Saya masih ingat ketika minggu-minggu pertama saya
bersekolah di salah sebuah sekolah di Klang, hati tertanya-tanya tentang
bagaimana mahu keluar pada hujung minggu persekolahan. Adakah dengan menaiki
bas yang selalu lalu di depan sekolah, dan kemudian bas itu akan pergi ke mana?
Adakah saya boleh pergi ke Bandar Klang dengan bas tersebut? Bagaimana jika tersesat? Dan apabila kali pertama saya mendapat peluang keluar hujung
minggu dengan rakan-rakan, kami menaiki bas yang sentiasa lalu lalang itu dan
terus sampai ke Bandar Klang. Oh, mudah sahaja rupanya. Selepas itu pergi ke Bandar Klang tidak perlu berteman, malah sehingga ke Kuala Lumpur juga saya pandai pergi berseorangan.
Hal yang sama berlaku ketika saya bekerja di
Bandar Baru Bangi pada tahun 2008 dahulu ketika hari-hari pertama berulang alik dari Gombak dan keluar pada pukul 6.00 pagi. Setibanya di Bangi
saya merasakan hari masih awal dan mengambil peluang untuk berjalan-jalan
terlebih dahulu sebelum masuk ke pejabat. Dan tiba-tiba pula saya melalui satu
jalan yang sungguh asing hinggakan saya merasa panik kerana takut tidak sempat
pula masuk pejabat pada pukul 8.00 pagi. Setelah beberapa minggu terutamanya
selepas berpindah ke Bangi, jalan-jalan yang membuatkan saya panik
sebelum itu rupanya adalah terlalu mudah sehingga saya sendiri tidak faham
mengapa saya boleh tersesat.
Hidup ini sebenarnya begitu. Apabila kita sedang berada di
suatu alam yang masih asing, kita akan mudah menjadi panik dan sesat. Bahkan
alam itu terasa terlalu luas sehingga kita terasa tidak mampu untuk mengawal keadaan.
Walaupun begitu, kita harus percaya apabila alam itu sudah dapat kita jejaki
untuk beberapa ketika, rupa-rupanya ia tidaklah sukar seperti yang mula-mula
kita rasakan. Cumanya kita sendirilah yang harus menyesuaikan keadaan dengan
alam yang baru kita jejaki dan tidak bersifat ego atau serba tahu. Seperti dua
contoh yang saya maksudkan tadi, kes pertama adalah ketika saya menaiki bas
manakala kes kedua adalah dengan menaiki kereta. Maka saya tidak boleh
menggunakan pengalaman menaiki bas untuk diaplikasikan ketika saya memandu
kenderaan sendiri kerana ia tidak akan sama langsung. Maka saya terpaksa
menyesuaikan keadaan dengan ketika saya memandu kereta pula.
Saya percaya apa yang penting ketika kita mula-mula
menjejaki alam yang baru adalah dengan mengikut arus yang telah sedia ada. Jika
kita menyongsang arus akibat kedegilan kita sendiri sebenarnya kita telah
mencipta musuh baru yang tidak perlu, malah mencipta musuh di kawasan yang kita
tidak biasa pun. Bermulalah perlahan-lahan, maka selepas itu jika kita ingin
menyongsang pun biarlah selepas ilmu dan bijaksana sudah ada.
No comments:
Post a Comment