08 October 2010

Papan, menjenguk 50 tahun ke belakang


Saya berpeluang melawat pekan Papan apabila mengadakan lawatan tapak di situ baru-baru ini. Pekan Papan ialah sebuah pekan kecil yang terletak di tengah-tengah Negeri Perak dan dihuni oleh lebih kurang 100 orang penduduk. Ia didominasi oleh kaum Cina dan pekannya tidak boleh dipanggil pekan pun kerana ia sangat kecil. Walaupun begitu, pada masa dahulu ia pernah menjadi pusat pengeluaran bijih timah yang paling banyak di dunia. Sekarang pekan ini sangat sepi dan ketika saya hadir bersama beberapa kereta pacuan empat roda, orang-orang di sini memandang dengan sinis menandakan bahawa mereka jarang menerima kehadiran tetamu luar.




Pengarah filem Allahyarham Yasmin Ahmad selalu menggunakan pekan ini di dalam filem-filemnya kerana pekan ini mempunyai banyak bangunan-bangunan bercorak 1950-an. Seperti yang saya katakan tadi, oleh kerana bijih timah ialah industri yang pesat di sini sekitar tahun-tahun itu, pekan-pekan ini terbina dengan maju sekali beserta dengan kemudahan prasarana yang lengkap pada masa itu. Hari ini, bangunan-bangunan ini masih berdiri teguh tetapi agak kusam dan tidak bermaya.



Di pekan ini juga terdirinya istana lama yang digelar Istana Mendailing. Saya pun tidak tahu milik siapakah istana ini sebenarnya kerana tidak diduduki dalam tempoh yang lama. Terdapat beberapa kubur yang masih ada yang saya rasakan kubur kanak-kanak kerana saiznya yang kecil. Di sebelah istana itu juga terdapat sebuah surau yang membuktikan masyarakat Melayu menghuni sebahagian kecil kawasan Papan ini suatu masa dahulu.



Hari ini pekan legenda ini tidak sehebat zaman kegemilangannya dahulu. Jika silap percaturan oleh Kerajaan Negeri, pekan ini akan luput dari peta Negeri Perak kerana terdapat cadangan untuk melombong bijih timah yang masih ada secara besar-besaran di sini. Sekiranya perancangan ini mendapat kelulusan Kerajaan Negeri, semua bangunan-bangunan di sini akan diruntuhkan sehingga menjadi kolam besar lombong bijih seperti yang kita lihat di tempat lain.

Bangunan-bangunan di sini juga suram dan sayu seakan-akan meratapi nasibnya yang dipinggirkan. Saya menyarankan kepada pencinta sejarah supaya lawatlah pekan ini dan berilah sokongan moral kepada bangunan-bangunan yang masih ada sebelum ia hilang buat selama-lamanya. Berterima kasihlah kepada pekan ini di atas sumbangan besar bijih timah yang memungkinkan wujudnya Bandaraya Ipoh seperti yang kita lihat pada masa ini.

Nota : Bijih timah Malaya adalah penyelamat kepada ekonomi Kerajaan British sewaktu mereka mengalami 'great depression' sekitar 1900-1950.

6 comments:

Anonymous said...

first time dengar pasal pekan ni..
pekan ni rasanya ikut nasib penjara pudu..sebab nak kaut keuntungan,sejarah2 lupus pon tak pe...

shahrilhakime said...

sayanggg...pekan yang penah megah....tapi sudahnye bakei berkubor..... kalo pentingkan untung.....memang kompom le jadi sejaghah....

Anonymous said...

salam..

pekan yg indah..dengan seni binanya..

eMMe said...

Pekan Karai tau? tapi maju skit dari Pekan Papan....

kelisa_samudera said...

pidut asis : dah lama pekan ni hilang dalam ingatan. rasanya mmg macam tu kut. tapi pekan ni masih boleh diselamatkan kalo nak banding dengan penjara pudu tu. saya penah tulis pasal penjara pudu

http://kelisasamudera.blogspot.com/2010/06/selamat-tinggal-tembok-pudu.html

D : mike kan oghang pelancongan. takleh buat sesuatu ke? kekeke. jadikan dia bandar bijih timah ke apa ke.

sekamar rindu : pekan ni sunyi je. indah dari segi bina.

emme : dekat sungai siput kan?

tinuj said...

Salam yop,

Teman ponah lalu pekanni mase bertugaih di Seri Iskandar dulu memang sunyi dan uiqnye.