27 August 2009
Berlaku adil
Bagi pemikiran manusia yang cetek dan tidak dapat memandang kecuali apa yang dibenarkan oleh-Nya, selalu juga kita merasakan bahawa Allah tersilap meletakkan sesuatu di tempatnya. Begitu juga setelah ditimbang-timbang dan difikir-fikir, kita merasakan kita punya idea yang lebih baik untuk mentadbir dunia ini berbanding dari apa yang telah Allah takdirkan kepada semua makhluk di muka bumi Allah.
Hal ini sebenarnya sudah lama berlaku, malah ketika zaman sebelum kewujudan manusia sendiri lagi. Apabila Allah mahu menciptakan manusia, malaikat-malaikat mempertikaikan dengan berkata," Ya Tuhan kami, mengapa Kau ingin mencipta manusia yang mana mereka ini sentiasa melakukan kerosakan dan sentiasa pula menumpahkan darah di atas muka bumi, sedangkan kami para malaikat sentiasa bertasbih dan memuji-Mu." Dan Allah yang Maha Cerdik itu membalas, "sesungguhnya Aku tahu apa kamu tidak tahu."
Acapkali kita melihat dari mata kasar bahawa perancangan Allah ini kadangkala tidak tepat. Sebagai contoh, mengapa Allah memberi anak-anak yang ramai kepada keluarga miskin yang hidupnya hanya mengharap tulang empat kerat, sedangkan pada orang-orang kaya anak-anaknya tidak pula ramai. Bukankah elok jika orang miskin mempunyai anak yang sedikit kerana ia sesuai dengan kemampuan kewangannya, manakala orang kaya diberikan anak yang ramai untuk disesuaikan pula dengan kekayaannya. Begitu juga di zaman serba pantas ini remaja-remaja bangsat senang-senang pula dapat hamil anak luar nikah walaupun baru sekali dipegang oleh bukan muhrim, sedangkan ada lagi orang lain yang sudah putus harapan untuk mendapatkan zuriat kerana sudah terlalu lama berkahwin tanpa dikurniakan anak. Hari ini, kita mempertikaikan mengapa Allah melantik orang-orang yang tidak boleh dipercayai integriti dan keperibadiannya sebagai ketua dan pemimpin, sedangkan bukankah elok jika jawatan pemimpin itu Allah aturkan untuk mereka yang sungguh-sungguh berazam membangunkan negara dan agama. Mengapa pula orang yang suka menganiaya orang lain dapat menjadi popular dan dihormati orang walhal golongan yang zuhud dan sentiasa bersikap berbaik-baik sesama insan tidak pula dikenali walaupun di daerah sendiri?
Banyak lagi yang ingin saya utarakan tentang 'ketidakadilan' Allah ini. Adakah Dia benar-benar mahu menguji hamba-Nya dengan memberikan kesusahan dan ketidakadilan ini?
Memang benarlah seperti yang difirman Dia di dalam surah Luqman. Bahawasanya jika dibandingkan ilmu seluruh manusia dengan ilmu yang ada pada Allah, nisbahnya hanyalah seperti setitis air dengan 7 lautan, dan ditambah lagi dengan 7 lautan yang sama. Setiap apa yang dilaksanakan dan ditakdirkan punya hikmah yang kita tidak tahu sehinggalah kita diberitahu sendiri nanti.
Saya juga berfikir pada pandangan saya yang cetek ini, jika dunia ini berlari dan berpusing mengikut apa yang baik di mata kita, maka kita tidak dapat merasa kenikmatan dunia ini lagi. Mungkin apa yang baik di mata kita tidak semestinya baik di mata orang lain kerana kita sentiasa memandang dunia pada sudut yang berbeza. Seperti saya menulis nombor 6 di atas sekeping kertas putih dan saya campakkan di jalanan, ada orang yang akan melihatnya sebagai nombor 6, tetapi ada pula yang melihat sebagai nombor 9.
Dengan sebab inilah sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Saya belajar tentang perkara ini apabila menonton filem Bruce Almighty. Filem yang digam oleh FINAS dengan alasan menyesatkan dan memesongkan akidah ini memberi banyak pengajaran kepada saya untuk terus hidup di atas dunia. Sekiranya kita menjadi Tuhan sekalipun, belum tentu kita akan dapat mencipta dunia yang sebaik kita diami sekarang. Saya sentiasa percaya bahawa Allah telah melakukan yang terbaik untuk semua makhluk-Nya, soalnya adakah kita sendiri yang mahu untuk menjadi makhluk terbaik kepada Tuhannya.
Apa yang penting, lakukanlah perintah Allah dan jalankanlah kerja kita dengan sepenuh kerelaan dan kemanisan. Yang lain-lain, biarlah Allah yang jalankan. Dia lebih tahu. Lagipun, dunia ini Dia yang punya. Dia berhak ke atas segala-galanya.
23 August 2009
Pejabat SPRM dalam kenangan
Selepas PRU ke-12 Mac 2008, kerajaan negeri Selangor bertukar pemimpin dari Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat. Di daerah tempat saya bekerja, semua Ahli Dewan Undangan Negeri memihak kepada Pakatan Rakyat, maka ADUN-ADUNnya semua bertukar. Apabila berlakunya pertukaran kerajaan negeri, seperti biasa orang-orang politik ini, mereka seboleh-bolehnya akan mencari kelemahan dan kepincangan orang-orang lama demi modal politik mereka. Tidak terkecuali bahangnya terkena juga dengan jabatan tempat saya berkhidmat.
Pejabat SPRM sudah popular di mata saya sejak PRU 12 itu lagi. Saya pernah mengunjungi pejabat SPRM di Plaza Masalam itu. Saya dipanggil sebanyak 2 kali bagi membantu siasatan ke atas bekas seorang ADUN yang didakwa menggelapkan wang sebanyak beberapa ribu ringgit. Apabila saya mengimbas kembali dokumen-dokumen berkenaan, kemungkinan untuk penyalahgunaan kuasa memang ada. Hakikatnya saya tidak tahu samada wang itu disalahguna atau tidak. Tetapi, kemungkinan untuk terjadi penyalahgunaan wang itu memang ada.
Saya dipanggil sebanyak 2 kali. Kali pertama pada hari Jumaat, tetapi saya sudah lupa akan tarikhnya. Selepas menunaikan solat Jumaat, saya dibawa masuk ke dalam bilik pegawai penyiasat dan saya menceritakan apa yang saya tahu. Pegawai penyiasat yang menemuduga saya itu seorang perempuan, di dalam baya-baya saya juga. Percakapannya ramah dan lembut, mungkin kerana saya sebagai saksi dan bukan pesalah. Selesai disiasat pada pukul 6 petang, saya terus menuju pulang ke kampung halaman kerana ada kenduri arwah. Soal-siasat itu mengambil masa lebih kurang 3 jam. Sebelum saya keluar dari bilik itu, sempat juga saya bersembang mengenai karier pegawai penyiasat tersebut, malah cerita-cerita sehingga ke mana tempat dia tinggal dan sudah berapa ramai anak yang dia ada.
Kali kedua lebih lama. Kali ini ketika dalam perjalanan pulang dari kampung (saya mengambil cuti hari Isnin), saya mendapat panggilan telefon untuk datang ke pejabat itu seberapa segera. Saya terus menekan minyak laju-laju untuk segera sampai ke Shah Alam. Pegawai yang menelefon saya mengatakan bahawa saya boleh sahaja datang pada keesokan hari, tetapi kerana sikap saya yang gelabah untuk disiasat dan ingin membantu dengan seberapa daya, saya cepatkan juga perjalanan. Kali ini saya diminta untuk membaca setiap helaian keterangan supaya dapat dijadikan bukti bertulis. Hampir 1000 muka surat semuanya. Saya selesai lebih kurang pukul 9 malam. Itu sudah mengambil masa selama 6 jam. Kali ini pegawai yang mengiring saya ialah seorang lelaki. Seperti pegawai wanita sebelum ini, orangnya peramah dan mudah membantu.
Sehingga hari ini kes itu sudah tidak kedengaran khabar berita. Mungkin ditutup, tiada bukti atau apa saya sendiri tidak tahu. Hanya SPRM yang lebih mengetahui.
Hari ini pejabat SPRM itu kembali popular. Bukan sahaja di mata saya, tetapi seluruh mata masyarakat Malaysia bertumpu di situ. Setiap hari orang ramai menunggu apakah yang bakal terjadi dengan siasatan inkues Teo Beng Hock. Ada pula sudah keluar di blog-blog tentang surat misteri dari orang dalam SPRM sendiri.
Mujurlah saya bukan ahli politik. Jika tidak, mungkin jasad saya pula yang berbaring di situ. Kepada keluarga mendiang Teo Beng Hock, bersabarlah menghadapi dugaan. Kepada orang-orang yang diberikan amanah untuk menjalankan tugas yang sepatutnya, saya menyeru supaya laksanakanlah amanah dengan baik kerana Allah lebih mengetahui segala-galanya berbanding kita.
19 August 2009
Mengapa saya menulis?
Semalam ketika saya menikmati makan malam dengan orang tersayang, saya bersuara, "hari ini saya membuka blog. Tapi bukan untuk dibaca oleh orang lain, cuma sekadar suka-suka. Kalau orang lain tak baca pun saya tak kisah."
Seperti biasa, orang tersayang saya pun menjawab,"buat apa tulis blog kalau tak bagi orang baca."
Saya sebenarnya sudah bersedia dengan soalan perangkap demikian. Lalu saya katakan kembali, "kalau orang nak baca silakanlah. Tapi kalau tak baca, sekurang-kurangnya saya puas kerana dapat menulis sesuatu," orang tersayang saya diam.
Apa yang orang tersayang saya katakan itu memang benar. Jika seorang penulis menulis berbondong-bondong buku pun, tetapi tiada siapa yang membacanya, tulisannya akan menjadi tidak berguna. Tetapi saya bukan seorang penulis komersial, saya hanya menulis apa yang saya ingin tulis. Ia mungkin berbeza.
Bagi saya, menulis dapat meluahkan rasa tertekan dan tension. Teorinya sama seperti seseorang yang menggunakan punching bag untuk menumbuk dengan sepenuh tenaga, yang kita nampak seperti dia geram dengan sesuatu. Apabila dilepaskan dengan sepenuh tenaga, dia akan berasa lega. Mungkin menulis juga begitu.
Saya melihat penulis professional seperti Dato' Shahnon Ahmad juga ada kecenderungan untuk meluahkan perasaan marah, tertekan dan tension dengan menulis. Dan ia diakui oleh beliau sendiri di dalam wawancaranya di majalah Mastika suatu masa dahulu. Kerana rasa marah dan geramnya dia dapat menghasilkan novel berkualiti seperti Ummi dan Abang Syeikhul (kalau tak silap tajuknya begini) dan SHIT. Di dalam novel Ummi dan Abang Syeikhul, dia meluahkan rasa marah kepada golongan ulama yang bertopeng yang menggunakan wanita sebagai tempat melampiaskan nafsu, manakala novel SHIT pula untuk meluahkan rasa marah kepada kerajaan.
Menulis biarlah ia datang dari hati. Bukan kerana sifat komersial semata-mata. Penulis yang menulis dari hati, tulisannya sentiasa menjadi perhatian dan berkualiti. Ada pula penulis novel yang prolifik, tetapi segala-galanya hanyalah untuk wang. Penulis-penulis seperti ini tidak pernah pula mendapat anugerah kerana tulisannya.
Saya mahu menjadi penulis seperti Shahnon Ahmad, Usman Awang atau A Samad Said. Mereka sudah tua. Usman Awang pun sudah mati. Tetapi karya mereka tidak pernah tua atau mati. Seperti juga William Shakespeare, Nostradamus dan lain-lain. Jasad mereka sudah lama berkubur. Tetapi jiwa mereka sentiasa melingkari hidup kita.

Dari Jendela Kenangan : Seorang pakcik tua dan isterinya
Ini cerita 20 tahun yang lalu.
Seorang anak kecil berumur kurang lebih 7 tahun berjalan bersama ibunya dan adiknya yang berumur 5 tahun. Mereka dalam perjalanan untuk ke rumah datuk anak kecil itu yang terletak jauh ke dalam sebuah kampung. Zaman dahulu ramai orang tidak mempunyai motokar, atau di dalam bahasa biasa dipanggil kereta. Orang yang mempunyai motosikal juga hanya boleh dibilang dengan jari. Perjalanan yang jaraknya lebih kurang 2 kilometer itu membuatkan anak kecil berumur 7 tahun itu keletihan. Lalu dikata pada ibunya, "mak, penat lah".
"Sabar sedikit, sekejap lagi kita akan sampai".
Untuk membuatkan anak-anaknya kehilangan rasa penat dan bosan, ibunya bercerita sepanjang perkara di dalam perjalanan yang singkat itu. Dan tiba-tiba, lalu seorang pakcik tua memandu sebuah volkswagen buruk berwarna merah bersama dengan isterinya.
Setelah berbual pendek selama beberapa minit, pakciknya menumpangkan ibu muda itu dan anak-anaknya dan mereka sampai ke rumah datuk dengan selamat.
Hari ini anak kecil itu sudah dewasa. Bukan sahaja volkswagen buruk berwarna merah, kereta yang lebih selesa pun sudah mampu untuk dimilikinya. Jika sepuluh tahun dahulu dia memegang watak sebagai seorang anak kecil dan ibunya dan adiknya, hari ini dia sudah dapat memegang watak sebagai seorang pakcik tua dan isterinya.
Dia berazam untuk menumpangkan sesiapa sahaja yang sedang memegang watak seorang anak kecil dan ibunya dan adiknya...

18 August 2009
Doraemon & Nobita
Mak saya seorang yang tegas dalam mendidik anak-anaknya. Dengan sebab itulah mungkin saya menjadi orang yang berguna hari ini. (berguna pada pandangan mata saya). Ketika saya masih kanak-kanak, saya hanya boleh keluar rumah selepas pukul 6.00 petang untuk bermain. Sebelum itu, di meja belajarlah jawabnya. Ketika menyuruh saya belajar, mak saya tiba-tiba akan menjelma menjadi seekor singa betina.
Disebabkan ketegasannya itu, keseronokan saya sebagai kanak-kanak sedikit tercemar. Saya mula menyedari bahawa saya bukanlah kanak-kanak yang biasa apabila saya telah meningkat dewasa. Rakan-rakan sebaya saya boleh menceritakan setiap watak yang terkandung di dalam kartun Transformers, Teenage Mutant Ninja Turtles, GI Joe, Roy Mustang dan lain-lain. Tetapi saya hanya ternganga.
Barulah saya sedar bahawa saya bukanlah kanak-kanak yang sempurna. Sempurna dalam erti kata saya langsung tidak mempunyai pengetahuan di dalam ilmu kartun. Menyedari bahawa saya ketinggalan di dalam bidang ini, lalu saya mulakan dengan langkah pertama untuk mendalami kartun, dan saya pilih si comel ini sebagai bahan bacaan pertama, Doraemon. Menarik, dan sangat menarik.
Ketika saya di universiti, saya mula membeli koleksi komik Doraemon ini. Jika tidak silap saya, siri cerita pendek Doraemon ini ada 45 kesemuanya, sebelum penulis asalnya Fujio F Fujiko menemui Ilahi. Siri cerita panjangnya saya tidak ingat, tetapi saya ada kurang lebih 10. Semua koleksi ini saya beli, dan saya letakkan di dalam almari yang paling jelas di rumah mak saya. "Nah mak, dulu tak bagi sangat tengok kartun, sekarang saya beli letak sini jelas-jelas, apa mak boleh buat?". Kata saya kepada mak saya, tapi cuma dalam hati saja.
Bila saya dah besar, mak saya pun sporting. Bila saya di universiti dahulu, maklum sahaja duit sentiasa tidak mencukupi. Pernah sekali ketika mengunjungi kedai buku Popular, saya ambil 2 buah buku Doraemon dan minta mak saya bayarkan, dan dia dengan senang hati membayarnya. Terima kasih mak!
Sehingga hari ini minat saya pada Doraemon masih lagi tidak luput. Memang benar, melarang anak-anak menonton cerita kartun bukanlah satu penyelesaian yang baik untuk membuatkan anak-anak kita belajar dengan rajin. Malah, kartun seperti Doraemon membawa mesej keamanan di dalam setiap cerita, terutama cerita-cerita panjang. Saya tidak pernah pun terfikir kartun Doraemon yang merapu itu sebenarnya mempunyai agenda yang sangat murni.
Dan, yang penting sekali, Fujio F Fujiko bukanlah pelukis kartun yang biasa-biasa dan berotak kartun. Setelah membaca Doraemon, saya menyedari mendiang ialah seorang yang mempunyai pengetahuan yang luas di dalam bidang sains!
Di sinilah ia bermula...
Dengan tinta kalimah Allah yang Maha Mulia, saya memulakan blog ini. Bukan untuk ditujukan kepada sesiapa pun, tidak juga mengharapkan sesiapa pun membacanya. Cuma sekadar renungan untuk diri saya sendiri, supaya suatu masa nanti saya tidak akan lupa apa yang pernah saya coretkan.
Saya sentiasa menulis, terutamanya apabila berada di dalam kebosanan dan kesunyian. Ada yang tulis di atas kertas, di dalam buku, di dalam komputer, malah juga di helaian tisu apabila keseorangan di dalam lrt atau komuter. Namun begitu, disebabkan tulisan saya yang berselerakan itulah membuatkan saya tidak dapat mengumpulnya, kemudian ia hilang ditelan masa.
Saya percaya tulisan dan karangan cerminan kepada diri sendiri. Mungkin hari ini corak tulisan kita lebih cenderung kepada sesuatu benda, esok lusa kita akan bengkok pula ke hala yang lain. Hari ini mungkin kita menyokong sesebuah parti politik, tidak mustahil minggu depan kita sudah bertukar arah. Begitu juga hari ini azam kita untuk menambah rezeki wang ke dalam kantung, tidak mustahil pula tahun hadapan azam kita hanyalah untuk hidup dengan tenang tanpa memikirkan berapa banyak wang yang masih ada di dalam bank. Manusia sentiasa berubah, begitu juga saya. Jarang sekali minat kita tidak berubah apabila sudah meningkat usia. Walaupun tidak mustahil, tetapi pelik pula jika ada orang yang sudah beruban umur 70 tahun masih lagi meminati kereta Ferrari, memandang gadis genit padahal minatnya haruslah terarah kepada sesuatu yang lebih damai.
Hari ini saya sedang cuba untuk menulis pula di dalam blog. Mudah-mudahan ia akan kekal ke anak cucu, dan mungkin pula dapat menjadi sejarah kepada keturunan saya untuk mencari susur galurnya. Saya percaya, sekerap mana pun saya format komputer, saya tidak akan lagi kehilangan blog. Mungkin...
Terima kasih pada sahabat-sahabat. Dorongan anda semua memangkinkan saya untuk mencipta blog ini. Biarkanlah semua blog menulis tentang kebejatan politik di Malaysia, biarkan sahaja blog-blog yang dicipta hanya untuk mengejar rezeki yang berlipat ganda, saya di sini akan sentiasa setia dengan blog saya. Saya mahu menjadi diri sendiri.

Subscribe to:
Posts (Atom)