18 August 2009

Doraemon & Nobita


Mak saya seorang yang tegas dalam mendidik anak-anaknya. Dengan sebab itulah mungkin saya menjadi orang yang berguna hari ini. (berguna pada pandangan mata saya). Ketika saya masih kanak-kanak, saya hanya boleh keluar rumah selepas pukul 6.00 petang untuk bermain. Sebelum itu, di meja belajarlah jawabnya. Ketika menyuruh saya belajar, mak saya tiba-tiba akan menjelma menjadi seekor singa betina.

Disebabkan ketegasannya itu, keseronokan saya sebagai kanak-kanak sedikit tercemar. Saya mula menyedari bahawa saya bukanlah kanak-kanak yang biasa apabila saya telah meningkat dewasa. Rakan-rakan sebaya saya boleh menceritakan setiap watak yang terkandung di dalam kartun Transformers, Teenage Mutant Ninja Turtles, GI Joe, Roy Mustang dan lain-lain. Tetapi saya hanya ternganga.

Barulah saya sedar bahawa saya bukanlah kanak-kanak yang sempurna. Sempurna dalam erti kata saya langsung tidak mempunyai pengetahuan di dalam ilmu kartun. Menyedari bahawa saya ketinggalan di dalam bidang ini, lalu saya mulakan dengan langkah pertama untuk mendalami kartun, dan saya pilih si comel ini sebagai bahan bacaan pertama, Doraemon. Menarik, dan sangat menarik.

Ketika saya di universiti, saya mula membeli koleksi komik Doraemon ini. Jika tidak silap saya, siri cerita pendek Doraemon ini ada 45 kesemuanya, sebelum penulis asalnya Fujio F Fujiko menemui Ilahi. Siri cerita panjangnya saya tidak ingat, tetapi saya ada kurang lebih 10. Semua koleksi ini saya beli, dan saya letakkan di dalam almari yang paling jelas di rumah mak saya. "Nah mak, dulu tak bagi sangat tengok kartun, sekarang saya beli letak sini jelas-jelas, apa mak boleh buat?". Kata saya kepada mak saya, tapi cuma dalam hati saja.

Bila saya dah besar, mak saya pun sporting. Bila saya di universiti dahulu, maklum sahaja duit sentiasa tidak mencukupi. Pernah sekali ketika mengunjungi kedai buku Popular, saya ambil 2 buah buku Doraemon dan minta mak saya bayarkan, dan dia dengan senang hati membayarnya. Terima kasih mak!

Sehingga hari ini minat saya pada Doraemon masih lagi tidak luput. Memang benar, melarang anak-anak menonton cerita kartun bukanlah satu penyelesaian yang baik untuk membuatkan anak-anak kita belajar dengan rajin. Malah, kartun seperti Doraemon membawa mesej keamanan di dalam setiap cerita, terutama cerita-cerita panjang. Saya tidak pernah pun terfikir kartun Doraemon yang merapu itu sebenarnya mempunyai agenda yang sangat murni.

Dan, yang penting sekali, Fujio F Fujiko bukanlah pelukis kartun yang biasa-biasa dan berotak kartun. Setelah membaca Doraemon, saya menyedari mendiang ialah seorang yang mempunyai pengetahuan yang luas di dalam bidang sains!

1 comment:

Seorang Bukan Sasterawan said...

nanti akan aku galakkan anak aku membaca Doraemon juga supaya besar nanti menjadi seperti kamu..