06 March 2011

Tentang ujian


"Alif Lam Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? "
Al-Ankabut : 1-2

Manusia adalah makhluk yang sentiasa lemah dari segi minda dan jasmaninya. Dengan kelemahan itu, Allah 'mengusik' dengan cara menguji untuk mencari siapakah hamba-Nya yang paling teguh pendirian terhadap keimanan. Sangat mudah untuk kita berkata bahawa kita telah beriman dengan sepenuh hati, namun adakalanya apabila ujian datang bertimpa-timpa, keimanan itu digoncang dengan kuat bagaikan angin menyapa lalang yang lembut. Pada masa itu kebanyakan dari kita akan hilang pendirian dan pedoman, bahkan keimanan yang dijaga dengan teguh juga boleh sahaja tersasar dari jalan yang sebenar yang memungkinkan kita untuk terjerumus ke lembah dosa dan maksiat.

Senggang-senggang masa apabila diuji selalunya kita akan mendakwa bahawa ujian kepada diri kita adalah yang paling tinggi berbanding orang lain. Tidak kira macammana bentuk ujiannya samada kesakitan, kepapaan, keresahan dan kesedihan, kita selalu terlupa bahawa ujian itu adalah tanda kasihnya Dia kepada kita hamba yang hina. Kita sentiasa harus percaya bahawa Allah dengan sifat kasih dan sayang-Nya yang tinggi kepada kita tidak akan sesekali memberikan ujian yang tidak dapat kita tempuhi.

Manusia seperti kita yang lemah serba serbi sentiasa takut dan resah apabila ujian melanda. Berapa ramai dari kita yang gundah gelisah apabila saudara-mara yang disayangi ditimpa kesakitan yang berpanjangan. Lalu kita memohon kepada Allah agar sakit mereka disembuhkan, dan kita rela menjadi galang gantinya. Ada pula yang berdoa supaya biarlah kekayaan material yang mereka miliki ditarik Allah semata-mata mengharapkan kesembuhan kepada penyakit.

Lain pula bagi orang yang sedang dilanda kemiskinan. Adakalanya mereka berdoa supaya diberi peluang menjadi kaya, meski kesihatan yang dimiliki menjadi taruhan untuk kekayaan yang bakal diperolehi. Begitu manusia tidak pernah redha dengan ujian, bahkan membuat urusan lain pula dengan Allah. Aku mahu ini, aku tidak mahu itu. Ayuh Tuhan, marilah kita bertukar janji tentang ujian ini. Aku sedang kaya, Kau ambillah kekayaan ini kerana aku tidak mahukannya. Aku hanya mahu tubuh yang sihat. Di lain masa, batang tubuh yang sama juga berbicara benda yang berlainan. Wahai Tuhan, aku mahu menjadi kaya, Kau ambillah nikmat kesihatan aku barang sebentar supaya aku dapat merasai segala-galanya. Apabila aku sudah kaya, akan kucari penawar yang mujarab buat mengubati sakitku ini.

Kita harus sentiasa percaya bahawa ujian yang ditimpakan kepada kita sentiasa dapat ditangani sekiranya kita teguh dengan keimanan kepada Allah. Biarlah orang tersayang pergi, biarlah kemiskinan melingkari hidup kita, biarlah apa sahaja yang kita benci berlegar-legar disekeliling kerana dunia ini hanyalah sementara. Kelak, apabila kita berjaya dengan ujian keimanan ini, orang tersayang yang kita kasihi dan rindui menunggu dengan penuh redha di dunia yang lain. Lalu pada masa itu berpeluk-pelukanlah kita sesama mereka sambil mengucapkan syukur kepada Allah di atas ujian dunia yang sedikit. Begitu juga biarlah kemiskinan itu sentiasa di sisi, kerana sesungguhnya Allah akan memberi kekayaan yang tidak terbatas di sana asal sahaja kita redha dengan ujian yang Allah berikan.

Hai Tuhan, kami semua mahu menangis. Ujilah kami. Nanti Kau tahu bahawa kami adalah hamba-hamba-Mu yang taat. Yang penting, kami mahu bertemu-Mu di akhirat sana. Tiada ujian yang sukar di dunia ini kerana mahar yang Kau janjikan lebih tinggi dari sekadar kesakitan, kemiskinan, keresahan dan kesedihan. Allah, Tuhanku Yang Maha Agung.

01 March 2011

Sinar merah sebelum kelam


Menjelang maghrib adalah waktu yang paling nyaman dan sunyi. Ia akan bertambah sunyi sekiranya kita berseorangan di mana-mana sahaja, dan sunyi itu bukanlah disebabkan suasana yang diam dan sepi tetapi selalunya ia datang dari hati sendiri yang tiba-tiba merasa kesepian dan keseorangan. Bahkan jika kita berada di kotaraya Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur, kesunyian waktu maghrib ketika berseorangan sentiasa sahaja menghantui kita hinggakan kadang-kadang hati terasa seperti bertanya-tanya mengapakah kesunyian ini tiba-tiba hadir di dalam diri kita yang sentiasa sibuk. Adakalanya kita membenci kesunyian itu kerana seperti pakej yang lengkap, ia datang dengan kepiluan dan kesedihan bahkan membawa kenangan-kenangan yang ingin kita tinggalkan.

Manusia begitulah. Tiada manusia yang tega mahu hidup di dalam kesunyian yang berpanjangan. Kesunyian yang keterlaluan bisa sahaja mengubah peribadi menjadi penyedih, tidak optimis dan menakutkan. Walaupun begitu, suka atau tidak kesunyian akan cuba juga mencelah-celah di dalam hati walaupun kita sentiasa mahu menyibuk-nyibukkan diri dengan urusan dunia yang tertangguh. Saya percaya kebanyakan dari kita pernah merasai kesunyian sebelum kelam, dan ia datang tidak pernah dengan undangan yang menyegarkan.

Di kala waktu maghrib menjelang, kita akan melihat sinar merah yang sirna di ufuk barat dan bergentayangan di serata alam. Bagaikan tiada peraturan yang berdisiplin, sinar ini sentiasa memenuhi langit dengan sulaman kelam-kelam gelap yang mendamaikan. Suasana sekeliling akan menjadi sunyi juga seolah-olah mahu menghormati detik-detik cantik ini dan beberapa ketika, ia akan hilang ditelan awan-awan kelam yang harmoni itu. Lalu di sana sini akan terdengar laungan takbir yang menggemakan hati, mengajak manusia untuk menyembah Allah yang Esa yang telah menghadirkan waktu maghrib tanpa malas setiap hari dalam kehidupan kita.

Sinar-sinar merah sebelum kelam ini sebenarnya menjadi perumpamaan yang abadi kepada kehidupan manusia sebelum mati. Kekuatan sinar yang mahu menjajah langit ini digambarkan kepada usaha manusia mengumpul saki baki kekuatan sebelum mati bagi memberitahu kepada orang lain bahawa dirinya bakal dijemput Ilahi. Walaupun cahayanya malap dan kelam, ia akan memenuhi seluruh pelusuk langit dan menyebarkan semangatnya sebelum semangat itu ditelan perlahan-lahan ke dalam malam yang sedang menunggu. Dengan sebab itu kita selalu melihat dan mendengar tentang menjelangnya kematian seseorang, dia seolah-olah menjadi sihat dan kuat bagaikan sakitnya sudah pergi buat selama-lamanya. Meskipun dia sudah terlantar selama bertahun-tahun, tidak makan dan minum dan hanya menunggu ajal menjemput, ada ketikanya dia akan bangun seolah-olah sudah sihat dan walafiat dan seakan memberi berita gembira kepada saudara-saudara yang sedang menunggu. Di kala itu, sedarlah kita bahawa dia sedang menyebarkan semangat merahnya di dada langit sebelum nyawanya diambil untuk ke alam seterusnya.

Mungkin sebahagian dari kita akan juga merasai detik itu. Namun ketakutan kita kepada kematian boleh sahaja menafikan diri sendiri, dan mendakwa bahawa kita akan hidup lebih lama dari itu. Tetapi percayalah, jika sekiranya kita dapat lepas dari detik ajal itu sekalipun, ajal tetap akan menggamit kita pergi di masa yang lain yang telah dijanjikan. Saya berdoa sepenuhnya kepada Allah supaya bekalan yang dibawa cukup untuk dibawa ke sana, kerana tiada lagi gunanya harta dan anak-anak yang comel apabila malam sudah menjelma.

25 February 2011

Di antara dua negara


Terima kasih Google

Libya terletak di antara negara Tunisia dan Mesir yang menghadap Laut Mediterranean yang bersejarah. Di utara negara mereka, mereka sebenarnya berjiran dengan Itali yang merupakan pusat Kristian paling berpengaruh di dunia. Ironinya, tidak jauh dari situ juga terletaknya negara Sepanyol yang mempunyai sejarah panjang tentang umat Islam Andalusia. Di negara-negara Afrika yang berjiran dengan Eropah ini, peradaban dan konflik agama sebenarnya membentuk serba sedikit perjalanan negara mereka dan tentu juga negara-negara seperti Libya, Mesir, Maghribi, Palestin, Sepanyol malah menjauh sehingga ke Britain, Scotland dan Perancis mempunyai sejarah yang kait-mengait. Di dalam konteks revolusi rakyat, Libya bolehlah dikatakan terlewat kerana kedua-dua negara berjirannya sudah melalui tempoh revolusi yang getir dan mengorbankan nyawa. Hanya baru-baru ini selepas pemimpin Mesir dan Tunisia selesai 'dihadamkan', barulah Libya sedang sibuk-sibuk untuk mengubah diri mereka.

Suatu waktu dahulu ketika saya masih bodoh-bodoh dan mentah, saya sangat menghormati pemimpin bernama Muammar Gaddafi ini. Jika kita pernah bermain permainan komputer Red Alert : Command & Conquer, Libya diletakkan sebaris dengan negara-negara 'jahat' lain seperti Korea Utara, Russia, Iran dan China di dalam menentang negara-negara 'baik' seperti Amerika Syarikat, Britain, Korea Selatan dan Germany. Seperti yang kita semua sedia maklum, jika sesebuah negara dianggap sebagai penentang kepada Amerika Syarikat, maka mereka sebenarnya adalah negara yang mempunyai prinsip yang tinggi yang tidak mahu patuh kepada negara syaitan itu. Lebih-lebih lagi, di dalam permainan itu dua negara yang mempunyai komposisi penduduk Islam yang tinggi iaitu Iran dan Libya diletak di dalam senarai negara-negara 'jahat'. Ketika saya bermain permainan itu, saya suka mewakili Iran atau Libya bukan sahaja kerana mereka negara Islam, bahkan saya merasakan perjuangan mereka untuk menentang negara polis dunia itu sangat saya hormati. Libya atau lebih tepat lagi Muammar Gaddafi juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Hugo Chavez di Venezuela, satu lagi negara yang terang-terangan membenci Amerika dan sekutu-sekutunya.

Itu ialah cerita dulu. Cerita ketika rakyat Libya belum mula bangkit untuk mempertahankan hak. Hari ini persepsi saya kepada Muammar Gaddafi berubah secara keseluruhan kerana tindakannya yang kejam.

Di negara yang mana bangsanya dilaknat Allah iaitu Israel, negara polis dunia Amerika Syarikat, negara anjing Amerika iaitu Britain atau mana-mana negara yang tidak mengaku Allah sebagai Tuhan mereka sekalipun, pemimpin mereka tidak tergamak untuk menggunakan kuasa ketenteraan untuk membunuh rakyat sendiri. Tetapi di negara Libya yang pemimpinnya mengaku Allah sebagai Tuhan, Nabi Muhammad sebagai Rasul dan mempercayai rukun iman dan Islam, saya tidak pernah terfikir Muammar Gaddafi sanggup menggunakan bom dan senjata untuk membunuh rakyatnya yang sedang memprotes. Betapa hancur dan luluh hati kebanyakan dari kita apabila mendengar berita hampir 1,000 orang sudah terkorban kerana tindakan gila Muammar ini.

Sekarang, marilah kita bezakan Muammar ini dengan rejim Yahudi yang laknat itu. Seingat saya, tidak pernah saya membaca pemimpin Yahudi membunuh rakyat Israel yang tidak bersetuju dengan rejim Zionis. Malah mereka diberikan ruang dan peluang untuk berdemonstrasi walaupun di dalam kebanyakan masa pendapat mereka tidak pernah didengari. Di dalam kisah tragis Shabra dan Shatilla, pemimpin Yahudi membunuh orang Islam, bukan orang yang seagama dengan mereka.

Memang sesuailah jika ulama besar seperti Yusuf Al-Qardhawi memfatwakan supaya Muammar dibunuh. Kepada Muammar, semoga Allah mengampunkan dosamu yang menggunung itu. Jika tidak, hiduplah engkau untuk selama-lamanya di neraka yang panas membakar kerana membunuh ribuan manusia Muslim yang sama-sama menyembah Tuhan yang engkau sembah. Saya di sini hanya mampu berdoa, bersimpati di atas nasib saudara-saudara seagama yang tidak meminta apa-apa pun di dalam dunia kecuali sedikit. Hanya secangkir rasa bahagia untuk dikongsi sementara menunggu untuk dijemput ke alam abadi buat selama-lamanya.

20 February 2011

Rahsia menjana pendapatan lumayan


Saya sering melayari internet ini untuk pelbagai sebab. Di antara laman-laman web yang kerap saya kunjungi ialah laman sosial Facebook, blog-blog politik semasa di dalam dan luar negara dan kadang-kadang saya mencari laman-laman web yang boleh memberikan peluang untuk menambah pendapatan. Laman-laman sebegini tidak sukar untuk dijumpai. Buka sahaja mana-mana laman web yang popular, tentu sahaja kita akan terjumpa iklan-iklan untuk laman sebegini. Jujurnya saya tidak pernah menyertai mana-mana perniagaan internet atau terpengaruh dengan ajakan mereka untuk menyertainya, cumanya kunjungan saya ke laman-laman berkenaan hanyalah untuk menyerap beberapa idea yang boleh digunakan di dalam pengurusan kewangan peribadi.

Apa yang menarik minat saya ialah kemunculan e-book tentang kewangan yang semakin berlambak di dalam internet bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Modus operandinya sama, menghasilkan karya berkenaan idea kewangan dan kemudiannya dipasarkan melalui internet, sambil bayarannya boleh dilaksanakan melalui sistem perbankan elektronik. Dari satu segi yang positif, ternyata semakin ramai manusia khususnya orang Melayu yang sudah semakin celik kewangan sehingga dapat menghasilkan buku-buku untuk rujukan orang lain. Malah ada di antara mereka yang dikatakan sanggup berkongsi kaedah untuk mencari kekayaan kerana mereka sudah terlalu kaya!

Namun begitu, pada satu sisi yang lain, kadang-kadang saya meragui isi kandungan yang termuat kerana tajuknya memang begitu menggemparkan sekali. Sebagai contoh, "rahsia menjana kekayaan," "pendapatan RM50K seminggu," "duit masuk macam air" dan lain-lain memang membuatkan ramai orang teruja dan tertarik. Saya pernah cuba membeli salah satu naskhah dengan harga RM20.00, malangnya intipati tulisannya boleh didapati dengan percuma di laman-laman web lain. Walaupun begitu saya tidaklah merasa rugi dengan RM20.00 yang dibayar kerana lumrah manusia yang inginkan perubahan, tentulah kadang-kadang kita terjumpa dengan jalan yang buntu.

Lalu kemudiannya saya terfikir, jika penulis-penulis ini memang benar mempunyai rahsia menjana kekayaan dan ingin berkongsi kekayaannya, mengapakah mereka memilih orang yang mereka tidak kenali untuk diberikan rahsia yang sebesar itu? Tentulah logik jika rahsia yang dimiliki disimpan untuk rujukan saudara mara sendiri atau setidak-tidaknya sahabat-sahabat karib. Tidak seperti kaum Cina, orang-orang Melayu diketahui sangat kedekut untuk berkongsi cara menjana kekayaan malah mereka seboleh-bolehnya akan merahsiakannya untuk mendapatkan keuntungan yang maksimum. Tan Sri Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Mustaffa Kamal, Mirzan Mahathir atau Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah tidak pernah menghasilkan buku yang menceritakan strategi kekayaan mereka kecuali sedikit. Sebagai contoh, Tan Sri Mustaffa Kamal memberitahu kita di dalam salah satu wartawannya bahawa salah satu cara untuk mengumpul kekayaan di Malaysia ini ialah dengan berbaik-baik dengan orang politik. Itu sahaja.

Saya menyarankan kepada penulis-penulis 'rahsia' mengumpul kekayaan ini supaya lebih bertanggungjawab di dalam penulisan mereka. Tidak salah untuk menjual buku demi untuk keuntungan peribadi, tetapi ia perlulah lebih bertanggungjawab dan tidak hanya mengharapkan kepada tajuk-tajuk yang gempak dan menggiurkan. Samsuddin A Kadir, Azizi Ali atau Irfan Khairi juga menghasilkan buku yang serupa, tetapi isi kandungan buku-buku mereka dapat memberi faedah kepada orang lain dan mereka juga tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada pembaca-pembaca.

Rezeki adalah kurniaan Allah. Tidak mustahil ada pembaca yang benar-benar berjaya dengan membaca buku-buku (e-book) mereka. Semoga rezeki yang kita perolehi mendapat berkat dan dapat pula membantu orang lain berjaya seperti kita. Orang lain juga mahu berjaya seperti kita, cumanya kadang-kadang mereka menempuh jalan yang sukar untuk mencari kejayaan itu sendiri.