16 December 2015

Susah yang tidak sukar (2)



Ketika menulis coretan ini, sudah tiga minggu berturut-turut saya berulang alik ke Lembah Klang untuk melawat isteri dan anak-anak saya. Sukar juga rasanya untuk membiasakan diri memandangkan saya terpaksa membahagikan masa dengan baik di antara kerja pejabat dan keinginan untuk bertemu mereka, namun digagahkan juga. Saya mahu berpegang kepada prinsip biarlah susah, kerana susah ini tidak lama. Lama kelamaan ia akan menjadi mudah, tetapi jika tidak menjadi mudah pun haraplah supaya pengorbanan ini menjadi modal untuk membela diri di hadapan Tuhan nanti. Saya ingin menjadi suami yang baik, bapa yang penyayang dan pekerja yang berdedikasi, maka oleh itu hendak tidak hendak perlulah saya bijak mengendalikan keadaan ini.

Menggunakan pengangkutan awam, itulah modus operandinya. Kadang-kadang menaiki bas tetapi lebih kerap pula menggunakan keretapi. Ketika saya belajar di sana lebih kurang 10 tahun yang lalu menaiki bas sudah menjadi lumrah untuk pulang ke kampung, namun suasana itu sudah lama saya tinggalkan sejak bekerja di negeri Perak ini. Mungkin sahaja Allah ingin mengembalikan kenangan manis manis pahit itu kepada saya, lalu diberikan ujian ini sebagai kesempatan untuk saya mengimbau kembali kenangan lalu. Namun kali ini saya sulam-sulamkan dengan pengangkutan keretapi yang lebih selesa dan mudah, kerana badan yang tua ini sudah tidak berdaya lagi menanggung lambung-lambung bas ketika ia dipandu. 

Pernah di dalam satu hujung minggu saya menaiki bas untuk pergi dan balik ke sana, dan badan menjadi sangat letih lesu sehingga terpaksa datang lewat ke tempat kerja. Lebih lagi secara kebetulannya bas yang saya naiki untuk pulang ke sini rosak di tengah jalan, dan penumpang-penumpang terpaksa menunggu hampir 2 jam di tepi lebuh raya untuk mendapatkan bas ganti. Saya menaiki bas pada pukul 7.30 malam dan tiba pada pukul 5.00 pagi, dan ketika itu badan saya sakit-sakit hampir 3 hari lamanya. Barulah saya mengerti bahawa kudrat saya sudah semakin kurang, jika pada masa belajar dahulu menaiki bas baik-baik sahaja tetapi sekarang tidak lagi. 

Banyak yang saya belajar sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini. Kadang-kadang rasa seperti mahu menangis apabila mengenangkan kasih Allah yang terlalu tinggi kepada saya dan keluarga. Di dalam susah-susah kami berpisah jauh ini ada juga Allah meletakkan manis-manis di celah-celahnya sehingga saya sendiri tidak dapat membezakan mana satu aspek yang menyusahkan dan mana satu aspek yang memudahkan. Mungkin benarlah, kita melihat dunia ini melalui kaca mata yang kita ciptakan sendiri. Jika kita sendiri berfikiran positif, maka apa yang berlaku di dalam ruang lingkup kehidupan kita akan menjadi positif walaupun orang melihatnya nampak negatif. Begitu jugalah sebaliknya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Allah kerana memberi akal yang positif untuk saya menempuh cabaran.

Terima kasih juga kepada Tuhan yang telah memberi keluarga kami ujian yang kecil ini. Dengan ujian ini saya kembali sedar kadang-kadang kita perlu merasa susah supaya kita ingat asal usul kita yang hina ini, dan dengan peringatan itu kita tidak akan berasa sombong atau bangga diri.

No comments: