19 August 2009

Mengapa saya menulis?

Semalam ketika saya menikmati makan malam dengan orang tersayang, saya bersuara, "hari ini saya membuka blog. Tapi bukan untuk dibaca oleh orang lain, cuma sekadar suka-suka. Kalau orang lain tak baca pun saya tak kisah."

Seperti biasa, orang tersayang saya pun menjawab,"buat apa tulis blog kalau tak bagi orang baca."

Saya sebenarnya sudah bersedia dengan soalan perangkap demikian. Lalu saya katakan kembali, "kalau orang nak baca silakanlah. Tapi kalau tak baca, sekurang-kurangnya saya puas kerana dapat menulis sesuatu," orang tersayang saya diam.

Apa yang orang tersayang saya katakan itu memang benar. Jika seorang penulis menulis berbondong-bondong buku pun, tetapi tiada siapa yang membacanya, tulisannya akan menjadi tidak berguna. Tetapi saya bukan seorang penulis komersial, saya hanya menulis apa yang saya ingin tulis. Ia mungkin berbeza.

Bagi saya, menulis dapat meluahkan rasa tertekan dan tension. Teorinya sama seperti seseorang yang menggunakan punching bag untuk menumbuk dengan sepenuh tenaga, yang kita nampak seperti dia geram dengan sesuatu. Apabila dilepaskan dengan sepenuh tenaga, dia akan berasa lega. Mungkin menulis juga begitu.

Saya melihat penulis professional seperti Dato' Shahnon Ahmad juga ada kecenderungan untuk meluahkan perasaan marah, tertekan dan tension dengan menulis. Dan ia diakui oleh beliau sendiri di dalam wawancaranya di majalah Mastika suatu masa dahulu. Kerana rasa marah dan geramnya dia dapat menghasilkan novel berkualiti seperti Ummi dan Abang Syeikhul (kalau tak silap tajuknya begini) dan SHIT. Di dalam novel Ummi dan Abang Syeikhul, dia meluahkan rasa marah kepada golongan ulama yang bertopeng yang menggunakan wanita sebagai tempat melampiaskan nafsu, manakala novel SHIT pula untuk meluahkan rasa marah kepada kerajaan.

Menulis biarlah ia datang dari hati. Bukan kerana sifat komersial semata-mata. Penulis yang menulis dari hati, tulisannya sentiasa menjadi perhatian dan berkualiti. Ada pula penulis novel yang prolifik, tetapi segala-galanya hanyalah untuk wang. Penulis-penulis seperti ini tidak pernah pula mendapat anugerah kerana tulisannya.

Saya mahu menjadi penulis seperti Shahnon Ahmad, Usman Awang atau A Samad Said. Mereka sudah tua. Usman Awang pun sudah mati. Tetapi karya mereka tidak pernah tua atau mati. Seperti juga William Shakespeare, Nostradamus dan lain-lain. Jasad mereka sudah lama berkubur. Tetapi jiwa mereka sentiasa melingkari hidup kita.

5 comments:

Seorang Bukan Sasterawan said...

Dulupun banyak lagi buku ko yang aku tak khatamkan
p/s: aku mula kenal shahnon ahmad melalui buku Tivi

Nafastari said...

Selamat datang ke dunia ini. Semoga anda tidak berhenti menulis, kerana saya tidak akan berhenti membaca tulisan anda. Saya juga mempunyai cita-cita seperti anda, menjadi seorang penulis yang bagus. Tetapi jalan masih terlalu jauh. Jika kelapangan sila singgah di laman saya yang tak seberapa itu.

cokoi said...

bagus pi, ko dah start menulis... aku banyak idea, tapi masih di dalam benak binary aku ni... belum dapat diturunkan kepada tulisan fizikal yang mampu difahami manusia...

kelisa_samudera said...

nafastari

anda berbohong jika mengatakan anda tidak tahu menulis. blog anda penuh dengan tulisan yang mencuit perasaan. saya juga akan sentiasa membaca blog anda setiap masa.

cokoi

jgn berlengah. marilah bersama kami.

kelisa_samudera said...

SBS

novel tivi mengajar kita supaya tidak memandang rendah perkara yang kecil perkara yang kecil pun kadang2 boleh merosakkan keluarga keseluruhannya.