18 July 2010

Pandanglah secara menyeluruh


Di antara rancangan yang kerap ditonjolkan di dalam saluran Animal Planet ialah kehidupan haiwan-haiwan di safari Afrika. Antara watak-watak utama haiwan yang sentiasa 'berlakon' di dalam rancangan itu ialah singa, dubuk, gajah, rusa, kuda belang dan sebagainya. Hanya ada dua watak sahaja secara amnya, satu 'si penjahat' iaitu haiwan yang memakan haiwan lain, manakala satu lagi ialah 'si baik' iaitu haiwan yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan. 'Si baik' ini pula sentiasa dibuli oleh 'si penjahat', sehinggakan tidak ada satu pun adegan di mana 'si baik' ini dapat membalas dendam akan perbuatan 'penjahat' kepada rakan-rakannya. Setiap kali tiba adegan beberapa ekor pemangsa mengejar mangsanya, isteri saya akan sentiasa menutup mata kerana simpati dengan haiwan-haiwan berkenaan. Ibu saya lebih dahsyat. Dia akan cepat-cepat menukar ke saluran lain sebelum pemangsa itu sempat menerkam. Sebenarnya perbuatannya menukar ke saluran lain tidak memberi apa-apa kesan pun. Singa yang selalunya menjadi pemangsa akan tetap mendapat habuannya. Kedua-dua ibu dan isteri saya memberikan alasan yang sama, mereka bersimpati dengan haiwan lemah yang selalu menjadi mangsa.

Manusia selalunya begitulah. Jangkauan pemikiran mereka tidak akan dapat melepasi apa yang ditakdirkan oleh Allah. Manusia sentiasa melihat sesuatu dari perspektif yang sempit tanpa cuba untuk melihat dari aspek yang lebih menyeluruh. Seperti rancangan Animal Planet itu, mereka hanya melihat dari mata seekor mangsa seperti arnab, rusa, kerbau dan sebagainya. Mereka tidak pernah pula melihat kehidupan dari sudut kacamata seekor harimau, dubuk, buaya atau helang.

Allah Maha Adil. Di atas sifat belas kasihan dan pandangan-Nya secara menyeluruhlah semua haiwan menikmati hidangan yang telah ditakdirkan. Seekor singa ditakdirkan untuk membaham rusa atau kijang, manakala rusa atau kijang pula ditakdirkan untuk memakan daun. Dubuk/hyena pula selalunya akan kekenyangan hanya dengan menikmati daging mangsa yang telah dijamah oleh singa terdahulu. Manakala burung hering akan menikmati sisa-sisa yang ditinggalkan oleh dubuk. Semua makhluk ciptaan Yang Maha Mengetahui ini akhirnya akan kekenyangan.

Allah mempunyai sifat Yang Maha Bersimpati. Tetapi sifat simpati Allah itu bukanlah disandarkan kepada mangsa semata-mata. Allah juga bersimpati kepada haiwan pemangsa, kerana itulah diberikan-Nya makanan yang segar dari daging haiwan yang lain. Sekiranya Allah hanya bersimpati kepada rusa, kuda belang dan arnab sahaja, maka sudah tentu Allah bersifat kejam pula kepada singa, dubuk, harimau bintang dan buaya.

Sebagai manusia kita haruslah cuba untuk melihat sesuatu secara menyeluruh. Janganlah kita mendidik mata dan hati kita untuk melihat dari perspektif mangsa semata-mata, kerana sekiranya kita berbuat demikian kita akan sentiasa berlaku tidak adil kepada semua orang. Cuba-cubalah memahami mengapa sesetengah kejadian Tuhan itu dimaksudkan sebegitu, manakala sesetengah yang lain dimaksudkan sebegini pula. Setelah kita mengumpul semua cerita dan memandangnya seperti melihat susunan gambar (jigsaw puzzle) yang sempurna, mungkin di situ barulah kita dapat menilai kepada siapa harus kita berikan perasaan simpati.

Sebenarnya agak sukar untuk memandang sesuatu secara menyeluruh. Di samping maklumat dan ilmu yang terhad, kita juga cenderung untuk menilai dengan emosi. Walaupun begitu, dengan didikan kepada hati yang kuat dan berterusan, akhirnya kita akan dapat juga belajar untuk menilai sesuatu dengan melihat kepada segenap segi. Semoga Allah memberkati kehidupan kita semua dan dapat menjalankan keadilan di muka bumi ini.


2 comments:

Nafastari said...

ekosistem

Seorang Bukan Sasterawan said...

hukum rimba, yg kuat jadi pemangsa,yg lemah jadi mangsa..
hakikatnya,tiada yg kuat akan kuat selamanya,tiada yg lemah akan dibuli selamanya..
kalau kita kuat,sedarlah akan ada yang lebih kuat,kalau kita lemah,berusahalah untuk menjadi kuat..insyaallah ada jalannya..