04 January 2015

Zaman sudah berubah



Saya bersekolah rendah di sekolah kampung. Rata-rata dari kami beribubapakan seorang penoreh getah, pesawah, pekerja am atau kerja-kerja kampung sahaja. Jika ada yang ibu bapanya sedikit 'berprestij' mungkin seperti ibu saya yang bekerja sebagai guru. Begitulah. Kehidupan di kampung serba sederhana. Jika seseorang murid itu berpakaian agak kemas dan jenis kain sekolah yang licin, kami boleh meneka bahawa ibu bapanya bekerja sebagai guru. Tiada istilah jurutera, doktor, pengurus ladang, pegawai tinggi kerajaan atau apa-apa sahaja yang kedengaran hebat. 

Dengan sebab itulah kami tidak terbuka dengan dunia luar ditambah pula pada masa itu tiada internet yang boleh membuka minda kami. Jika seseorang murid baru sahaja pulang dari bercuti di Kuala Lumpur atau Taiping, itu sudah benar-benar membuatkan kami teruja mendengar cerita mereka. Saya masih ingat ada seorang rakan saya pergi ke Kuala Lumpur kerana bapanya dimasukkan ke hospital besar, maka diceritakanlah pengalamannya yang 'bukan-bukan' seperti melihat pemandu tanpa kepala pada waktu malam, ketakutan dikejar hantu, tidak boleh tidur kerana bunyi bising kenderaan dan sebagainya. Kami sangat teruja. 

Sehingga pada suatu hari kami mendengar khabar seorang lagi kawan baru pulang dari Indonesia. Rupa-rupanya beliau memang mempunyai darah keturunan dari negara jiran itu dan mereka sekeluarga baru pulang dari menziarahi sanak saudara yang melangsungkan perkahwinan. Pada masa itu tahap kekaguman bukan lagi dibuat-buat. Pada minda kami tertanya-tanya bagaimanalah perasaannya menaiki kapal terbang, apa yang mereka buat di sana, bagaimana mereka berbicara dan berapa banyaklah wang di dalam akaun ibu bapa kawan kami itu yang membolehkan dia pergi ke Indonesia. 

Hari ini keadaan sudah banyak berubah. Jika seseorang anak kecil bersama keluarganya baru pulang dari bercuti terutamanya dari negara-negara Asean, ia bukanlah suatu keterujaan lagi. Di sebalik kekangan kewangan oleh rakyat Malaysia terutamanya peningkatan harga barangan dan cukai, kita masih lagi mempunyai cukup kewangan untuk berlibur. Tidak ada lagi istilah kagum kepada rakan-rakan yang bercuti jauh, malah kadang-kadang agak bosan juga melihat cerita-cerita mereka yang klise. Malah anak saya yang masih kecil-kecil juga sudah berpeluang beberapa kali menaiki kapal terbang ke luar negara. Acapkali juga ketika di dalam penerbangan saya melihat wajah-wajah gembira mereka, lalu saya mendetik di dalam hati betapa beruntungnya kerana saya tidak punya peluang seperti ini ketika kami masih kecil. 

Begitulah, kita tidak dapat meramal pada masa hadapan. Entah bagaimanalah agaknya nanti keadaan apabila saya sudah tua. Mungkin pada masa itu saya bersarapan dengan anak dan cucu saya, kemudian menjelang makan malam mereka menceritakan bahawa mereka baru sahaja pulang dari Turki untuk menikmati kebab makan tengah hari. Mungkin. Saya pun tidak tahu.