27 December 2015

Cerita tentang keretapi






Gambar ini saya rakamkan pada tahun 2013 yang lalu di Parit Buntar. Pada masa itu saya terfikir ia mungkin akan menjadi rakaman foto yang meninggalkan memori pada masa akan datang kerana sama sekali pada masa hadapan ia tidak akan berlaku lagi. Memang benar. Selepas beroperasinya landasan berkembar dari Gemas ke Padang Besar, peristiwa menunggu keretapi lalu tidak terjadi lagi. Generasi anak-anak saya tidak akan dapat merasa pengalaman menunggu keretapi lalu diiringi dengan bunyi siren dan lampu kelip-kelip merah. 

Anak sulung saya sempat merasa pengalaman ini. Namun apabila dia dewasa mungkin dia sendiri tidak dapat mengingati dengan tepat keadaan yang berlaku kerana ketika hal ini berlaku dia terlalu mentah untuk memahami konsepnya. Dia mungkin tidak dapat memahami bagaimana generasi saya atau generasi sebelum-sebelumnya melalui pengalaman ini. Pada masa kecil dahulu, menunggu keretapi membuahkan banyak idea bersama kawan-kawan. Antaranya berteka-teki dari arah mana keretapi datang atau berteka-teki sama ada yang bakal lalu itu keretapi barang atau keretapi penumpang. Malah yang lebih kreatif meletakkan duit syiling di atas rel keretapi dan kemudian usai keretapi beredar, dikutip semula syiling yang diletakkan kerana seronok melihat ia menjadi nipis dan besar. Sekarang ia tidak akan terjadi lagi dan selalunya kita tidak perasan pun keretapi lalu kerana semua laluan yang melintas landasan telah dibina dengan jambatan yang lebih selesa dan besar. 

Pengurusan keretapi sekarang sudah tidak seperti dahulu lagi. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad yang telah menjadikan pengangkutan keretapi lebih berdaya saing, maju dan cekap. Tidak seperti pengangkutan bas yang masih belum banyak berubah, pengurusan keretapi sedang menuju ke zaman baru yang lebih efisien dan produktif. Membeli tiket keretapi pada masa ini tidak lagi tertumpu di stesen sahaja, malah kita boleh membelinya melalui internet juga. Bahkan jika kita menaiki keretapi kita tidak perlu lagi mengunjukkan tiket keretapi secara fizikal kepada petugas, cukup jika dapat menunjukkan tiket melalui telefon bimbit atau tab yang kita miliki. 

Oleh kerana saya telah berjauhan dengan keluarga buat masa ini, saya lebih suka menggunakan keretapi berbanding bas. Entah mengapa jika saya menaiki keretapi tidaklah terasa keletihan yang amat sangat berbanding dengan menaiki bas. Walaupun kedua-dua pengangkutan ini membuatkan kita melambung-lambung tetapi saya rasa kerana keretapi membolehkan kita berjalan ke hulu hilir, makan di kantin atau berdiri mengambil angin di antara gerabak itulah yang menjadikan badan kita lebih selesa. Tambahan, masa yang diarahkan sangat tepat. Dengan sebab itu kita dapat merancang perjalanan dengan lebih baik. 

Saya percaya mungkin 20 tahun akan datang keretapi akan menjadi pengangkutan yang utama di pantai barat Malaysia. Kekerapan akan ditambah, pengurusan lebih mudah dan jumlah pengguna antara bandar akan semakin membesar. Malaysia akan menjadi seperti Jepun yang menjadikan keretapi sebagai pengangkutan paling utama, kerana jika dilihat pada geografi Malaysia memang perkara ini bukanlah suatu yang mustahil. Jika sekarang sudah ada orang yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi tinggal di Tanjung Malim atau Tapah, mungkin pada masa akan datang mereka boleh tinggal di Ipoh, Kuala Kangsar atau Pulau Pinang sekalipun. Jarak menjadi semakin mengecil dan perhubungan juga menjadi semakin dekat.

No comments: