Isteri saya baru sahaja dinaikkan pangkat di dalam
perkhidmatannya. Saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana dengan kenaikan
pangkat ini maka tentu sahaja dia melangkah setapak lagi di dalam kemajuan
kerjayanya. Lagi pula, bolehlah juga saya menumpang tuah gajinya yang naik itu
serba sedikit. Namun begitu masalah lain pula timbul. Dia dipindahkan ke
Putrajaya. Ahhh, bab inilah yang membuatkan saya sedikit kaget kerana terpaksa
berpisah dengan beliau dan anak-anak.
Hati saya terlalu gundah. Di sana tidak seperti pekan yang
saya duduki sekarang yang penuh dengan kedamaian. Kebanyakan orang saling
mengenali, malah ke mana-mana sahaja terlalu mudah baik ke pasaraya, tempat
kerja, tadika anak atau taman permainan. Di sana keadaannya sungguh berlainan.
Tidak ada lagi rasa persaudaraan bahkan masing-masing hanya memikirkan tentang
diri mereka sahaja. Saya lebih risaukan keadaan anak-anak yang entah tidak
ketahuan nasib mereka. Walaupun saya percaya isteri saya dapat menjaga mereka
dengan baik namun agak sukar juga meletakkan sepenuhnya kepercayaan itu
memandangkan saya sudah faham padang permainan Lembah Klang.
Lalu saya lepaskan mereka dengan sungguh berat tetapi tidak
putus-putus berdoa supaya diberikan kemudahan di dalam urusan kami. Mungkin
sebenarnya ujian ini menginsafkan saya tentang keadaan kami yang tidak akan
pernah dapat lari dari kekuasaan-Nya. Pada hari pertama saya meninggalkan
mereka di sana, tidak terdaya rasanya menghadapi ujian ini apatah lagi apabila
mengenangkan yang saya akan sungguh-sungguh merindui mereka. Ketika saya pulang
ke pekan kecil tempat saya diami, hati merasa sungguh kosong tanpa kelibat
mereka disisi.
No comments:
Post a Comment