25 October 2016

Di mana duduknya?

Ketika itu sedang solat Isyak. Saya bersolat di tingkat paling atas Masjidil Haram di tempat yang tidak berbumbung dan kebetulan imam masjid yang paling popular sedang mengimami kami. Dialah Abdul Rahman As-Sudais. Takdir Tuhan ketika beliau sedang membacakan surah pada rakaat yang kedua yang mana saya tidak begitu tahu dari surah mana dia bacakan, dia telah terlupa ayat-ayat sambungan dari bacaannya. Lalu spontan seorang dari jemaah yang berdekatan dengan saya menyambung bacaan berkenaan. Saya tahu, dan saya juga tahu bahawa si pembetul bacaan itu menyedari tegurannya itu tidak akan sampai kepada imam di bawah sana kerana jarak kami terlalu jauh, tetapi saya percaya dia hanyalah melakukannya secara spontan. Si pembetul bacaan itu bukan siapa-siapa, kerana itu dia duduk sebaris dengan saya di tingkat paling atas masjid yang sudah terlalu jauh dengan baris imam. Jika dia seorang yang penting maka sudah tentulah dia akan diberi tempat istimewa di belakang imam, atau setidak-tidaknya berada di dataran Kaabah yang luas itu. 

Hari itu hari Jumaat. Saya masuk awal ke masjid dan berada di tingkat separas dengan Kaabah lebih kurang pukul 9 pagi kerana saya tahu jika lewat sudah tentu saya tidak akan dibenarkan masuk oleh polis-polis yang garang itu. Saya membentangkan sejadah, solat Dhuha beberapa rakaat dan membaca al-Quran seperti kebiasaannya. Lebih kurang satu jam bermula dari saya masuk ke masjid dan membaca al-Quran, saya agak letih lalu mengambil keputusan untuk baring dan tidur sebentar. Begitulah. Saya bangun kembali pada pukul 11 dan menyedari orang di sebelah saya masih lagi tidak berhenti membaca al-Quran. Saya masuk lebih lewat daripadanya ketika dia sedang membaca al-Quran, saya solat dan tidur, dan dia masih tekun mentelaah kitab suci itu.

Dan kebetulan ketika saya di Mekah negara kita kehilangan seorang ulama terkemuka iaitu Dr Haron Din. Ketika saya melayari Facebook seperti kebiasaannya, saya membuka satu video berkenaan allahyarham bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW. Dia bercerita di dalam videonya sebelum dia benar-benar dapat melihat wajah nabi yang mulia itu, dia pernah bermimpi mengerjakan umrah dan berada di belakang sekali di dalam rombongan rasul yang mulia. Dia bercerita dengan penuh emosi bahawa ketika dia sedang tawaf di dalam rombongan rasul itu, dia berada di belakang sekali sehinggalah tiba satu pusingan tawaf nabi yang mulia benar-benar berada di belakangnya tetapi dia masih gagal untuk melihat wajah kesayangan umat itu. Dr Haron Din yang diketahui umum sebagai seorang yang warak, zuhud dan ilmunya setinggi awan pun hanya layak berada di tempat paling belakang di dalam rombongan nabi. 

Akhirnya ketika di Madinah selepas solat Zuhur atau Asar saya selalu melihat ramai anak-anak kecil sekitar umur 9 tahun duduk mengelilingi guru-guru mereka untuk mendengarkan hafalan al-Quran. Ada yang berkulit putih, hitam, kuning, bermata sepet, berbadan sasa atau kerdil dengan berbagai-bagai ragam dan keletah. Mereka begitu gigih membaca al-Quran dan seperti sanggup melakukan apa sahaja asalkan mereka dapat menghafalnya. 

Saya meneliti peristiwa yang disaksikan di depan mata kepala sendiri lalu kemudiannya merenung nasib ini yang begitu hina sekali. Seorang lelaki yang entah siapa-siapa boleh membetulkan bacaan imam yang hebat, maka sudah tentu sekali dia menghafal al-Quran jauh lebih banyak dari saya. Seorang lelaki lain yang juga entah siapa-siapa begitu tega membaca al-Quran hampir 3 jam lamanya sedangkan saya membaca 1 jam sudah letih lesu dan bosan, maka sudah tentu dia membacanya lebih banyak dari saya. Seorang ulama yang mulia di dunia Islam Malaysia yang layaknya hanya berada di tempat terkebelakang di dalam rombongan nabi yang mulia. Dan akhirnya begitu ramai anak-anak kecil yang tidak pernah berdosa mula mencari pahala dengan membaca dan menghafal al-Quran, sedangkan mereka tidak pernah berdosa. Saya ini pula orang yang tidak jemu-jemu melakukan kejahatan, diri dipenuhi dengan danur dosa yang menimbun dan sekiranya dosa-dosa saya ini berbau nanah, maka sudah tentu saya boleh mati dengan menghidu nanah yang membusuk. Aduh. Apalah untung nasib saya nanti. Layakkah saya berdoa untuk mengimpikan syurga dan menjauhi neraka sedangkan masih ramai orang yang lebih baik dari saya di dunia ini. Dan barang diingatkan inilah sebahagian dari manusia-manusia hebat yang saya jumpai di depan mata, bahkan lebih ramai lagi manusia yang hebat yang belum terketemu di dunia ini. 

Saya cuma memohon supaya Allah ampunkan dosa saya yang terlalu banyak. Apabila nabi bersabda barisan orang yang mula-mula masuk syurga ialah 80 barisan yang panjangnya dari timur ke barat, nampaknya tempat untuk saya sudah semakin samar-samar. Allah, ampunkanlah dosa saya.


17 October 2016

Rasa tak mahu pulang

Saya pernah menulis tentang perihal beribadat di Mekah dan Madinah pada tahun 2010 yang lalu di dalam blog ini. Tulisan itu ditumpukan kepada ketenangan yang diperolehi oleh orang-orang yang pernah sampai di sana, dan mengapa mereka berasa begitu tenang dan tenteram sepanjang berada di bumi yang mulia itu. 

Syukur kepada Tuhan, Dia telah memanggil saya ke sana baru-baru ini. Menemani ibu saya sebagai mahramnya, saya berpeluang mengerjakan haji dan pengalaman di sana sangat benar berharga kepada diari kehidupan. Benarlah, apa yang saya perkatakan di dalam tulisan pada tahun 2010 itu benar-benar belaka. Ketenangan dan kedamaian yang dinikmati membuatkan rasa ingin pulang itu terkaram begitu sahaja. Mungkin jika tidak memikirkan masa hadapan, kerja dan keluarga yang saya sayangi itu mahu hendaknya saya tinggal di Mekah secara haram dan tidak pulang-pulang lagi ke Malaysia. Keinginan saya sahaja. Hakikatnya tidaklah begitu. Saya perlu juga pulang ke Malaysia. 

Entah mengapa bumi itu terlalu tenang sekali. Jika hendak difikirkan logik Malaysia jauh lebih baik, baik dari segi cuacanya, rakyatnya yang lebih peramah, jalanraya yang lebih teratur dan kebersihan yang lebih baik. Tetapi di Mekah kita selalunya menemui ketenangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya tidak punya kata-kata untuk menggambarkan betapa tinggi ketenangan di sana, cuma apa yang pasti berada di sana melupakan saya kepada kampung halaman dan keluarga. Mungkin benarlah, di sana saya tidak perlu memikirkan tentang urusan keduniaan yang remeh temeh. Bangun pagi dan tidur kembali memikirkan hanya untuk ke masjid beribadat sahaja. 

Saya berdoa supaya Allah menjemput saya lagi ke sana. Terfikirkan keadaan itu, barulah saya faham perasaan Rasulullah SAW yang sentiasa memandang ke langit menunggu wahyu untuk mengadapkan badannya ke Mekah ketika bersolat. Baginda terlalu rindu bumi mulia itu. Begitu juga saya. Dan baginda tentulah lebih-lebih lagi rindu kerana bumi itu tempat asalnya, sedangkan bumi yang sangat asing bagi saya itu pun masih boleh membuatkan saya teringat-ingat.

29 December 2015

Fitrah keadilan



Ada manusia diuji oleh Allah dengan kesukaran sepanjang hidupnya. Mungkin ada masa-masa dirinya merasa senang dan tenteram tetapi pada zahir mata orang lain dia diuji dengan kesusahan sepanjang masa. Hidupnya tidak pernah dilimpahi kemewahan material, sentiasa ketinggalan dari harta benda, tidak pandai di dalam bidang kerja manusia malah tidak mempunyai sanak saudara pun. Ditambah pula dengan ujian kesedihan akibat kematian orang tersayang, perceraian atau tiada orang yang boleh menumpang kasih sayang. Hidupnya serba serbi susah sejak dilahirkan.

Ada pula manusia yang diuji Tuhan dengan kesenangan yang melampau-lampau. Sejak lahir hingga saat kematian pada zahirnya mewah-mewah sahaja, seperti raja-raja atau anak-anak menteri. Jika ada kesedihan pun hanyalah pada hati nurani mungkin akibat putus cinta, kehilangan harta yang disayangi kerana dicuri atau sebagainya. Hidup mereka berpengaruh, wajah mereka cantik dan tampan, wang mereka banyak dan kawan-kawan juga ramai. Tidak dinafikan kita sentiasa mengimpi kehidupan jenis ini, bahkan kadang-kadang berangan-angan jika tidak sesenang itu dapat berkawan dengan mereka pun tidak mengapa.

Inilah fitrahnya. Tuhan tidak menjadikan dunia ini tempat yang adil untuk kita semua. Masakan boleh adil jika ada manusia yang susah tetapi ada pula yang senang. Ada manusia yang cantik ada pula yang mukanya hodoh. Ada yang berpengaruh boleh membeli apa sahaja termasuk kuasa, tetapi jika tiada apa-apa bukan sahaja dilayan dengan buruk malah mereka ini diinjak-injak pula. Mengapakah Tuhan menjadikan keadaan ini di dunia? Tidak lain hanyalah untuk menunjukkan bahawa ada satu tempat di mana keadilan akan tercapai juga suatu masa nanti. Ketika di dunia Allah menetapkan keadaan kita sebegini, janganlah lupa pula satu hari nanti segala-galanya itu akan kembali juga ke pangkuan Tuhan. Oleh yang demikian, jika kita dikurniakan dengan kemewahan segala-gala yang ada di dunia ini, tidak perlulah meninggi diri kerana suatu masa nanti orang yang tidak punya apa-apa boleh pula meminta di hadapan Tuhan benda yang kita miliki itu.

Kadang-kadang kita mengeluh jika nasib tidak memihak kepada kita. Sebagai contoh kita memohon kerja di satu tempat, tetapi mengapa orang lain pula yang dapat padahal kita dan mereka sama-sama mempunyai kelayakan. Jika kita benar-benar faham akan keadilan yang Tuhan tetapkan nanti, tidak perlulah kita mengeluh kerana akhirnya Allah akan memberikan keadilan juga. Percayalah dengan janji Tuhan, ianya sama sekali benar. Mungkin emosi dan nafsu kita sentiasa membayangkan kepercayaan itu, tetapi didiklah hati bahawa Allah tidak akan mensia-siakan kita. Mungkin sekarang kita rasa seperti dipencilkan Tuhan, tetapi sebenarnya tidak. Tunggulah nanti. Kita akan faham juga.

27 December 2015

Cerita tentang keretapi






Gambar ini saya rakamkan pada tahun 2013 yang lalu di Parit Buntar. Pada masa itu saya terfikir ia mungkin akan menjadi rakaman foto yang meninggalkan memori pada masa akan datang kerana sama sekali pada masa hadapan ia tidak akan berlaku lagi. Memang benar. Selepas beroperasinya landasan berkembar dari Gemas ke Padang Besar, peristiwa menunggu keretapi lalu tidak terjadi lagi. Generasi anak-anak saya tidak akan dapat merasa pengalaman menunggu keretapi lalu diiringi dengan bunyi siren dan lampu kelip-kelip merah. 

Anak sulung saya sempat merasa pengalaman ini. Namun apabila dia dewasa mungkin dia sendiri tidak dapat mengingati dengan tepat keadaan yang berlaku kerana ketika hal ini berlaku dia terlalu mentah untuk memahami konsepnya. Dia mungkin tidak dapat memahami bagaimana generasi saya atau generasi sebelum-sebelumnya melalui pengalaman ini. Pada masa kecil dahulu, menunggu keretapi membuahkan banyak idea bersama kawan-kawan. Antaranya berteka-teki dari arah mana keretapi datang atau berteka-teki sama ada yang bakal lalu itu keretapi barang atau keretapi penumpang. Malah yang lebih kreatif meletakkan duit syiling di atas rel keretapi dan kemudian usai keretapi beredar, dikutip semula syiling yang diletakkan kerana seronok melihat ia menjadi nipis dan besar. Sekarang ia tidak akan terjadi lagi dan selalunya kita tidak perasan pun keretapi lalu kerana semua laluan yang melintas landasan telah dibina dengan jambatan yang lebih selesa dan besar. 

Pengurusan keretapi sekarang sudah tidak seperti dahulu lagi. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad yang telah menjadikan pengangkutan keretapi lebih berdaya saing, maju dan cekap. Tidak seperti pengangkutan bas yang masih belum banyak berubah, pengurusan keretapi sedang menuju ke zaman baru yang lebih efisien dan produktif. Membeli tiket keretapi pada masa ini tidak lagi tertumpu di stesen sahaja, malah kita boleh membelinya melalui internet juga. Bahkan jika kita menaiki keretapi kita tidak perlu lagi mengunjukkan tiket keretapi secara fizikal kepada petugas, cukup jika dapat menunjukkan tiket melalui telefon bimbit atau tab yang kita miliki. 

Oleh kerana saya telah berjauhan dengan keluarga buat masa ini, saya lebih suka menggunakan keretapi berbanding bas. Entah mengapa jika saya menaiki keretapi tidaklah terasa keletihan yang amat sangat berbanding dengan menaiki bas. Walaupun kedua-dua pengangkutan ini membuatkan kita melambung-lambung tetapi saya rasa kerana keretapi membolehkan kita berjalan ke hulu hilir, makan di kantin atau berdiri mengambil angin di antara gerabak itulah yang menjadikan badan kita lebih selesa. Tambahan, masa yang diarahkan sangat tepat. Dengan sebab itu kita dapat merancang perjalanan dengan lebih baik. 

Saya percaya mungkin 20 tahun akan datang keretapi akan menjadi pengangkutan yang utama di pantai barat Malaysia. Kekerapan akan ditambah, pengurusan lebih mudah dan jumlah pengguna antara bandar akan semakin membesar. Malaysia akan menjadi seperti Jepun yang menjadikan keretapi sebagai pengangkutan paling utama, kerana jika dilihat pada geografi Malaysia memang perkara ini bukanlah suatu yang mustahil. Jika sekarang sudah ada orang yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi tinggal di Tanjung Malim atau Tapah, mungkin pada masa akan datang mereka boleh tinggal di Ipoh, Kuala Kangsar atau Pulau Pinang sekalipun. Jarak menjadi semakin mengecil dan perhubungan juga menjadi semakin dekat.