27 October 2012

Kuala Kangsar yang dirindui

Jika dikira peratus hayat yang saya telah lalui di muka bumi ini dengan tempoh saya diam di Kuala Kangsar selama 2 tahun, ia hanya mengambil masa lebih 7% sahaja. Tidak begitu banyak. Malah tidak sampai 10% pun dari keseluruhannya. Tetapi kenangan, impian dan perjalanannya di pekan yang sunyi itu sentiasa menggugah akal fikiran saya terutamanya apabila kesunyian dan kesedihan melanda fikiran. Hidup saya di Parit Buntar ini baik-baik sahaja, kerja yang baik, ketua jabatan yang baik, rakan-rakan sekerja yang mesra dan hidup yang berkualiti. Pada waktu petang saya punya agenda yang tetap, bermain badminton atau berkebun. Pada waktu malam saya menonton televisyen bersama-sama anak dan isteri, dan pada hujung minggu saya menghadiri kelas melanjutkan pelajaran di Ipoh. Ya, saya sibuk. Tiada masa untuk berfikir mengenai kenangan yang lalu atau mengimbau kesedihan yang pernah datang. Namun, acapkali juga Kuala Kangsar sentiasa membuatkan saya terharu. 

Segala-galanya tentang Kuala Kangsar membangkitkan kenangan yang indah. Mungkin disitu tempat anak pertama lahir dengan susah payah, mungkin di situ juga tempat pertama saya membina kehidupan berkeluarga atau disitu saya punya jiran-jiran yang baik. Pada hujung minggu yang tenang, saya membawa anak dan isteri ke pekan sehari di Pekan Lama Kuala Kangsar, membeli barang-barang keperluan harian termasuklah juga telur ikan yang dijual di pasar. Kemudian membeli sedikit nasi lemak atau kentang goreng dan kami sekeluarga duduk bersarapan di taman permainan yang terletak berhadapan dengan Sungai Perak sambil memerhatikan anak saya bermain keseorangan. Atau jika isteri saya punya kerja yang tidak dibereskan di pejabatnya, kami bersama-sama bersarapan di pejabatnya di Pejabat Tanah Kuala Kangsar. Dan seperti biasa usai sarapan saya akan tidur di sofa pejabatnya yang sejuk dengan penghawa dingin sementara dia menghabisi kerjanya yang belum usai. 

Setiap malam juga adalah kenangan. Baik ketika saya membawa anak dan isteri menikmati makan malam di restoran atau makan di rumah. Setiap hari adalah kenangan, setiap detik juga adalah berharga. Adakalanya saya menikmati kesukaran dan kesedihan. Dimarah oleh ketua jabatan, detik sukar mendapatkan anak pertama, kekurangan belanja atau kerugian di dalam perniagaan. 

Kehidupan begini tidak dapat saya terjemahkan apabila saya berpindah ke pekan baru ini. Sudah setahun saya diam di sini, namun suasananya agak janggal sekali. Mungkin di sini saya sibuk dengan agenda harian yang menyeronokkan, atau mungkin juga saya gagal membawa semangat Kuala Kangsar ke sini. Dan apabila saya perhatikan kembali blog bertuah ini, ia ada perkaitan yang jitu. Tulisan-tulisan saya yang bersemangat lahir di dalam kepayahan hidup di Kuala Kangsar, atau juga kenangan yang banyak di situ. 

Di sini, saya sentiasa gembira. Mungkin kegembiraan itulah menjadi hempedu paling pahit yang membuatkan saya sukar mengulangi 'tulisan agung' di blog ini.


6 comments:

a.samad jaafar said...

Teruskan menulis krn aku lebih terasa dekat melalui tulisN KS dalam blog berbanding fb..

akar menjadi kukuh pada tanah yg keras dan berbatu..tidak ada manusia yg mahu pada kesusahan meski ianya terbukti menjana kekuatan dan kehebatan..pejuang tidak lahir dari sebuah istana...

Menulis kini menjadi suatu yg sukar bagi aku..aneh juga,otak aku spt pensil..semakin diguna semakin tumpul!!

PakNgahYob@AcikLee said...

as salam yob kelisa....ate apa diheghankan....mike masih ada ateh dunia ni lagi...syuko le...mike bukan ada kat pelanet maghih ke... peluto ke....bukan jauh paghit bunto dengan kuale ni. tapi sekaghang ni kuale udoh makin penin dibuatnye...jem emamnjang ayo. kalu haghi minggu mole ptg jemaat mawok ke pagi ahad...ghentikan le naik metoka...jalan kaki lagi baguih gamoknye. ate teghuih le nuleh tu yob kelisa wehhh....

MOH KEMBARA said...

Salam Yob,
teman suka gak pekan KK ni, ada pekan yg hidup, ada tinggalan sejarah, ada Sungai, ada industri tradisional dan yg femes dia gulei tempoyak. Betoi ke sedap?

Anonymous said...

Siapa ingat G King? dan Station Keretapi Kuala?

memories....

FM

toyolkiut said...

Singgah tanda ingatan..
Mana menghilang ni..

toyolkiut said...

Singgah tanda ingatan..
Mana mnghilang lama2 ni..