19 January 2012

Muhasabah 2011

2011 adalah tahun yang boleh dikatakan baik juga untuk saya. Tiada pencapaian yang membanggakan, tetapi tiada pula kejatuhan yang merugikan. Semuanya biasa-biasa sahaja, tetapi kehidupan lebih tenang berbanding 2010 yang saya anggap sebagai tahun pengajaran yang kejam. Saya berjaya menguruskan kewangan dan keluarga dengan baik serta secara konsisten menghantar belanja untuk ibu di kampung walaupun saya percaya dia tidak memerlukan wang saya.

Bermula Ogos 2010, saya telah mula berpindah ke Parit Buntar dan hidup berseorangan sementara menunggu isteri saya diberikan keizinan untuk ke sini. Alhamdulillah, kehidupan bujang selepas berkahwin banyak memberikan masa untuk saya kembali bermuhasabah diri. Pulang dari kerja, tiada anak yang mengganggu, tiada pula isteri yang menyapa benar-benar memberikan masa yang tidak ternilai kepada diri sendiri. Tetapi masalah lain pula melanda, kerinduan kepada keluarga terutamanya anak yang masih kecil.

Benarlah, sabar adalah ibu kepada segala ubat. Lama-kelamaan isteri saya telah ditukarkan ke sini, lalu keluarga saya kembali bersatu semula. Kenangan-kenangan di Kuala Kangsar masih segar di dalam ingatan dan terlalu berat rasanya untuk meninggalkan pekan itu yang sangat tenang dan harmoni. Jika diizinkan Allah dengan usia yang panjang, saya akan kembali ke Kuala Kangsar menghabiskan masa-masa tua saya, kerana saya telah membeli rumah di sana. Sehingga sekarang pun, saya kerap teringat-ingat pekan itu walaupun kehidupan saya di sini baik-baik sahaja. Mungkin tempoh 2 tahun di sana benar-benar dipergunakan dengan sebaik mungkin menyebabkan saya kerap teringat pekan kecil itu.

Adik tunggal saya telah menamatkan zaman bujangnya penghujung tahun yang lalu. Ketika kami sama-sama mendengar suaminya melafazkan akad nikah, saya melihat titis-titis jernih di mata ibu saya. Mungkin dia sedih kerana mereka tidak pernah berpisah lama, kecuali ketika adik saya bekerja di Sarawak selama beberapa tahun yang lalu. Mungkin juga dia lega kerana telah menghabisi tanggungjawabnya sebagai ibu. Mungkin juga dia terharu kerana berjaya membesarkan anak-anak selama 29 tahun tanpa kehadiran suami di sisi. Kenduri mereka dibuat agak besar bagi orang kampung seperti kami, ditambah pula sokongan keluarga jauh dan dekat yang merelakan diri mereka 'diperhambakan' untuk menjadi tukang masak, tukang cuci, tukang hias dan sebagainya.

Saya juga lega. Mungkin kerana tidak perlu lagi memikirkan tentang adik saya yang seorang itu. Sekarang dia sudah punya suami, tentu sahaja suaminya akan menjaga dia dengan baik seperti kami menjaganya dengan penuh tertib. Kepada mereka saya mengucapkan selamat berbahagia. Tahun-tahun mendatang akan disulami dengan cabaran, kerana kata orang 10 tahun pertama perkahwinan adalah masa yang sangat getir. Sekiranya 10 tahun itu berjaya dilepasi dengan baik, lazimnya perkahwinan akan kekal harmoni sehingga akhir hayat. Lazimnya begitu.

Selain dari itu, saya sangat tenteram. Benarlah, kembali kepada Allah adalah satu-satunya cara untuk manusia kekal tenang. Bagaikan seseorang yang terbiasa diterangi lampu kalimantang di malam hari, matanya akan menjadi silau jika ternampak lampu limpah yang lebih terang. Begitulah tentang iman. Penambahan iman membuatkan manusia kaget seketika sebelum terbiasa. Bukan kerana takut, tetapi lebih kepada gementar dengan pertambahan iman di dalam hati.

Terima kasih semua rakan-rakan blogger yang saya kasihi. Saya mungkin sedikit perasan, tetapi saya menyedari ada beberapa rakan-rakan yang setia menunggu saya mengemaskini blog ini. Saya sangat terharu, bahkan terasa seperti ada ikatan yang menjalinkan kami semua di alam maya ini walaupun dari segi realitinya tidak pernah bersua muka. Insya Allah dengan izin Dia Yang Maha Menentukan, saya akan menulis blog ini tanpa jemu lagi.


7 comments:

MOH KEMBARA said...

Salam yob,

amat retro entry ni. dpt selami sikit sebanyak diri dan minda yob. dpt dinilai dlm new persepsi. tulisan begini sukar teman nk buat dlm blog teman. teman tak bape hmm..hurmmm...terbuka. sonok baca citer kuarga yob ni.

a.samad jaafar said...

aku berani mengaku bhw aku sentiasa mengharapkan kamu kembali.. yg aku anggap peneman dlm dunia blog..

aku tak pandai menulis n3 serius begini KS..kamu yg mampu..

membaca n3 ini aku membayangkan anak dan isteri kamu yg pernah aku temu dulu.. moga keluarga kamu beroleh keberkatan, kebahagiaan di dunia juga akhirat.. amin.

a.samad jaafar said...

aku berani mengaku bhw aku sentiasa mengharapkan kamu kembali.. yg aku anggap peneman dlm dunia blog..

aku tak pandai menulis n3 serius begini KS..kamu yg mampu..

membaca n3 ini aku membayangkan anak dan isteri kamu yg pernah aku temu dulu.. moga keluarga kamu beroleh keberkatan, kebahagiaan di dunia juga akhirat.. amin.

eMMe said...

hurm... bile le nak jumpe yop kelisa n yop A.samad jaafar ye?

Emmet said...

wah, entry yang menarik, blog ni pun lawa, keep up the good work! :D

huds said...

n me..one of your reader..keep up okeh

a.samad jaafar said...

salam KS..
respond pd komen kamu kat n3 aku..

bangunan Tabung Haji itu sudah dibeli oleh abang kedua aku, mohd isa b jaafar..dia pernah mempelawa aku berkongsi utk membelinya, tapi duit aku kurang 50ribu waktu tu.. frust jgk aku..akhirnya,dia menjadi pemilik tunggal bangunan tu... mungkin kamu kenal dia..ingat majlis kenduri yg kamu hadiri dulu? Itu perkahwinan anaknya..