06 March 2011

Tentang ujian


"Alif Lam Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? "
Al-Ankabut : 1-2

Manusia adalah makhluk yang sentiasa lemah dari segi minda dan jasmaninya. Dengan kelemahan itu, Allah 'mengusik' dengan cara menguji untuk mencari siapakah hamba-Nya yang paling teguh pendirian terhadap keimanan. Sangat mudah untuk kita berkata bahawa kita telah beriman dengan sepenuh hati, namun adakalanya apabila ujian datang bertimpa-timpa, keimanan itu digoncang dengan kuat bagaikan angin menyapa lalang yang lembut. Pada masa itu kebanyakan dari kita akan hilang pendirian dan pedoman, bahkan keimanan yang dijaga dengan teguh juga boleh sahaja tersasar dari jalan yang sebenar yang memungkinkan kita untuk terjerumus ke lembah dosa dan maksiat.

Senggang-senggang masa apabila diuji selalunya kita akan mendakwa bahawa ujian kepada diri kita adalah yang paling tinggi berbanding orang lain. Tidak kira macammana bentuk ujiannya samada kesakitan, kepapaan, keresahan dan kesedihan, kita selalu terlupa bahawa ujian itu adalah tanda kasihnya Dia kepada kita hamba yang hina. Kita sentiasa harus percaya bahawa Allah dengan sifat kasih dan sayang-Nya yang tinggi kepada kita tidak akan sesekali memberikan ujian yang tidak dapat kita tempuhi.

Manusia seperti kita yang lemah serba serbi sentiasa takut dan resah apabila ujian melanda. Berapa ramai dari kita yang gundah gelisah apabila saudara-mara yang disayangi ditimpa kesakitan yang berpanjangan. Lalu kita memohon kepada Allah agar sakit mereka disembuhkan, dan kita rela menjadi galang gantinya. Ada pula yang berdoa supaya biarlah kekayaan material yang mereka miliki ditarik Allah semata-mata mengharapkan kesembuhan kepada penyakit.

Lain pula bagi orang yang sedang dilanda kemiskinan. Adakalanya mereka berdoa supaya diberi peluang menjadi kaya, meski kesihatan yang dimiliki menjadi taruhan untuk kekayaan yang bakal diperolehi. Begitu manusia tidak pernah redha dengan ujian, bahkan membuat urusan lain pula dengan Allah. Aku mahu ini, aku tidak mahu itu. Ayuh Tuhan, marilah kita bertukar janji tentang ujian ini. Aku sedang kaya, Kau ambillah kekayaan ini kerana aku tidak mahukannya. Aku hanya mahu tubuh yang sihat. Di lain masa, batang tubuh yang sama juga berbicara benda yang berlainan. Wahai Tuhan, aku mahu menjadi kaya, Kau ambillah nikmat kesihatan aku barang sebentar supaya aku dapat merasai segala-galanya. Apabila aku sudah kaya, akan kucari penawar yang mujarab buat mengubati sakitku ini.

Kita harus sentiasa percaya bahawa ujian yang ditimpakan kepada kita sentiasa dapat ditangani sekiranya kita teguh dengan keimanan kepada Allah. Biarlah orang tersayang pergi, biarlah kemiskinan melingkari hidup kita, biarlah apa sahaja yang kita benci berlegar-legar disekeliling kerana dunia ini hanyalah sementara. Kelak, apabila kita berjaya dengan ujian keimanan ini, orang tersayang yang kita kasihi dan rindui menunggu dengan penuh redha di dunia yang lain. Lalu pada masa itu berpeluk-pelukanlah kita sesama mereka sambil mengucapkan syukur kepada Allah di atas ujian dunia yang sedikit. Begitu juga biarlah kemiskinan itu sentiasa di sisi, kerana sesungguhnya Allah akan memberi kekayaan yang tidak terbatas di sana asal sahaja kita redha dengan ujian yang Allah berikan.

Hai Tuhan, kami semua mahu menangis. Ujilah kami. Nanti Kau tahu bahawa kami adalah hamba-hamba-Mu yang taat. Yang penting, kami mahu bertemu-Mu di akhirat sana. Tiada ujian yang sukar di dunia ini kerana mahar yang Kau janjikan lebih tinggi dari sekadar kesakitan, kemiskinan, keresahan dan kesedihan. Allah, Tuhanku Yang Maha Agung.

8 comments:

a.samad jaafar said...

sahabatku kelisa..t kasih atas santapan rohani ini.. alangkah payahnya utk menjadi hamba yang redha dan bersyukur..alangkah !Semoga Allah lindungi kita di bawah payung rahmat-Nya.. amin..

yg_indah said...

byk harta juga ujian.

Anonymous said...

jika mike sedang diuji.moge tabah selalu yeop yer...usah terlalu gundah gulana krn ianya b'sifat sementara..
-eda-

kelisa_samudera said...

samad : doaku begitu juga. sesungguhnya setiap saat berlalu kita semakin menghampiri Dia.

yg indah : sgt benar sekali. tapi aku rasa sikit harta ujiannya mungkin lebih berat.

eda : alhamdulillah. setakat ini ujian saya cuma kecil2 sahaja. saya berdoa supaya ditabahkan hati jika ujian besar datang nanti.

toyolkiut said...

TK x tau la ujian yg TK hadapi skrg ni dlm kategori berat ke ringan..
tp TK berpegang pada kata2, ada lg yg lbh berat menghadapi ujian berbanding TK yg baru sekelumit tu..
TK bimbang sangt kalau usia yg ada tiba2 ditamatkan tanpa sempat melakukan apa yg patut..
moga Tuhan memberkati hidup TK dan kita semua skeluarga..

sahromnasrudin said...

assalamualaikum..

penuhkan dada dengan yat al-quran..insyaAllah ujian itu pasti mudah untuk ditempuhi..

yg_indah said...

pengalaman kita membezakan definisi "susah".buat masa lani, aku rasa byk harta lg berat ujiannya.tp kita boleh berbeza pndapat ttg ini.sbb pglaman kita berbeza.

MOH KEMBARA said...

Salam Yob Kelisa, kita manusia ni selalu tak puas apa yg ada, nak minta lebih tapi jarang bersyukur. Ya Allah jangan jadikan teman orang yg lupa bersyukur! Tima kaasih n3 yg memberi ingatan ni