24 September 2012

Mereka yang mulia

Sepanjang Malaysia mencapai kemerdekaan yang usianya sudah mencecah 55 tahun pada tahun 2012, golongan ini hampir tidak boleh disentuh. Tiada siapa yang tahu apa kerja mereka yang sebenarnya, apa yang mereka buat di mahligai yang indah-indah, berapa pendapatan mereka sepanjang bulan malah bagaimana mereka menghabiskan masa yang terluang setiap hari. Semuanya ibarat rahsia, selari dengan kehidupan mereka yang eksklusif. 

Rakyat Malaysia juga dimomokkan dengan kekuasaan mereka yang berkurun-kurun lamanya. Tentang tulah yang menyelubungi masyarakat Melayu, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi malah pada suatu ketika dikatakan juga bahawa mereka adalah wakil Tuhan di muka bumi ini. Tetapi hairan juga, mengapa mereka hanya mewakili Tuhan di muka bumi nusantara Melayu, padahal di seluruh dunia tiada pula wakil-wakil Tuhan yang menjaga mereka. Mungkin nusantara ini diberkati Allah agaknya. 

Hari ini keadaan sudah berubah sedikit demi sedikit. Sudah semakin ramai yang berani mempertikaikan golongan ini secara terang-terangan, malah sehingga menyingkap perbuatan khurafat yang didakwa dilakukan oleh mereka. Entahlah, saya kurang pasti. Adakah mereka benar-benar melakukannya atau tidak itu tidak juga persoalan yang penting. 

Pada masa hadapan kita sendiri pun tidak pasti takdir mereka. Adakah mereka kekal sebagai pentadbir agama di sini, atau mereka hanya tinggal kenangan. Sejarah dunia telah membuktikan tiada yang mustahil untuk golongan ini disingkirkan. Suatu masa dahulu golongan ini menguasai hampir seluruh dunia dengan kuasa mereka yang tiada taranya. Pada zaman ini, Nepal menjadi negara terakhir menyingkirkan mereka dari sejarah yang gemilang. Tiada yang mustahil, sekiranya mereka gagal membuka hati dan telinga untuk bersama dengan rakyat. 

3 comments:

a.samad jaafar said...

aku mengajar sejarah di sekolah.. dan aku tidak menghadkan perbincangan aku hanya berlandaskan teks sejarah di sekolah.. justeru, aku terlalu payah utk menghormati kelompok yg KS bicarakan di sini.. melayu sudah terlalu lama dipermainkan atas nama setia dan daulat..

a.samad jaafar said...

sekarang ni pun.. di depan aku ada buku hikayat abdullah yg sedang diulang baca.. aku cuba menganalisa perihal melayu ketika buku ini dikarang.. nampaknya, melayu mmg kekal begitu..

a.samad jaafar said...

berbanding hikayat abdullah..hikayat pelayaran abdullah lebih tajam sindirannya.. selain p ramlee.. abdullah munshi juga seorang yg genius pada zamannya..pd aku laa..

zaman sekarNG.. genius melayu aku berikan pada Najib anak razak..