22 August 2010

Tabung Bayi dan 'Baby Hatch'


Sekitar tahun 1993-1994, budaya bohjan dan bohsia semakin menjadi-jadi di kalangan golongan remaja pada masa itu. Istilah bohjan dan bohsia ditujukan kepada ahli masyarakat khususnya remaja yang mengamalkan seks sumbang, luar nikah dan pelacuran peringkat murahan. Golongan ini dikatakan bermula dengan budaya lepak dan dituduh menjadi agen perosak kepada budaya hidup bermasyarakat. Ya, memang benar ia menjadi perosak kepada masyarakat. Hasil dari penularan budaya seks sumbang inilah akhirnya membawa kepada gejala pembuangan bayi yang serius sekitar tahun 1995-1996. Seingat saya sepanjang saya hidup di Malaysia ini, inilah kali pertama gejala sosial yang sangat teruk telah merebak ke seluruh peringkat masyarakat. Pada masa itu, rakyat seakan-akan tidak dapat menerima kejahatan dan kekejaman manusia yang berhati binatang dengan membuang dan membunuh bayi merata-rata.

Gejala ini akhirnya tiba ke keadaan yang tidak dapat dikawal lagi. Lalu dicadangkan oleh segelintir orang supaya kerajaan menubuhkan Tabung Bayi bagi mengelakkan bayi-bayi berkenaan dibuang merata-rata. Alasannya mudah. Kerajaan akan menerima bayi ini kerana dosa yang dilakukan oleh ibu bapa sudah tinggal dosa. Apa yang penting ialah menyelamatkan nyawa. Kemudiannya cadangan ini ditentang habis-habisan oleh segelintir yang lain pula. Mereka memberi alasan yang penggunaan Tabung Bayi akan menggalakkan perlakuan seks luar nikah, sikap tidak bertanggungjawab dan menyusahkan kerajaan untuk membela bayi-bayi berkenaan. Antara yang lantang menentang penubuhan Tabung Bayi itu seingat saya ialah Mufti Perak Darul Ridzuan.

Pada masa itu saya berpendapat untuk menentang kewujudan Tabung Bayi itu.

14 tahun sudah berlalu selepas cadangan penubuhan Tabung Bayi ditentang habis-habisan tanpa sempat merealisasikannya. Pada tahun 2010 ini sekali lagi gejala pembuangan bayi menular dengan drastik. Walaupun begitu, rakyat Malaysia sudah kurang sensitif dengan berita-berita ini mungkin kerana sudah lali dengan gejala sosial yang mula membarah. Sekali lagi penubuhan Tabung Bayi dicadangkan dengan menggunakan nama yang lain, Baby Hatch.

Tidak seperti tahun 1995-1996, penubuhan Baby Hatch ini tidak mendapat reaksi penentangan yang besar. Malah ia ditubuhkan tanpa merujuk kepada apa-apa rundingan dengan rakyat, dan sedar-sedar kita telah mendapat 2 orang bayi Baby Hatch. Bayi ini akan dijaga oleh Jabatan Kebajikan dan mungkin pula akan dibela oleh keluarga-keluarga yang berminat.

Rupa-rupanya 14 tahun ialah masa yang lama untuk kita melupakan prinsip kita suatu masa dahulu. Sekarang tiada lagi tentangan yang keterlaluan kepada Baby Hatch, malah saya juga tidak mendengar apa-apa komen dari Mufti Perak Darul Ridzuan berkenaan perkara ini. Mungkin suatu masa dahulu kita menentangnya kerana nama Tabung Bayi tidak komersial. Sekarang kita menggunakan Baby Hatch, ia jauh lebih 'bertamadun' sesuai dengan kehendak semasa. Orang yang menggunakan Baby Hatch 'kurang berdosa' jika dibandingkan dengan orang yang menggunakan Tabung Bayi, malah penggunaan nama Baby Hatch juga sama sekali tidak akan menggalakkan perlakuan seks luar nikah. Mana tahu.

Sekarang pun saya masih menentang kewujudan Baby Hatch ini.


20 August 2010

Sejenak : Your comment was published

Saya memohon maaf sekiranya sedikit pengemaskinian blog saya menyukarkan orang lain untuk memberikan pendapat. Apabila saya menyemak kembali tulisan-tulisan saya yang terdahulu, saya mendapati terdapat komen-komen yang diberikan oleh rakan-rakan yang mulia kepada tulisan-tulisan saya yang lama. Di atas komen yang diberikan, saya mengucapkan terima kasih dan sangat menghargainya.

Walaupun begitu, saya berkemungkinan akan terlepas pandang komen-komen berkenaan kerana ada komen diberikan kepada tulisan saya yang terlalu lama. Oleh yang demikian, saya membuat keputusan supaya setiap tulisan saya yang berusia lebih dari 7 hari akan diletakkan di dalam senarai kelulusan (approval) saya dahulu. Ia bertujuan untuk saya tidak terlepas pandang kepada komen-komen yang diberikan. Sejujurnya tindakan saya ini bukanlah berniat untuk menapis sebarang tulisan yang tidak selari dengan pendapat saya.

Saya mengucapkan terima kasih dan sangat menghargai setiap tulisan dari pengunjung-pengunjung blog saya. Di atas tulisan-tulisan anda semua minda saya sentiasa berkembang untuk berfikir ke arah yang lebih baik. Walaupun blog saya lebih menjurus kepada kehidupan peribadi yang dekat dengan saya, tetapi saya sentiasa percaya bahawa mendengar pendapat orang lain akan menjadikan kita lebih 'merdeka'.

11 August 2010

Perihal saf depan

"Sekiranya kamu semua tahu ganjaran pahala bagi orang yang bersolat di saf depan, nescaya kamu semua akan terpaksa memutuskannya dengan mengundi."

Inilah makna sepotong hadis yang disabdakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Saya berharap makna sebenar hadis ini tidak lari kerana saya tidak ingat kandungan (matan) hadis itu yang tepat. Apa yang pasti, hadis ini menceritakan tentang ganjaran besar kepada orang yang bersembahyang di saf hadapan ketika solat berjamaah sehinggakan jika manusia nampak besarnya ganjaran itu, maka mereka terpaksa mengundi untuk berada di situ. Setakat yang saya tahu, tidak ada pula mana-mana masjid yang menganjurkan undian ini kerana semua umat Islam bagai mengerti aturannya. Siapa yang datang awal akan berada di hadapan, manakala siapa yang datang lewat akan berada di saf belakang.

Ada sesetengah masyarakat Melayu kita yang kadang-kadang mengambil sesuatu ajaran itu secara separuh-separuh. Amalan separuh-separuh ini bagaikan sudah berakar di dalam sanubari orang Islam kerana ilmu pengetahuan mereka yang kurang, atau sengaja membutakan diri ke arah kebenaran. Hadis ini perlu juga dibaca bersama-sama dengan hadis lain yang mengajak kepada keadilan, persaudaraan dan akhlak yang mulia. Sekiranya kita terlambat datang ke masjid atau surau untuk mengerjakan sembahyang berjamaah, kita haruslah akur dengan kelewatan itu dan tidak berusaha pula untuk memotong barisan yang telah bersedia di hadapan. Bukankah sesuatu yang kurang adab jika kita berasak-asak juga untuk ke hadapan dan menghimpit orang lain semata-mata untuk memenuhi tuntutan hadis di atas?

Di dalam bulan Ramadhan ini masjid-masjid dan surau-surau menjadi tumpuan pada malam hari dengan orang Islam mula berebut-rebut ganjaran pahala yang tidak terhitung banyaknya. Di dalam usaha kita menambah pahala ini, janganlah pula kita mengecilkan hati orang lain dengan sikap kita yang tidak berakhlak. Adalah lebih baik sekiranya kita bersolat berseorangan di rumah daripada kita pergi berjemaah tetapi kemudiannya perbuatan kita mengguris hati orang lain. Sesungguhnya asas perhubungan Islam itu terjalin di dalam tiga cara iaitu perhubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain. Jika kita menjaga perhubungan yang baik dengan Allah tetapi memandang enteng hal-hal yang lain, ia tidaklah bertepatan dengan konsep Islam itu sendiri.

Pada kesempatan di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya mengingatkan diri saya sendiri dan rakan-rakan yang mengunjungi blog saya supaya sentiasa berhemah di dalam amalan kita. Sekiranya kita terlewat datang ke masjid, akurlah untuk berada di belakang. Perbuatan kita yang menghimpit orang lain semata-mata untuk berada di saf hadapan akan menimbulkan sakit hati dan jelik kepada orang lain. Biarlah kita mendapat pahala yang sedikit daripada kita mendapat pahala yang banyak tetapi dalam masa yang sama kita juga mendapat dosa kerana tidak menjaga hati orang lain.

07 August 2010

Facebook cara saya


Tidak perlulah lagi saya perkatakan tentang apa yang boleh kita lakukan di Facebook kerana semua orang sudah mengetahuinya. Saya melihat kecenderungan ramai rakan-rakan saya yang meluahkan segala-galanya di Facebook, berkongsi saat suka duka, meletakkan gambar perkahwinan, kelahiran anak, melancong ke luar negara, pencapaian peribadi dan sebagainya di sana. Malah adakalanya dikirimkan perkara yang entah apa-apa seperti bertemu dengan jejaka kacak, anak sudah pandai berjalan, dipuji oleh ketua jabatan atau lapar kerana tidak berselera untuk makan. Ada pula yang setiap saat sentiasa mengeluh dengan kehidupan seolah-olah rahmat Allah tidak pernah turun kepadanya. Saya tidak kisah dengan itu semua. Cuma kadang-kadang saya agak jelak dengan sesetengah orang yang mengemaskini status mereka beberapa minit sekali, seolah-olah perjalanan hidup mereka begitu penting untuk diketahui oleh orang lain.

Saya pernah ditanya oleh beberapa orang rakan mengapa saya tidak meletakkan gambar isteri dan anak saya di dalam koleksi foto saya. Lalu saya katakan bahawa mereka adalah harta peribadi saya yang tidak ternilai, dan saya tidak berniat untuk berkongsi wajah mereka dengan cara yang sebegitu. Sekiranya mereka ingin berkenal-kenal dengan keluarga saya, datanglah dan berjumpa secara realiti kerana itu lebih baik dari mengenal secara maya. Hasil dari jawapan saya itu akhirnya saya terpaksa mendengar ceramah percuma dari mereka. Lalu dikatakanlah bahawa saya kolot, tidak mesra dan mengada-ngada.

Biarlah. Saya tidak peduli dengan kata-kata nista orang lain. Sekiranya saya mahu mengambil berat dengan kata-kata orang lain, pening kepala saya untuk melayan mereka kerana setiap orang punya pendapat tersendiri. Bagi saya, di dalam hidup ini ada perkara yang boleh dikongsi dengan orang lain dan ada pula yang tidak. Jika sekiranya semua perkara ingin dikongsikan dengan orang lain di dalam Facebook, apa pula yang tinggal untuk menjadi kenangan istimewa kepada diri saya sendiri. Jika saya berjalan-jalan dengan suasana romantis bersama isteri, anak saya baru bercerai susu atau sebagainya, ia bukanlah menjadi kudis kepada orang lain pun. Lalu untuk apa pula saya menghebahkannya ke serata alam?

Bayangkan sekiranya saya telah membeli sesuatu yang berharga, lalu saya menghebahkannya di Facebook. Kemudian apabila saya berjumpa seseorang secara realiti dan saya ingin berkongsi sesuatu dengannya tentang perkara itu, lalu dia katakan, "ohhhh, itu telah kau ceritakan di dalam Facebook." Mungkin saya akan berasa malu.

Saya tidak tahu apa pendapat orang lain tentang perkara ini. Tetapi untuk sehingga hari ini, inilah pendirian saya terhadap Facebook. Maafkan saya jika ada orang yang terasa dengan tulisan ini kerana saya tidak menujukan kepada sesiapa. Saya masih mahu begini. Facebook bukanlah tempat yang sesuai untuk saya dan keluarga kerana harga diri keluarga saya lebih tinggi nilainya untuk dikongsi di tempat yang sebegitu. Jika mereka rasa pendapat saya tidak kena, silakanlah. Tidak ada apa-apa kemudaratan baik kepada saya atau kepada sesiapa pun.