25 October 2016

Di mana duduknya?

Ketika itu sedang solat Isyak. Saya bersolat di tingkat paling atas Masjidil Haram di tempat yang tidak berbumbung dan kebetulan imam masjid yang paling popular sedang mengimami kami. Dialah Abdul Rahman As-Sudais. Takdir Tuhan ketika beliau sedang membacakan surah pada rakaat yang kedua yang mana saya tidak begitu tahu dari surah mana dia bacakan, dia telah terlupa ayat-ayat sambungan dari bacaannya. Lalu spontan seorang dari jemaah yang berdekatan dengan saya menyambung bacaan berkenaan. Saya tahu, dan saya juga tahu bahawa si pembetul bacaan itu menyedari tegurannya itu tidak akan sampai kepada imam di bawah sana kerana jarak kami terlalu jauh, tetapi saya percaya dia hanyalah melakukannya secara spontan. Si pembetul bacaan itu bukan siapa-siapa, kerana itu dia duduk sebaris dengan saya di tingkat paling atas masjid yang sudah terlalu jauh dengan baris imam. Jika dia seorang yang penting maka sudah tentulah dia akan diberi tempat istimewa di belakang imam, atau setidak-tidaknya berada di dataran Kaabah yang luas itu. 

Hari itu hari Jumaat. Saya masuk awal ke masjid dan berada di tingkat separas dengan Kaabah lebih kurang pukul 9 pagi kerana saya tahu jika lewat sudah tentu saya tidak akan dibenarkan masuk oleh polis-polis yang garang itu. Saya membentangkan sejadah, solat Dhuha beberapa rakaat dan membaca al-Quran seperti kebiasaannya. Lebih kurang satu jam bermula dari saya masuk ke masjid dan membaca al-Quran, saya agak letih lalu mengambil keputusan untuk baring dan tidur sebentar. Begitulah. Saya bangun kembali pada pukul 11 dan menyedari orang di sebelah saya masih lagi tidak berhenti membaca al-Quran. Saya masuk lebih lewat daripadanya ketika dia sedang membaca al-Quran, saya solat dan tidur, dan dia masih tekun mentelaah kitab suci itu.

Dan kebetulan ketika saya di Mekah negara kita kehilangan seorang ulama terkemuka iaitu Dr Haron Din. Ketika saya melayari Facebook seperti kebiasaannya, saya membuka satu video berkenaan allahyarham bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW. Dia bercerita di dalam videonya sebelum dia benar-benar dapat melihat wajah nabi yang mulia itu, dia pernah bermimpi mengerjakan umrah dan berada di belakang sekali di dalam rombongan rasul yang mulia. Dia bercerita dengan penuh emosi bahawa ketika dia sedang tawaf di dalam rombongan rasul itu, dia berada di belakang sekali sehinggalah tiba satu pusingan tawaf nabi yang mulia benar-benar berada di belakangnya tetapi dia masih gagal untuk melihat wajah kesayangan umat itu. Dr Haron Din yang diketahui umum sebagai seorang yang warak, zuhud dan ilmunya setinggi awan pun hanya layak berada di tempat paling belakang di dalam rombongan nabi. 

Akhirnya ketika di Madinah selepas solat Zuhur atau Asar saya selalu melihat ramai anak-anak kecil sekitar umur 9 tahun duduk mengelilingi guru-guru mereka untuk mendengarkan hafalan al-Quran. Ada yang berkulit putih, hitam, kuning, bermata sepet, berbadan sasa atau kerdil dengan berbagai-bagai ragam dan keletah. Mereka begitu gigih membaca al-Quran dan seperti sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka dapat menghafalnya. 

Saya meneliti peristiwa yang disaksikan di depan mata kepala sendiri lalu kemudiannya merenung nasib ini yang begitu hina sekali. Seorang lelaki yang entah siapa-siapa boleh membetulkan bacaan imam yang hebat, maka sudah tentu sekali dia menghafal al-Quran jauh lebih banyak dari saya. Seorang lelaki lain yang juga entah siapa-siapa begitu tega membaca al-Quran hampir 3 jam lamanya sedangkan saya membaca 1 jam sudah letih lesu dan bosan, maka sudah tentu dia membacanya lebih banyak dari saya. Seorang ulama yang mulia di dunia Islam Malaysia yang layaknya hanya berada di tempat terkebelakang di dalam rombongan nabi yang mulia. Dan akhirnya begitu ramai anak-anak kecil yang tidak pernah berdosa mula mencari pahala dengan membaca dan menghafal al-Quran, sedangkan mereka tidak pernah berdosa. Saya ini pula orang yang tidak jemu-jemu melakukan kejahatan, diri dipenuhi dengan danur dosa yang menimbun dan sekiranya dosa-dosa saya ini berbau nanah, maka sudah tentu saya boleh mati dengan menghidu nanah yang membusuk. Aduh. Apalah untung nasib saya nanti. Layakkah saya berdoa untuk mengimpikan syurga dan menjauhi neraka sedangkan masih ramai orang yang lebih baik dari saya di dunia ini. Dan barang diingatkan inilah sebahagian dari manusia-manusia hebat yang saya jumpai di depan mata, bahkan lebih ramai lagi manusia yang hebat yang belum terketemu di dunia ini. 

Saya cuma memohon supaya Allah ampunkan dosa saya yang terlalu banyak. Apabila nabi bersabda barisan orang yang mula-mula masuk syurga ialah 80 barisan yang panjangnya dari timur ke barat, nampaknya tempat untuk saya sudah semakin samar-samar. Allah, ampunkanlah dosa saya.


No comments: