27 October 2012

Kuala Kangsar yang dirindui

Jika dikira peratus hayat yang saya telah lalui di muka bumi ini dengan tempoh saya diam di Kuala Kangsar selama 2 tahun, ia hanya mengambil masa lebih 7% sahaja. Tidak begitu banyak. Malah tidak sampai 10% pun dari keseluruhannya. Tetapi kenangan, impian dan perjalanannya di pekan yang sunyi itu sentiasa menggugah akal fikiran saya terutamanya apabila kesunyian dan kesedihan melanda fikiran. Hidup saya di Parit Buntar ini baik-baik sahaja, kerja yang baik, ketua jabatan yang baik, rakan-rakan sekerja yang mesra dan hidup yang berkualiti. Pada waktu petang saya punya agenda yang tetap, bermain badminton atau berkebun. Pada waktu malam saya menonton televisyen bersama-sama anak dan isteri, dan pada hujung minggu saya menghadiri kelas melanjutkan pelajaran di Ipoh. Ya, saya sibuk. Tiada masa untuk berfikir mengenai kenangan yang lalu atau mengimbau kesedihan yang pernah datang. Namun, acapkali juga Kuala Kangsar sentiasa membuatkan saya terharu. 

Segala-galanya tentang Kuala Kangsar membangkitkan kenangan yang indah. Mungkin disitu tempat anak pertama lahir dengan susah payah, mungkin di situ juga tempat pertama saya membina kehidupan berkeluarga atau disitu saya punya jiran-jiran yang baik. Pada hujung minggu yang tenang, saya membawa anak dan isteri ke pekan sehari di Pekan Lama Kuala Kangsar, membeli barang-barang keperluan harian termasuklah juga telur ikan yang dijual di pasar. Kemudian membeli sedikit nasi lemak atau kentang goreng dan kami sekeluarga duduk bersarapan di taman permainan yang terletak berhadapan dengan Sungai Perak sambil memerhatikan anak saya bermain keseorangan. Atau jika isteri saya punya kerja yang tidak dibereskan di pejabatnya, kami bersama-sama bersarapan di pejabatnya di Pejabat Tanah Kuala Kangsar. Dan seperti biasa usai sarapan saya akan tidur di sofa pejabatnya yang sejuk dengan penghawa dingin sementara dia menghabisi kerjanya yang belum usai. 

Setiap malam juga adalah kenangan. Baik ketika saya membawa anak dan isteri menikmati makan malam di restoran atau makan di rumah. Setiap hari adalah kenangan, setiap detik juga adalah berharga. Adakalanya saya menikmati kesukaran dan kesedihan. Dimarah oleh ketua jabatan, detik sukar mendapatkan anak pertama, kekurangan belanja atau kerugian di dalam perniagaan. 

Kehidupan begini tidak dapat saya terjemahkan apabila saya berpindah ke pekan baru ini. Sudah setahun saya diam di sini, namun suasananya agak janggal sekali. Mungkin di sini saya sibuk dengan agenda harian yang menyeronokkan, atau mungkin juga saya gagal membawa semangat Kuala Kangsar ke sini. Dan apabila saya perhatikan kembali blog bertuah ini, ia ada perkaitan yang jitu. Tulisan-tulisan saya yang bersemangat lahir di dalam kepayahan hidup di Kuala Kangsar, atau juga kenangan yang banyak di situ. 

Di sini, saya sentiasa gembira. Mungkin kegembiraan itulah menjadi hempedu paling pahit yang membuatkan saya sukar mengulangi 'tulisan agung' di blog ini.


26 September 2012

Cerita P Ramlee

Saya suka sekali menonton cerita P Ramlee di kaca televisyen. Berapa banyak kali saya tonton sesebuah cerita tidaklah saya cuba untuk mengingatnya, tetapi saya menyedarinya apabila isteri saya menegur tentang tabiat saya yang suka menontonnya berulang-ulang kali. Malah setiap kali saya tonton boleh pula mengundang ketawa padahal ia adalah cerita yang sama. Seperti babak P Ramlee menikmati hidangan malam pertama di dalam cerita Tiga Abdul, saya sudah boleh menghafal dialognya tetapi saya masih ketawa. Ketika saya kecil-kecil dahulu, cerita ini sukar juga untuk ditayang di televisyen dan saya masih ingat ia ditayang pada hari Khamis pukul 10.00 malam, usai sahaja Forum Perdana Ehwal Islam yang popular itu. Ya, suatu ketika dahulu rancangan forum perdana itu sangat popular sehingga ia dapat menandingi jumlah penonton filem P Ramlee. 

Sekarang, ceritanya ditayang setiap hari Isnin, juga bermula pukul 10.00 malam. Dengan kemunculan Astro juga, mereka begitu aktif menayangkannya sehingga pada suatu ketika setiap hari ada sahaja cerita-cerita P Ramlee yang ditayangkan di Astro. Walaupun begitu, ianya hanya berkisar kepada filem-filemnya yang popular seperti siri Bujang Lapuk, siri Do Re Mi dan beberapa lagi. Sebenarnya banyak juga filem P Ramlee yang telah diterbitkan tetapi tidak pula ditayangkan mungkin di atas sebab-sebab tertentu. Saya difahamkan pertikaian mengenai royalti filem-filem beliau masih belum dapat diputuskan, malah hakmilik filem ini juga masih belum dimuktamadkan. Ia memungkinkan bahawa stesen-stesen televisyen ini sebenarnya menayangkan filem P Ramlee dengan percuma tanpa perlu membayar royalti kepada mana-mana pihak.

Saya mungkin suka melihat suasana pada zaman dahulu. Tentang cara hidup masyarakat yang seperti tidak terkejar-kejar, suasana di dalam istana yang cuba dibayangkan oleh P Ramlee dan juga bentuk muka bumi yang penuh harmoni. Pelakon-pelakonnya yang semestinya membawakan watak mengikut kehidupan realiti sangat tenang, diiring pula dengan keadaan persekitaran yang sangat sepi dan sayu tanpa hiruk pikuk atau sikap berlumba-lumba. Sungguh, ia sangat menenangkan perasaan. 

Lihat sahaja filem Do Re Mi di mana P Ramlee menyanyikan lagu pada awal-awal filem, entah, perasannya sukar digambarkan. Begitu juga persekitaran Zoo Negara, Setapak dan Kuala Lumpur di dalam filem Masam Masam Manis. Tetapi saya percaya di sebalik ketenangan dan keharmonian yang diterjemahkan ke dalam filem, mereka punya masalah yang tersendiri. Mungkin masalah mereka lebih berat dari masalah kita pada zaman ini tetapi pedulikanlah itu semua. Saya hanya mahu menghayati ketenangan yang digambarkan oleh mereka. 

24 September 2012

Mereka yang mulia

Sepanjang Malaysia mencapai kemerdekaan yang usianya sudah mencecah 55 tahun pada tahun 2012, golongan ini hampir tidak boleh disentuh. Tiada siapa yang tahu apa kerja mereka yang sebenarnya, apa yang mereka buat di mahligai yang indah-indah, berapa pendapatan mereka sepanjang bulan malah bagaimana mereka menghabiskan masa yang terluang setiap hari. Semuanya ibarat rahsia, selari dengan kehidupan mereka yang eksklusif. 

Rakyat Malaysia juga dimomokkan dengan kekuasaan mereka yang berkurun-kurun lamanya. Tentang tulah yang menyelubungi masyarakat Melayu, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi malah pada suatu ketika dikatakan juga bahawa mereka adalah wakil Tuhan di muka bumi ini. Tetapi hairan juga, mengapa mereka hanya mewakili Tuhan di muka bumi nusantara Melayu, padahal di seluruh dunia tiada pula wakil-wakil Tuhan yang menjaga mereka. Mungkin nusantara ini diberkati Allah agaknya. 

Hari ini keadaan sudah berubah sedikit demi sedikit. Sudah semakin ramai yang berani mempertikaikan golongan ini secara terang-terangan, malah sehingga menyingkap perbuatan khurafat yang didakwa dilakukan oleh mereka. Entahlah, saya kurang pasti. Adakah mereka benar-benar melakukannya atau tidak itu tidak juga persoalan yang penting. 

Pada masa hadapan kita sendiri pun tidak pasti takdir mereka. Adakah mereka kekal sebagai pentadbir agama di sini, atau mereka hanya tinggal kenangan. Sejarah dunia telah membuktikan tiada yang mustahil untuk golongan ini disingkirkan. Suatu masa dahulu golongan ini menguasai hampir seluruh dunia dengan kuasa mereka yang tiada taranya. Pada zaman ini, Nepal menjadi negara terakhir menyingkirkan mereka dari sejarah yang gemilang. Tiada yang mustahil, sekiranya mereka gagal membuka hati dan telinga untuk bersama dengan rakyat. 

23 September 2012

Padangnya tidak rata

Ketika saya menulis coretan ini, di kaca televisyen rumah saya Manchester United baru sahaja menewaskan Liverpool dengan jaringan 2-1. Bagi saya sebagai peminat Manchester United, ia adalah antara perlawanan yang agak membosankan. Tentu sahaja saya bergembira dengan kemenangan ini, tetapi mutu permainan yang ditunjukkan tidak memuaskan. Liverpool kehilangan seorang pemain pada separuh masa pertama, menjadikan mereka terpaksa bermain dengan 10 orang untuk menentang gergasi bolasepak Inggeris itu. Dan keputusan itu sudah dijangkakan. 

Ya, mereka bermain di atas padang yang tidak rata. Bermain 10 orang menentang sebuah pasukan yang menduduki tempat kedua pada musim yang lalu, ia agak tidak adil untuk Liverpool. Sungguh, padang mereka berentap rata dan bersih, tetapi ia sebenarnya tidak rata. 

Kebetulan pula ketika saya menulis coretan ini, jaringan internet Celcom yang saya langgani agak perlahan sekali. Beberapa kali ia terputus membuatkan saya berasa seperti hendak marah, tetapi kepada siapa pula yang mahu saya marahkan. Mungkin Ketua Pegawai Eksekutif Celcom juga sudah tidur pada ketika ini, malah menelefon pegawai khidmat pelanggannya juga tidak akan memberikan apa-apa kesan. Jaringan internet Malaysia kekal buruk, malah fakta menunjukkan jaringannya jauh lebih lemah dari sebahagian negara-negara Afrika yang mundur. Semuanya disebabkan sikap beri muka kerajaan kepada Syarikat TM, satu-satunya syarikat telekomunikasi yang dimiliki oleh kerajaan. Dengan adanya syarikat ini, ia dimanjakan dan kelebihan sentiasa diberi kepadanya, sehingga menimbulkan perasaan tidak adil kepada syarikat swasta yang lain seperti Celcom, Maxis dan Digi. Sejajar dengan usaha kerajaan untuk menjadi negara maju menjelang 2020, banyak syarikat telekomunikasi lain mula menyediakan perkhidmatan internet yang pantas seperti Wimax, Unifi dan Yes. Tetapi jaringan komunikasi internet kekal buruk kerana sikap kerajaan yang sentiasa melebih-lebihkan TM di dalam apa sahaja keistimewaan. 

Entah berapa kali pula saya merungut tentang Proton yang sentiasa dimanjakan, walaupun kualiti kereta-kereta keluarannya hampir tidak memuaskan. Rakyat Malaysia dijamu dengan kereta dari kelas rendah, padahal jika diikut kepada kemampuan rakyatnya sendiri, mereka boleh membeli kereta yang jauh lebih berkualiti. Itu pun jika Proton berani bermain di atas padang yang rata. 

Rupa-rupanya padang yang tidak rata berada di mana-mana. Seperti kempen Barisan Nasional setiap kali menjelang pilihanraya. 

19 January 2012

Muhasabah 2011

2011 adalah tahun yang boleh dikatakan baik juga untuk saya. Tiada pencapaian yang membanggakan, tetapi tiada pula kejatuhan yang merugikan. Semuanya biasa-biasa sahaja, tetapi kehidupan lebih tenang berbanding 2010 yang saya anggap sebagai tahun pengajaran yang kejam. Saya berjaya menguruskan kewangan dan keluarga dengan baik serta secara konsisten menghantar belanja untuk ibu di kampung walaupun saya percaya dia tidak memerlukan wang saya.

Bermula Ogos 2010, saya telah mula berpindah ke Parit Buntar dan hidup berseorangan sementara menunggu isteri saya diberikan keizinan untuk ke sini. Alhamdulillah, kehidupan bujang selepas berkahwin banyak memberikan masa untuk saya kembali bermuhasabah diri. Pulang dari kerja, tiada anak yang mengganggu, tiada pula isteri yang menyapa benar-benar memberikan masa yang tidak ternilai kepada diri sendiri. Tetapi masalah lain pula melanda, kerinduan kepada keluarga terutamanya anak yang masih kecil.

Benarlah, sabar adalah ibu kepada segala ubat. Lama-kelamaan isteri saya telah ditukarkan ke sini, lalu keluarga saya kembali bersatu semula. Kenangan-kenangan di Kuala Kangsar masih segar di dalam ingatan dan terlalu berat rasanya untuk meninggalkan pekan itu yang sangat tenang dan harmoni. Jika diizinkan Allah dengan usia yang panjang, saya akan kembali ke Kuala Kangsar menghabiskan masa-masa tua saya, kerana saya telah membeli rumah di sana. Sehingga sekarang pun, saya kerap teringat-ingat pekan itu walaupun kehidupan saya di sini baik-baik sahaja. Mungkin tempoh 2 tahun di sana benar-benar dipergunakan dengan sebaik mungkin menyebabkan saya kerap teringat pekan kecil itu.

Adik tunggal saya telah menamatkan zaman bujangnya penghujung tahun yang lalu. Ketika kami sama-sama mendengar suaminya melafazkan akad nikah, saya melihat titis-titis jernih di mata ibu saya. Mungkin dia sedih kerana mereka tidak pernah berpisah lama, kecuali ketika adik saya bekerja di Sarawak selama beberapa tahun yang lalu. Mungkin juga dia lega kerana telah menghabisi tanggungjawabnya sebagai ibu. Mungkin juga dia terharu kerana berjaya membesarkan anak-anak selama 29 tahun tanpa kehadiran suami di sisi. Kenduri mereka dibuat agak besar bagi orang kampung seperti kami, ditambah pula sokongan keluarga jauh dan dekat yang merelakan diri mereka 'diperhambakan' untuk menjadi tukang masak, tukang cuci, tukang hias dan sebagainya.

Saya juga lega. Mungkin kerana tidak perlu lagi memikirkan tentang adik saya yang seorang itu. Sekarang dia sudah punya suami, tentu sahaja suaminya akan menjaga dia dengan baik seperti kami menjaganya dengan penuh tertib. Kepada mereka saya mengucapkan selamat berbahagia. Tahun-tahun mendatang akan disulami dengan cabaran, kerana kata orang 10 tahun pertama perkahwinan adalah masa yang sangat getir. Sekiranya 10 tahun itu berjaya dilepasi dengan baik, lazimnya perkahwinan akan kekal harmoni sehingga akhir hayat. Lazimnya begitu.

Selain dari itu, saya sangat tenteram. Benarlah, kembali kepada Allah adalah satu-satunya cara untuk manusia kekal tenang. Bagaikan seseorang yang terbiasa diterangi lampu kalimantang di malam hari, matanya akan menjadi silau jika ternampak lampu limpah yang lebih terang. Begitulah tentang iman. Penambahan iman membuatkan manusia kaget seketika sebelum terbiasa. Bukan kerana takut, tetapi lebih kepada gementar dengan pertambahan iman di dalam hati.

Terima kasih semua rakan-rakan blogger yang saya kasihi. Saya mungkin sedikit perasan, tetapi saya menyedari ada beberapa rakan-rakan yang setia menunggu saya mengemaskini blog ini. Saya sangat terharu, bahkan terasa seperti ada ikatan yang menjalinkan kami semua di alam maya ini walaupun dari segi realitinya tidak pernah bersua muka. Insya Allah dengan izin Dia Yang Maha Menentukan, saya akan menulis blog ini tanpa jemu lagi.


18 January 2012

Cerita tentang rumah

Rumah yang kami diami sekarang jauh lebih besar dari rumah yang kami sewa ketika di Kuala Kangsar dahulu. Tambahan pula, inilah pertama kali di dalam hidup saya mendiami rumah 2 tingkat, dan segala-galanya perlu disesuaikan dengan lebih jitu. Jika kita terlupa mengambil barang di tingkat atas, seksanya untuk naik semula memang ada. Terasa seperti lutut ini kebas pada mulanya untuk membiasakan diri, tetapi lama-kelamaan ada baiknya juga kerana saya menjadi seorang yang pengingat.

Rumah ini adalah kuarters kerajaan. Ia bukanlah rumah saya yang sebenarnya. Sebab itu saya tidak malu-malu untuk mengatakan bahawa rumah ini besar kerana saya tidak pernah mempunyai niat untuk membangga diri. Apa gunanya membanggakan sesuatu yang bukan hak kita? Suatu masa nanti jika Allah mentakdirkan rezeki saya di tempat lain pula, maka rumah ini akan ditinggalkan untuk memberi laluan kepada penghuni baru. Istimewanya keluarga saya, kamilah keluarga pertama mendiami rumah ini lantaran ia baru siap dibina pada bulan Oktober yang lalu.

Di sebelah rumah ini ada tanah yang agak selesa juga untuk bercucuk tanam. Ia memang menjadi hobi saya walaupun saya bukanlah orang yang arif tentang hal pertanian. Dibantu pula dengan ibu yang berkongsi minat yang sama, saya tidak ragu-ragu lagi untuk menjadikan kawasan sebelah rumah ini sebagai kawasan untuk bercucuk tanam. Dimulakan dengan tanaman serai sebanyak 11 pokok, baru-baru ini saya membeli pokok limau dan kedondong untuk ditanam. Tidak sabar rasanya untuk menikmati hasil, bukan untuk dibuat makan sahaja tetapi lebih kepada kepuasan yang tidak terhingga.

Betul-betul di hadapan rumah saya ada sebuah taman permainan asas untuk kanak-kanak. Ia mempunyai buaian, gelongsor dan jongkat jongket. Setiap petang ada kurang lebih 10 orang kanak-kanak akan bermain di sini, dan pemandangannya sangat mendamaikan. Memang, kanak-kanak boleh membikin hati yang gundah menjadi tenang. Sengaja saya pilih rumah berhadapan dengan taman permainan untuk kemudahan anak saya pada mulanya, jadi sebagai bonus saya menikmati suara-suara riang kanak-kanak yang lain.

Sekali imbas, rumah ini nampak sempurna. Ia terletak berdekatan pejabat, berdekatan pula dengan kemudahan-kemudahan awam yang lain. Penghuni-penghuni sekelilingnya ialah rakan-rakan sepejabat, maka perhubungan kami menjadi lebih erat. Lebih-lebih lagi saya ialah ketua di pejabat kepada kebanyakan mereka. Tetapi peristiwa baru-baru ini membuatkan saya kembali bermuhasabah, mendapat kediaman yang diidam-idamkan tidak semestinya menjadikan hati ini menjadi tenang.


17 January 2012

Facebook dan blog

Saya sedang mula belajar untuk menulis semula. Lama saya tinggalkan blog dan menjebakkan diri di dalam Facebook, akhirnya idea untuk menulis panjang-panjang sudah hilang. Benarlah Facebook sangat membunuh idea untuk menulis. Mungkin ia terpaksa mengambil masa sebelum saya dapat menyesuaikan diri dengan cara blog.

Saya sangat menghormati rakan-rakan saya yang masih setia dengan blog. Sungguh, mereka punya prinsip dan jiwa yang tinggi. Bukan mudah untuk setia dengan blog lantaran Facebook sangat mempengaruhi kehidupan zaman sekarang. Berbanding dengan blog yang memerlukan tulisan yang panjang, Facebook boleh dikemaskini dengan mudah.

Saya akan belajar menulis semula. Memang itulah bakat dan minat saya.

15 January 2012

2012

Aduh, mengapa begitu sukar benar untuk saya mengemaskini blog ini. Bukan tidak teringat, bukan pula sudah melupakan, tetapi manusia begitulah. Apabila sikap malas dan bosan sudah hadir, setiap semangat yang disuburkan suatu masa dahulu bagaikan hilang dipuput angin.

2012 sudah menjelma. Ini tahun akan berlakunya hari kiamat, hari di mana berakhirnya dunia yang fana dan bagi orang Islam, mereka percaya mereka akan melangkau ke satu dunia baru yang asing, dan segalanya ternilai melalui perbuatan baik dan jahat di atas dunia. Hari kiamat ini diramalkan melalui kalendar Mayan yang dikatakan sejenis bangsa yang sangat pakar di dalam bidang astronomi 5000 tahun yang lalu.

Saya tidak begitu percaya. Biarlah kiamat berlaku bila-bila sahaja. Tugas sebagai orang Islam bukan meramalkan bila terjadinya kiamat, tetapi bersedia dengan segala jenis amalan tatkala ianya berlaku nanti. Bukankah yang dinilai oleh Allah adalah amalan? Allah tidak akan sesekali bersimpati jika kita dapat meramalkan tarikh kiamat yang tepat, tetapi pada masa yang sama langsung tidak bersedia untuk menghadapinya.

2012 dibuka dengan lembaran yang baru. Tempat baru, kehidupan baru dan tatacara hidup yang baru. Di penghujung negeri ini saya menagih simpati Allah supaya dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia, diselamatkan dari segala bala bencana dan diampunkan segala dosa. Saya mahu menjadi insan yang lebih baik, dan di tempat ini saya percaya ianya dapat direalisasikan.