31 January 2010

Kita bagaikan bidak catur


Suka atau tidak, kita harus menyedari bahawa kita ini hanyalah bidak catur Allah Yang Maha Berkuasa di dunia ini. Seperti lazimnya permainan catur, kita juga mempunyai fungsi yang berbeza di dunia yang sangat luas. Setiap dari kita mempunyai watak yang pelbagai, berada di posisi yang berlainan, berwajah tidak serupa dan hidup juga mengikut cara kita sendiri. Allah jualah yang berkuasa memainkan kita mengikut sesuka hatinya, ditolak ke bawah, ke atas, kiri dan kanan mengikut selera-Nya sehinggalah permainan ini berakhir suatu hari nanti.

Di dalam permainan ini juga, kita tidak akan terlepas dari rasa kemenangan, kekalahan, berkorban atau dikorbankan. Segala-galanya dilakukan mengikut strategi Allah yang mempunyai hikmah yang tidak tercapai. Pernahkah kita mempersoalkan strategi kita sendiri apabila bermain catur ketika mana kita terpaksa mengorbankan sesuatu yang dirasakan sangat penting seperti bidak permaisuri? Tentunya pengorbanan itu dilakukan setelah berfikir panjang bahawa matlamat untuk menang itu adalah lebih utama dari menyelamatkan permaisuri.

Begitulah agaknya cara Allah bekerja. Kekadang apabila melihat seseorang yang sangat penting di dalam hidup kita diambil Allah dari segi nyawa atau kudratnya, lalu kita mempersoalkan mengapa Allah memperlakukan kita dengan cara yang tidak wajar itu. Bahawa sesungguhnya Allah sangat luas pengetahuannya, berhikmah di dalam tindakannya dan akhirnya kemenangan kita akan datang juga jika kita benar-benar percaya dengan sepenuh keimanan.

Di suatu masa yang akan datang, sekiranya salah seorang dari bidak catur kita yang paling penting diambil Allah, fikirkanlah bahawa bidak catur Nabi Muhammad yang terpenting iaitu Siti Khadijah dan Abu Talib juga diambil dengan cara yang serupa. Lalu dengan kematian mereka yang dikasihi itu adakah Nabi Muhammad telah kalah? Tidak sesekali. Malahan agama-Nya yang suci itu disebarkan dengan lebih luas tanpa kehadiran bidak yang penting. Mungkin juga boleh dikiaskan bahawa Nabi Muhammad telah memenangi perlawanan ini tanpa permaisuri dan kota, jadi apalah kiranya jika Allah hanya mengambil bidak tentera sahaja dari kita. Kerana manusia yang paling dikasihi-Nya juga tidak terlepas dari strategi Allah yang Maha Mulia.

18 January 2010

Bagaimana orang-orang dahulu kala hidup?

Ada satu persoalan yang telah bermain di benak saya sejak sekian lama. Menyorot kepada sejarah dunia sejak 200 tahun ke belakang, banyak kemajuan drastik dicapai oleh manusia dari segi peradaban. Abad 1800-an dan 1900-an, manusia telah mencapai tahap yang terlalu laju di dalam pencapaian bangsa, di mana ketika inilah manusia telah menjumpai cara-cara untuk terbang di langit, mencipta dunia-dunia yang dahulu hanya khayalan orang tua, mencipta teknologi internet, jaringan jalanraya, membina bangunan-bangunan tinggi malah menemui formula-formula mencegah penyakit berjangkit. Sejarah menyatakan manusia sejak dari Nabi Adam lagi sudah menghuni dunia ini lebih dari beribu-ribu tahun, malah ada pendapat mengatakan tempoh Adam dijadikan sehinggalah kepada tahun 2010 Masihi ini sudah mencecah ke 100,000 tahun. Persoalan yang bermain di minda saya ialah mengapa hanya untuk tempoh 200 tahun ke belakang ini baru manusia menjumpai cara hidup yang lebih bertamadun? Adakah selama beribu-ribu tahun dahulu mereka hanya hidup sebagai orang batu yang tidak tahu apa itu internet, jalan raya dan sebagainya?

Setelah membaca dan meneliti beberapa tulisan di beberapa sumber, saya mendapat jawapan yang samar dan kabur tetapi dapat memberikan gambaran yang boleh difikirkan tentang kehidupan orang-orang dahulu. Mereka hidup bertamadun seperti kita malah mungkin juga mereka lebih maju dari kita. Mungkin orang-orang zaman dahulu mempunyai teknologi untuk terbang seperti Superman, bergerak pantas seperti Jumper atau mempunyai set kapal terbang peribadi untuk bergerak ke mana sahaja. Teori ini nampak lucu dan bodoh, tetapi jika difikir-fikirkan kembali ia ada logiknya. Malah, tiada sarjana yang pernah menafikan ketamadunan orang-orang dahulu.

Kita masih lagi berfikir bagaimana Piramid, Tembok Besar Cina atau Taman Tergantung di Babylon dibina. Kita juga mengagumi bagaimana Nabi Noh dapat membina kapal yang besar dengan bantuan hanya beberapa orang yang beriman. Bukankah kita tidak perlu berfikir sedahsyat itu jika kita memikirkan bahawa orang-orang dahulu berteknologi tinggi? Seperti juga kita mengagumi pembinaan bangunan tinggi Burj Khalifa atau Palm Island, teorinya mungkin sama sahaja.

Saya tidak ingat syariat Nabi mana yang diperintahkan jika seseorang itu menyesali perbuatannya, dia hanya boleh bertaubat di Mekah. Allah tidak akan menerima taubatnya di tempat lain. Seperkara lagi, jika seseorang ummat Nabi itu terkena najis di mana-mana anggota badannya, anggota yang terkena najis itu harus dipotong dan dibuang. Maka banyaklah manusia-manusia yang mungkin kudung tangannya, hilang lidah kerana termakan benda kotor atau hilang kaki kerana terpijak najis. Bukankah Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Mengapa disuruh melakukan perintah yang pelik dan tidak masuk akal itu?

Tentu sahaja Allah memberikan syariat dan peraturan mengikut keupayaan sesuatu ummat. Sama seperti perintah Allah kepada ummat Muhammad supaya bersolat sebanyak 5 kali sahaja berbanding 50 kali. Saya agak pasti mengikut teori saya yang jahil, ummat nabi yang disyariatkan benda-benda pelik itu mempunyai keupayaan yang luar biasa di dalam hidup mereka. Mungkin mereka boleh memotong anggota badan mereka seperti biasa dalam keadaan sedar tanpa berasa sakit kerana makan ubat, sama seperti teori kita pada zaman ini iaitu ubat bius. Malah mungkin juga mereka telah mencipta ubat yang membuatkan anggota badan yang dibuang itu dapat tumbuh kembali. Mungkin juga mereka mempunyai kelengkapan terbang atau kereta yang sangat laju yang membolehkan mereka pergi ke Mekah pada waktu pagi dan pulang semula ke Jepun misalnya pada waktu tengah hari.

Jadi, jika dahulu mereka maju, mengapa nenek moyang kita masih lagi tinggal di kampung? Entah. Mungkin kerana gempa bumi, penyakit berjangkit, tsunami, kehilangan sumber mineral (seperti kita yang bakal kehilangan sumber petroleum) maka ketamadunan mereka akan mundur dan mundur. Jadilah mereka kembali seperti sedia kala sebelum kemajuan itu dirintis kembali oleh cucu-cucu mereka.

Segala-galanya tidak mustahil. Saya masih lagi membaca tentang perkara ini kerana ia menarik perhatian saya. Selepas ini jika kita melihat gunung, tasik, atau apa-apa sahaja, fikirkanlah bahawa itu bukanlah alam semulajadi yang sebenar. Ia mungkin hasil tinggalan dari nenek moyang kita yang bertamadun.

Tidak mustahil juga anak-anak cucu kita akan menyangka Palm Island di Dubai, Tasik Belum di Perak atau Empangan Tiga Gunung di China itu sebenarnya kejadian alam semulajadi dari azali, sedangkan sebenarnya tamadun kitalah yang mengubah struktur geografi itu. Sekarang saya sudah mula mengesyaki gunung-ganang di sekeliling rumah saya. Dahulu ia hanyalah tanah lapang, tetapi ditambak supaya menjadi setinggi gunung untuk dijadikan kubu mempertahankan negara. Siapa tahu?

13 January 2010

KD Seri Inderapura


Dari lobi Hotel Swiss-Garden Damai Laut Lumut, kita akan dapat melihat beberapa tempat menarik di situ seperti Pulau Pangkor dan Pulau Batu Putih. Pulau Batu Putih ini lebih kecil dari Pulau Batu Putih yang direbut di antara Malaysia dan Singapura, dan semestinya pulau ini tidak menjadi pertikaian kepada negara lain. Di sebelah kiri pemandangan kita akan dapat melihat Sungai Manjung yang luas seperti laut, dan di pesisiran Sungai Manjung terdapat bandar Lumut dan pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia. Tetapi kedua-dua tempat menarik ini tidak dapat dilihat dari lobi hotel berkenaan.

Menariknya, KD Seri Inderapura yang pernah terbakar dahulu masih lagi disimpan di sini. Ia dapat dilihat dengan jelas jika kita memakai teropong atau sekurang-kurangnya kamera berfokus tinggi. Tetapi memandangkan kamera saya hanyalah bertaraf biasa-biasa, saya sudah cukup berpuas hati dengan gambar yang saya ambil. Gambar ini akan menjadi kenangan yang lama. Bukan mudah untuk menunggu kapal tentera terbakar lagi. Mungkin ia akan mengambil masa bertahun-tahun dari sekarang.

Kapal ini dikatakan dilabuhkan di beting pasir yang mana ia tidak menjadi laluan untuk kapal-kapal yang lain. Menarik juga jika melihat beting pasir boleh timbul di tengah-tengah laut. Terdapat sebuah lagi kapal TLDM yang berlabuh sepanjang masa untuk memberi amaran kepada kapal-kapal yang lain jika mereka mendekati bangkai Seri Inderapura. Menurut maklumat yang saya terima, kapal ini masih tidak dapat dilupuskan sebelum semua data pelupusan diambil.

Kapal ini dicadangkan untuk ditenggelamkan di Pulau Sembilan untuk menjadi habitat ikan-ikan. Lebih baik jika kapal ini dicerai-beraikan dan komponennya dijual secara besi buruk. Tentulah ia akan mendapat pulangan lumayan. Tetapi semestinya pihak kerajaan lebih mementingkan aspek keselamatan negara dari wang, sebab itulah ia dilupuskan secara ditenggelamkan.

07 January 2010

Ole Gunnar Solskjaer

Bagi siri individu ini, saya akan menulis tentang pandangan saya terhadap individu-individu yang menarik hati samada mereka itu menjelikkan, dikagumi, unik atau apa-apa sahaja. Pandangan saya ini adalah pandangan saya seorang hasil dari pemahaman sendiri sama ada dari pembacaan, media dan pengalaman secara langsung atau tidak langsung dengan individu berkenaan. Penilaian saya terhadap seseorang individu ini mungkin berbeza dengan orang lain. Ia tidak berkaitan langsung untuk menjadikan mereka sebagai idola atau bahan cemuhan kerana saya percaya, setiap dari kita adalah istimewa. Bagi siri pertama ini, saya memberi penghormatan kepada Ole Gunnar Solskjaer.


Ole Gunnar Solskjaer ialah bekas penyerang Manchester United. Dia mengucup zaman-zaman kegemilangan pada lewat tahun 1990-an dan awal dekad 2000. Saya memilihnya kerana terpesona dengan wataknya sebagai penyerang yang sangat berbisa di padang.

Solskjaer yang berwarganegara Norway digelar sebagai 'pembunuh berwajah budak' (babyface killer). Memang benar, mukanya tidak larut dimakan usia. Gelaran ini sangat mengagumkan jika kita membaca komik-komik keluaran Jepun atau Cina jika wajah seseorang yang menjadi wira atau penjahat sangat kontra dengan watak mereka. Tentu sahaja seorang antagonis yang bermuka baik akan lebih diingati oleh orang ramai berbanding antagonis bermuka bengis. Tidak ramai penyerang di dunia yang digelarkan sebagai pembunuh. Solskjaer berjaya membuktikan wajah 'tidak berdosanya' adalah racun kepada musuh-musuhnya di padang. Di satu pihak, dia dianggap sebagai hero yang menjadi penyelamat pada saat-saat akhir, sama seperti hero-hero komik atau hero-hero Hindustan. Di satu pihak yang lain pula, dia mungkin seorang penjahat yang sangat kejam yang mempergunakan wajahnya yang kudus.

Solskjaer ialah senjata rahsia untuk pasukan Manchester United. Dia hanya akan masuk ke padang pada minit-minit akhir perlawanan, selalunya di sekitar minit ke 70 atau 80 sahaja. Tetapi kemunculan lewatnya itulah yang selalu diingati. Kemasukannya akan mengubah langsung corak permainan Manchester United sehinggakan pihak lawan akan merasa keliru. Lantaran rasa keliru dan kubu pertahanan menjadi kucar-kacir, dia akan mengambil peluang untuk menjaringkan gol. Saya berasa kagum dengannya kerana sepanjang kariernya di Manchester United dia menjaringkan lebih 100 gol sama seperti Andy Cole, Dwight Yorke dan Ruud van Nistelrooy. Tetapi lebih mengagumkan, penyerang-penyerang lain bermain hampir sepenuh masa tetapi dia hanya bermain sekitar 10-30 minit sahaja.

Gol yang paling dikenang baginya mungkin ialah gol kemenangan yang dijaringkan ketika menentang Bayern Munich pada peringkat akhir Piala Juara-Juara 1999. Gol lewat itu membolehkan Manchester United merangkul 3 kejuaraan di dalam satu musim yang digelar 'treble'. Pada ketika Manchester United ketinggalan 1-0 sehingga ke minit 80, dia dan Paul Scholes menjaringkan gol-gol kemenangan yang lewat untuk Manchester United.

Walaupun begitu, gol itu akhirnya membawa malang kepadanya. Dia meraikan gol dengan menggelungsurkan kaki di atas padang, dan akibatnya dia mengalami kecederaan berpanjangan sehingga membuatkan prestasinya menurun. Sejak dari itu, dia kerap mengalami kecederaan di lutut dan tidak sembuh-sembuh sehingga terpaksa mengumumkan persaraan pada tahun 2009.

Saya sangat meminati wataknya sebagai pembunuh itu. Wajahnya tidak bersalah, tiada siapa yang meraguinya seperti tiada siapa pun yang meragui keikhlasan seorang kanak-kanak. Tetapi dengan wajahnya itulah dia memperdaya orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Lebih-lebih lagi, kemunculannya hanyalah beberapa ketika (cameo) tidak seperti pemain-pemain lain. Bagi pasukan lawan, dia ialah penjahat yang sangat kejam, tetapi bagi saya dan peminat Manchester United, dialah wira yang terbilang. Selepas persaraannya, dia mendapat 'guard of honor' di Stadium Old Trafford, satu majlis yang jarang dilakukan walaupun kepada bintang-bintang besar bolasepak yang lain.

04 January 2010

Lembaran itu pun ditutup


Hari ini secara rasminya saya menutup Buku Perancangan 2009 dan membuka buku baru. Selamat tinggal tahun 2009. Segala kenangan manis akan disimpan sebagai motivasi diri dan kenangan pahit akan berusaha untuk diluputkan dari ingatan setelah kita mengambil intipati-intipati yang pahit tetapi berhikmah itu. Seperti mana awal-awal tahun, saya masih lagi janggal untuk menulis tarikh, terutamanya nombor 2010 yang akhir itu. Mungkin pada bulan Februari nanti kejanggalan itu pun akan menjadi biasa-biasa sahaja.

Semakin banyak mukasurat buku itu disingkap dan seterusnya ditutup, saya pun sudah semakin tua. Bermulanya tahun baru adalah penanda bahawa tanggungjawab akan semakin berat, cabaran akan semakin besar, kudrat sudah semakin kurang dan usia sudah semakin dekat dengan kematian serta amalan akan lebih diutamakan. Semoga saya dan kita semua sentiasa di dalam lindungan Allah.

Melihat kepada penunjuk-penunjuk semasa, tahun 2010 ialah tahun yang sangat rumit. Saya cuma dapat berharap supaya saya tabah mengharungi segala yang ada. Bagi tahun 2009, rasanya saya puas dengan pencapaian pada tahun itu. Sungguhpun tidak ada pencapaian yang besar untuk dicapai, tetapi tidak ada juga kegagalan yang besar yang saya tempuhi.

Selamat tinggal 2009. Jika saya berkelapangan, saya akan berusaha untuk menulis imbasan hidup 2009.