10 November 2009
Kuching : Episod 1 : Pertama kali di awangan
Khamis 5 November 2009
Entah mahu ketawa atau simpati kepada diri sendiri, inilah pertama kali saya menaiki kapal terbang sepanjang hidup saya. Selama ini saya berbangga juga kerana tidak pernah menaiki kapal terbang, tetapi baru-baru ini 'dara' kapal terbang saya tercemar kerana terpaksa bertolak ke Kuching atas urusan keluarga. Adik saya dimasukkan ke hospital kerana demam yang berpanjangan.
Memang saya sangat gampang. Sangat teruja. Sangat bodoh. Mujurlah saya dipimpin oleh isteri saya yang pernah menaikinya. Dia menceritakan segala prosedur, dari pembelian tiket sehinggalah kepada pendaratan di sana. Jika tidak, harus juga saya diketawakan oleh pramugari-pramugari yang seksi itu.
Kami berlepas pada pukul 9.40 pagi Khamis, mengambil tiket secara tergesa-tergesa pada pagi itu juga dan seperti diramalkan, ia agak mahal. Terpaksalah saya menggunakan kad ajaib di dalam dompet. Selepas itu kami melakukan pemeriksaan bagasi dan terus masuk ke balai berlepas. Mujurlah di balai berlepas saya memakai baju 'vest' yang boleh menahan kesejukan. Beberapa kali juga saya ke tandas sementara menunggu untuk masuk ke dalam pesawat.
Ayat Al-Quran yang pendek-pendek habis semua dibaca untuk menahan gementar. Ayat Qursi yang selalu dipesan oleh ibu saya sebagai amalan harian juga diulang beberapa kali. Agaknya jika orang lain tahu gelodak hati saya ketika itu, mahu rasanya mereka berguling-guling menahan ketawa.
Pengalaman menaiki kapal terbang sangat menarik. Terutamanya apabila pesawat itu meluncur laju untuk berlepas. Saya yang sudah terbiasa menekan brek kereta, turut sama menekan kaki untuk memperlahankan pesawat. Di dalam pesawat, saya menghabiskan dua pertiga penerbangan dengan tidur kerana terlalu letih. Sudah 3 hari tidak tidur kerana terfikirkan adik yang sakit. Tiada makan-makan di atas kapal terbang, tiada juga masa untuk ke tandas. Sekadar membaca akhbar yang dibeli di lapangan terbang. Saya mengakui sangat gayat dan takut. Tetapi dipaksa juga untuk menenangkan perasaan kerana malu dengan penumpang yang lain. Walaupun perasaan tenang itu disembunyikan, sekali sekala apabila pesawat melanggar awan, rasa takut juga. Memang sangat cantik melihat keindahan bumi Allah dari atas terutamanya apabila melintasi Laut China Selatan. Betapa ia begitu mendatar dan menenangkan tidak seperti kita berada di bumi.
Tiba di Kuching pada pukul 11.30 pagi, ada pula pemeriksaan imigresen. Begitu rupanya prosedur penerbangan ke Kuching. Alhamdulillah, satu masalah saya sudah selesai. Kami sudah sampai dengan selamat. Isteri saya yang sedang mengandung juga tidak mengalami apa-apa masalah di dalam penerbangan. Tetapi bagaimana dengan adik?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
ye
bagaimana dengan adik kamu yg demam bpanjangan itu?
Kelisa, kamu sangat jujur & telus. Cara penulisan yg jujur sebegini selalu mengingatkan saya pada karya Khalid Hosseini, sangat menghibakan malah kdg2 boleh menangis ketika membacanya...
Cuba saudara baca "The Kite Runner", mesti suka.. Jalan ceritanya tiada apa2 kaitan dgn kamu, tapi mungkin ada persamaan dalam kejujuran itu...
oney : sedang menyusun plot. kesudahannya akan diketahui nanti. terima kasih kerana mengunjungi blog saya. ;)
nafastari : saya tidak sehebat mereka. insya Allah, saya akan cuba membaca. tapi mungkin merangkak2 sedikit, english saya sudah semakin teruk.
Post a Comment