29 December 2015

Fitrah keadilan



Ada manusia diuji oleh Allah dengan kesukaran sepanjang hidupnya. Mungkin ada masa-masa dirinya merasa senang dan tenteram tetapi pada zahir mata orang lain dia diuji dengan kesusahan sepanjang masa. Hidupnya tidak pernah dilimpahi kemewahan material, sentiasa ketinggalan dari harta benda, tidak pandai di dalam bidang kerja manusia malah tidak mempunyai sanak saudara pun. Ditambah pula dengan ujian kesedihan akibat kematian orang tersayang, perceraian atau tiada orang yang boleh menumpang kasih sayang. Hidupnya serba serbi susah sejak dilahirkan.

Ada pula manusia yang diuji Tuhan dengan kesenangan yang melampau-lampau. Sejak lahir hingga saat kematian pada zahirnya mewah-mewah sahaja, seperti raja-raja atau anak-anak menteri. Jika ada kesedihan pun hanyalah pada hati nurani mungkin akibat putus cinta, kehilangan harta yang disayangi kerana dicuri atau sebagainya. Hidup mereka berpengaruh, wajah mereka cantik dan tampan, wang mereka banyak dan kawan-kawan juga ramai. Tidak dinafikan kita sentiasa mengimpi kehidupan jenis ini, bahkan kadang-kadang berangan-angan jika tidak sesenang itu dapat berkawan dengan mereka pun tidak mengapa.

Inilah fitrahnya. Tuhan tidak menjadikan dunia ini tempat yang adil untuk kita semua. Masakan boleh adil jika ada manusia yang susah tetapi ada pula yang senang. Ada manusia yang cantik ada pula yang mukanya hodoh. Ada yang berpengaruh boleh membeli apa sahaja termasuk kuasa, tetapi jika tiada apa-apa bukan sahaja dilayan dengan buruk malah mereka ini diinjak-injak pula. Mengapakah Tuhan menjadikan keadaan ini di dunia? Tidak lain hanyalah untuk menunjukkan bahawa ada satu tempat di mana keadilan akan tercapai juga suatu masa nanti. Ketika di dunia Allah menetapkan keadaan kita sebegini, janganlah lupa pula satu hari nanti segala-galanya itu akan kembali juga ke pangkuan Tuhan. Oleh yang demikian, jika kita dikurniakan dengan kemewahan segala-gala yang ada di dunia ini, tidak perlulah meninggi diri kerana suatu masa nanti orang yang tidak punya apa-apa boleh pula meminta di hadapan Tuhan benda yang kita miliki itu.

Kadang-kadang kita mengeluh jika nasib tidak memihak kepada kita. Sebagai contoh kita memohon kerja di satu tempat, tetapi mengapa orang lain pula yang dapat padahal kita dan mereka sama-sama mempunyai kelayakan. Jika kita benar-benar faham akan keadilan yang Tuhan tetapkan nanti, tidak perlulah kita mengeluh kerana akhirnya Allah akan memberikan keadilan juga. Percayalah dengan janji Tuhan, ianya sama sekali benar. Mungkin emosi dan nafsu kita sentiasa membayangkan kepercayaan itu, tetapi didiklah hati bahawa Allah tidak akan mensia-siakan kita. Mungkin sekarang kita rasa seperti dipencilkan Tuhan, tetapi sebenarnya tidak. Tunggulah nanti. Kita akan faham juga.

No comments: