banyak perkara boleh kita lakukan jika kita tidak tidur. Di saat orang lain diulit mimpi, kita boleh menyudahkan perkara-perkara lain yang lebih penting. Kita boleh mengemas rumah, menonton televisyen, membaca buku, melayari internet malah bersenam. Sekurang-kurangnya apa sahaja perkara yang kita lakukan di malam hari tentulah lebih baik dari tidur sahaja dan memimpikan perkara yang bukan-bukan. Malah lebih manis jika dapat tidur sekejap dan bangun pula untuk menunaikan solat tahajjud. Agaknya dengan berbuat demikian maka sudah lengkaplah putaran kehidupan kita sebagai seorang Muslim.

Alangkah bagusnya jika dapat tidur lewat tetapi kekal bertenaga setiap masa. Dengan sebab itulah sehingga sekarang saya masih lagi mencari petuanya yang mujarab.


11 November 2010

Cerita tentang pusar rambut


Anak tunggal saya mempunyai pusar rambut yang luas di atas kepalanya. Entah dari mana gen itu diambil saya pun tidak tahu kerana saya dan isteri tidak mempunyai pusar rambut yang sebegitu. Setiap kali kami pulang ke kampung atau dilawat oleh orang-orang tua, mereka akan mengatakan kepada saya bahawa anak saya sesuai menjadi penggembala kambing. Tidak kira di dalam nada serius atau bergurau, ramai orang-orang tua baik dari kampung ibu saya yang berketurunan Melayu, kampung ayah saya yang berketurunan Jawa atau kampung isteri saya yang berketurunan Mendailing, semuanya menyatakan perkara yang sama. Ada juga di antara mereka mendakwa pusaran rambut yang luas ini bukan hanya tertumpu kepada gembala kambing sahaja, tetapi anak saya akan berjaya sekiranya terlibat di dalam apa-apa penternakan haiwan seperti ayam, ikan dan sebagainya.

Di sebalik gurauan mereka itu, saya sangat gembira dengan 'petanda' yang terdapat di atas pusar rambut anak saya itu. Sekiranya anak saya langsung tidak berbakat pun di dalam aktiviti penternakan, ia sekurang-kurangnya memujuk hati saya bahawa anak saya akan berminat dengan penternakan haiwan. Saya sudah lama bercita-cita untuk menjadi penggembala lembu atau kambing, tetapi hajat saya itu nampaknya belum lagi dikabulkan akibat kesuntukan masa dan peluang.

Saya berpendapat anak saya dan anak-anak Malaysia yang lain amnya akan berhadapan dengan cabaran yang sangat getir apabila mereka dewasa nanti. Peluang pekerjaan pada masa ini pun sangat tipis dan terpaksa bersaing dengan ramai orang, apatah lagi pada masa hadapan mungkin bekerja makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta akan menjadi lebih mencabar. Selain dari persaingan yang ramai, bekerja makan gaji juga menuntut kepada tekanan yang tinggi dari orang-orang atasan. Dengan sebab itulah saya sedang berusaha untuk mendidik anak saya kepada membuka perniagaan sendiri terutamanya penternakan haiwan kerana ia mendapat sambutan tidak kira masa dan ketika.

Suatu masa nanti, saya sendiri berazam akan membuka perniagaan yang berasaskan haiwan ternakan. Saya sudah lama berazam untuk merealisasikannya, tetapi mungkin Allah masih belum mahu mengkabulkan hasrat saya. Saya sangat berminat dengan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing, malah melihat mereka makan atau buang air pun membuatkan saya teruja dan asyik. Akibat dari minat saya terhadap haiwan-haiwan, saya selalunya akan mengajak isteri saya ke Zoo Taiping sekiranya tiada apa kerja yang mahu dibuat pada hujung minggu.

Kepada anak saya yang dikasihi, mulalah belajar untuk mengenal hidup. Gembalalah kambing dan bukalah perniagaan kerana sesungguhnya junjungan besar kita juga melakukan perkara yang sama suatu ketika dahulu. Mungkin menggembala kambing atau membuka perniagaan kecil-kecilan dianggap suatu pekerjaan yang berkelas lebih rendah, tetapi peduli apa dengan kata-kata orang. Sekurang-kurangnya kambing tidak pernah marah kepada penggembalanya sekiranya kita lambat memberi mereka makan, tetapi orang atasan di pejabat selalu marah-marah kepada orang bawahannya.


26 September 2010

Stress


Sejak akhir-akhir ini saya agak tertekan dengan bebanan kerja di pejabat. Mungkin beberapa faktor membuatkan saya mengalami stress, cumanya saya berharap agar perasaan stress ini tidak berpanjangan untuk tempoh yang lama. Saya pernah menghadiri satu program bersama-sama dengan pesakit klinik psikiatri dan hasil dari program itu saya dapat membuat kesimpulan, iaitu semua orang di dalam dunia ini mempunyai kecenderungan untuk menjadi gila. Saya berharap supaya saya tidak sampai ke tahap sebegitu.

Ini bukanlah kali pertama saya menghadapi tekanan sebegini di dalam hidup. Walaupun begitu, saya gagal untuk mengimbau kembali apakah yang telah saya lakukan untuk menghadapi stress pada masa yang lalu. Hasilnya kosong. Yang saya ingat, masalah yang menyebabkan saya stress itu berlalu begitu sahaja dan saya tidak stress lagi selepas itu.

Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada orang lain. Bagi saya, ketika di dalam senggang masa stress ini saya mengimpikan supaya diberikan sayap untuk terbang jauh bagi melupakan masalah yang saya hadapi. Saya terbayangkan untuk duduk bersendirian di atas gunung yang tinggi, berada berseorangan di sebuah pulau atau diberi kuasa untuk membunuh orang yang menyebabkan masalah stress saya. Melihat wajah anak saya yang tenang ketika tidur dan mengganggu saya ketika saya membuat kerja membuatkan saya terfikir betapa bertuahnya menjadi kanak-kanak.

Hakikatnya, melarikan diri jauh-jauh ke tempat yang lain tidak akan menyelesaikan masalah. Masalah bukanlah wujud untuk kita lari daripadanya, tetapi untuk kita berfikir bagaimana mengatasinya. Sekiranya kita sentiasa lari dari masalah, kita akan menjadi orang yang tidak dipercayai seterusnya tidak akan mematangkan kita di dalam apa jua urusan.

Kepada Allah saya bermohon supaya diberikan kekuatan untuk menempuh hidup yang penuh ranjau ini. Demi Allah yang saya menjadi hamba-Nya, demi ibu, isteri, anak dan sanak saudara saya yang sebilang waktu menyayangi saya, saya akan berazam untuk menjadi lelaki yang lebih kuat. Terima kasih Allah kerana memberikan perasaan stress ini, kerana dengan perasaan ini akan membuatkan saya menjadi insan yang lebih baik.

30 August 2010

Semuanya kerana gigi


Saya rasa saya akan mengingati tarikh 29 Ogos 2010 / 19 Ramadhan 1431 dengan tempoh yang lama gara-gara sebatang gigi yang berlubang. Setelah tidak dapat menahan sakit lagi walaupun berbagai cara telah dilakukan, saya mengambil keputusan untuk mencabutnya walaupun menyedari risiko terbatalnya puasa sangat tinggi. Saya bertanya-tanyakan juga kepada ibu saya apakah mencabut gigi boleh membatalkan puasa, dan dijawabnya puasa akan terbatal sekiranya mengeluarkan darah dengan sengaja. Memang jelas puasa saya akan terbatal kerana mencabut gigi geraham boleh mengakibatkan darah tidak berhenti untuk tempoh beberapa jam.

Pedih juga apabila mengenangkan rekod baik puasa saya akhirnya terpaksa dicemari dengan sengaja. Setelah berpuasa penuh selama 19 tahun Hijrah yang bersamaan dengan 18 tahun Masihi, (mula berpuasa penuh mulai Darjah 4) akhirnya kejayaan peribadi saya yang biasa-biasa pada pandangan orang itu terpaksa ditamatkan juga. Terkilan, sedih dan rasa ketinggalan.

Saya akhirnya sempat membayangkan perasaan rakan-rakan wanita yang tidak boleh berpuasa. Sekiranya saya cukup terkilan hanya kerana terpaksa ponteng satu hari, apatah lagi mereka yang akan berasa sungguh sedih kerana tidak dapat berpuasa berhari-hari. Di dalam kesempatan itu saya mengucapkan syukur pula kerana dilahirkan sebagai seorang lelaki.

Semuanya kerana gigi geraham bongsu saya yang berlubang. Selepas dicabut, saya dibenarkan membawa pulang gigi tersebut untuk disimpan atau ditanam. Apakala saya melihatnya, patutlah sakit saya tidak tertahan lagi selama beberapa hari yang lalu. Selepas Ramadhan ini saya mempunyai agenda penting untuk menebus puasa, sesuatu yang sangat janggal bagi kehidupan seorang lelaki Muslim seperti saya.

03 February 2010

Berbudi pada tanah

Di halaman rumah ibu saya ada banyak pokok-pokok yang ditanam. Ada pokok-pokok bunga yang biasa dijumpai dan ada juga yang dikutip entah dari mana, ada pokok-pokok ulam, pokok buah-buahan dan juga sayur-sayuran. Sewaktu saya kecil dahulu, saya selalu dipaksa untuk menyiram pokok-pokok itu pada petang hari. Ibu saya sangat cerewet dengan pokok-pokoknya, sehinggakan jika ada ranting yang patah kerana kenakalan saya, haruslah saya dileteri sehabis-habisnya. Saya sentiasa terfikir apalah guna ditanam pokok yang entah apa-apa itu terutamanya sayur-sayuran. Ibu saya bukanlah terlalu miskin sehingga tidak mampu membeli sayur-sayuran di pasar.

Sekarang saya sudah dewasa dan berkeluarga. Justru, saya memilih untuk menyewa sebuah rumah taman lot tepi, supaya ada sedikit tanah untuk menghabiskan senggang masa dengan berfaedah. Dan saya mula berjinak-jinak untuk menanam pokok-pokok sayur hanya kerana bencikan lalang yang selalu berdiri megah.

Hasilnya sangat menakjubkan. Rupa-rupanya bercucuk tanam merupakan terapi yang berkesan kepada diri sendiri. Saya sangat teruja untuk menanam pokok sebanyak mana yang saya mampu. Melihat ia membesar, menyiram dan membuang rumput-rumput mencambahkan kepuasan yang tidak terhingga. Saya sekarang mempunyai minat yang baru iaitu bercucuk tanam. Setiap petang apabila pulang dari kerja, saya tidak akan masuk ke dalam rumah kecuali setelah puas menjengok tanaman saya. Bersembang dengan mereka, mengajak mereka membesar, melihat benih yang ditanam bertunas merupakan kepuasan yang tidak terhingga. Sekarang tanaman saya belum berbuah, dan saya tidak sabar untuk menunggu hasilnya.

Benarlah kata orang tua, berbudi pada tanah kita akan dapat hasilnya. Jika tanaman itu tidak berbuah sekalipun, ia mengisi masa saya dengan begitu berfaedah sekali. Sekarang saya sudah tahu mengapa ibu saya sangat minat bercucuk tanam, kerana saya sendiri sudah mula mengetahui faedahnya.

11 September 2009

Tiba-tiba saya menjadi kaya!


Selepas menunaikan solat Jumaat, saya menuju ke sebuah bank yang selama ini setia menjadi penyedia wang gaji saya setiap bulan. Oleh kerana saya telah berniat untuk berbuka puasa di sebuah tempat eksklusif bersama isteri, saya bercadang untuk mengeluarkan sejumlah wang.

Tiba-tiba, saya terkejut kerana melihat wang yang masih banyak di dalam akaun bank. Bagi saya yang bergaji kecil, jumlah wang sebanyak beberapa ribu ringgit itu memang nampak terlalu banyak. Setelah terkasima beberapa ketika, barulah saya menyedari bahawa wang itu sebenarnya ialah tuntutan perpindahan saya dari tempat kerja lama ke tempat baru.

Alhamdulillah, saya agak mewah dengan wang akhir-akhir ini. Saya mendapat 2 kali gaji dalam tempoh 2 minggu kerana pembayaran awal dari majikan, wang sewa rumah, tuntutan perjalanan ke mesyuarat dan sekarang tuntutan perpindahan pula. Jumlah keseluruhannya bolehlah juga dapat membayar ansuran kereta Toyota Vios yang pernah saya idamkan. Lalu saya terfikir bagaimana untuk menguruskan rezeki terpijak ini. Saya sedar, jika saya biarkan wang ini di dalam akaun gaji, jumlah beribu-ribu ringgit ini akan menjadi berpuluh-puluh sahaja dalam tempoh beberapa waktu. Ditambah lagi dengan perayaan yang semakin hampir, segala yang pada mulanya di dalam kategori tidak perlu tiba-tiba pula akan menjadi "sangat terdesak untuk dibeli."

Saya tidak berniat untuk membangga diri tentang wang ini. Apalah sangat wang yang saya ada jika dibandingkan dengan kekayaan Yang Maha Esa, malah untuk dibandingkan dengan rakan-rakan pun saya tidak layak. Cuma sebagai rujukan saya pada masa hadapan, saya cuma boleh katakan, "begitulah manusia". Apabila diuji oleh Allah dengan kesenangan yang sementara, kita langsung terlupa dengan kesengsaraan yang pernah kita hadapi. Bukan sekali dua saya terpaksa mengikat perut kerana kesempitan wang, atau sakit kepala memikirkan di mana mahu mengorek wang tol dan minyak kereta, dan pada masa itulah berbagai janji manis dan azam dibuat supaya berjimat apabila mempunyai wang lebihan. Namun, bilamana Allah benar-benar memberi kita wang lebihan, janji manis dan azam itu nanti cuma akan menjadi ingatan yang semakin dilupakan.

Saya percaya bukan saya seorang yang menghadapi masalah ini. Jika tidak, mana mungkin ada orang yang masih berhutang walhal pendapatannya sudah banyak. Justru, marilah sama-sama kita meneliti ke manakah wang kita pergi selama ini. Bukanlah kita mahu menjadi kedekut, tetapi lebih kepada berhati-hati. Jangan pula nanti selepas bertahun-tahun menghambakan diri kepada majikan, kita gagal pula untuk menunjukkan hasil ketekunan bekerja kita itu. Jika itu yang terjadi, sia-sialah jerih perih kita yang pada mulanya berazam untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Berhati-hatilah dengan perbelanjaan seharian. Seperti kata pemilik gedung WalMart yang juga orang kedua terkaya di dunia (saya terlupa namanya), kebocoran yang kecil juga boleh menenggelamkan sebuah kapal yang besar.